Isnin, 17 Disember 2012

Kosmo Online - Sukan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Sukan


'Johor bukan tempat percutian'

Posted:

'Johor bukan tempat percutian'

'Johor bukan tempat percutian'

Oleh RADIAH SAORI
radiah.saori@kosmo.com.my

TUNKU Ismail ketika bercakap kepada pemberita pada sidang akhbar di Johor Bahru semalam.


PASUKAN Johor Darul Takzim bukanlah tempat 'percutian' untuk pemain-pemain berstatus bintang sebaliknya mereka mempunyai misi besar untuk membantu Harimau Selatan muncul juara saingan Liga Malaysia (Liga M) musim hadapan.

Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ), Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim bertitah, pasukan Johor Darul Takzim mempunyai matlamat besar iaitu untuk menjadi juara sekali gus menjadi pasukan yang digeruni pihak lawan.

"Mereka (pemain) bukan datang sini (Johor) untuk bercuti dan hanya menerima gaji setiap bulan tetapi kami mempunyai matlamat besar yang untuk dicapai.

"Kami mahu menaikkan semula nama Johor dalam arena bola sepak tempatan dan saya amat gembira dengan pasukan ini. Kami telah merancang hampir setahun untuk mengenal pasti pemain-pemain berkualiti," titah baginda pada sidang akhbar di Johor Bahru semalam.

Pada majlis tersebut, tujuh pemain baharu Johor Darul Takzim termasuk lima pemain Harimau Malaya yang beraksi pada Piala Suzuki AFF 2012, Norshahrul Idlan Talha, Safiq Rahim, Azmi Muslim dan Aidil Zafuan Abdul Radzak turut hadir untuk sesi bertemu peminat.

Selain mereka, turut hadir kembar Aidil, Zaquan Adha dan dua pemain import, Daniel Guiza dan Simone Del Nero.

Dalam pada itu, kesemua pemain yang hadir berjanji akan memberi komitmen dan aksi terbaik buat pasukan sebaik sahaja mereka menjalani latihan 23 Disember ini.

Bagi penyerang sensasi, Mohd. Safee Sali, dia sudah tidak sabar untuk beraksi bersama Johor Darul Takzim yang dilabel sebagai 'pasukan impian'.

"Selepas dua tahun berkelana di Indonesia, saya harap dapat mencurahkan semua pengalaman bagi membantu pasukan baharu saya ini menjadi juara.

"Saya mempunyai rakan sepasukan yang hebat tetapi kami perlu pastikan kami semua berada pada tahap terbaik dalam setiap perlawanan," katanya.

Sementara itu, bagi kapten skuad kebangsaan, Safiq Rahim pula, dia memilih untuk menyertai pasukan Harimau Selatan kerana inginkan cabaran baharu.

"Saya menerima cabaran ini demi karier saya dalam sukan bola sepak dan Insya Allah saya akan berikan komitmen 100 peratus buat pasukan ini," katanya.

Bagi Norshahrul atau lebih dikenali sebagai Mat Yo, bergandingan bersama penjaring terbanyak Liga Indonesia, Safee dan bekas penjaring terbanyak La Liga, Guiza dianggap sebagai peluang menarik untuk dia meningkatkan lagi mutu permainan.

"Memang bagus apabila terdapat ramai penyerang dalam satu pasukan dan kami akan berusaha sebaik mungkin untuk menjaringkan lebih banyak gol," katanya.

Dalam pada itu, jurulatih pasukan, Fandi Ahmad memberi amaran, meskipun berstatus bintang ia bukanlah tiket untuk kesemua pemain kebangsaan yang menyertai pasukan Johor Darul Takzim dijanjikan tempat dalam kesebelasan utama pada setiap perlawanan.

"Semua 27 pemain ada hak untuk merebut tempat. Saya amat mementingkan disiplin dan semangat berpasukan. Tidak semua pemain akan mendapat tempat secara automatik," katanya.

45 emas sasaran baru Malaysia

Posted:

45 emas sasaran baru Malaysia

45 emas sasaran baru Malaysia


PROF. YAHAYA (kiri) meletakkan sasaran baharu iaitu 45 pingat emas pada AUG 2012 selepas kejayaan melepasi sasaran 36 pingat emas semalam.


VIENTIANE, Laos – Kontinjen Malaysia meletakkan sasaran baru untuk membawa pulang 45 pingat emas pada Sukan Universiti ASEAN (AUG) 2012.

Ia merupakan sasaran terbaharu kontinjen negara selepas berjaya mencapai sasaran awal iaitu sebanyak 36 pingat emas semalam.

Ironinya, kejayaan itu hadir hanya selepas lima hari temasya edisi ke-16 itu membuka tirainya secara rasmi pada 12 Disember lalu.

Perenang wanita negara, Khoo Cai Lin muncul wira apabila melengkapkan sasaran 36 pingat emas buat kontinjen Malaysia selepas mengungguli saingan dalam acara 800 meter (m) gaya bebas dengan catatan 9 minit 06.01 saat (s) pada aksi final yang berlangsung di Pusat Akuatik Kompleks Sukan Nasional Laos.

Ketua kontinjen negara, Prof. Dr. Yahaya Ibrahim berkata, berdasarkan prestasi barisan atlet negara ketika ini, beliau optimis Malaysia mampu meraih lebih daripada 45 pingat emas pada temasya dwi tahunan itu yang berbaki tiga hari lagi sebelum melabuhkan tirainya Khamis ini.

"Hasil perbincangan dengan semua pengurus pasukan, kami yakin untuk meraih 45 pingat emas pada AUG kali ini.

"Ini merupakan sasaran kedua kontinjen Malaysia selepas berjaya melepasi sasaran awal sebanyak 36 emas hari ini (semalam).

"Begitupun, saya jangka kita mampu membawa pulang lebih banyak pingat emas. Saya tidak akan berasa puas jika kontinjen negara sekadar meraih 45 emas sebaliknya saya mahu lebih," kata Yahaya ketika ditemui pemberita semalam.

Menurut Yahaya, jika kontinjen negara mampu melepasi sasaran 45 pingat emas itu, tidak mustahil Malaysia akan dinobatkan sebagai juara keseluruhan pada AUG tahun ini.

"Jika ia tercapai, Malaysia akan mencipta sejarah baharu apabila buat pertama kalinya bergelar juara keseluruhan. Saya harap ia boleh menjadi kenyataan," kata Yahaya.

Setakat semalam, kontinjen Malaysia telah mengumpul 39 pingat emas, 25 perak dan 37 gangsa.

Sukan renang dan olahraga dijangka akan menjadi kunci utama sama ada tercapai atau tidak sasaran baharu itu apabila turun beraksi hari ini.

Cai Lin lengkap sasaran

Posted:

Cai Lin lengkap sasaran

Cai Lin lengkap sasaran


CAI LIN (kanan) menunjukkan angka 36 selepas meraih pingat ke-36 kontinjen negara pada AUG 2012 semalam.


VIENTIANE, Laos - Perenang wanita negara, Khoo Cai Lin muncul wira apabila menyumbangkan pingat emas ke-36 buat kontinjen Malaysia pada Sukan Universiti ASEAN (AUG) 2012.

Kejayaan itu hadir selepas dia memenangi pingat emas dalam acara 800 meter (m) gaya bebas dengan catatan 9 minit 06.01 saat (s) pada aksi final yang berlangsung di Pusat Akuati Kompleks Sukan Nasional Laos semalam.

Lebih manis, catatan tersebut turut memadam rekod lama kejohanan iaitu 9:32.87s.

Pingat emas yang dimenangi atlet berusia 24 tahun itu sekali gus melengkapkan misi kontinjen Malaysia yang meletakkan sasaran untuk membawa pulang 36 pingat emas dari bumi Loas.

Sebagai rekod, Cai Lin yang merupakan penuntut di Universiti Taylor turut melengkapkan sasaran pingat emas kontinjen negara pada edisi 2010 di Chiangmai, Thailand.

"Saya gembira kerana sekali lagi berjaya melengkapkan sasaran buat kontinjen Malaysia pada AUG selepas kali pertama melakukannya di Chiangmai.

"Meskipun tidak meletakkan sasaran khusus untuk AUG kali ini tetapi saya tetap menganggap ia penting kerana KPT (Kementerian Pengajian Tinggi) telah banyak memberi sokongan terhadap karier saya sebagai perenang dan dalam masa yang sama sebagai pelajar.

"Jadi, saya bertekad untuk melakukan yang terbaik dan cuba menyumbangkan seberapa banyak pingat emas yang boleh buat kontinjen Malaysia," kata Cai Lin semalam.

Cai Lin turut menyuarakan keyakinan bahawa skuad renang negara mampu melepasi sasaran sembilan pingat emas yang ditetapkan pada temasya dwi tahunan itu.

Sementara itu, seorang lagi perenang wanita negara, Siow Yi Ting terus tampil cemerlang apabila menyumbangkan dua pingat emas buat skuad renang pada hari kedua acara itu dipertandingkan semalam.

Yi Ting memastikan pingat emas menjadi miliknya apabila mengungguli saingan dalam acara 200m rampaian individu dan 50m kuak dada.

Skuad renang negara turut meraih satu pingat perak menerusi acara 80m gaya bebas berganti-ganti wanita dan satu gangsa (800m gaya bebas berganti-ganti lelaki).

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved