Isnin, 29 Julai 2013

Kosmo Online - Hiburan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Hiburan


Dugaan penuh kenikmatan

Posted:

Dugaan penuh kenikmatan

Dugaan penuh kenikmatan

Oleh Haryati Karim
haryati.karim@kosmo.com.my

TANGGAL 13 Disember 2012 pasti tidak akan dilupakan oleh penyanyi Datuk Siti Nurhaliza Tarudin kerana pada tarikh itu suaminya, Datuk Khalid Mohd. Jiwa terlibat dalam kemalangan motosikal berkuasa tinggi di New Zealand.

Kini selepas tujuh bulan kemalangan berlaku, Siti mampu tersenyum melihat kesihatan suaminya yang semakin pulih dan bersyukur dengan dugaan yang diberi Allah kepadanya sekeluarga.

"Sepanjang kami berkahwin, kehidupan sentiasa gembira dan tahun lalu kami diberi dugaan oleh Allah dengan kamala- ngan Datuk K. Memang tidak sangka perkara sebegitu akan berlaku.

"Kini selepas tujuh bulan, saya rasa sungguh cepat masa berlalu. Empat bulan pertama selepas kemalangan saya memberi perhatian dengan menjaga suami sahaja.

"Sedihlah tetapi bila saya kenang semula saat saya menjaganya, bagi saya itu satu nikmat kerana saya dapat berbakti pada suami. Bila suami sihat saya pula rasa pelik.

"Sebelum ini saya lakukan semua untuknya seperti suapkan makan, mencukur janggut dan memandikannya kerana selepas pembedahan, Datuk K hanya mampu terbaring sahaja," kata Siti.

Bercerita tentang Ramadan kali ini, saban tahun Siti pasti menjalani ibadah puasa di Mekah.

Namun tahun ini, Siti hanya menyambut Ramadan di tanah air sahaja disebabkan faktor kesihatan suaminya.

"Terkilan juga kerana setiap tahun saya dan suami pasti akan menunaikan umrah dan merasai nikmat puasa di Mekah. Tahun ini berbeza kerana kesihatan suami tidak mengizinkan.

"Sungguhpun begitu, saya tetap rasa seronok sebab dapat menghabiskan lebih banyak masa bersama keluarga," katanya yang akan beraya di Kuala Lumpur, Kedah dan Pahang.

Siti juga sempat menceritakan pengalaman kali pertamanya ke bazar Ramadan bersama anak-anak tirinya.

"Memang sudah lama sangat tidak ke bazar Ramadan dan tahun ini, kali pertama kami bersama-sama ke situ. Cukup seronok sebab berpeluang berkumpul bersama semua keluarga dan membeli makanan di bazar.

"Selama ini kami hanya akan berbuka di rumah atau saya akan sibuk menghadiri majlis berbuka puasa, langsung tidak berkesempatan ke bazar Ramadan.

"Sekali-sekala dapat peluang seperti itu, bagi saya itu satu pengalaman yang bermakna," ujarnya.

Nikmat hidup semula

- Datuk K

Selepas mempunyai pengalaman hampir dengan maut dan kini semakin sihat, Datuk K memanjatkan kesyukuran kepada Allah kerana membenarkan dirinya kekal bernafas di muka bumi ini.

Ceritanya yang ditemui dikediamannya baru-baru ini, ketika terbaring di katil hospital, pelbagai perkara berlegar dalam mindanya seperti kematian, lumpuh mahupun kecacatan kekal.

"Waktu saya tidak berdaya, saya terfikir adakah saya akan mati? Ketika itu saya banyak berdoa kepada Allah supaya panjangkan nyawa saya kerana saya belum bersedia untuk mengadap-Nya, amalan juga belum cukup.

"Saya katakan, kiralah segala amalan kebaikan yang pernah dilakukan dan panjangkan umur saya. Apa yang membuatkan saya kuat pada waktu itu, saya fikir tiga orang anak saya dan Siti yang memerlukan saya," ucapnya.

Sambung Datuk K, melihat keadaannya yang semakin pulih dan mampu menjalani tugas harian seperti biasa, membuatkannya lebih menghargai kehidupannya hari ini.

"Ramai rakan saya yang mengalami kecederaan seperti saya, mereka akan meninggal dunia atau lumpuh. Saya bersyukur kerana masih berpeluang menjalani ibadah puasa bersama keluarga. Sebelum ini saya tidak sedar betapa cepat masa berlalu dan betapa cepat nyawa kita boleh diambil

"Alhamdulillah, saya sangat bersyukur dengan ujian Allah kepada saya. Kemalangan itu juga menyedarkan saya betapa saya mempunyai seorang isteri yang cukup baik, dia tinggalkan kerjanya demi menjaga saya sahaja," ujarnya jujur.

Beritahu Datuk K lagi, dia cukup terharu dengan cara Siti menjaganya sepanjang ter- lantar di atas katil tanpa mampu melakukan sebarang kerja termasuk menguruskan dirinya sendiri.

"Sebenarnya saya tersentuh dengan cara Siti menjaga saya sepanjang saya terbaring di atas katil. Dia menjaga saya dengan penuh kasih sayang sedangkan waktu itu saya seperti orang kurang upaya.

"Dalam kehidupan ini, susah untuk saya berjumpa dengan orang yang baik seperti- nya. Sebagai suami, saya doakan syurga yang teratas buat Siti," balas Datuk K.

Cuti bersama Siti

Datuk K yang masih menjalani rawatan fisioterapi setiap hari dan bersenam di gim lima hari seminggu mengatakan, doktor memberi masa selama tiga bulan untuk dia pulih sepenuhnya.

"Walaupun saya diberi ubat tetapi kata Tun Mahathir yang datang melawat saya di hospital, terapi dan senaman lagi penting. Ubat hanya membantu kesihatan kita hanya 30 peratus sahaja.

"Sebab itu saya merawat diri sendiri de- ngan bersenam untuk membina semula otot selain berurut secara tradisional. Sekarang mungkin orang lihat saya sihat tetapi tangan kanan saya masih bengkak dan leher saya masih belum pulih sepenuhnya," turut Datuk K.

Bercerita tentang sambutan Aidilfitri kali ini, katanya, selain beraya di rumah keluarga, dia merancang untuk memberi keju- tan buat isteri tercinta.

Menurutnya, Aidilfitri yang tiba jatuh dalam bulan ulang tahun perkahwinan yang ketujuh bersama Siti.

"Kebetulan bulan raya tahun ini bersaaman dengan dengan ulang tahun perkahwinan kami iaitu 21 Ogos. Saya ingin membawanya pergi bercuti dan berehat kerana saya lihat dia pun penat bekerja.

"Mungkin selepas sambutan raya baru kami pergi bercuti. Lokasinya masih belum tahu, jika saya beritahu bukan kejutanlah namanya tetapi Siti ada menyebut dua tiga tempat yang dia ingin pergi, saya lihat dahulu mana yang sesuai," katanya tentang kejutan ulang tahun perkahwinan buat Siti.

Serina tak menang tangan

Posted:

Serina tak menang tangan

Serina tak menang tangan

Oleh RONI HIDAYAT RIDWAN
roni.ridwan@kosmo.com.my



KETIKA bertemu dengan pelakon Serina Redzuawan pada majlis berbuka puasa anjuran Aquilla Emas dan Hotel Federal, Kuala Lumpur baru-baru ini, ternyata dia kelihatan sedikit kurus berbanding beberapa bulan lalu.

Berkesempatan menemuinya selepas majlis berakhir, Serina mengakui yang berat badannya kini sudah menyusut sebanyak 12 kilogram sejak tiga bulan lalu berbanding 80 kilogram sebelum ini.

"Secara jujurnya saya tidak melakukan sebarang diet memandangkan saya seorang yang kuat makan. Namun begitu, saya cuma mengamalkan pengambilan makanan tambahan daripada produk kecantikan keluaran sendiri iaitu Anggun Serina.

"Sebagai seorang selebriti pastinya penampilan perlu dijaga dan diutamakan dan sudah tentu saya risau apabila berat badan naik. Kini saya berasa lega kerana mampu menurunkan semula berat badan yang ideal," ujarnya.

Bagaimanapun, anak kepada chef terkenal, Datuk Redzuawan Ismail atau Chef Wan itu mendedahkan, faktor lain yang menyebabkan berat badannya susut disebabkan jadualnya yang terlalu sibuk sebagai pelakon, penerbit drama dan ahli perniagaan.

Ujarnya, kini dia sedang sibuk menguruskan syarikat produksi miliknya iaitu YKS Film Makers Sdn. Bhd. yang memang aktif menerbitkan drama bersiri dan telemovie.

"Sebelum ini saya cuma sekadar bergelar seorang pelakon sahaja tetapi kini saya turut bertindak sebagai seorang penerbit. Sekarang ini barulah saya dapat merasai sendiri pengalaman untuk menghasilkan sesebuah program.

"Kalau boleh saya memang tidak mahu mengharapkan sesebuah projek itu datang sendiri. Sebaliknya, saya sendiri yang akan menghasilkan kertas kerja dan turun padang berjumpa dengan pihak stesen televisyen," jelasnya.

Selektif pilih tawaran

Selain sibuk sebagai seorang penerbit, Serina turut memberi fokus kepada perniagaannya setelah membuka sebuah farmasi Cosway yang terletak di Kota Damansara.

Ujarnya, setelah hampir setahun membuka farmasi berkenaan, sambutan daripada para pelanggan sangat memuaskan. Namun begitu, dia bernasib baik kerana perniagaan tersebut dikongsi bersama rakannya yang bertindak sebagai pengurus.

"Dalam masa terdekat ini juga saya bakal membuka sebuah restoran khusus untuk makanan char kuetiau. Restoran yang diberi nama Char Kueh Teow Simply Delicious Penang Mai dibuka berhampiran dengan farmasi saya," ujarnya.

Melihat kepada kesibukannya dalam menjalankan pelbagai bentuk perniagaan, Serina turut ditanya sama ada dia masih lagi aktif berlakon atau sebaliknya memandangkan kelibatnya di kaca televisyen semakin berkurangan.

Tidak menafikan dia kini memang semakin kurang bergiat aktif dalam bidang lakonan, Serina menjelaskan bahawa sekarang dia terpaksa lebih selektif dalam memilih setiap tawaran yang diterima.

"Kalau melihat kepada jadual harian saya, memang tak menang tangan dibuatnya. Jadi, itu yang menyebabkan aktiviti lakonan saya menjadi terhad dan saya akan menerima skrip dan watak yang sesuai sahaja," jelasnya.

Tidak abai

Memandangkan jadual hariannya yang begitu padat, timbul persoalan tentang bagaimana dia menjalankan tanggungjawabnya sebagai ibu kepada dua cahaya mata iaitu Tristen Tareef, 3, dan Isabella Saffiya, 2.

Tegas Serina, meskipun mengakui mempunyai masa yang terhad dalam menjalani kehidupan seharian tetapi dia tidak mengabaikan peranannya sebagai ibu dan isteri kepada Gavin Edward O'Luanaigh atau nama Islamnya, Salahudin Ghafar.

"Tidak dinafikan dengan kesibukan saya sepanjang hari pastinya akan membuatkan diri berasa letih. Namun begitu, keletihan itu akan hilang sekiranya berada di samping anak-anak tercinta.

"Biasanya dalam seminggu saya akan mengambil masa dua hari untuk bercuti. Waktu tersebut akan digunakan sebaik-baiknya untuk meluangkan masa bersama suami dan anak di rumah atau keluar berjalan-jalan bersama mereka," jelasnya.

Menurutnya, dia juga agak beruntung kerana mempunyai seorang suami yang cukup memahami kerjayanya sekarang dan memberi kebebasan buat dirinya untuk bekerja kuat.

"Suami memang mengizinkan saya untuk melakukan apa sahaja yang digemari. Cuma, dia ada berpesan supaya saya tidak sesekali melupakan peranan dalam kehidupan berumah tangga," ujarnya mengakhiri perbualan.

Salling saman syarikat insurans

Posted:

Salling saman syarikat insurans

Salling saman syarikat insurans


SALLING menyifatkan dirinya menjadi mangsa penipuan sebuah syarikat insurans.


BINTANG siri TV, Glee, Mark Salling dilaporkan telah memfailkan saman terhadap syarikat insurans kediamannya, State Farm Insurance.

Dia mendakwa syarikat tersebut telah menipunya dan gagal memberikan sokongan ketika dia didakwa di mahkamah atas tuduhan penderaan seksual pada awal tahun ini. Salling sebelum ini didakwa bekas kekasihnya, Roxanne Gorzela atas tuduhan memaksanya melakukan hubungan seks tanpa penggunaan kondom pada tahun 2011.

Salling bagaimanapun menafikan dakwaan Gorzela dengan mendakwa yang model majalah Playboy itu memasuki kediamannya di Los Angeles, California tanpa kebenaran sebelum menyerang dirinya pada dada, tangan dan muka.

"Bagaimanapun, sekarang ini, Mark (Salling) telah memfailkan saman terhadap syarikat insurans kediamannya, State Farm Insurance atas dakwaan gagal memberi sokongan kepadanya ketika dia menghadapi kes mahkamah dengan Roxanne Gorzela.

"Salling sehubungan itu menuntut ganti rugi daripada State Farm Insurance," ujar sumber kepada TMZ.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved