Khamis, 11 Oktober 2012

Kosmo Online


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online


Dua ditahan bantu siasatan kes bunuh

Posted:

Dua ditahan bantu siasatan kes bunuh

11/10/2012 7:18pm

SHAH ALAM - Polis menahan seorang wanita dan lelaki bagi membantu siasatan kes peniaga tayar yang mati dibunuh bersama teman wanitanya di Taman Segar Perdana, Kajang, Selangor pada 13 September lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Kosimioner, Mohd. Adnan Abdullah berkata, suspek masing-masing berumur 48 dan 20 tahun ditahan pada kira-kira pukul 2 petang semalam di sebuah rumah di Triang, Pahang dan kini ditahan reman.

"Polis turut merampas sebilah parang, dua gari, tiket berlogo polis, jaket dan sebuah kereta yang dipercayai digunakan suspek," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau berkata, reman terhadap wanita yang juga isteri kepada mangsa (peniaga tayar) yang ditahan Sabtu lepas, dilanjutkan sehingga 13 Oktober ini bagi membolehkan polis meneruskan siasatan.

Media sebelum ini melaporkan seorang ahli perniagaan yang mempunyai rangkaian kedai tayar di sekitar Lembah Klang dan teman wanitanya ditemui mati dibunuh dengan kesan tetakan pada badan, tangan dan leher di rumahnya di Taman Segar Perdana.

Mangsa dikenali sebagai Leong Kian Sheong, 37, dan Vivien Wong, 20, ditemui terbaring berlumuran darah didalam sebuah bilik di tingkat bawah sebuah rumah teres. - BERNAMA

Wanita miliki 29 keping kad kredit palsu dipenjara

Posted:

Wanita miliki 29 keping kad kredit palsu dipenjara

11/10/2012 6:41pm

KUCHING - Mahkamah Majistret di sini menjatuhkan hukuman penjara 58 bulan dan denda RM14,500 terhadap seorang wanita yang berkerja sebagai pembantu tadbir selepas dia mengaku bersalah terhadap 29 pertuduhan memiliki kad kredit menggunakan nama orang lain.

Tertuduh, Dewi Susilawaty Suaidi, 37, yang bertugas di Kementerian Pembangunan Perindustrian Sarawak tenang selepas Majistret Maris Agan menjatuhkan hukuman tersebut.

Dewi Susilawaty didakwa memiliki 29 keping kad kredit pelbagai bank atas nama 16 wanita lain pada pukul 4.35 petang, 28 Ogos lalu di Taska Sichomel Alam Sanctuary, No. 4564 Lorong Sumber Alam 2D, Sumber Alam Sanctuary, Jalan Sultan Tengah.

Pendakwaan oleh Inspektor Yunus Sahak itu dilakukan mengikut Seksyen 37 (1) Ordinan Kesalahan Kecil Sarawak.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon untuk menangguhkan hukuman penjara tersebut dan mahkamah membenarkannya dengan ikat jamin RM3,000 selain perlu membayar denda tersebut hari ini. - BERNAMA

Samun dua buah rumah dalam tempoh sejam

Posted:

Samun dua buah rumah dalam tempoh sejam

11/10/2012 6:20pm

ROMPIN - Tiga lelaki bersenjatakan parang menyamun dua buah rumah di Kampung Bakong dekat sini awal pagi tadi namun, seorang daripadanya berjaya ditangkap.

Ketua Polis Daerah Rompin, Deputi Supritendan Johari Jahaya berkata, pada mulanya mereka yang dipercayai warga Indonesia memecah masuk sebuah rumah kira-kira pukul 3.35 pagi.

"Pemilik rumah yang nyenyak tidur hanya menyedari rumahnya dipecah masuk selepas kejadian, kira-kira pukul 6 pagi iaitu selepas mendapati rumah dalam keadaan berselerak akibat digeledah.

"Mangsa seorang wanita berusia 40-an melaporkan kerugian kira-kira RM6,000 selepas barangan kemasnya hilang," katanya.

Beliau berkata, suspek kemudiannya memecah masuk pula sebuah lagi rumah yang terletak tidak jauh dari situ pada kira-kira pukul 4.30 pagi.

Mangsa kali ini, Rokiah Harun, 50, diikat dengan tali kasut dan mulutnya ditampal dengan pita pelekat, katanya.

"Ketiga-tiga suspek yang tidak memakai baju, berseluar pendek serta menutup muka dengan kain itu kemudiannya menggeledah rumah mangsa sebelum melarikan diri bersama barangan kemas berupa seutas rantai leher, gelang tangan, empat utas jam tangan, kamera digital dan telefon bimbit ke kawasan ladang sawit berhampiran.

"Jumlah kerugian dianggarkan RM8,000," tambahnya.

Johari berkata, mangsa kemudian mengejutkan suaminya yang tidur di bilik bersebelahan sebelum mereka bertindak menghubungi polis.

"Suspek dipercayai masuk ke dalam rumah itu dengan mengumpil cermin tingkap di bahagian tengah rumah tersebut sebelum menyelinap masuk ke dalam rumah," katanya. - BERNAMA

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved