Rabu, 10 Oktober 2012

Kosmo Online - Rencana Utama


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Rencana Utama


Populariti kraf marmar Fabillah

Posted:

Populariti kraf marmar Fabillah

DERUAN enjin mesin pemotong batu menggegar gegendang telinga sebaik ia dihidupkan. Apabila mata mesin yang tajam menyentuh seketul batu besar panjang, rasa ngilu semakin kuat dirasai penulis.

Hampir 10 minit berlalu, akhirnya jentera yang dikawal oleh seorang pemuda berbadan gempal itu berjaya membelah seketul batu panjang kepada dua bahagian.

Itu antara suasana petang yang dapat dilihat di bengkel Fabillah Marble Craft yang terletak di pinggir Kampung Wang Tok Rendong, Kuah di Pulau Langkawi.

Sebelum itu, kebanyakan pekerja pulang ke rumah untuk makan tengah hari dan berehat seketika bagi menyegarkan tubuh yang kepenatan sejak pagi.

Bagi Muhammad Fatihad Fabillah, 24, tanggungjawab sebagai pengurus perlu dijalankan sebaik mungkin meskipun dia mengendalikan perniagaan milik ayahnya, Fabillah Rahim, 59.

Sebagai usahawan muda kraf marmar, Fatihad sedar beban yang terpikul di bahunya. Apatah lagi dia merupakan anak lelaki tunggal dalam keluarga. Dua kakaknya sudah berkahwin dan masing-masing mempunyai kehidupan sendiri.

Justeru, dia tidak mahu jerih-perih ayahnya membangunkan perniagaan kraf marmar bermula pada tahun 1991, terhenti begitu sahaja.

"Sejak zaman remaja lagi, saya sering menghabiskan masa di bengkel untuk membantu ayah. Selepas pulang dari sekolah, saya akan turun ke bengkel dan menyiapkan tempahan ukiran marmar.

"Pada mulanya saya buat sekadar suka-suka kerana seronok melihat orang bekerja. Namun, bermula tahun 2010 saya mula serius terhadap segala ilmu yang ayah ajar berkaitan penghasilan dan pembuatan kraf marmar," ujar Fatihad.

REDZUAN melakukan kerja-kerja kemasan akhir bagi permukaan meja marmar.


Tambahnya, dia masih ingat ketika mengambil ukiran dan tempahan pertama daripada pelanggan mereka iaitu 30 unit keris yang diukir daripada marmar.

"Itu ialah tempahan yang dibuat oleh pihak Kastam untuk dijadikan cenderamata dalam satu majlis anjuran mereka. Alhamdulillah, saya dapat melakukan tugas tersebut dengan sempurna dari awal hingga produk tersebut diserahkan kepada pihak yang menempah.

Tempahan pelanggan

"Sejurus selepas itu, saya fokus kepada projek pengubahsuaian rumah seperti membuat kabinet dapur, permukaan meja, lantai dan sinki menggunakan marmar. Kami juga menerima tempahan pelanggan dari Brunei yang mahukan 30 pasang batu nisan marmar," jelas Fatihad mengenai tugasnya.

Menurut Fabillah pula, proses penghasilan kraf marmar kini agak rumit kerana kesukaran mendapatkan bahan mentah.

"Bagaimanapun, kebiasaannya kami mendapat stok blok-blok batu daripada kilang Kedah Marble. Setiap satu tan blok batu dibeli pada harga RM300. Kemudian, ia akan dihantar ke bengkel untuk dipotong mengikut saiz tempahan.

"Di sini, tiada sebarang acuan dipakai untuk membentuk batu marmar. Sebaliknya, kami menggunakan teknik larik iaitu lukis di atas batu dan dipotong serta diukir menggunakan mesin," kata Fabillah sambil memberitahu proses kemasan dan pemasangan akan dilakukan selepas ukiran marmar siap sepenuhnya.

Fabillah yang pernah bertugas di Kedah Marble sebelum mengambil keputusan berhenti kerja untuk memulakan perniagaan kraf marmar sendiri menyatakan, jenis produk yang mereka hasilkan termasuklah pinggan dan plak sebagai cenderamata.

Dalam pada itu, Fabillah turut melahirkan rasa syukur kerana bantuan dan kerjasama yang diberikan oleh pihak Kraftangan Malaysia (Kraftangan) secara tidak langsung menyebabkan produknya dikenali ramai.

"Pihak Kraftangan sentiasa membantu dalam mempromosikan produk kami. Malah, mereka turut menghantar beberapa pekerja mengikuti kursus ukiran batu di dalam dan luar negara bagi meningkatkan kemahiran mereka dalam bidang ini," jelasnya.

Perkara itu diakui Fatihad yang berpeluang menyertai Kursus Ukiran Batu di Kompleks Kraf Alor Setar dan Jogjakarta selama tiga bulan bermula Januari hingga Mac 2012 yang lalu.


FATIHAD sedang memotong blok marmar menggunakan sejenis pemotong gergasi.


"Daripada lima peserta yang mengikuti kursus tersebut, tiga daripadanya ialah wakil dari Fabillah Marble Craft. Banyak pengalaman yang kami peroleh ketika di sana dan ia membuatkan kami lebih bersemangat menjadi usahawan yang disegani ramai," ungkapnya sambil tersenyum.

Apa yang pasti, anak muda itu sentiasa mengingati pesanan ayahnya sebagai azimat buatnya menjalankan amanah tersebut.

"Ayah kerap berpesan agar buat kerja elok-elok demi meneruskan legasi yang telah beliau mulakan. Selain itu, ayah mahu saya jujur dalam melakukan urus niaga. Insya-Allah, saya tidak akan lupa dengan nasihat yang ayah berikan," luhur ungkapan Fatihad yang bercita-cita tinggi untuk menjadi jutawan produk kraf tangan marmar.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved