Isnin, 17 Disember 2012

Kosmo Online - Stailo


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Stailo


Diari aktif dua duta Dashing

Posted:

Diari aktif dua duta Dashing

Diari aktif dua duta Dashing

Oleh ALIF ABU BAKAR

MASKULIN seorang lelaki tidak hanya diukur berdasarkan penampilan dan rupa paras. Tahap kecergasan turut menjadi penilaian penting dalam konteks kehidupan kaum Adam.

Dorongan faktor itulah yang menjadikan jejaka sinonim terhadap aktiviti sukan bagi menjana tubuh yang aktif. Secara amnya, bola sepak dan latihan di gimnasium antara latihan sukan paling popular di negara ini.

Aktor popular, Remy Ishak, 30, juga tersenarai dalam kategori yang mementingkan kecergasan badan secara harian. Meskipun sibuk dengan jadual penggambaran yang padat, pelakon filem 29 Februari itu tetap meluangkan masa selama 30 minit untuk berjoging pada setiap pagi.

"Joging adalah riadah paling penting dalam hidup saya. Ia membantu saya mengeluarkan peluh dan sekali gus menjadi bekalan tenaga sepanjang hari.

"Jika tiada urusan kerja, saya akan pergi ke gim atau bermain futsal bersama rakan-rakan. Boleh dikatakan, setiap kali cuti, saya fokuskan kepada sukan yang berat bagi mengganti balik riadah yang sepatutnya dilakukan sepanjang tempoh bekerja," ujarnya ketika ditemui di Sports Planet, Kota Damansara, Selangor sempena pertandingan akhir Cabaran Skor Dashing - Futsal Neon baru-baru ini.

Sebagai seorang pelakon, Remy mengakui bahawa sukar baginya mendapatkan tidur yang cukup terutamanya apabila menjalani penggambaran sehingga lewat malam. Oleh itu, senaman kecergasan amat berguna dalam menjana tenaga yang berpanjangan.

Begitu juga soal pemakanan, pemegang watak Adam dalam filem Nur Kasih The Movie itu sangat berjaga-jaga dengan makanan yang diambil. Jelas Remy: "Pemakanan mempengaruhi stamina kita setiap hari.

"Saya pastikan makanan yang diambil tidak terlalu berminyak kerana ia boleh membuatkan badan menjadi lemah dan tidak bermaya. Namun, ia tidak bermakna saya mengelak makanan yang berat, cuma kurangkan kuantiti pengambilannya. Apa yang pasti, selepas 12 malam memang saya tidak makan apa jua jenis makanan berat."


REMY dan Henry sangat mementingkan kecergasan tubuh badan bagi menjalankan rutin harian.


Crossfit Henry

Pengacara kacak, Henry Golding, 25, pula memilih aktiviti lasak sebagai alternatif bagi mengekalkan kecergasan demi menempuh rutin harian yang amat memenatkan. Setiap hari Ahad, Henry memilih untuk melakukan rock climbing dan kini aktif dengan rejim senaman baharu yang dipelajarinya iaitu crossfit.

"Ia satu bentuk senaman yang menggabungkan beberapa latihan kecergasan termasuklah gimnastik. Crossfit bukanlah senaman biasa yang disediakan di kebanyakan gim.

"Aktiviti mencabar itu dilakukan secara berkumpulan dan saya mengenalinya daripada teman serumah dan telah mengikuti kelasnya sejak tiga bulan yang lalu.

"Dari segi pemilihan makanan pula, saya cuba untuk mengikuti menu yang sihat agar seiring dengan gaya hidup saya sebagai seorang yang aktif bersukan," kongsi Henry yang masih mencintai profesion lamanya sebagai pendandan rambut, tetapi belum ada perancangan untuk kembali berkecimpung dalam bidang tersebut.

Agak memeranjatkan apabila melihat aksi Henry bergandingan bersama Remy dan beberapa individu lain dalam pertandingan futsal khas sempena pertandingan akhir Cabaran Skor Dashing - Futsal Neon di Sports Planet, Kota Damansara baru-baru ini.

Siapa sangka, di sebalik wajah 'jambu' Henry, tersimpan skil-skil hebat bola sepak dalam dirinya. Malah, dia juga menyumbangkan jaringan sulung pasukannya ketika menentang pasukan media yang turut disertai wartawan Kosmo!.


HENRY kini aktif dengan aktiviti crossfit.


Pada perlawanan persahabatan itu, Henry dan Remy yang mewakili Dashing berjaya menumpaskan pasukan media dengan mata 2-0. Tambah bermakna apabila gol kedua pasukan mereka dijaringkan Remy, membuktikan kehebatan dua figura umum itu di dalam gelanggang futsal.

"Secara jujurnya, saya jarang bermain futsal tetapi bola sepak sentiasa menjadi sukan kegemaran. Ketika berumur 16 tahun dan bersekolah di England, saya pernah mewakili sekolah bagi pasukan bawah 16 tahun menentang sekolah dari Belanda. Kami memenangi tempat ketiga pada pertandingan tersebut," imbas Henry dalam senyuman.

Aura Dashing

Dilantik sebagai jurucakap jenama dandanan diri lelaki ternama, Dashing, cukup membuktikan kredibiliti Remy dan Henry selaku lelaki yang mengutamakan kecergasan dalam kehidupan harian.

Selama dua tahun, Remy menambat kepercayaan masyarakat bahawa Dashing adalah perlambangan hakiki dirinya, seiring pergerakan pantas jadual kerjanya. Kefahaman Remy terhadap mesej yang ingin disampaikan Dashing dibuktikan menerusi pandangan umumnya terhadap jenama itu.

"Dashing sudah lama bertapak di Malaysia dan hari ini impak yang diberikan tambah meyakinkan khususnya dalam membentuk penataan gaya jejaka maskulin.

"Saya sendiri mempunyai produk kegemaran daripada jenama ini. Semburan badan yang juga berfungsi sebagai deodoran Dashing sangat penting bagi saya. Ke mana-mana saya pastikan ia berada dalam beg, begitu juga dengan wangian Bold & Edge yang tidak sesekali ditinggalkan.


PERLAWANAN istimewa antara Dashing dan media menyaksikan kemenangan berpihak kepada pasukan Dashing yang turut diwakili Remy dan Henry.


"Kedua-dua produk tersebut mengembalikan kesegaran saya ketika berada di set penggambaran apabila badan mula letih. Selain itu, ia turut memberi aura positif kepada orang sekeliling yang bekerja dengan saya," ungkap Remy penuh yakin.

Henry juga tidak terkecuali berkongsi produk Dashing pilihannya. Mula bergelar duta Dashing For Men pada pertengahan tahun ini, Henry mendapati pelembap SPF23 dengan perlindungan ultraungu (UV) sangat menepati kehendak kulitnya yang kerap berminyak.

"Saya gunakan pelembap ini setiap hari jika tiada penggambaran dan ia mampu bertahan seharian," terang Henry yang bakal muncul dalam sebuah program jelajah amal Asia Tenggara untuk National Geographic.

Gaya edgy Mimpikita

Posted:

Gaya edgy Mimpikita

Gaya edgy Mimpikita

Oleh HAFIZ AHMAD


RONA ceria melatari koleksi KitaKids dengan rekaan ringkas buat si comel.


DIKENALI sebagai pereka busana kontemporari, label fesyen Mimpikita didirikan atas kecintaan pada dunia fesyen oleh tiga adik-beradik. Terkini Mimpikita hadir dengan koleksi baharu yang lebih berani dan kontra dengan rekaan sebelum ini.

Koleksi di bawah tema Dark Sophistication, menampilkan lima rekaan terkini dengan memberi penekanan melalui gaya bahu berstruktur, blaus berbelah dan mainan rona-rona gelap melatari setiap busana.

"Untuk koleksi baharu ini, kami memilih warna-warna yang sedikit gelap seperti merah hati dan hitam bagi menampilkan imej edgy kepada si pemakai," ujar Nurul Afidah Zulkifli, salah seorang pereka dalam Mimpikita.

Tambahnya, peralihan konsep feminin yang menjadi signatur jenama itu adalah disebabkan mahu mengembangkan lagi kuasa Mimpikita ke pasaran yang lebih luas.

"Dengan koleksi baharu ini, kami cuba mengembangkan nama label Mimpikita untuk pasaran kaum Cina dan India," ujarnya.

Rekaan jaket dengan potongan kemas menjadi pilihan Stailo dalam koleksi tersebut. Seluar panjang dipadankan dengan jaket rona putih krim lantas menarik mata gadis yang ingin tampil kasual.


PERSALINAN rona senada memberi impak bergaya dengan padanan aksesori warna kontra.


Sebanyak 20 gaya menghiasi koleksi baharu itu dengan 50 helai setiap busana bagi harga RM400 ke bawah, manakala bagi harga RM500 ke atas, setiap satu rekaan bagi satu saiz.

Koleksi kanak-kanak

Dalam pada itu, Mimpikita juga turut menampilkan rekaan istimewa buat si comel melalui koleksi KitaKids.

Pemilihan fabrik seperti kain kapas melatari rekaan tersebut selain potongan yang ringkas dan kemas. Rona-rona lembut menghiasi koleksi itu bagi menonjolkan keceriaan golongan kanak-kanak yang ingin tampil bergaya.

"Ia sesuai digayakan buat kanak-kanak lelaki dan perempuan dalam lingkungan umur antara setahun hingga enam tahun," jelas Nurul Afidah.

Bermula dengan skala yang kecil, kini jenama Mimpikita menapak lebih jauh dalam industri fesyen tanah air sehingga menjadi pilihan golongan muda dan selebriti tempatan.

Penggemar jenama itu juga boleh mendapatkan koleksi tersebut melalui laman web www.fashionvalet.com dan www.zalora.com.my

Teman rapat Shila

Posted:

Teman rapat Shila

Teman rapat Shila

Oleh ALIF ABU BAKAR


SHILA bersama produk trio baharu Safi Balqis Perfect 10.


KESIBUKAN menjayakan persembahan nyanyian memaksa Shila Amzah tampil jelita setiap kali menaiki pentas. Wajah dengan solekan menawan sudah sebati dengan imej penyanyi muda itu yang kini anggun bertudung.

"Sebenarnya saya lebih suka wajah tanpa solekan terutama sebelum tidur dan bangun pada waktu pagi. Jika tidak terlibat dengan sebarang acara, saya selesa duduk di rumah dengan mengenakan krim BB sahaja.

"Tambahan pula, krim BB yang disediakan Safi Balqis sangat sesuai dengan warna kulit saya. Selain itu, toner jenama ini juga menjadi kegemaran saya kerana ia tidak merengsakan kulit," ujar Shila ketika ditemui pada majlis pengenalan trio baharu Safi Balqis di Juempa D'Ramo, Jalan Maarof, Bangsar, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Tambah Shila, pengenalan kesemua produk baharu tersebut sangat bertepatan dengan statusnya sebagai Duta Safi Balqis yang telah membuat keputusan untuk berhijab sepenuhnya.

Pengurus Kumpulan Produk Safi, Mahsuri Sulaiman pula memberitahu, krim BB yang diperkenalkan Safi Balqis Perfect 10 menyerupai spesifikasi krim BB (Blemish Balm) yang mula diwujudkan di Korea. Bagi menambah nilai tempatan, nama krim BB tersebut ditukar kepada krim Bebas Bernafas.

"Dua kelebihan krim BB Safi Balqis ini adalah ia mampu bertindak sebagai pelembap dan asas solekan. Jadi, mereka yang menggunakan krim ini tidak perlu memakai pelembap atau bedak asas.

"Walaupun ia disediakan dalam satu warna sahaja, ia memang dicipta berpandukan tona kulit majoriti wanita Melayu di Malaysia. Sekiranya ia membuatkan kulit anda menjadi cerah atau gelap, neutralkan kulit anda menggunakan bedak asas.

"Bagi melengkapkan seri wajah selepas menyapu krim BB, anda juga boleh mengaplikasikan bedak tabur," tambah Mahsuri.


BARISAN depan: Shila (tiga dari kanan) dan Mahsuri (dua dari kanan) bergambar bersama wakil media dan tetamu yang hadir pada majlis pengenalan trio baharu Safi Balqis Perfect 10.


Jurusolek yang sering bekerjasama dengan Shila, Fiza Zainuddin berkesempatan menunjukkan demonstrasi solekan menggunakan beberapa produk Safi Balqis Perfect 10.

Langkah pertama proses tersebut adalah menggunakan pembersih wajah Safi Balqis bagi memastikan muka benar-benar bersih dan memudahkan penapisan alat solek yang sensitif pada kulit.

"Kita mulakan dengan aplikasi gel pengelupasan. Sapukan sedikit pada wajah dan jangan gosok gel tersebut pada tangan. Pastikan kulit tidak terlalu basah dan dalam keadaan lembap sederhana bagi memudahkan gel untuk bergumpal.

"Seterusnya, sapukan toner agar liang pori dapat mengecil dengan pantas. Ia diikuti dengan penggunaan serum yang perlu dipalitkan pada lima bahagian wajah iaitu dahi, dagu, hidung, dan kedua-dua belah pipi. Urutkan serum tersebut menghala ke atas.

"Bagi melengkapkan proses ini, sapukan krim BB Safi Balqis dan ratakan ia ke seluruh bahagian wajah dan leher. Akhirinya dengan bedak tabur dan untuk peringatan, anda tidak perlu memakai bedak asas jika sudah menggunakan krim BB.

"Anda juga boleh menambah sedikit pemerah pipi, gincu, pembayang mata dan alat solek bersesuaian yang lain jika ingin keluar rumah," terang Fiza.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved