Rabu, 10 Oktober 2012

Kosmo Online


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online


Jangan naik teksi yang sudah ada penumpang

Posted:

Jangan naik teksi yang sudah ada penumpang

10/10/2012 7:38pm

KUALA LUMPUR - Polis hari ini menasihati orang ramai supaya tidak menaiki teksi yang sudahpun dinaiki penumpang sebagai langkah keselamatan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah berkata, ini berikutan insiden pemandu teksi dan penumpang menyamun seorang warganegara asing di Lebuhraya Kuala Lumpur-Putrajaya (MEX) semalam.

Beliau berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 10 malam itu, seorang buruh kasar warganegara India kerugian RM3,000 setelah disamun tiga lelaki warga tempatan sebelum ditinggalkan di tepi jalan di KM9.4 MEX.

"Mangsa yang dalam perjalanan pulang ke Kajang tiba-tiba diugut bunuh oleh seorang daripada `penumpang' teksi itu jika tidak menyerahkan wang. Selepas menyerahkan wang, dia ditinggalkan di tepi jalan itu," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur di sini hari ini.

Beliau berkata, seorang Inspektor Polis di Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman yang kebetulan melalui lebuh raya itu, menemui mangsa yang meminta pertolongan.

"Inspektor polis berkenaan terus mengejar teksi itu sebelum dapat menghalangnya dengan motosikal yang dinaikinya dan dapat memberkas pemandu teksi berusia 35 tahun itu tetapi dua lagi rakannya melarikan diri," katanya.

Chin Wah berkata, siasatan awal mendapati suspek tidak mempunyai rekod jenayah dan teksi yang digunakannya pula disewa.

Menurut beliau, modus operandi mereka ialah pemandu teksi akan mengambil penumpang di sekitar pusat bandaraya walaupun sudah mempunyai penumpang lain, yang sebenarnya ialah rakan jenayahnya. - BERNAMA

Penghantar surat dipenjara 50 tahun, sebatan

Posted:

Penghantar surat dipenjara 50 tahun, sebatan

10/10/2012 7:28pm

KUALA LUMPUR - Seorang penghantar surat hari ini dijatuhkan hukuman penjara 50 tahun dan 18 sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini terhadap dua tuduhan merogol seorang pelajar di kawasan semak di Gombak, dekat sini, pada April tahun lepas.

Hakim Rozianayati Ahmad menjatuhkan hukuman tersebut terhadap Mohd. Mazrin Mustafa, 21, selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.

Bagi tuduhan pertama, Mohd. Nazrin dihukum penjara 25 tahun dan lapan sebatan manakala pertuduhan kedua yang sama dia dihukum penjara 25 tahun dan 10 sebatan.

Hakim memerintah hukuman penjara tersebut dijalankan serentak mulai hari ini.

Dalam penghakimannya, Roszianayati berkata, Jabatan Kimia mengesahkan asid deoksiribonukleik (DNA) tertuduh terdapat di dalam kemaluan mangsa dan tiada kecacatan dari segi pengambilan sampel yang dibuat.

Mengikut fakta kes, mangsa yang berusia 15 tahun ketika itu pulang dari sebuah pusat beli belah di Jalan Imbi di sini bersama jirannya menaiki sebuah motosikal apabila ditahan oleh tertuduh yang mendakwa dirinya polis.

Tertuduh kemudian membawa mangsa ke satu kawasan semak sebelum dia dirogol.

Mohd. Nazrin didakwa merogol pelajar itu dua kali tanpa kerelaannya, di kawasan semak di Gombak, di antara pukul 1.40 pagi hingga pukul 4.30 pagi, 3 April 2011.

Bagi kedua-dua tuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 376(2)(d) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan boleh disebat, jika sabit kesalahan. - BERNAMA

5 lelaki larikan kereta mewah ditahan polis

Posted:

5 lelaki larikan kereta mewah ditahan polis

10/10/2012 7:20pm

JASIN - Polis berjaya menahan lima lelaki yang dipercayai terlibat dalam kes samun dan curi lima kereta mewah di sebuah pusat pameran jualan kereta di Bandar Sungai Long di Kajang, bulan lepas.

Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Supritendan Muhd. Nur Hishamuddin Hashim berkata, kesemua mereka yang berumur antara 20 hingga 40 tahun itu ditahan pada pukul 5.20 petang semalam berhampiran jeti Anjung Batu Umbai selepas pulang dari Pulau Besar dekat sini hasil maklumat awam.

Beliau berkata, polis turut merampas dua buah kereta jenis Honda Accord yang dianggar bernilai RM300,000 sekali gus menemui kesemua kenderaan yang dilarikan dari pusat pameran berkenaan setelah tiga daripadanya ditemui polis sebelum ini.

Katanya, sejam sebelum itu, polis telah melakukan pemeriksaan ke atas dua buah kereta berkenaan yang tidak mempunyai cukai jalan di tempat letak kereta jeti tersebut.

"Polis kemudian mengekori lima lelaki terbabit yang tiba di jeti menaiki bot penambang sebelum salah seorang daripada mereka cuba membuka pintu sebuah daripada kereta berkenaan," katanya kepada pemberita dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jasin di sini hari ini.

Muhd. Nur Hishamuddin berkata, polis kemudian menahan lelaki terbabit sebelum empat lagi rakannya cuba melarikan diri namun gagal. - BERNAMA

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved