Rabu, 10 Oktober 2012

Kosmo Online - Horizon


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Horizon


Dicabar kecuraman 45 darjah

Posted:

Dicabar kecuraman 45 darjah

Oleh AMMAR JAZLAN MAD LELA

MENGALAMI cakera tergelincir atau slipped disc sememangnya sangat menyakitkan kepada sesiapa yang pernah melaluinya. Selain terpaksa bergantung kepada ubat-ubatan atau menjalani rawatan fisioterapi yang kerap, pesakit juga mungkin terpaksa menjalani pembedahan sebagai jalan terakhir.

Bagaimanapun, Ridhwan Muhammad, 29, agak beruntung kerana kecederaan tulang belakang yang dialaminya sejak dua tahun lalu semakin pulih selepas menceburi aktiviti berbasikal.

Lebih mesra dengan panggilan Bob, dia mengakui sebelum ini cenderung menyertai ekspedisi penjelajahan hutan dan mendaki gunung.

"Ketika menyertai satu ekspedisi saya terjatuh dan cedera, azabnya hanya Allah yang tahu bayangkan dalam tempoh itu saya terpaksa berulang-alik ke hospital untuk mendapatkan rawatan.

"Doktor kemudiannya menyarankan saya supaya mencuba aktiviti berbasikal. Syukurlah, ia serasi dengan diri saya dan sejak itu sakit yang ditanggung semakin berkurangan," katanya yang menetap di Gombak, Selangor.

Disebabkan itu, Bob semakin komited dengan hobi baharu yang disertainya kira-kira empat bulan lalu termasuk menyertai pelbagai aktiviti berbasikal bersama kelabnya Dare To Fall. Bob juga menghadiri jambori basikal yang diadakan di seluruh negara.

Terbaharu, Bob bersama-sama 30 ahli kelab itu telah menjayakan program kayuhan ke Bukit Fraser yang terletak di Raub, Pahang.

Laluan yang ditempuh meliputi jarak kira-kira 70 kilometer (km) dari Empangan Sungai Selangor, Kuala Kubu Bharu ke menara jam yang sekian lama menjadi mercu tanda pengunjung ke pusat peranginan terkemuka itu.

Bercerita tentang pengalamannya itu, Bob berkata, misi menawan puncak Bukit Fraser sememangnya mencabar.

Tawan Fraser

"Bukit Fraser bukan begitu asing kerana saya pernah mendaki Gunung Pine Tree Hill dan Gunung Twin Peak di sini, namun bukanlah dengan berbasikal.

"Laluan sempit, berbukit dan penuh berliku sememangnya menguji kekuatan mental dan fizikal setiap peserta," katanya yang menggunakan basikal jenis Raleigh 29 er yang dibelinya pada harga sekitar RM2,300.

Menurut Bob, semasa melakukan kayuhan beliau sentiasa meletakkan matlamat jangka pendek dan panjang. Dia kemudiannya akan menghadiahkan ganjaran kepada diri sendiri apabila berjaya tiba di tempat tersebut.

"Secara tidak langsung ia mampu meningkatkan motivasi di samping memastikan kayuhan saya sentiasa bertenaga bagi mendapatkan ganjaran hasil kerja keras tersebut," katanya.

SERAMAI 30 peserta menyahut cabaran misi kayuhan ke Bukit Fraser yang dianjurkan oleh kelab Dare To Fall baru-baru ini.


Bagi pengasas kelab basikal kelab Dare To Fall, Hilmy Ishak, laluan ke Bukit Fraser dipilih kerana ia menjanjikan pelbagai cabaran kepada peserta untuk menamatkan kayuhan masing-masing.

Selain diuji dengan bentuk muka bumi yang mencabar, peserta juga perlu mengharungi rasa penat dan faktor psikologikal disebabkan tempoh perlumbaan yang panjang.

"Pada peringkat awal kayuhan mungkin tidak terlalu mencabar, namun cabaran sebenarnya hanya bermula tatkala kesemua peserta berjaya melepasi Rumah Rehat Gap.

"Laluan sepanjang lapan kilometer menuju ke puncak mencecah kecerunan 45 darjah memaksa peserta sentiasa menggunakan gear rendah, malah adakalanya menolak basikal mereka.

"Bagaimanapun saya gembira kerana kesemua peserta berjaya menamatkan kayuhan masing-masing dengan jayanya sehingga ke menara jam, biarpun ada antaranya yang tiba lewat sikit daripada masa yang ditetapkan," katanya.

Kelab riadah sekeluarga

Ditubuhkan pada bulan September tahun lalu, Hilmy berkata, kelab yang berkonsepkan riadah keluarga itu bermatlamat mengumpulkan peminat aktiviti berbasikal khususnya di sekitar kawasan Gombak.

Ujar Hilmy, pihaknya mengambil masa hampir seminggu untuk merancang program kayuhan ke Bukit Fraser itu yang turut disertai beberapa peserta daripada Metro Cycling Club, Cat Road Cycling Club (CRCT) dan Cylo Motion.

Mempunyai keahlian mencecah 70 orang bermula antara umur 17 hingga 50 tahun, Hilmi memberitahu, pihaknya turut mengadakan kayuhan mingguan yang diadakan pada setiap hari Selasa dan Khamis.

"Antara lokasinya ialah di sekitar Bukit Tunku dan Lebuhraya Kuala Lumpur-Kuala Selangor (LATAR)," jelasnya.

Sementara itu, Mohd. Naim Abdul Rahman, 50, berkata, penyertaannya dalam program itu adalah kerana mahu mencuba sesuatu yang baharu, selain mempelbagaikan aktiviti hujung minggu.

Pada masa yang sama, dia juga mahu membuktikan keupayaan sebenar dan menguji stamina dirinya dalam berhadapan aktiviti lasak.

"Bukan mudah untuk mengayuh basikal ketika mendaki bukit, kaki kena kuat dan kemampuan teknikal untuk mengendalikan basikal perlu ada.

"Saya hanya ingin mencabar diri kerana ia bukan satu pertandingan sebaliknya aktiviti riadah semata-mata. Selagi tidak mencuba, kita tidak akan tahu kemampuan sebenar diri," ujarnya yang sering berkayuh di sekitar Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) dan kawasan perumahannya di Bandar Baru Selayang.

Tambah Mohd. Naim, ketika melakukan kayuhan selain kecergasan dan stamina, penunggang juga perlu sentiasa fokus agar setiap kayuhan tidak lari daripada tempo sehingga menyebabkan kemalangan.

"Perlu diingat, jarak perjalanan dan tempoh kayuhan yang lama akan membuatkan kita letih dan jemu. Sebaiknya kayuhan mestilah dilakukan dalam kumpulan kecil bagi memastikan kita tidak terlalu ketinggalan daripada ahli-ahli yang lain," ujar beliau.

Pada pandangan beliau, aktiviti berbasikal dilihat lebih selamat dan sesuai untuk golongan berusia seperti dirinya.

"Pada zaman muda-muda lain, badan dan tulang masih kuat, masa itu sebut sahaja sukan apa semuanya mahu dicuba.

"Namun pada usia begini, saya kena lebih berhati-hati, lagi pun anak kedua saya, Farisa Amanda, 19, sering menemani saya menunggang basikal. Selain badan cergas, ia dapat mengeratkan hubungan kekeluargaan," ujarnya.

Fraser yang masih hijau


KEKUATAN mental dan fizikal peserta teruji setiap kali melalui laluan berliku yang mempunyai kecerunan sehingga 45 darjah.


Bagi Zahari Abdul Ghani, 35, kawasan Bukit Fraser agak istimewa kerana ia antara kawasan peranginan yang masih terpelihara.

Katanya, sebaik berada di situ pengunjung seolah-olah berada di perkampungan di Scotland yang gah dengan binaan bangunan dan banglo mengikut cita rasa kolonial British.

"Di samping itu, lokasi ini juga sering menjadi tumpuan para penggemar alam semula jadi kerana hutan di sini dipenuhi dengan pelbagai jenis tumbuhan, burung dan spesies haiwan yang lain.

"Kini, ia turut menarik peminat aktiviti rekreasi seperti berbasikal, papan luncur dan sebagainya, sekali gus memberi nilai tambah kepada Bukit Fraser," ujarnya.

Populariti segway di resort seluruh dunia

Posted:

Populariti segway di resort seluruh dunia


SEGWAY adalah kenderaan yang cukup lasak untuk digunakan bagi meredah kawasan hutan dan bukit.


PELBAGAI cara dilakukan oleh pasangan suami isteri untuk meraikan ulang tahun perkahwinan masing-masing. Di luar negara misalnya, ada pasangan yang menaiki karavan mengelilingi beberapa kawasan percutian atau bercuti di atas kapal persiaran.

Bagi pasangan warga emas, Lori Kelly dan suaminya, Gene, sambutan ulang tahun kedua perkahwinan mereka diraikan dengan cara berbeza.

Pasangan itu memilih mengikuti jelajah kawasan hutan di Omni Bedford Springs Resort & Spa, Pennsylvania, Amerika Syarikat menggunakan pengangkutan dikenali sebagai segway.

Segway yang diperkenalkan sedekad lalu merupakan kenderaan beroda dua, menggunakan bateri dan sistem pengimbang ketika bergerak.

Penggunaannya cukup mudah iaitu membongkok ke depan untuk bergerak ke hadapan, manakala anda perlu membongkok ke belakang bergerak ke belakang. Sementara itu, untuk bergerak ke kiri atau ke kanan pula anda hanya perlu memusing stereng depan.

Pengalaman hebat

Segway seakan-akan mendapat nafas baharu apabila kebanyakan resort di seluruh dunia menawarkan satu pakej lawatan sambil menunggang kenderaan tersebut.

"Ia pengalaman yang amat hebat dan unik terutama kepada golongan seusia saya. Satu percutian yang mencabar dan kurang risiko kecederaan," kata Kelly, 59. Suaminya pula berumur 64 tahun.

Ketika ini, untuk melihat segway sebagai alat pengangkutan harian agak sukar, namun ia mempunyai kelebihan terutama bagi kawasan bandar atau untuk kegunaan anggota polis meronda sekitar kompleks beli-belah.

Pengendali resort mendapati reka bentuk segway mampu menarik para tetamu untuk mencuba pengangkutan itu.

"Anda tidak perlu kemahiran khusus untuk menunggang segway," kata Kelly, Pengarah Eksekutif di American Red Cross, Virginia Barat.

Wanita itu dan suaminya melancong pada pertengahan bulan September lalu selama tiga hari dua malam dari kediaman mereka di Shepherdstown.

Mereka turut melakukan pelbagai aktiviti termasuk membeli-belah dan makan malam dalam suasana romantik, tetapi keunikan percutian itu adalah menunggang segway selama 90 minit dengan bayaran AS$90 (RM275).

"Setelah pandai menunggang segway, anda akan rasa perjalanan tersebut menjadi lancar dan selesa," katanya.

Seorang lagi pengguna, Lois Crosby, 62, yang mengikuti suaminya bercuti turut mengambil kesempatan menunggang segway di Kingsmill Resort, Williamsburg, Virginia.

"Semua yang mengikuti percutian itu pergi bermain golf, tetapi saya tidak berminat. Jadi, saya menghabiskan masa selama 90 minit mengikuti satu pakej lawatan sambil menunggang segway dengan bayaran RM198.

"Ia sangat mengujakan dan menyeronokkan. Segway mudah dikendalikan," kata Crosby yang datang dari Germantown, Philadelphia.

Keterujaan itu turut dikongsi pasangan John Wilson, 50, dan isterinya, Melissa yang sebelum ini tidak pernah menunggang segway.

Mereka bercuti di The Homestead Resort di Hot Springs, Virginia.

Lawatan selama 90 minit itu bermula di Memorial Day hingga ke kawasan hutan di resort berkenaan. Para tetamu dapat menyaksikan pemandangan gunung serta melihat kehidupan liar seperti beruang, rusa dan helang.

Ia membabitkan kos sebanyak RM215 seorang.

"Saya berkata kepada isteri, saya rasa seperti pendaki," luah Wilson.

Di Amerika Syarikat harga perkhidmatan tersebut bagi lawatan selama 90 minit adalah antara RM180 hingga RM380 seorang.

Pakej istimewa

Bagaimanapun, destinasi Paradisus Punta Cana yang terletak di Republik Dominica menawarkan pakej istimewa iaitu lawatan selama 45 minit dengan bayaran sebanyak RM107 seorang.

KIRI: Paris menawarkan aktiviti bersiar-siar menggunakan segway mengelilingi kota itu.


Shangri-La Golden Sands Resort di Malaysia pula mengambil pendekatan berbeza dengan menawarkan harga termurah iaitu cuma RM30 seorang bagi lawatan selama 15 minit.

Dalam pada itu, sesetengah resort meletakkan syarat-syarat tertentu untuk menunggang segway seperti had umur dan berat badan antara 15 hingga 118 kilogram (kg) sahaja.

Terdapat juga pihak yang menawarkan lawatan secara santai, pengembaraan lasak atau kedua-duanya sekali bergantung kepada permintaan pelanggan.

Penunggang juga tidak memerlukan lesen dan kebanyakan resort menyediakan topi keledar.

Segway mempunyai kelajuan sehingga 20 kilometer perjam (kmj).

Ketika lawatan terutama secara kumpulan, segway kebiasaannya dibawa lebih perlahan dan jarak perjalanan antara enam hingga lapan kilometer bagi tempoh 90 minit.

Latihan asas

Pihak hotel juga menyediakan latihan asas kepada pelanggan yang dilakukan di kawasan parkir atau di tengah-tengah padang.

Apabila tetamu mampu menguasai segway, mereka dibenarkan untuk meneruskan perjalanan di laluan yang telah ditetapkan.

Di Turtle Bay Resort, Hawaii, misalnya, para tetamu yang menunggang segway bukan sahaja boleh melihat penyu, malah sami-sami berjemur di tepi pantai.

Di O'Reilly's Gold Coast, sebuah resort di Taman Negara Lamington, Australia, para tetamu pula dibawa persekitaran hutan dan sungai kecil menggunakan segway. - AP

Segalanya tentang padi

Posted:

Segalanya tentang padi

Oleh NORLIDA AKMAR IDROS


MUZIUM padi di kaki Gunung Keriang menjadi muzium kebanggaan warga Kedah.


BAGI mereka yang merancang untuk bercuti di negeri jelapang padi, Kedah, jangan lupa singgah di Muzium Padi yang terletak di kaki Gunung Keriang iaitu kira-kira lapan kilometer dari bandar Alor Setar.

Kunjungan anda ke muzium itu yang dibina berasaskan bentuk 'gemal padi' iaitu serumpun padi yang telah dikerat dan diikat bersama pasti menjanjikan kepuasan.

Ini kerana, selain menyajikan pelbagai maklumat berkaitan padi, pengunjung juga berpeluang menikmati pemandangan indah Gunung Keriang dan sawah padi yang melatari pemandangan muzium itu sendiri.

Malah, panorama seluruh kawasan Gunung Keriang turut dilukiskan di atas mural sepanjang 103 meter dan tinggi 10 meter di dalam muzium tersebut.

Lukisan mural itu memberikan maklumat tentang penanaman padi iaitu daripada proses membajak hinggalah hasil tanaman dituai.

Bagi golongan muda dan penduduk bandar, mereka pasti teruja melihat pelbagai jenis alat penanaman padi tradisional yang digunakan pesawah dahulu sebelum penggunaan mesin diperkenalkan di negara ini.

Antaranya ialah tenggala, penyisir, tenggiling belangkas dan tenggiling belimbing, kuku kambing dan set pemukul padi.

Setelah selesai melawat ketiga-tiga aras muzium, pengunjung berpeluang membeli buah tangan seperti cenderamata dan makanan tradisional contohnya kuih karas, putu beras dan baulu yang dijual di kedai muzium di tingkat bawah bangunan berkenaan.

Ketua Unit Muzium Padi, Mohd. Zahari Saud berkata, muzium yang mula dibuka kepada orang ramai pada 10 Oktober 2004 itu memberi banyak pengetahuan kepada pengunjung mengenai proses penanaman padi dan peralatan yang digunakan.

"Jika anda mahu mengenali Kedah, negeri yang terkenal dengan jolokan negeri Jelapang Padi, datang ke Muzium Padi yang pasti memberi pendedahan terperinci berkaitan padi," katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Karnival

Menurutnya, tidak ramai yang tahu tentang peralatan tradisional yang digunakan pesawah dahulu.

Di Muzium Padi pengunjung boleh melihat sendiri alat penanaman padi yang kini tidak lagi ditemui kerana pesawah moden sudah menggantikannya dengan mesin canggih.

"Di sini, kita boleh tahu kepayahan orang dahulu menanam padi untuk mendapatkan beras berbanding masa kini yang jauh lebih mudah," jelasnya.

Kata Mohd. Zahari, bagi merancakkan lagi aktiviti di Muzium Padi, pihak Lembaga Muzium Negeri Kedah mengadakan Karnival Muzium Padi dari 27 September hingga 6 Oktober lalu dengan sasaran pengunjung seramai 100,000 orang.

"Sepanjang karnival ini, kita adakan persembahan artis terkenal, pembukaan pelbagai jenis gerai pameran, jualan dan aktiviti sukan bendang," ujarnya.

Paling menarik adalah sukan bendang kerana pengunjung boleh menyertai pelbagai acara antaranya, polo bendang, menangkap ikan, menangkap itik, menanggung padi dan larian terpantas.

"Ini tahun kedua karnival itu diadakan dan kita mungkin akan anjurkannya sebagai acara tahunan jika terus mendapat sambutan baik daripada pengunjung," katanya.

Tambah Mohd. Zahari, selain pengunjung tempatan, muzium itu turut terkenal sebagai lokasi tumpuan pelancong antaranya dari Thailand, Singapura dan Myanmar.

Seorang guru Tabika Kemas Kampung Paya Pulau Dudur, Jitra, Rosma Ibrahim, berkata, setiap tahun dia akan membawa pelajarnya melawat ke Muzium Padi bagi mendedahkan mereka tentang proses penanaman padi dengan lebih dekat.

"Ramai yang hanya tahu makan nasi sahaja, tetapi tidak tahu proses dan alat penanaman padi sebelum ia menjadi beras.

"Dengan lawatan ini, mereka akan lebih faham kerana di sini ada banyak gambar menunjukkan proses dan musim penanaman padi yang menarik," jelasnya.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved