Khamis, 11 Oktober 2012

Kosmo Online - Varia


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Varia


Girang menangkap belut

Posted:

Girang menangkap belut

Oleh NORHAYATI YAHAYA

PULUHAN ekor belut dilepaskan di dalam kolam kecil untuk mencabar keberanian pelajar.


GAMAT! Demikian suasana yang dapat digambarkan bila sekumpulan 19 murid sekolah turun menangkap belut di Homestay Sungai Sireh, Tanjong Karang, Selangor baru-baru ini.

Masakan tidak, daripada jumlah itu sebahagian besar daripadanya merupakan pelajar luar negara antaranya, Australia, Thailand, Filipina dan Indonesia.

Malah, tidak dinafikan murid dari Malaysia sendiri iaitu pelajar Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Alam Megah, Petaling Jaya juga kebanyakannya tidak pernah menyentuh haiwan melekit yang mempunyai rupa seperti ular itu.

Keadaan menjadi tambah meriah apabila terdapat pelajar dari Melbourne, Australia yang dikenali sebagai Mitchell mula membuka baju-T dan masuk ke dalam kolam kecil yang mempunyai puluhan belut.

Aksi bersahaja Mitchell itu juga turut dijejaki pelajar lain yang masing-masing teruja untuk menangkap belut tersebut.

Percikan air dan belut yang terlepas daripada genggaman mereka menyebabkan guru, ibu bapa dan penonton lain yang berada di tepi kolam buatan yang dilapik menggunakan plastik berwarna biru itu turut bersorak gembira.

Puas menangkap belut dan bergelumang di dalam kolam, kumpulan pelajar yang mengikuti Program Pertukaran Sekolah Antarabangsa itu diberi peluang pula menangkap ikan di kawasan tali air berhampiran.

Di situ, sekali lagi mereka teruja apabila diminta memasang sendiri umpan pada kail buluh yang disediakan.

Kepenatan semasa menangkap belut sebelum itu dilepaskan seketika sementara menunggu umpan kail mengena.

Keliling kampung

Ryan Craig Lewis, 12, dari Australia yang turut dibenarkan menunggang basikal mengakui, tidak akan melupakan pengalaman sehari suntuk di Homestay Sungai Sireh itu.

Menurutnya, selain dapat melihat sawah padi yang terbentang luas di sepanjang perjalanan ke situ, dia turut berpeluang menampi dan menumbuk beras.

"Semua ini menyeronokkan, ia sangat menarik," katanya.

Selain berbasikal, sebahagian daripada peserta program turut merasai pengalaman menaiki trem yang disediakan.

Puas berjalan mengelilingi kampung, mereka juga dibawa masuk ke dusun durian milik salah seorang peserta homestay yang mesra dipanggil Wak Selamat atau nama sebenarnya Selamat Surib.

Peserta berpeluang mengutip durian yang luruh selain mengopek sendiri raja buah itu.

Taylor Hester, 11, yang sememangnya nampak berani dalam setiap aktiviti bagaimanapun hanya berdiri dan memerhati ketika acara mengopek durian.

Dia yang dipelawa untuk mencuba durian kampung itu bagaimanapun menolak dengan baik pelawaan tersebut kerana ujarnya, dia pernah mencubanya sebelum ini dan kurang menggemari rasanya.

"Antara semua aktiviti yang dibuat ini, saya paling suka bila diberi peluang menangkap belut kerana ia bukan sahaja menuntut saya bersabar, tetapi perlu ada teknik untuk memastikan ia tidak terlepas dari tangan.

"Saya juga suka bau durian yang wangi, tetapi saya tidak menggemari rasanya kerana pernah cuba makan buah itu sebelum ini," ujarnya.

Selain aktiviti itu, peserta turut teruja apabila sempat bermain layang-layang di tengah sawah dan menaiki Bukit Melawati di Kuala Selangor.

Di situ, selain menziarahi kawasan-kawasan bersejarah dan Rumah Api Kuala Selangor, mereka turut dibenarkan untuk memberi makan monyet di situ.

Selesai aktiviti tersebut, mereka turut dibawa ke Kampung Kuantan dan menyusuri Sungai Selangor untuk melihat dengan lebih dekat kelip-kelip.

Pengetua SK Taman Megah, Khoo Swee Poh ketika ditemui berkata, sebagai hos bagi program itu, beliau gembira apabila aktiviti tersebut dapat memberi satu pengalaman baharu buat semua peserta.

Menurut beliau, selain para pelajar, pihaknya turut membawa empat lagi guru pengiring bagi setiap sekolah dari luar negara itu serta beberapa ibu bapa yang turut ingin serta dalam program tersebut.

"Saya lihat mereka begitu gembira dan teruja sekali dengan setiap aktiviti yang kita jalankan dan kedatangan kami ke homestay ini juga amat bermakna. Ia merupakan satu pilihan yang tepat," kata Swee Poh.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved