Isnin, 1 April 2013

Kosmo Online - Sukan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Sukan


Liverpool benam Aston Villa

Posted:

Liverpool benam Aston Villa

Liverpool benam Aston Villa

GERRARD menjaringkan gol kemenangan 2-1 Liverpool ke atas Aston Villa di Stadium Villa Park, Birmingham, England malam tadi.


BIRMINGHAM, United Kingdom – Liverpool bangkit daripada ketinggalan untuk menewaskan Aston Villa 2-1 pada aksi Liga Perdana England yang menghiburkan di Villa Park malam tadi.

Pada perlawanan tersebut, Christian Benteke meletakkan pasukan tuan rumah di depan pada minit ke-31 tetapi Jordan Henderson berjaya mengikat kedudukan 1-1 dua minit selepas rehat.

Pemain tengah England, Steven Gerrard muncul wira apabila menyumbat gol kemenangan skuad bimbingan Brendan Rodgers itu menerusi satu sepakan penalti pada minit ke-60.

Rodgers membuat empat pertukaran pemain selepas skuad The Reds tewas 1-3 kepada Southampton pada pertemuan sebelum ini dengan menyenaraikan penjaga gol, Jose Reina, Jamie Carragher, Lucas Leiva dan Henderson.

Kemenangan itu mencerahkan peluang skuad The Reds untuk menamatkan saingan liga dalam kelompok enam pasukan terbaik musim ini.

Ketika ini, Liverpool menghuni tangga ketujuh liga selepas mengumpul 48 mata manakala anak-anak buah Paul Lambert berada dalam zon penyingkiran setelah menduduki tangga ketiga tercorot (30 mata).

Bagaimanapun, Liverpool hanya ketinggalan lima mata di belakang Arsenal yang menghuni tangga keenam dalam pemburuan slot ke pertandingan Liga Europa musim depan.

"Karakter kami sangat menakjubkan hari ini (malam tadi).

"Kami bermain dengan baik pada babak pertama tetapi kami melakukan kesilapan dan dihukum Benteke. Kami mencipta beberapa peluang pada separuh masa pertama.

"Pada babak kedua, kami meningkatkan tempo permainan, kami menyerang dan bertahan dengan baik. Ia adalah satu kemenangan yang penting buat kami," kata Rodgers. – Agensi

Guiza tinggalkan Johor DT?

Posted:

Guiza tinggalkan Johor DT?

Guiza tinggalkan Johor DT?

Oleh MAZLINA ABDUL MAJID
mazlina.majid@kosmo.com.my

SELEPAS pemain import, Simone Del Nero sah akan meninggalkan Johor Darul Takzim (Johor DT), kini rakan sepasukannya iaitu bekas pemain kelab Liga Sepanyol, Daniel Gonzales Guiza, 32, difahamkan bakal mengikut jejak langkah sama.

Kedua-dua pemain itu dikatakan akan meninggalkan negara ini untuk mencari hala tuju baharu sebaik pintu perpindahan pemain dibuka April ini.

Guiza menjadi penyelamat kepada pasukan berstatus bintang itu apabila menyumbang dua gol untuk membantu Johor DT menewaskan Terengganu 3-2 dalam satu aksi yang penuh mendebarkan di Stadium Tan Sri Dato' Haji Hassan Yunos, Larkin, Johor kelmarin.

Bagaimanapun, pemain yang pernah menyarung jersi Real Mallorca dan La Roja itu tidak meraikan gol kemenangan yang dijaringkan pada minit ke-36 dan 45 meskipun lebih 30,000 penyokong bersorak serta menyanyikan lagu untuknya.

Sekiranya spekulasi itu benar, ini bermakna Guiza atau Del Nero akan memberikan aksi terakhir mereka bersama skuad Harimau Selatan itu pada perlawanan suku akhir pertama Piala FA menentang Selangor di Johor, 6 April ini.

Kosmo! difahamkan, pengganti Del Nero ialah pemain yang berasal dari Brazil, Andre Francisco yang kini beraksi bersama pasukan Johor FA dalam Liga Perdana.

Selain Francisco, tiga pemain lain dari Johor FA yang akan diserapkan dalam skuad kendalian Fandi Ahmad ialah Farid Ramli, Nazri Ahmad dan Jasazrin Jamaludin.

Antara pemain Harimau Selatan yang akan dilepaskan adalah Ezaidy Khadar, K.Sathiya dan Faizal Mansor.

Bagi pengganti Guiza pula, Kosmo! difahamkan seorang pemain dari Brazil dan seorang lagi dari Argentina telah tiba di Johor Bahru kelmarin untuk diuji.

Status LTdL cetus tanda tanya

Posted:

Status LTdL cetus tanda tanya

Status LTdL cetus tanda tanya


LTdL kini sangat diminati oleh pasukan profesional dari seluruh dunia.


TERLEBIH dahulu saya mahu mengucapkan tahniah atas anugerah kali kedua yang diterima Datuk daripada badan induk lumba basikal dunia bagi tempoh dua tahun. Tahun lalu, Datuk menerima anugerah Merit UCI (Kesatuan Lumba Basikal Antarabangsa). Bulan lalu pula, Datuk menerima anugerah Merit ACC (Persekutuan Lumba Basikal Asia).

Apa perasaan Datuk dengan penganugerah tersebut?

Sebenarnya saya berkhidmat secara ikhlas demi meningkatkan mutu basikal di negara ini. Alhamdulillah...Malaysia kini sudah dianggap antara kuasa besar berbasikal di Asia malah pelumba elit negara seperti Azizulhasni Awang, Josiah Ng dan Fatehah Mustapa telah dilabel pelumba kelas dunia. Bagaimanapun, perkara itu bukannya terjadi sekelip mata. Ia dijelmakan menerusi kerja keras bertahun-tahun lamanya. Terlalu banyak pengorbanan yang berlaku sepanjang tempoh tersebut. Pada masa yang sama, saya juga membantu negara-negara lain di rantau Asia Tenggara seperti Laos dan Indonesia ketika mereka mahu anjur Sukan SEA 2009 dan 2011. Ketika ini pula saya sedang membantu Myanmar yang akan jadi tuan rumah Sukan SEA 2013. Bagaimanapun, semua itu saya buat secara ikhlas kerana saya terlalu sayangkan basikal

BERCAKAP tentang penganjuran LTdL 2013, sebagai penasihat LTdL 2013, bagaimana Datuk melihat kualiti pertandingan pada edisi tahun ini?

Ia perlumbaan yang hebat dan berkualiti tetapi fikiran saya lebih terjurus ke arah satu fakta. LTdL kini sangat diminati oleh pasukan profesional. Buktinya LTdL 2013 disertai oleh lima pasukan profesional iaitu Garmin Sharp, Astana Pro Team, Orica GreenEdge, Blanco Pro Cycling Team dan Omega Pharma-Quick-Step Cycling Team.

Selain itu, enam pasukan profesional benua termasuk Team Europcar turut ambil bahagian, malah Team Europcar membawa RoIland Pierre pemenang perlumbaan peringkat Jelajah Perancis. Ia satu fakta menarik. Maklum balas yang kami terima menyatakan sesetengah perlumbaan peringkat pada LTdL 2013 sudah pun menyamai kelajuan perlumbaan di Eropah. Ini bagus untuk pasukan lebuh raya Malaysia.

NAMUN Datuk, ada yang beranggapan kita cuma gah menganjurkan perlumbaan tetapi prestasi pelumba negara tergadai? Datuk terima pandangan itu?

SEBENARNYA ramai terlupa. Kalau kita menggabungkan bajet lima pasukan profesional tersebut, mungkin kita boleh berbelanja selama 100 atau 150 tahun untuk pasukan kebangsaan. Pada 2012, bajet pasukan Astana adalah sekitar 15 juta euro (sekitar RM60.59 juta). Data audit ini dilakukan oleh Ernst & Young. Firma itu adalah salah satu daripada firma akauntan profesional terbesar di dunia. Kalau dunia bola sepak ada istilah The Big Four, Ernst & Young juga masuk dalam kelompok The Big Four selain Deloitte, KPMG dan PricewaterhouseCoopers (PwC). Namun, biar saya permudahkan lagi. Sebenarnya penyertaan pasukan profesional dan profesional benua adalah umpama Real Madrid, Manchester United, Barcelona, Paris Saint-Germain (PSG) atau AC Milan dalam satu pertandingan bola sepak yang dianjurkan oleh Malaysia. Meyakinkan pasukan profesional untuk datang sertai LTdL itu sudah satu kejayaan yang amat besar.

APA pun, ramai peminat yang hampa dengan kejayaan pelumba Malaysia. Mereka mahu lihat pelumba negara naik podium. Malangnya impian mereka tidak kesampaian. Secara peribadi, Datuk tidak kecewa dengan prestasi pelumba negara?

LEBIH baik kita perah otak kita untuk sesuatu yang jelas dan terbuka. Misalnya kita ambil aspek pemecut. Apabila kita hantar jemputan dan pasukan bersetuju untuk datang, mereka pasti akan melihat profil serta jenis perlumbaan LTdL 2013. Apabila lapan perlumbaan peringkat adalah laluan landai, sudah pasti masing-masing menghantar pemecut yang berkualiti. Kita andaikan masing-masing menghantar sekurang-kurangnya dua atau tiga pemecut berkualiti. Namun pasukan seperti Androni Giocattoli lebih berminat untuk menakluk Genting Highlands. Jadi setiap pasukan ada strategi tersendiri. Ada yang datang untuk menang Jersi Kuning (juara keseluruhan). Ada yang datang untuk menang seberapa banyak perlumbaan peringkat. Ini kerana bukan semua pelumba boleh menang Tour de France. Jadi strategi yang sama juga dipraktikkan pada LTdL. Kadangkala mereka terpaksa tukar taktik Pelan A kepada Pelan B andainya sasaran sebenar tidak boleh dicapai. Oleh itu, apabila pelumba Malaysia khususnya Mohd. Adiq Hussainie Othman, Anuar Manan, Mohd. Harrif Salleh, Mohd. Nor Rizuan Zainal dan Zulhilmie Afif Ahmad Zamri berjaya menduduki kelompok 10 teratas, 15 teratas mahupun 20 teratas, ia adalah satu kejayaan yang baik. Bayangkan pelumba Malaysia iaitu Mohd. Nor Rizuan Zainal dan Zulhilmie Afif Ahmad Zamri yang hanya dapat elaun bulanan RM500 (kalau termasuk elaun makan RM1200, bermakna mereka hanya dapat gaji sebulan RM1700) berjaya menyaingi seorang pelumba yang bergaji RM1,100,000 setahun (gaji purata tahunan seorang pelumba Astana mengikut data UCI 2012).

PEMINAT percaya PKBM memandang mudah LTdL 2013 dan tiada sasaran untuk menang. Apakah Datuk bersetuju dengan peminat?

APABILA kita menentang lima pasukan profesional, enam pasukan profesional benua dan sembilan pasukan benua, saya bertanyakan sasaran realistik kepada Aminuddin Sulaiman (jurulatih skuad lebuh raya Malaysia). Kita umpama tikus di celahan gajah yang besar tetapi Aminuddin menegaskan sasaran terbaik adalah kita tidak mempamerkan prestasi buruk di Genting Highlands. Perlu kita tegaskan bahawa pelumba negara meningkat secara perlahan-lahan. Kini telah ada pelumba yang berkayuh untuk pasukan profesional benua, Champion System Pro Cycling Team iaitu Adiq Hussainie manakala Anuar mewakili Synergy Baku Cycling Project. Itu tidak termasuk pelumba Terengganu Cycling Team (TSG). Senario itu tidak berlaku pada era zaman 1980-an dan 1990-an. Ini bermakna basikal Malaysia telah melalui evolusi perubahan yang besar seiring dengan kejayaan LTdL sendiri.

WALAUPUN ada peningkatan prestasi tetapi nampaknya kita masih gagal di Genting Highlands. Apa masalah sebenarnya?

INILAH satu hakikat harus saya akui bahawa kita belum mampu mencari mencari pendaki berkaliber. Namun, Adiq Hussainie berjaya merakam satu masa yang bagus. Begitu juga dengan Saufi (Mat Senan). Mohd Fauzan (Ahmad Lufti) muncul pelumba ketiga terbaik tempatan. Saya belum mahu mengibar 'bendera putih'. Saya berjanji akan mengenakan satu syarat khas kepada Aminuddin supaya mengenal pasti pendaki terbaik untuk LTdL 2014.

EVOLUSI itu juga tidak disedari peminat berbasikal tempatan pada LTdL 2013. Apa penjelasan Datuk kepada peminat?

MUNGKIN mereka menyangkakan Anuar atau Harrif akan menang mudah tetapi dengan kehadiran lima pasukan profesional, corak dan suasana perlumbaan akan berubah. Mereka (pasukan Pro-Tour) akan kawal sepenuhnya tempo kayuhan dan perlumbaan. Merekalah yang sebenarnya menguasai perlumbaan. Ini adalah hakikat dan realiti sebenar dalam dunia perlumbaan. Andrea Guardini datang dengan reputasi pemecut pasukan profesional. Jadi kalau setiap pasukan profesional ada sekurang-kurangnya dua pemecut berkualiti, bermakna ada 10 pelumba yang berkemungkinan akan menang perlumbaan peringkat landai. Itu tidak termasuk pemecut dari pasukan profesional benua lagi. Jadi PKBM sangat berpuas hati dengan pencapaian pemecut negara. Sekurang-kurangnya mereka tidak berasa rendah diri untuk bersaing dengan pelumba profesional.

KHABARNYA Kementerian Belia dan Sukan (KBS) berpuas hati dengan pencapaian pelumba tempatan. Boleh Datuk perjelaskan lagi perkara itu?

KBS berperanan sangat besar dalam perkembangan evolusi sukan berbasikal di Malaysia. Carta perkembangan disiplin lebuh raya berkembang dengan pesat sejak KBS mula menyalurkan dana pembangunan kepada PKBM. Apabila kita telah mampu mengumpul lebih daripada enam pelumba berkualiti, KBS mencadangkan supaya lebihan tersebut diberikan kepada pasukan lain. Penubuhan TSG dipermudahkan oleh KBS sendiri. Kami dengan hati terbuka melepaskan pelumba kebangsaan untuk menyertai TSG atas restu KBS sendiri. KBS sangat bangga dengan semangat juang pelumba kebangsaan yang dilihat kerdil daripada segi bajet tahunan tetapi mampu untuk menyaingi pelumba pasukan Pro-Tour.

AGAK menarik sepanjang LTdL 2013, tersebar cerita apabila ada sebuah syarikat tempatan berminat untuk mengambil alih pengurusan LTdL. Adakah PKBM selaku penganjur sedia ada dikatakan tidak efisien. Adakah Datuk bersetuju dengan dakwaan itu?

SEJAK PKBM menjadi penganjur LTdL mulai 2007, kami telah menerima Sijil Pengiktirafan daripada UCI pada 2010, 2011 dan 2012. Ini adalah bukti terbaik bahawa UCI mengiktirafan pengurusan LTdL. Paling hebat ialah LTdL dijayakan sepenuhnya 100 peratus oleh tenaga tempatan.

DIFAHAMKAN ada yang menyokong penuh idea mahukan syarikat tersebut dilantik sebagai penganjur baharu LTdL 2014. Selaku pihak yang memegang hak penganjuran LTdL, apa pendirian Datuk ketika ini?

SECARA teknikalnya, PKBM adalah penganjur berdaftar LTdL dalam rekod UCI. Perlumbaan tersebut bertaraf Hors Classe dan UCI membenarkan kita mengadakan 10 perlumbaan peringkat. Pada masa yang sama, KBS adalah rakan kerjasama PKBM. Mereka (KBS) menyalurkan bantuan kewangan manakala PKBM memudahkan aspek teknikal seperti pegawai komisar. Jadi kalau ada pihak yang mahu menukar penganjur LTdL, nampaknya mereka perlu bermula daripada bawah. Saya takut selepas ini ada berpuluh syarikat lain turut berminat untuk memohon jadi penganjur LTdL kerana sangka boleh dapat untung besar.

MAKSUDNYA jika LTdL 2014 bertukar penganjur, mereka pun bermula daripada kategori 2.2. Apakah benar perkara ini?

SAYA telah berbincang secara panjang lebar tentang perkara ini ketika bertemu Pat McQuaid (Presiden UCI) pada Kongres ACC di New Delhi, India bulan lalu. Beliau telah mengesahkan bahawa LTdL 2014 akan terjatuh kepada status 2.2 kalau bertukar penganjur. Mereka juga akan melihat dan mengkaji dengan teliti track record syarikat terbabit yang berminat menganjurkan LTdL.

Cuba kita lihat penganjuran Tour de Borneo (TdB), arahan UCI adalah sangat jelas. Semua perlumbaan yang mahu diadakan di sesuatu negara, mestilah menerima endorsement daripada badan induk kebangsaan iaitu PKBM. Jadi pada peringkat awal, kita memberikan nasihat kepada pengurusan TdB berdasarkan manual peraturan pertandingan UCI. Maksudnya, TdB harus bermula dengan menganjurkan perlumbaan kategori 2.2 dan lima perlumbaan peringkat. Hanya Jelajah Malaysia sahaja yang menerima keistimewaan daripada UCI iaitu kita buat enam perlumbaan peringkat walaupun ia kejohanan bertaraf 2.2. Ini adalah kerana UCI telah mempercayai kepakaran PKBM dan kita telah mula menganjurkan Jelajah Malaysia pada tahun 1963.

ADAKAH syarikat tersebut boleh membuat short cut dan terus berunding dengan UCI untuk menganjurkan LTdL?

SETAHU saya PKBM adalah ahli gabungan UCI. Kami adalah sebuah persatuan yang berintegiriti tinggi dan mempunyai hak istimewa untuk mengundi Presiden UCI. Rasanya ada kemungkinan mereka boleh berhubung dengan UCI tetapi akhirnya akan diminta berurusan semula dengan PKBM.

ADAKAH PBKM tidak bersedia untuk memberi laluan kepada syarikat tempatan tersebut bagi memastikan mereka dilantik sebagai penganjur LTdL 2014?

BIAR saya beri satu lagi kajian perbandingan. Malaysia telah diberikan hak penganjuran Formula Satu (F1). Bukan mudah untuk menerima hak penganjuran F1. Singapura bertungkus lumus untuk meyakinkan FIA (Persekutuan Automobil Antarabangsa). Setelah bertahun lamanya melobi FIA, pada 2008 barulah Singapura berjaya menganjurkan F1. Singapura ketinggalan hampir sembilan tahun di belakang Malaysia.

Kita balik semula kepada LTdL, ia bermula pada 1996. Ia adalah satu kebanggaan kepada kita semua. Ini kerana bukan semua negara di Asia selain China yang mampu dan dipilih untuk menganjurkan perlumbaan berstatus Hors Classe. Kalau kita tukar penganjur, UCI akan turunkan semula status LTdL. Ini kerana UCI akan mengkaji semula latar belakang penganjur. Syarikat tersebut adalah penganjur baharu dan sudah semestinya UCI akan mengklasifikasikan LTdL 2014 sebagai perlumbaan berstatus 2.2 dalam kalendar Jelajah Asia UCI. Sayang sekali kalau kita benarkan senario itu berlaku.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved