Selasa, 5 Mac 2013

Kosmo Online - Rencana Utama


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Rencana Utama


Teknologi perlu selari dengan naratif

Posted:

Teknologi perlu selari dengan naratif

Teknologi perlu selari dengan naratif

TULANG belakang di sebalik pembikinan grafik filem Life Of Pi. Dari kiri, Choon Xuan, Nor Faisal dan Woon Bing.


PENGANJURAN anugerah Oscar kali ke-70 menjadi detik bersejarah kepada sutradara Ang Lee, apabila filem arahannya, Life of Pi, melayakkannya menerima Anugerah Pengarah Terbaik.

Kemenangan yang diraih pengarah kelahiran Pingtung, Taiwan itu perlu adalah atas dasar keunggulan orang Asia sehingga mendapat pengiktirafan tertinggi dalam industri perfileman dunia tersebut.

Kegembiraan itu juga harus disambut girang oleh rakyat Malaysia kerana filem berkenaan turut mendapat sentuhan kreatif daripada warga tempatan, khususnya dalam penciptaan magis seni grafik dan pengimejan digital.

Filem adaptasi novel nukilan Yann Martel itu melayari survival hidup watak Piscine Molitor Patel atau Pi apabila terdampar di tengah-tengah Lautan Pasifik bersama empat ekor binatang yang sepatutnya dipindahkan dari zoo milik bapanya.

Dalam mendalami konflik kerohanian Pi yang tercari-cari pedoman hidupnya, penonton filem tersebut juga disajikan keindahan sinematografi dan imej janaan komputer (CGI) yang terhasil daripada kecanggihan teknologi terkini.

"Sukar untuk memilih secara spesifik akan babak dan grafik yang menarik kerana hampir kesemuanya menampilkan kehalusan seni dan teknologi hingga menghampiri kesempurnaan, ibarat difilemkan secara langsung bukan sekadar mainan digital.

"Sebagai contoh, babak seekor ikan paus yang menjulang tinggi di permukaan laut sehingga dapat dirasai percikan butiran-butiran air," imbas peminat filem teknologi CGI, Kamaruddin Razal, 24.

Tambah Kamaruddin, filem terakhir yang mempunyai teknik CGI terbaik pernah ditonton adalah melalui karya pengarah tersohor, Steven Spielberg iaitu Avatar.

Anugerah utama Oscar

Kehebatan grafik Life of Pi berjaya menggondol dua lagi anugerah utama Oscar menerusi kategori Sinematografi Terbaik dan Efek Visual Terbaik.

Segala pujian yang melambung tinggi tidak tercipta semalaman kerana usaha yang dilakukan di sebalik kejayaan itu melebihi kesanggupan nurani manusia biasa.

"Bayangkan kami berkampung selama lapan hingga 10 bulan untuk menghasilkan grafik yang menyerupai jisim sebenar," imbas pereka teknikal penyediaan latar belakang (Bg Prep TD), Tan Choon Xuan, 25.


FILEM Life Of Pi berjaya mendapat kutipan yang tinggi dan memenangi anugerah di festival-festival filem.


Menurutnya, segala kerumitan proses itu perlu dilalui walaupun untuk babak yang hanya berlangsung selama seminit daripada keseluruhan cerita.

"Itulah keistimewaan dunia multimedia," ujarnya berseloroh.

Begitupun tambah graduan Universiti Teknologi Kreatif Limkokwing itu, semua keperitan mereka hilang selepas filem tersebut dipertonton kepada umum.

Choon Xuan adalah antara 44 orang artis digital yang membawa nama Malaysia dalam pembikinan grafik janaan komputer. Mereka semua bernaung di bawah syarikat antarabangsa, Rhythm & Hues Studios, berpangkalan di Los Angeles, Amerika Syarikat.

Kerja-kerja pembikinan dibahagikan kepada lima lagi cawangan iaitu di Mumbai dan Hyderabad, India; Vancouver, Kanada; Kaohsiung, Taiwan dan Malaysia yang terletak di Cyberjaya.

"Proses penggambaran banyak dilakukan dalam tangki air bersaiz besar. Salah satu tugas kami adalah membuang latar belakang tersebut dan menggantikan ia dengan pemandangan bersesuaian menggunakan perisian komputer," kata seorang lagi bakat yang bertindak sebagai Bg Prep TD, Nor Faisal Abdullah, 28.

Ketelitian kerja

Tambah Nor Faisal, pembikinan filem stereoskopik 3D memerlukan tata kerja yang sangat teliti kerana mahu menghidupkan watak ciptaan menggunakan teknologi komputer.

"Sebagai contoh, ketika babak Pi dikejar oleh harimau, kami perlu membuang percikan air yang tidak perlu dan babak itu sahaja memerlukan tiga orang pereka menghasilkannya," jelas pelajar Universiti Multimedia itu.

Bagi pereka teknikal yang pakar dalam matchmove dan pergerakan kamera, Chang Woon Bing, 26, cabaran paling getir adalah ketika membuat babak ikan-ikan berterbangan.

Perincian tepat perlu dibuat melalui pergerakan kamera fizikal yang selari dengan parameter dan kamera digital sebelum dipadankan dalam perisian.

"Pada masa sama, babak tersebut mesti bersesuaian dengan efek yang ditambah," ujar Woon Bing.

Walau hanya merangkumi tujuh peratus grafik dalam filem itu, ketiga-tiga mereka tetap gembira dan berpuas hati kerana hasil kerja tersebut telahpun ditonton seluruh dunia. Nama mereka turut terpatri bersama kejayaan filem tersebut.

"Bekerja dengan syarikat antarabangsa merupakan detik berharga kepada saya. Banyak pengalaman ditimba merangkumi cara kerja berbeza ketika berada di syarikat lokal.

Di Rhythm & Hues, persaingan secara sihat adalah perkara biasa kerana ia merupakan cabaran untuk melakukan yang lebih baik," ujar Nor Faisal.

Choon Xuan menambah, bekerja dalam organisasi besar menambah keyakinan dirinya kerana perlu berinteraksi dalam kumpulan yang ramai.

"Sebelum ini saya lebih suka membuat kerja secara bersendirian. Selepas memasuki syarikat ini, saya perlu bekerjasama bersama tenaga kerja lain. Kami saling membantu dan berkongsi kepakaran masing-masing," katanya.

Pembukaan Rhythm & Hues di Cyberjaya bermula pada tahun 2009 dengan kapasiti pekerja sehingga kini menghampiri 140 orang. Pengurus Senior, Hasnul Hadi Samsudin berkata, hampir 95 peratus merupakan warga Malaysia yang melakukan kerja-kerja sama seperti cawangan lain.

"Saya boleh katakan, bakat anak-anak muda tempatan kita sudah meningkat pada satu tahap yang tinggi kerana penglibatan mereka dalam projek-projek besar.

Setakat ini, mereka telah melakukan 18 buah projek dan beberapa lagi filem yang sedang dalam proses pos-produksi," ujar Hasnul.


BABAK di tengah-tengah lautan banyak dilakukan dalam sebuah tangki besar.


Antara filem dihasilkan oleh pekerja di Malaysia termasuklah Hunger Games, X-Men First Class dan Bourne Legacy.

Kongsi kemahiran

Kepakaran dan kecanggihan teknologi yang ada turut dikongsi bersama badan-badan korporat dan institusi pengajian tempatan.

"Salah satu aktiviti yang kami lakukan adalah mengadakan sesi latihan selama tiga bulan kepada mereka yang ingin bekerja dalam syarikat. Mereka akan didedahkan dengan cara kerja Rhythm & Hues, malah penyerapan kerja diberikan kepada yang layak.

"Pada masa sama, kami turut mengadakan program pendidikan fakulti yang terbuka kepada pelajar dan pensyarah dari institusi pengajian tempatan. Mereka akan melihat dan merasai sendiri proses pembikinan grafik atau animasi oleh artis digital kami.

"Kami lakukan semua aktiviti ini untuk membantu industri perfileman dan multimedia berkembang selaras dengan kemajuan teknologi," ujar Hasnul.

Buat masa ini, tambah Hasnul, mereka tidak mengadakan kerjasama dengan mana-mana syarikat penerbitan filem tempatan kerana berasa kurang adil kepada studio grafik di negara ini.

"Lagipun, kami mempunyai beberapa projek sendiri di samping kekangan masa dan tenaga tidak mengizinkan syarikat menerima pelawaan mereka," jelasnya.

Mujur ada usaha daripada anak watan untuk memperjuangkan bakat dan kepakaran grafik tempatan di bawah jenama lokal.

Kesungguhan itu boleh dilihat menerusi terbinanya KRU Studio Sdn. Bhd. yang dikendalikan oleh tiga adik-beradik iaitu Norman, Yusri dan Edry Abdul Halim. Melalui syarikat itu, mereka telah menghasil beberapa filem menggunakan teknologi animasi dan grafik seperti Cicakman, Hikayat Merong Mahawangsa dan 29 Februari.

Nasib pelombong kanak-kanak

Posted:

Nasib pelombong kanak-kanak

Nasib pelombong kanak-kanak


INDUSTRI melombong arang batu di Meghalaya banyak menggunakan tenaga kerja remaja bawah umur kerana kos yang lebih murah.


SANJAY CHHETRI, 13, mempunyai perasaan takut yang sering bertandang di dalam fikirannya. Dia takut suatu hari nanti, lombong yang gelap dan lembap di Rymbai, India iaitu tempat dia bekerja akan runtuh lalu menimbusnya hidup-hidup.

Sama seperti beribu-ribu kanak-kanak lain di pedalaman timur laut India, jadual kerja Chhetri bermula pada tengah malam. Dia akan menggali lubang, merangkak melalui terowong sempit dan memotong serpihan batu arang.

Dengan ketinggian 137 sentimeter (sm) dan tubuh yang kurus kering, kerja tersebut adalah pilihan yang sesuai untuknya. Ia sebuah industri yang amat menguntungkan di negeri Meghalaya.

Lubang-lubang yang kurang sempurna di lombong batu arang itu terlalu kecil untuk kebanyakan orang dewasa untuk memasukinya.

Setiap hari, Chhetri melalui beberapa laluan bertangga yang licin dalam lorong gelap sambil membawa dua buah beliung dengan lampu suluh terpasang di kepala.

Walaupun sudah tujuh bulan bekerja, dia masih lagi melangkah dengan berhati-hati supaya tidak terjatuh ke dalam lubang yang mempunyai kedalaman 50 meter itu.

Sebaik dia sampai di dasar, Chhetri mencangkung serendah yang boleh dan menyusup ke dalam lubang dengan ketinggian 61 sm sambil membawa gerabak kosong di belakangnya.

Di situlah mimpi ngeri remaja itu bermula.

"Amat menakutkan untuk membayangkan bumbung ini runtuh di atas saya ketika bekerja," katanya.

Selepas 12 jam bekerja, Chettri akan menerima 200 rupee (RM12.40) untuk sehari bekerja, lebih banyak berbanding ibu bapanya yang bekerja sebagai buruh di ibu negeri, Shillong.

Anak lelaki sulung daripada 10 beradik itu terpaksa meninggalkan dunia persekolahan dua tahun lalu apabila keluarganya tidak lagi mampu membayar yuran.

"Kerja ini amat sukar, saya bersusah- payah menarik keluar gerabak yang saya penuhkan dengan batu arang," luahnya.

Dia kelihatan menggigil dalam jean yang kotor dengan kesan batu arang dan berselipar mendedahkan kaki yang berkedut. Kakinya nampak seperti orang tua.

Kata Chhetri, ibu bapanya sering memintanya bekerja dengan mereka, tetapi dia belum bersedia untuk meninggalkan lombong itu.

"Saya perlu menyimpan duit, jadi saya boleh sambung belajar semula. Saya rindu dengan rakan-rakan, malah masih terbayang alam persekolahan. Saya juga mempunyai impian," ceritanya lagi.

Pengurus lombong, Kumar Subba berkata, kanak-kanak seperti Chhetri muncul beramai-ramai di luar lombong batu arang Meghalaya untuk memohon kerja.

"Budak-budak baharu sering muncul di sini dan mereka tipu mengenai usia. Katanya sudah berumur 20 tahun tetapi dengan hanya melihat wajah sudah mengetahui mereka terlalu muda," ujarnya.


BURUH kanak-kanak menggali lubang-lubang kecil untuk melombong yang dikenali sebagai teknik melombong lubang tikus.


Tangga lombong

Surya Limu yang mempunyai wajah keanak-anakan merupakan antara pekerja baharu yang menyertai kumpulan Subba di kampung Rymbai.

Limu mendakwa berusia 17 tahun dan meninggalkan negaranya, Nepal untuk ke Meghalaya selepas bapanya mati dalam tragedi kebakaran. Bapanya meninggalkan seorang balu dan dua orang anak.

Tidak seperti rakan sekerja lain yang lebih berpengalaman, Limu bergerak terlalu perlahan menuruni tangga lombong yang berbahaya.

Wajahnya yang lembut itu jelas membayangkan kepayahan yang ditanggung.

"Sudah tentu saya rasa takut, tetapi apa yang boleh saya buat? Saya memerlukan duit, apa cara lagi yang membolehkan saya terus hidup?" keluhnya.

Buruh kanak-kanak secara rasmi diharamkan di India dengan beberapa negeri mengadakan undang-undang sesiapa mengaji pekerja bawah 18 tahun di industri berbahaya merupakan kesalahan tidak boleh diikat jamin.

Lebih-lebih lagi, Akta Lombong India 1952 melarang syarikat-syarikat batu arang menggaji sesiapa sahaja bawah 18 tahun bekerja di dalam lombong.

Bagaimanapun, Menghalaya dikecualikan kerana status istimewanya sebagai negeri timur laut yang memiliki populasi puak-puak tradisonal.

Itu bermakna, sesetengah sektor seperti perlombongan, undang-undang kelaziman melangkaui peraturan kebangsaan.

Pemilik lombong boleh menggali tanah untuk batu arang di negeri tersebut dan undang-undang kelaziman tidak memerlukan mereka menyediakan langkah-langkah keselamatan di tempat kerja.

Menurut badan sukarela berpangkalan di Shillong, Impulse NGO Network, kira-kira 70,000 kanak-kanak kini bekerja di lombong-lombong di Meghalaya dengan beberapa ribu lagi bertugas di depoh batu arang.

"Pemilik lombong mendapati lebih murah mengeluarkan batu arang menggunakan kaedah lama, tidak saintifik dan menggaji kanak-kanak.

"Pihak polis pula menerima rasuah untuk tidak mengendahkan perkara tersebut," kata aktivis Impulse, Rosanna Lyngdoh.

Selepas berdekad-dekad operasi perlombongan tanpa undang-undang, negeri berkenaan akan menguat kuasa polisi melombong pertama pada tahun ini.

Teknik lubang tikus

Draf perundangan itu mengarahkan pemilik-pemilik lombong tidak boleh menggaji pekerja kanak-kanak, tetapi ia masih membenarkan teknik melombong 'lubang tikus'.

"Selagi mereka membenarkan perlombongan lubang tikus, kanak-kanak akan terus diupah di lombong kerana saiz mereka cukup kecil untuk merangkak masuk," kata Lyngdoh.

Kemalangan dan pengebumian senyap adalah perkara biasa apabila tiada kawalan menggali lombong selama bertahun-tahun membuatkan lubang-lubang tikus tidak stabil dan mudah runtuh pada bila-bila masa.

Gopal Rai menetap bersama tujuh pelombong lain di sebuah pondok yang diperbuat daripada logam dan buluh bertutup kain terpal pada ketinggian antara 244 hingga 305 sm.

Menurutnya, jarang ada wang pampasan ganti rugi. Jika ada pun, bayaran dibuat kepada kanak-kanak yang tercedera sahaja.

Remaja berusia 17 tahun itu membelanjakan gajinya untuk membeli pakaian, muat turun telefon bimbit dan memotong rambut gaya tercacak kesan pengaruh hiburan Korea setiap dua minggu sekali.

"Kadangkala saya berasa baik-baik sahaja, tetapi pada hari-hari lain, terasa bagai sukar mahu bernafas pun ada," kata Rai.

Dia kelihatan seperti tiada sebab untuk membuat pemeriksaan dengan doktor.

"Apakah keperluannya? Lagipun, bila saya keluar rumah untuk bekerja, belum pasti lagi saya boleh pulang dalam keadaan masih bernyawa," ujarnya menoktah bicara. - AFP

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved