Isnin, 17 Disember 2012

Kosmo Online - Rencana Utama


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Rencana Utama


Cabar diri menjadi manusia berani

Posted:

Cabar diri menjadi manusia berani

Cabar diri menjadi manusia berani

MENANGKAP ular tedung selar, memanah sambil menunggang kuda, memancing ikan di Kuala Rompin dan melicin kulit kayu balak. Itu antara cabaran yang dihadapi oleh pengacara rancangan Hidden Cities: Extreme, Simon Yin ketika melakukan penggambaran di Malaysia.

Ironinya, semua perkara tersebut tidak pernah dilakukan oleh pengacara kelahiran Los Angeles, Amerika Syarikat itu. Bagaimanapun, berbekalkan semangat yang tinggi Simon berjaya melaksanakan tugasan yang diberi.

Menurut Simon, melalui rancangan yang disiarkan di History Channel saluran 551 Astro itu, dia berpeluang mencabar kemampuan diri sekali gus meningkatkan keyakinan menjadi manusia yang berani.

"Saya gembira dan rasa amat berpuas hati dengan perjalanan keseluruhan program ini. Jujurnya, sebelum ini, saya pernah menghadiri uji bakat sebagai pengacara rancangan Hidden Cities, namun gagal.

"Justeru, apabila mendapat tawaran bergelar pengacara untuk musim kedua, saya begitu teruja dan berazam melakukan yang terbaik dalam setiap tugasan," ujar Simon sambil memberitahu, kebanyakan penggambaran Hidden Cities: Extreme dilakukan secara spontan tanpa sebarang skrip khusus.

Mengulas lanjut, Simon mengakui cabaran melakukan aksi memanah sambil menunggang kuda antara pengalaman berharga yang dikutipnya melalui rancangan tersebut. Pada zahirnya, ia kelihatan mudah tetapi apabila mencubanya, jelas ia satu perkara yang amat sukar.

Pengalaman memanah


SEMPAT bergambar sebelum menyertai pertandingan makan durian.
KANAN: Simon bermesra dengan seekor gajah bernama Paya di Kem Gajah Maesa, Chiang Mai, Thailand.


Memanah dan berkuda bukan sahaja dua sukan yang berbeza, malah memerlukan kekuatan fizikal serta kemahiran tersendiri.

"Bayangkan kali pertama duduk di atas kuda, saya perlu bijak mengimbangkan diri memandangkan kedua-dua tangan memegang busur dan anak panah. Ketika melepaskan panahan pertama, ia langsung tersasar.

"Maklum sahaja dengan badan yang bergerak-gerak, sudah pasti sukar untuk mengenai sasaran yang ditetapkan. Tetapi, saya tidak berputus asa, sebaliknya terus berusaha melakukan cabaran tersebut," jelas Simon ketika ditemui di Bukit Kiara Equestrian Resort, Petaling Jaya baru-baru ini.

Dalam aktiviti itu juga, Simon perlu bersaing dengan Anita Woo, seorang pemanah berkuda profesional yang sudah bergiat lama dalam bidang tersebut.

Sebagai persiapan, Simon turut dibantu Zaharudin Rastam Yeop, 50, yang berpengalaman lebih dua dekad dalam sukan memanah.

Menurut Zaharuddin, dia gembira kerana dapat bekerjasama dengan Simon yang mampu belajar menunggang kuda dan memanah dengan baik walaupun dalam masa yang singkat.

"Simon seorang lelaki yang penuh dengan humor. Dia sering membuat jenaka ketika berlatih memanah dan menunggang kuda yang diberi nama Samurai.

"Tetapi, lelaki berusia 35 tahun itu tetap serius ketika mahu beraksi. Meskipun tewas dengan Anita kerana panahan Simon kurang menepati sasaran, namun dia berjaya melaksanakan tugas dengan baik," kata Zaharudin yang berpengalaman lebih empat tahun dalam sukan memanah berkuda.

Menikmati durian


SIMON terpaksa bekerja keras sebagai buruh kasar di sebuah kilang arang di Perak.


Tambah Simon, antara pengalaman menarik yang tidak dapat dilupakan ketika berada di Malaysia ialah menikmati buah durian di sebuah dusun di Pulau Pinang.

"Sebelum datang ke sini, saya tahu mengenai durian yang dianggap sebagai raja buah oleh rakyat Malaysia dan kebanyakan pelancong pasti akan cuba merasai keenakan buah tersebut.

"Sewaktu mula mendekati durian, baunya sangat menyesakkan hidung saya. Memang saya tidak tahan dengan bau itu, namun sebaik menjamah isinya ternyata ia sungguh sedap. Rasanya seperti kek keju dan saya terus jatuh cinta pada durian," tutur Simon sambil ketawa dan memberitahu, dia berjaya menghabiskan beberapa biji buah durian di dusun tersebut.

Apa yang pasti, kedatangan kali pertama ke Malaysia membuatkan Simon tidak keberatan untuk menjejakkan kaki ke negara ini pada masa hadapan.

"Malaysia sebuah negara yang unik untuk dikunjungi. Selain masyarakat berbilang kaum yang hidup aman dan harmoni, negara ini juga kaya dengan adat dan budaya serta memiliki banyak destinasi pelancongan menarik.

"Sudah tentu saya akan kembali semula ke sini suatu hari nanti. Tambahan pula, perempuan di Malaysia comel-comel belaka," kata Simon berjenaka.

Selain Malaysia, Simon juga membawa penonton mengembara ke beberapa buah negara sekitar Asia seperti Filipina, Thailand, Indonesia dan Korea Selatan.


PERLUMBAAN kerbau antara cabaran yang perlu dijayakan Simon di Jembrana, Indonesia.


Di negara-negara itu, Simon perlu melakukan pelbagai cabaran yang belum pernah dihadapinya sebelum ini. Antaranya termasuklah memanjat pokok kelapa untuk mendapatkan tuba di Argao, Filipina; bertinju dalam lumpur dan mengawal kerbau di Bali, Indonesia; menjadi penari kabaret di Chiang Mai, Thailand dan melakukan aktiviti terjun menjunam di sebuah sungai yang deras di Korea Selatan.

Kesemua cabaran tersebut yang dipilih sendiri oleh pihak produksi Hidden Cities: Extreme berjaya dilakukan Simon sekali gus mengenepikan rasa takut yang bertandang dalam diri.

"Sepanjang dua bulan menjalani penggambaran bermula Ogos hingga September lalu, saya berjaya mencabar kemampuan diri untuk memberikan yang terbaik buat penonton," katanya.

Rancangan Hidden Cities: Extreme telah ditayangkan bermula 29 Oktober lalu di saluran Astro 555 (Histrory) pada setiap hari Isnin pukul 9.30 malam. Untuk maklumat lanjut, layari laman facebook.com/HiddenCities atau www.simonyin.com.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved