Khamis, 11 Oktober 2012

Kosmo Online - Hiburan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Hiburan


Ika Nabila ingin jadi versatil

Posted:

Ika Nabila ingin jadi versatil

GADIS jelita yang bernama Ika Nabila ini, semakin kerap menghiasi kaca televisyen melalui drama bersiri lakonannya yang tampil dengan pelbagai watak sama ada yang serius mahupun komedi.

Namun, tidak dinafikan, bakat lakonan Ika Nabila atau lebih mesra disapa sebagai Ika, makin lama makin menjadi dan ternyata bakat lakonannya lebih menyerlah daripada nyanyian.

Ika yang merupakan bekas peserta program realilti Akademi Fantasia musim ke-6 juga menyedari perkara tersebut.

Namun, akui gadis berusia 23 tahun ini, menyanyi dan berlakon mempunyai kepuasan yang berbeza buat dirinya yang kini lebih dikenali sebagai seorang pelakon berbanding penyanyi.

"Memang saya bermula sebagai seorang penyanyi, tapi kini keghairahan saya telah beransur lebih ke arah lakonan. Mungkin kerana saya kerap berlakon daripada menyanyi dan kepuasan berlakon juga berbeza.

"Mungkin kini, saya rasa saya lebih sesuai berada di bidang lakonan kerana apabila saya pergi ke mana-mana acara, khalayak akan lebih dikenali sebagai pelakon dan bukannya penyanyi.

"Namun, sejujurnya saya memang meminati kedua bidang ini. Ini kerana dari kecil, saya memang minat kepada nyanyian. Saya tidak sangka pula akan dikenali khalayak dalam bidang lakonan," bicara Ika yang ditemui ketika sidang akhbar drama lakonan terbaharunya, Darjat di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Ceritanya panjang lebar tentang permulaan karier sebagai pelakon, katanya, orang pertama yang menawarkan watak dalam bidang lakonan ialah Zulkifli M. Osman dan sejak itu, rezeki dalam lakonan semakin menjadi.

Masih aktif menyanyi

Walaupun dilihat jelas rezeki bagi Ika lebih memihak kepada bidang lakonan, namun, kerana minat sejak kecil, Ika masih lagi ingin aktif dalam nyanyian.

"Saya masih lagi aktif dalam bidang nyanyian, dan kini saya banyak terlibat dengan Kementerian Belia dan Sukan (KBS). Saya akan mengikut KBS ke Sarawak, Kelantan, Terengganu dan serata Malaysia untuk membuat persembahan.

"Sebagai seorang yang mulakan karier sebagai penyanyi, saya masih lagi menyanyi. Jika ada penggambaran pada sebelah siang, saya akan mengambil tawaran menyanyi pada sebelah malam atau pun pada hari minggu.

"Saya akan masih lagi terima dan membuat persembahan," tuturnya yang pernah punya single duet berjudul Tiada Rasa bersama Alif Razali.

Berbicara tentang perancangan menghasilkan single terbaharu, kata Ika, memang ada namun dia masih mencari lagu yang sesuai dan bertanya pendapat dan meluahkan hajat kepada beberapa komposer bagi penghasilan single yang akan berentak balada kelak.

Ujar gadis kelahiran Pulau Pinang ini, dia ingin menjadi seorang anak seni yang versatil. Dia bukan sahaja ingin aktif dalam lakonan dan nyanyian, namun katanya, jika diberi peluang dalam bidang pengacaraan, peluang tersebut tidak akan disia-siakan.

"Saya rasa jika peluang itu terbuka untuk saya, tiada salahnya jika saya mencuba pula dalam bidang lain. Saya mahu cuba semua, dan ingin lihat mana satu yang sesuai dengan diri saya dan boleh menjadi mata pencarian saya.

"Saya ingin jadi seorang wanita yang versatil, di mana, saya tidak hanya tertumpu kepada satu bidang sahaja. Sebenarnya, saya pernah mendapat tawaran jadi penyampai radio di salah sebuah stesen radio swasta tapi masih lagi perlu dirahsiakan maklumatnya," ujarnya sambil ketawa kerana terlepas cakap tentang tawaran tersebut.

Kisah cinta Ika

Ika pernah digosipkan bercinta bersama seorang pengkid yang bernama Adlin. Namun, kata Ika yang menafikan gosip tersebut, Adlin sebenarnya merupakan pengurus kegiatan seninya sejak dia keluar dari Akademi Fantasia lagi.

Namun, setelah beberapa kali diterjah tentang isu yang sama, cerita tersebut telah beransur sunyi. Bagi Ika, yang ketika itu masih hijau dalam industri menganggap kontroversi tersebut sebagai asam garam kehidupan sebagai artis dan tidak kurang juga menaikkan namanya dalam industri.

Namun, setelah itu, Ika kini dikatakan punya teman lelaki yang merupakan seorang anak VIP dan punya perancangan ingin berkahwin. Ketika soalan itu diajukan kepada Ika, gadis ini menjawabnya dengan senyuman dan diselangi dengan ketawa.

"Belum lagi, saya tidak punya teman lelaki lagi dan saya tidak bercinta bersama sesiapa pun lagi. Saya rasa belum masa untuk saya bercinta atau berkahwin.

"Ini kerana saya merupakan anak perempuan tunggal daripada empat orang adik-beradik dalam keluarga. Agak rugi jika saya berkahwin awal kerana saya ingin memberi fokus terhadap karier saya dahulu," jawab Ika yang dilihat ceria sepanjang sidang akhbar tersebut.

Itu majlis Hero Remaja - Aeril Zafrel

Posted:

Itu majlis Hero Remaja - Aeril Zafrel

Oleh SITI KAMILAH MUSTAPHA


AERIL ZAFREL memberitahu, dia sebenarnya baru pulang dari Indonesia selepas mendalami ilmu agama di sekolah pondok di negara tersebut.


PELAKON kacak ini tiba-tiba dikejutkan dengan gosip pada hujung minggu lalu bahawa dia menghadiri acara sosial yang dihadiri golongan 'adik-adik' (golongan lelaki berkelakuan seperti perempuan) baru-baru ini.

Padahal sebelum ini, empunya badan, Aeril Zafrel, 23, telah mencanang kisahnya yang sedang mendalami ilmu agama di sebuah sekolah pondok di Indonesia.

Aeril atau nama sebenarnya, Suhairil Sunari, berubah ke arah lebih baik kerana sering bermimpi arwah ibunya yang menegur kesilapan yang dilakukan sebelum itu.

Selain itu, pelakon filem Tujuh Petala Cinta dan Cinta Kura-Kura ini juga turut dinasihati oleh seorang ustaz supaya tidak mendedahkan anggota badannya untuk tatapan umum ketika berlakon.

Dia yang mula dikenali dengan filem Aku Tak Bodoh menganggap gosip yang mendakwa dia masih ke acara sosial walaupun sedang mendalami ilmu agama itu sebagai gurauan sahaja.

Tidak melatah dan marah dengan gosip, Aeril tetap bersyukur kerana pergerakannya menjadi buah mulut orang sekeliling dan kepada Kosmo! dia menjelaskan segala-galanya.

Kosmo!: Adakah Aeril tahu mengenai gosip yang mengatakan anda menghadiri acara sosial yang turut dihadiri golongan 'adik-adik'?

AERIL ZAFREL: Ya, saya tahu gosip itu apabila diberitahu oleh seorang kawan. Saya baca dan terus tergelak.

Kenapa anda tergelak membacanya?

Sebab saya rasa, penulis itu patut tulis dengan jelas acara itu. Ia bukan acara sosial sebenarnya tetapi Anugerah Hero Remaja 2012 yang diadakan 20 September lalu di Kuala Lumpur. Saya rasa tak salah pergi ke majlis tersebut, malah penerbit filem David Teo pun ada datang sebagai juri.

Jadi tidak benarlah anda menghadiri acara sosial seperti yang didakwa gosip tersebut?

Sudah tentu tidak benar, saya rasa itu bukan acara sosial, tetapi satu majlis anugerah.

Apa anda buat dalam majlis itu?

Saya hanya memberi sokongan kepada seorang rakan yang dikenali Ben yang menyertai pertandingan itu, dia antara Top 20 Hero Remaja 2012.

Anda pasti itu acara yang dimaksudkan, bukan acara sosial lain?

Sudah tentu saya pasti. Saya tidak ke mana-mana kelab malam lain atau parti 'adik-adik' yang dimaksudkan. Kali terakhir saya ke kelab malam adalah pada tahun lepas dan sekarang tidak pernah pergi lagi. Lagipun itu bukan parti 'adik-adik'.

Adakah anda pernah ke mana-mana acara sosial yang melibatkan golongan 'adik-adik' sebelum ini?

Alhamdulillah tidak ada. Saya memang jelas mengenai perkara itu.

Apa perasaan anda apabila terkena tempias gosip sebegini?

Saya terima sahaja perkara itu sebagai ujian Tuhan dan itu hanya pandangan orang lain. aya tidak boleh halang.

Apa projek filem atau drama terbaharu anda?

Saya sudah hadkan aktiviti seni untuk tumpukan kepada ilmu agama. Saya baru pulang dari Indonesia kerana belajar sekolah pondok, sekarang ada di Kuala Lumpur dan selepas ini akan berjumpa guru-guru agama di sini pula.

Tentang karier pula, saya akan muncul dengan filem terbaharu iaitu Budak Pailang dan 99 Kali Rindu.

Ketelitian kualiti AIM 19

Posted:

Ketelitian kualiti AIM 19

Oleh KHAIRUL AMRI HASSAN

PENGERUSI Jawatankuasa Penganjur AIM 19, Rosmin Hashim (empat dari kiri) bergambar dengan barisan juri dan tulang belakang ahli Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM) pada sidang akhbar AIM 19 di Hotel Royal Chulan, Kuala Lumpur baru-baru ini.


KESAN kesilapan tahun lalu, Anugerah Industri Muzik 19 tahun ini terkena badinya. Bukan saja kurang sokongan daripada sudut penyertaan penggiat seni tanah air, malah juga sokongan daripada pihak penaja.

Anugerah yang akan mempertandingkan lagu-lagu pengkarya tempatan sepanjang bulan Julai 2011 hingga Jun 2012 itu secara puratanya didominasi oleh calon penyanyi yang sama dalam beberapa kategori seperti Yuna, Jaclyn Victor, Stacy, Nora dan band Hujan.

Faktanya, enam pencalonan daripada Yuna tercalon dalam lima kategori iaitu Kulit Album Terbaik, Video Muzik Terbaik, Lagu Pop Terbaik, Lagu Inggeris Tempatan Terbaik (dua pencalonan) dan Susunan Muzik Terbaik Dalam Lagu.

Begitu juga Jac yang tercalon dengan jumlah yang sama menerusi kategori Persembahan Vokal Terbaik Dalam Lagu Wanita (dua pencalonan), Lagu Pop Terbaik (dua pencalonan), Lagu Inggeris Tempatan Terbaik dan Susunan Muzik Terbaik Dalam Lagu.

Paling mencuri tumpuan adalah pencalonan dalam kategori Lagu Pop Etnik Terbaik yang kelima-lima lagu didominasi oleh ratu pop etnik Malaysia, Noraniza Idris menerusi lagu Endang Endong Cintaku Satu, Hari Demi Hari, Kuasa Cinta, Mahligai dan Menarik Hati.

Itu tidak menjadi hal kerana biarpun penyanyi yang sama tersenarai lima lagu terbaik dalam satu kategori, penilaian akan dibuat berdasarkan komposer atau penulis lirik.

Popular atau kualiti

Jelas sekali jika diteliti, tiada nama penyanyi popular semasa tempatan yang menghiasi carta lima terbaik setiap kategori. Ke mana hilangnya Aizat, Alyah, Hafiz, Anuar Zain dan mungkin Najwa Latif?

Menjawab persoalan yang timbul ekoran tiada pencalonan penyanyi-penyanyi terkenal dan lagu-lagu popular sepanjang tempoh setahun ke belakang, Pengerusi Jawatankuasa Penganjur AIM 19, Rosmin Hashim tampil memberikan jawapan.

"Prinsip AIM sejak dari dahulu lagi adalah memartabatkan produk-produk tempatan yang bukan berlandaskan populariti semata-mata. AIM bukan berunsurkan komersial sebaliknya kualiti sesebuah rakaman lagi.

"Ini bukan anugerah berasaskan populariti, sebaliknya hasil kerja. Mungkin lagu-lagu lain selain yang tercalon ini tidak menepati kriteria yang telah ditetapkan tapi tidak bermakna lagu itu tidak bagus," katanya yang ditemui ketika majlis sidang akhbar AIM 19 di Hotel Royal Chulan, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Kembali meneliti beberapa pencalonan, terkandung nama penyanyi dan kumpulan yang diketahui umum bukan warganegara Malaysia. Hal status kerakyatan kembali menjadi isu.

"Calon tidak semestinya warganegara Malaysia untuk melayakkan seseorang itu bertanding dalam AIM, sebaliknya mereka yang memiliki kerakyatan luar, tetapi menandatangani kontrak bersama syarikat rakaman tempatan yang bernaung di bawah Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM) boleh bertanding dalam AIM," ujarnya menjawab kesahihan penyertaan Stephen Rahman Hughes dan kumpulan duo Sleeq.

Sementara itu, Rosmin menegaskan bahawa syarat lagu yang dipertandingkan sebenarnya mengikut tarikh kod nada lagu (dalam format digital) dikeluarkan dan bukanlah berdasarkan tarikh sesebuah lagu itu disiarkan di radio.

Pencalonan hambar

Cuba mengembalikan maruah yang tercalar akibat kesalahan pengiraan tahun lalu, firma audit Ernst & Young digantikan dengan KPMG dan Macomm Management Sdn. Bhd. sebagai firma profesional penyeliaan anugerah.

Malah seramai 57 orang juri profesional terdiri daripada komposer, penulis lirik, artis, penerbit album, jurutera bunyi dan penerbit kulit album dilantik sepanjang proses penghakiman 465 pencalonan untuk AIM 19.

Antaranya Datuk M.Nasir, Afdlin Shauki, Aylwin Santiago, Edrie Hashim, Edry KRU, Helen Yap, Ghaz Abu Bakar, Buddhi Hekayat, Pak Ngah Suhaimi, Syafinaz dan Adnan Abu Hassan selaku ketua juri.

Kata Adnan, dia akan berusaha memastikan keputusan yang telus dan tidak akan timbul sebarang pertikaian selepas usai majlis kelak. Adnan bagaimanapun kecewa dengan pencalonan yang diterima tahun ini.

"Perkara yang harus diakui, pencalonan yang diterima tahun ini tidak banyak dan semeriah lima atau enam tahun lalu. Mungkin kebanyakan penyanyi sekarang lebih gemar keluarkan single demi single berbanding album penuh," getusnya.

AIM 19 akan disiarkan secara langsung dari Stadium Malawati Shah Alam, Selangor bermula pukul 9 malam secara eksklusif di saluran Astro Ria (104) pada 17 November ini.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved