Isnin, 1 April 2013

Kosmo Online - Varia


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Varia


Lamb Ribs dapur Tony Roma's

Posted:

Lamb Ribs dapur Tony Roma's

Lamb Ribs dapur Tony Roma's

Oleh HAFIZ AHMAD

LAMB Ribs merupakan inovasi yang dicipta oleh anak tempatan.


KREATIVITI mencipta menu baharu, Lamb Ribs (tulang rusuk kambing) telah menobatkan restoran Tony Roma's Malaysia sebagai penerima Brand Innovation daripada pihak ibu pejabat restoran itu yang beroperasi di Florida, Amerika Syarikat. Kemenangan itu lebih bermakna apabila ciptaan tersebut bakal dimasukkan ke dalam menu Tony Roma's di seluruh dunia.

Anugerah itu merupakan hasil usaha bahagian Kajian Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) yang diketuai oleh Pengurus Operasi Tony Roma's Malaysia, Muhammad Adam Mah. Ia disampaikan melalui Ketua Pegawai Operasi Revenue Valley, Dickson Low ketika acara memperkenalkan menu itu kepada media di pusat beli-belah Sunway Pyramid, Petaling Jaya, Selangor.

Pengenalan menu baharu itu menunjukkan komitmen Tony Roma's Malaysia dalam memberi pengalaman berharga kepada penggemar restoran tersebut untuk merasai hidangan bertaraf antarabangsa.

Penciptaan hidangan itu merupakan lanjutan daripada kajian dijalankan oleh pihak pengurusan yang berpendapat tidak semua masyarakat di Malaysia dapat merasai keenakan menu terkenal mereka iaitu Beef Ribs (tulang rusuk lembu) atas dasar faktor agama.

Oleh kerana itu, resipi Lamb Ribs boleh dijadikan alternatif kepada pengunjung untuk memilih hidangan kambing dengan rasa signatur Tony Roma's.

Penciptaan Lamb Ribs melalui proses pembuatan yang panjang dan berliku memandang pihak pengurusan tidak mempunyai panduan daripada pihak atasan.

Sebagai pengemudi kumpulan tersebut, Adam melakukan kajian mendalam mengenai ramuan yang bersesuaian dan menepati cita rasa masyarakat Malaysia di samping masih mengekalkan ciri-ciri Tony Roma's.

"Kami melalui beberapa kesukaran ketika proses penciptaan. Ia merangkumi pemilihan konsep hingga menyesuaikan rasa yang boleh dihidangkan kepada semua kelompok masyarakat.


DICKSON (kiri) dan Muhammad Adam menunjukkan dua menu istimewa yang menjadi kegemaran pengunjung restoran Tony Roma's.


"Kami tidak mahu sekadar mencipta menu tambahan tetapi hidangan yang mampu mendapat perhatian daripada pengunjung tetap," ujar Muhammad Adam.

Pengiktirafan tersebut merupakan anugerah terbaharu diterima Tony Roma's Malaysia selepas membawa pulang Anugerah Operator Terbaik pada tahun 2008. Selain itu, mereka turut menerima Jenama Terbaik untuk Hidangan Kasual Amerika 2009 oleh Brand Laureate.

"Kemenangan yang diraih memberikan keyakinan bahawa kami berada di landasan yang betul.

"Tony Roma's Malaysia mempunyai kumpulan sokongan yang sangat berdedikasi dalam memastikan servis terbaik kepada setiap pelanggan di restoran," ujar Dickson.

Sebelum ini, Lamb Ribs merupakan antara hidangan mendapat undian tinggi ketika kempen The Best Ribs Election Showdown yang diadakan baru-baru ini.

"Keputusan yang diperoleh melalui kempen tersebut telah membuka ruang kepada kami untuk mengembangkan lagi pasaran melalui pengenalan menu Lamb Ribs," jelas Dickson.

Bida tudung eksklusif rekaan Siti Nurhaliza

Posted:

Bida tudung eksklusif rekaan Siti Nurhaliza

Bida tudung eksklusif rekaan Siti Nurhaliza

SELAIN membuat persembahan, Siti Nurhaliza juga akan melelong lukisan dan dua helai tudung yang direkanya sendiri.


DUA hari lagi majlis Malam Amal Tahajjud Cinta akan berlangsung dengan penuh gemilang di Hotel Grand Hyatt Kuala Lumpur.

Sehingga hari ini lebih daripada 75 peratus meja telah terjual berikutan respons positif daripada para peminat penyanyi tersohor negara, Datuk Siti Nurhaliza Tarudin dan warga korporat yang prihatin.

Pada Malam Amal Tahajjud Cinta itu, Siti Nurhaliza akan mengadakan persembahan istimewa yang bertemakan kerohanian dan ketuhanan.

Lagu-lagu yang bakal didendangkan adalah repertoire daripada album Tahajjud Cinta (2009) dan juga lagu-lagu saduran dengan interpretasi ketuhanan.

Kesemua lagu-lagu tersebut disusun semula oleh Aubrey Suwito dan akan diiringi dengan muzik oleh Mohram.

Malam Amal Tahajjud Cinta direalisasikan bagi mengumpul dana buat dua pertubuhan kebajikan iaitu Yayasan Aids Malaysia dan Yayasan Ihtimam Malaysia.

Menurut Timbalan Pengerusi Malam Amal Tahajjud Cinta yang juga Selebriti Sokongan Riben Merah Yayasan Aids Malaysia, Fahrin Ahmad, sasaran kutipan yang diharapkan melalui majlis tersebut adalah sebanyak RM300,000.

"Selain konsert utama Siti Nurhaliza dan Mohram, pada malam tersebut akan berlangsung pelbagai acara lain antaranya pameran lukisan karya pelukis terkenal, Abdul Rahman Sulaiman, persembahan penyanyi, Bob Yusof dan pertunjukan koleksi terbaharu tudung Fareeda.

"Selain itu turut diadakan lelongan empat barangan berupa dua lukisan termasuk satu potret Siti Nurhaliza serta dua helai tudung yang direka sendiri penyanyi nombor satu negara itu," kata Fahrin yang akan bertindak sebagai hos pada majlis tersebut.

Bina rumah perlindungan

Tambahnya, Yayasan Aids Malaysia telah pun mendapat pembeli yang bersedia membida tudung-tudung berkenaan pada malam tersebut dengan harga bidaan bermula pada RM1,000 sepasang.

Pembida yang berjaya bukan sahaja boleh membawa pulang tudung tersebut malah, mereka layak menerima resit pengecualian cukai yang diiktiraf oleh Jabatan Perdana Menteri.


FAREEDA menjalankan pelbagai program tanggungjawab sosial untuk membalas kembali sokongan masyarakat terhadap jenama tudung itu.


"Dana yang dikumpulkan pada Malam Amal Tahajjud Cinta itu akan dimanfaatkan sebaiknya.

"Yayasan Aids Malaysia serta Yayasan Ihtimam Malaysia akan menjalin kerjasama untuk menubuhkan sebuah rumah perlindungan untuk wanita dan kanak-kanak yang hidup dengan HIV dan AIDS di negeri Kelantan," jelasnya.

Dalam pada itu, menurut jurucakap Fareeda yang juga Pengurus Pemasaran dan Jualan Fareeda, Mawar Abdul Karim, setiap hadirin malam berkenaan tidak akan pulang dengan tangan kosong.

"Pihak Fareeda akan memberikan buah tangan istimewa buat hadirin di semua meja terutamanya meja utama.

"Ia sebagai penghargaan buat hadirin yang sanggup datang dan membantu mengisi dana melalui pembelian meja-meja sekali gus memberikan harapan baharu buat golongan yang hidup dengan HIV dan AIDS ini," katanya sambil berharap lebih banyak syarikat korporat tampil membantu golongan kurang bernasib baik di negara ini.

Pengurus Besar Grand Hyatt Kuala Lumpur, Robert Dallimore amat berbesar hati apabila diberikan peluang untuk terlibat sama dalam inisiatif amal yang dapat meringankan beban golongan yang hidup dengan HIV dan AIDS.

Bagi mereka yang berminat untuk menyertai majlis makan malam amal tersebut, penjualan meja masih dibuka kepada umum.- NURUL IZZA ROSLY

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved