Selasa, 5 Mac 2013

Kosmo Online - Hiburan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Hiburan


Sudah maafkan Chef Riz

Posted:

Sudah maafkan Chef Riz

Sudah maafkan Chef Riz

ANA mengakui sudah memaafkan Chef Riz atas apa yang berlaku terhadap rumah tangga mereka.


PERCERAIAN bukan suatu yang mudah diterima oleh kebanyakan pasangan yang telah berkahwin.

Namun, jika sudah ditakdirkan berpisah, maka sesiapa sahaja harus menerima takdir yang telah ditentukan walaupun pahit untuk ditelan.

Begitulah kisah wanita yang bernama Diyana Mastura Jaafar atau lebih dikenali sebagai Ana Dahlia. Dia menjadi salah seorang mangsa perceraian setelah bercerai dengan bekas suaminya, Chef Riz pada hujung tahun lalu.

Namun jika melihat raut wajah Ana, tidak sedikitpun ditunjukkan kesedihan dan kepedihan yang mungkin sedang dialami olehnya kini.

Menjalani kehidupan seperti biasa, Ana mengakui dia banyak memberi tumpuan terhadap karier sebagai seorang anak seni.

"Selepas bercerai dan sebaik memasuki tahun 2013, saya banyak fokuskan terhadap kerjaya sebagai seorang pelakon.

"Kini, saya bakal muncul dalam sebuah drama yang berjudul Kerana Lelaki Itu dan seterusnya Nyiur Nan Sebatang untuk siaran RTM," tutur Ana tentang jadual kerja terkininya.

HATI Ana kini belum terbuka untuk menerima cinta daripada mana-mana lelaki.


Gunakan pengalaman

Cerita Ana, setelah sering diberi watak antagonis, sebenarnya dia kini lebih gemar untuk membawa watak wanita baik. Melalui drama Kerana Lelaki Itu, dia yang membawa watak sebagai Munirah memberitahu ia merupakan karakter yang memang digemarinya.

"Munirah merupakan satu watak wanita yang beremosi dan banyak bermain dengan air mata. Namun, watak ini punya cabarannya. Malah, ada babak yang memerlukan saya menangis seharian.

"Jadi, apabila perlu banyak menangis, saya menjadi terlalu letih dan sakit. Mujur pengarah begitu memahami dan tidak memaksa saya untuk melakukan penggambaran apabila melihat keadaan saya begitu," ujar Ana.

Kerana Lelaki Itu, jelas Ana lagi berkisah tentang keputusan seorang wanita yang berkahwin hanya selepas berkenalan dengan suaminya dalam masa yang singkat.

Mungkin secara tidak sengaja, ia juga turut terkena tempias kepada Ana sendiri yang baru sahaja mengalami pengalaman yang memeritkan dalam hidupnya. Jadi, dia banyak menggunakan pengalamannya sendiri untuk menghayati watak tersebut.

Akui rezeki terhadap dunia lakonan makin bertambah, Ana sentiasa bersyukur dan katanya, setakat ini, karier menjadi fokus utama dan dia tidak lagi mahu memikirkan tentang perkara lain.

ANA mengakui pernah terfikir untuk menelan pil tidur kerana mengalami tekanan impak perceraiannya dengan Chef Riz.


Tertekan

Hanya sempat melayari alam rumah tangga selama 11 bulan bersama Mohd. Nadzri Redzuawan atau Chef Riz dan kemudian berpisah, Ana tanpa berselindung mengaku dia sangat tertekan dengan kejadian yang menimpa dirinya.

"Saya memang rasa sangat lemah serta tidak ada semangat mahu pergi bekerja atau berjumpa dengan sesiapa.

"Dalam masa seminggu atau dua saya mengalami kejadian sukar untuk tidur. Sehinggakan ketika itu (sewaktu baru bercerai) saya rasa seperti ingin mengambil pil tidur sebagai penyelesai masalah saya.

"Namun, syukur saya masih berfikir secara positif bahawa mungkin satu hari nanti saya benar-benar akan mendapat seseorang yang lebih baik.

"Selain itu, rakan baik dan keluarga memang banyak menyokong saya terutamanya adik lelaki saya, Mohd. Zulfahmi," luah Ana yang sentiasa mengukir senyuman sepanjang ditemu ramah.

Tidak mahu dianggap sudah serik dengan lelaki, jelas Ana, jika benar dia ditakdirkan bertemu jodoh dengan seseorang, biarlah dia bertemu dengan seorang lelaki yang setia dan menyayanginya.

Bagaimanapun, buat masa ini ujarnya dia belum terbuka hati untuk menerima mana-mana lelaki dalam hidupnya.

Ujarnya: "Kini saya tidak mahu mencari atau boleh dikatakan buat masa ini, hati saya masih sukar untuk percaya dan terima lelaki. Namun, bagi saya pemulihan dan terapi terbaik sekarang ialah fokus pada kerjaya.

"Walaupun saya masih terasa dengan apa yang terjadi, namun rasanya tidak perlu saya tunjukkan kesedihan yang dialami kepada orang lain.

"Saya juga tidak mahu keluarga nampak saya tertekan dan bersedih," jelasnya yang banyak berdoa semoga semuanya berjalan dengan baik.

Tambahnya, dia sudah memaafkan bekas suami dengan apa yang telah terjadi. Malah, sewaktu diminta memberi komen terhadap gambar bekas suaminya bersama seorang wanita yang tersebar di internet baru-baru ini, Ana enggan memberi komen panjang lebar.

Dia sebaliknya hanya berkata: "Saya harap dia (Chef Riz) bahagia dengan wanita itu dan kehidupannya sekarang. Saya juga harap selepas ini jangan suka menuding jari mencari kesalahan saya lagi."

Dayang takut lelaki

Posted:

Dayang takut lelaki

Dayang takut lelaki

Oleh FATEN SAPHILLA MOHAMED ISA

FIGURA yang memiliki vokal gemersik ini enggan berkongsi kisah peribadi dirinya dengan umum.


SEHINGGA kini penyanyi bersuara gemersik, Dayang Nurfaizah Awang Dowty atau Dayang, mengakui belum pernah bercinta dan tidak mempunyai kekasih.

Bukan sebab memilih atau tiada lelaki yang mendekati dirinya, tetapi ujar Dayang yang kini sudah menginjak usia 33 tahun itu, dia fobia untuk bercinta dan juga takut untuk mempunyai ikatan dengan insan bergelar lelaki.

Ditemui pada majlis sidang akhbar Pencalonan Anugerah Tribute P. Ramlee anjuran Radio Televisyen Malaysia (RTM) bersama Kumpulan Utusan serta Syarikat Suhan Movies & Trading Sdn. Bhd. (Suhan Movies) di Hotel Holiday Villa, Subang, Dayang juga bercerita tentang nilai eksklusif diri serta perkembangan terbaharu karier seninya.

Kosmo!: Kenapakah Dayang fobia dengan lelaki dan takut untuk bercinta?

DAYANG: Setelah melihat dan membaca mengenai gosip percintaan rakan-rakan artis, saya jadi fobia dan takut untuk bercinta. Sebabnya, saya takut jika berkenalan dan bercinta nanti akan timbul gosip-gosip liar seterusnya memusnahkan karier nyanyian saya.

Adakah anda takut dengan gosip-gosip liar mengenai anda?

Gosip-gosip seperti itu (bercinta) tidak membantu dalam karier saya. Gosip percintaan artis menakutkan saya.

Mungkin juga anda terlalu memilih sehingga menyebabkan anda masih belum menemui lelaki dalam usia yang sudah mencecah 33 tahun?

Ya, saya akui agak memilih kerana saya percaya setiap wanita di dunia ini ada hak untuk memilih pasangan hidup. Kalau boleh saya mahu jumpa dengan seorang lelaki, bercinta dan berkahwin. Saya mahu buat semua itu sekali seumur hidup.

Apakah ciri-ciri lelaki idaman anda?

Saya tidak mahu meletakkan sebarang ciri-ciri kerana ia akan menutup peluang saya berkenalan dengan lelaki. Kalau saya letak dan tidak jumpa dengan ciri-ciri yang dimahukan, saya juga yang kecewa nanti.

Anda kini dilihat kurang muncul dalam sebarang majlis hiburan yang melibatkan media. Adakah anda meletakkan diri terlalu eksklusif?

Saya tidak pernah rasa diri eksklusif. Saya sebenarnya sibuk dengan jemputan mengadakan persembahan di majlis-majlis makan malam dan juga korporat.

Bagaimanakah peminat mahu tahu perkembangan terbaharu mengenai anda?

Saya ada Facebook dan Twitter. Jika saya ada persembahan, saya akan beritahu peminat menerusi dua medium tersebut. Saya juga baru ada Instagram dan menggunakan medium tersebut untuk lebih mendekatkan diri dengan peminat. Tetapi, perkara peribadi saya tidak akan kongsikan. Peribadi tetap peribadi bagi saya.

Beralih pada karier nyanyian, apakah perkembangan terbaharu anda?

Walaupun orang kenal saya, ia tidak bermakna saya perlu leka dan tidak mengeluarkan sebarang produk. Saya kini sedang mengumpul bahan untuk album terbaharu. Album rakaman konsert Anuar Zain bersama Dayang Nurfaizah yang berlangsung di Dewan Filharmonik Petronas tahun lepas juga sudah berada di pasaran. Saya juga merancang untuk mengadakan mini showcase buat peminat-peminat pada tahun ini.

Adibah terima Halim

Posted:

Adibah terima Halim

Adibah terima Halim

ADIBAH dan Halim kini meluangkan masa bersama selama lima jam sehari di konti radio Suria FM.


SEBUAH majlis yang diadakan ala-ala resepsi perkahwinan sempena meraikan tempoh tiga minggu pasangan Halim Othman dan Adibah Noor digandingkan bersama di Suria FM barangkali mengundang pelbagai persepsi umum.

Ada yang menilai majlis itu umpama isyarat awal pasangan Adibah dan Halim bukan hanya mengikat janji menerusi penyatuan di dalam konti radio saja bahkan mungkin bersatu sebagai pasangan suami isteri.

Ditanya soalan nakal adakah Adibah bersetuju sekiranya ditakdirkan jodohnya bersama Halim, jawab pelantun lagu Terlalu Istimewa itu, dia akur.

"Kami meluangkan masa bersama selama lima jam sehari lebih lima hari seminggu yang tidak semua pasangan berkahwin pun mempunyai tempoh waktu berkualiti seperti kami.

"Mungkin disebabkan itu juga gandingan kami menjadi sesuatu yang luar biasa. Hubungan yang kami bina sangat menyeronokkan dan ramai yang mendoakan kami bersama.

"Kalau Tuhan kata jodoh kami berdua menjadi, maka jadilah. Takkanlah saya nak menolak kalau betul Halim itu bakal suami saya. Apapun, kami hanya berjumpa di konti saja," ujar Adibah yang menyifatkan hubungan mereka saling melengkapi.

Sementara itu, Halim yang diminta mengulas mengenai keakraban hubungan mereka tidak mahu terburu-buru memberikan kenyataan dan mengakui selesa bekerja bersama Adibah.

"Enam bulan adalah tempoh perkenalan dan selama lebih tiga minggu ini ramai yang merestui kerjasama yang kami jalinkan. Kita tengok apa yang akan berlaku seterusnya.

"Saya perlu memberikan respons dengan orang baharu yang digandingkan bersama saya. Adibah seorang yang cepat belajar dan mampu memberikan tenaga sama seperti yang saya berikan. Ia menjadi satu pusingan yang sukar dicari di tempat lain," katanya yang ditemui di Pusat Konvensyen Shah Alam, Selangor baru-baru ini.

Bagaimanapun tambah Halim, dia ingin menyajikan satu program radio yang tidak terlalu berat dan berlainan daripada stesen radio lain.

"Kami sentiasa mencari formula untuk menjadikan segmen kami berilmu, biasa, santai dan tidak terlalu serius. Walau kami berbeza karakter tapi kami berkongsi minat dan kecenderungan yang sama," tambah Halim lagi.

Adibah dan Halim digandingkan bersama untuk mengendalikan segmen Ceria Pagi yang ke udara pada pukul 5 hingga 10 pagi setiap hari Isnin hingga Jumaat di Suria FM.

Dalam pada itu, Adibah yang kini sedang giat berlatih untuk Teater Muzikal Chow Kit Road yang akan dipersembahkan di Istana Budaya pada bulan Mei nanti mengakui masih aktif dalam bidang nyanyian dan pengacaraan.

"Walaupun saya menjadi seorang penyampai radio sekarang, karier nyanyian, lakonan dan pengacaraan saya tidak ketepikan. Waktu terluang selain di konti saya habiskan untuk menyiapkan album saya yang akan datang.

"Tapi saya akan melancarkan single demi single yang hanya menunggu masa yang sesuai sahaja. Kemudian baru dikumpulkan untuk menjadi album," ujarnya.

Pelakon filem Nasi Lemak 2.0 itu juga tidak melihat wujud diskriminasi lagu miliknya yang diputarkan di Suria FM. Katanya jika sebelum ini lagunya jarang dimainkan di radio tiada bezanya untuk dia memilih tawaran bergelar penyampai radio.

"Saya berfikir demikian sebelum menjadi penyampai radio lagi dan sebab faktor itu saya menerima tawaran ini. Saya tidak bersama Suria FM pun orang tidak mainkan lagu saya, jadi apa bezanya sekarang?

"Saya ada lebih 20 buah lagu daripada dua buah album saya selama tujuh tahun dalam industri dan saya tidak nampak diskriminasi di Suria FM kerana sebelum ini pun lagu saya berkumandang di stesen radio ini.

"Memang betul keputusan untuk sesebuah lagu itu diputarkan di radio datang daripada orang atasan dan kini saya sudah sedikit sebanyak faham sistem putaran lagu di radio," katanya yang tidak pernah lagi memainkan lagu sendiri di Suria FM dan mendapat layanan sebagai penyanyi seperti artis lain. - KHAIRUL AMRI HASSAN

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved