Kosmo Online - Dunia |
- Rakyat Kemboja keluar mengundi
- Penyokong Mohamed Morsi ikrar teruskan bantahan
- Ribuan lebah serang pasangan kekasih
Rakyat Kemboja keluar mengundi Posted: Rakyat Kemboja keluar mengundi
PHNOM PENH – Rakyat Kemboja keluar mengundi semalam dalam pilihan raya yang dilihat akan memberikan mandat lima tahun lagi kepada Perdana Menteri yang paling lama berkhidmat di Asia Tenggara, Hun Sen. Pihak pembangkang yang diterajui Parti Penyelamat Kebangsaan Kemboja (CNRP) mendakwa, pilihan raya kali ini dicemari taktik kotor pemerintah. Menurut CNRP, hampir sejuta nama didapati hilang daripada senarai pengundi pada pengundian tahun ini. Pihaknya juga telah memfailkan aduan berhubung kejadian membeli undi dan perbuatan pasukan keselamatan yang berkempen untuk Hun Sen. Pemimpin tersebut dilantik sebagai Perdana Menteri Kemboja pada 1985. "Tentera dan polis menakut-nakutkan pengundi di banyak kawasan di negara itu," kata pertubuhan hak asasi yang beribu pejabat di Amerika Syarikat, Human Rights Watch dalam satu kenyataan. Parti pemerintah, Parti Rakyat Kemboja (CPP) yang diterajui Hun Sen berkeyakinan tinggi akan menang besar dalam pilihan raya kali ini. Malah, Hun Sen tidak berkempen untuk pilihan raya kali ini kerana beliau pasti partinya akan menang. CPP sebelum ini memiliki 90 daripada 123 kerusi Parlimen, manakala CNRP mempunyai 29 kerusi. Lebih 9.6 juta orang layak mengundi dengan keputusan penuh pilihan raya berkenaan dijangka diketahui dalam tempoh beberapa minggu. – REUTERS | |
Penyokong Mohamed Morsi ikrar teruskan bantahan Posted: Penyokong Mohamed Morsi ikrar teruskan bantahanSEBAHAGIAN penyokong Morsi melaungkan slogan dalam bantahan di dataran Masjid Rabaa Al-Adawiya di Kaherah kelmarin. KAHERAH - Penyokong Presiden Mesir yang digulingkan, Mohamed Morsi berikrar untuk meneruskan protes semalam, sehari selepas pertempuran yang meragut sekurang-kurangnya 72 nyawa di ibu kota Mesir di sini. Keganasan dilaporkan turut berlaku di beberapa lokasi di Mesir sejak kelmarin termasuk di Terusan Suez dan bandar Port Said. Insiden berdarah di ibu kota Mesir itu menerima kecaman dari dalam dan luar negara termasuk daripada sekutu utama tentera Mesir, Amerika Syarikat (AS). Susulan insiden dekat Masjid Rabaa Al-Adawiya itu, pihak berkuasa Mesir memberi amaran akan menyuraikan penunjuk perasaan 'tidak lama lagi'. Lokasi tersebut menjadi tempat penyokong setia Morsi berhimpun sejak seminggu lalu. Namun, amaran itu gagal menakutkan penyokong setia Morsi yang meneruskan bantahan mereka. Mereka mahu pihak tentera mengembalikan jawatan pemimpin tersebut. Seorang jurucakap Ikhwanul Muslimin, Gehad El-Haddad berkata, penunjuk perasaan marah tetapi tidak akan berganjak selepas insiden berdarah kelmarin. "Jika kami mati, kami akan menemui Tuhan dan kami mati demi perjuangan yang benar. "Sama ada kami mati atau berjaya," kata Gehad. Keganasan awal kelmarin yang menyaksikan pertempuran antara polis dan penunjuk perasaan merupakan insiden berdarah paling teruk sejak Morsi digulingkan oleh tentera pada 3 Julai lalu. Kementerian Kesihatan Mesir menyatakan, 72 orang terbunuh di kota raya ini kelmarin dengan sembilan lagi mati di Iskandariah sehari sebelum itu. Sebanyak 1,000 orang dilaporkan cedera dalam insiden tersebut. Penyokong Morsi menuduh pasukan keselamatan menggunakan peluru hidup ke atas penunjuk perasaan tetapi dinafikan oleh Kementerian Dalam Negeri. Keganasan yang berterusan sejak kelmarin juga menyebabkan 15 orang cedera. Agensi berita MENA melaporkan, mereka cedera dalam pertempuran semasa majlis pengebumian seorang penyokong Morsi di Port Said semalam. Dalam pada itu, keganasan kelmarin menerima kecaman antarabangsa termasuk oleh AS, Britain, Kesatuan Eropah dan Turki. Mereka mahu tentera Mesir berhenti menggunakan kekerasan ke atas penunjuk perasaan selain menghormati hak rakyat mengadakan bantahan aman. Insiden itu turut dikecam oleh Sheikh Universiti Al-Azhar, Ahmed Al-Tayeb yang mahu siasatan menyeluruh dilakukan untuk membawa mereka yang bersalah ke muka pengadilan. - AFP | |
Ribuan lebah serang pasangan kekasih Posted: Ribuan lebah serang pasangan kekasihPANTEGO - Sekitar 30,000 ekor lebah menyerang sepasang kekasih dan kuda padi mereka di Texas Utara dan menyengat haiwan peliharaan tersebut sehingga mati. Akhbar tempatan, Star-Telegram melaporkan kelmarin bahawa Kristen Beauregard, 44, disengat 200 kali manakala teman lelakinya pula disengat sebanyak 50 kali. Namun, dua kuda mereka, Chip dan Trump tidak dapat diselamatkan. "Serangga itu mengejar kami dan mengekori kami," kata Beauregard berhubung insiden tersebut yang berlaku pada Rabu lalu. "Kuda-kuda itu menerima terlalu banyak sengatan dan mati," kata seorang doktor haiwan, Patricia Tersteeg. Serangga itu turut membunuh lima ekor ayam dan menyengat anjing pasangan itu sebelum dihapuskan oleh pasukan bomba. Setakat ini, pihak berkuasa tidak pasti punca lebah-lebah itu keluar dari sarangnya. Ujian juga sedang dilakukan untuk mengesahkan sama ada lebah itu merupakan lebah pembunuh atau lebah Afrika. - AP |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Dunia To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan