Kosmo Online - Negara |
Posted: Enam maut nahas Viva-basOleh MANIRAH OTHMAN dan HAMZAH SARAH
KEMAMAN – Enam termasuk empat beranak terbunuh dalam kemalangan ngeri melibatkan sebuah kereta Perodua Viva dan sebuah bas ekspres di Kilometer 129.5 Jalan Kuala Terengganu-Kuantan berhadapan Sekolah Kebangsaan Meraga, Beris dekat sini semalam. Tragedi pada pukul 4.30 pagi itu berlaku apabila kereta dinaiki lapan mangsa yang dalam perjalanan dari arah Kemaman menuju ke Kuala Terengganu memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung dengan bas terbabit. Difahamkan pemandu bas, Mohd. Khalid Mamat, 47, yang dalam perjalanan dari Kota Bharu, Kelantan menuju ke Kuantan, Pahang membawa 23 penumpang cuba memberhentikan kenderaannya apabila melihat kereta tersebut memasuki laluannya. Bagaimanapun, bas tersebut tidak sempat berbuat demikian menyebabkan kedua-dua buah kenderaan tersebut bertembung. Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini. | ||
Posted: Jimmy reda dengan perpisahanOleh WAZIHA WAHID
PETALING JAYA – Selepas dua tahun berdepan kontroversi rumah tangga, pengacara, Jimmy Shanley Nor Jahan Salleh akhirnya sah bercerai dengan isterinya, Nursuhaila Eliani Suhaimy secara tebus talak RM1. Serentak itu, bekas pengacara Trek Selebriti di saluran berbayar Astro itu, disahkan bercerai talak satu dengan Nursuhaila oleh Hakim Syarie Abd. Halim Abu Samah selepas masing-masing melafazkan tebus talak tersebut. Nursuhaila menyerahkan wang tebus talak RM1 itu kepada Jimmy sebelum prosiding bermula di Mahkamah Rendah Syariah Petaling dekat sini semalam. Sehubungan itu, Nursuhaila selaku plaintif bersetuju menggugurkan hak tuntutan nafkah edah, nafkah mutaah, nafkah tertunggak serta hutang piutang begitu juga dengan Jimmy yang tidak akan menuntut hutang sesama mereka. Perceraian secara tebus talak merupakan suatu perceraian yang diminta oleh isteri dengan memberi wang atau lain-lain harta benda kepada suaminya. Sekiranya suami tidak bersetuju menjatuhkan talak dengan kerelaannya sendiri tetapi bersetuju bercerai dengan cara penebusan atau dengan bayaran yang dipersetujui bersama, mahkamah hendaklah mengarahkan suami itu melafazkan cerai khulu. Sejurus selesai prosiding, Jimmy, 32, yang bergegas keluar dari dewan mahkamah sempat memberitahu media yang dia terpaksa memungkiri janji ibu mertuanya yang juga pengasas produk kecantikan Natasya, Datin Muniroh Kassim supaya tidak sesekali menceraikan Nursuhaila. "Nak buat macam mana, minat masing-masing berbeza, hobi pun tak sama, biarlah saya cari pasangan saya di Jannah (syurga)," katanya sambil menguntum senyuman pahit. Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini. | ||
UIAM, UiTM juara Debat Piala Perdana Menteri Posted: UIAM, UiTM juara Debat Piala Perdana MenteriNAJIB (tengah) menyampaikan hadiah kepada peserta UiTM, Mohd. Syafiq (tiga dari kiri), Noor Atiqah (kanan) dan Maizura (dua dari kanan) yang muncul johan kategori Bahasa Inggeris pada Pertandingan Debat Piala Perdana Menteri 2012. KUALA LUMPUR - Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan Universiti Teknologi Mara (UiTM) muncul juara Pertandingan Debat Piala Perdana Menteri 2012 peringkat akhir yang berlangsung di Universiti Malaya (UM) di sini semalam. UIAM menjuarai kategori Bahasa Melayu sementara UiTM pula dalam kategori Bahasa Inggeris. Pendebat UIAM yang bertindak sebagai pembangkang dibarisi oleh Abdul Muiz Mustafa, Fawza Sabila Fauzi, Muhamad Khairulanam Zulkeply dan Zulaikha Aini Mohamed Khair Johari berjaya membawa pulang wang tunai RM25,000, piala pusingan, piala iringan dan sijil penyertaan. Hadiah yang sama turut diterima oleh pendebat UiTM yang diwakili oleh Maizura Mokhsein, Mohd. Syafiq Ahmed Bazari, Noor Atiqah Mohd. Zaki dan Mohd. Mifzal Mohd. Murshidi Kieron. Naib juara kategori Bahasa Melayu ialah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan UIAM bagi kategori Bahasa Inggeris. Masing-masing membawa pulang wang tunai RM15,000, piala iringan dan sijil penyertaan. Pertandingan itu juga menyaksikan pendebat terbaik bagi kategori Bahasa Melayu dirangkul oleh Abdul Muiz manakala Maizura Mokhsein muncul pendebat terbaik kategori Bahasa Inggeris. Kedua-duanya membawa pulang wang tunai RM2,000 dan piala individu. Menurut Abdul Muiz, 21, kejayaan yang diperoleh itu berkat usaha gigih mereka selama dua minggu sebelum menghadapi pusingan akhir itu. "Kejayaan ini juga didorong oleh kerjasama sebagai satu pasukan," ujar pelajar tahun pertama jurusan Ekonomi di Kuliyyah Ekonomi dan Sains Pengurusan UIAM itu. Pertandingan akhir anjuran Yayasan Gerakan Kesederhanaan Global dan MyHarapan akhir itu me nyaksikan perdebatan UIAM dan UKM mengenai usul yang bertajuk 'Dewan ini percaya bahawa tukul dan perisai kekerasan perlu untuk melindungi kesederhanaan'. Sementara itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika berucap pada majlis penutup pertandingan debat itu berkata, suara golongan mahasiswa adalah penting yang perlu didengari oleh semua tetapi ia perlu berdasarkan kebenaran dan realiti. Beliau berkata, pandangan mahasiswa dalam usaha menggalakkan keterbukaan berfikir perlu berdasarkan fakta dan kebenaran dan bukan retorik yang tidak berpijak di bumi nyata. "Kita inginkan mahasiswa kita dahagakan pada ilmu dan mencari kebenaran serta melontarkan kebenaran meskipun ia adalah berbeza daripada kerajaan," katanya. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Negara To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan