Kosmo Online - Rencana Utama |
Posted: Polemik tuntut hak kerakyatanSUSUNAN IZYAN LIYANA MOHD. DARIF HUJAN lebat pada Ahad lalu, sedikitpun tidak meredakan kemarahan ratusan penduduk Hong Kong. Dengan memegang payung dan menutup kepala menggunakan plastik, mereka beramai-ramai berkumpul dan berarak di sekitar bandar raya bagi membantah satu keputusan mahkamah yang membenarkan ribuan amah asing mendapatkan hak menjadi penduduk tetap. Suasana pada hari itu cukup tegang. Rata-rata penunjuk perasaan tegar menjerit sambil mengangkat kepingan kad yang tertera, 'Parti Sivik telah mengkhianati Hong Kong'. Kata-kata sinis itu ditujukan kepada perundangan prodemokrasi yang menyokong rayuan seorang amah dari Filipina menjadi warga tetap di negara tersebut. Tunjuk perasaan itu dibuat selepas Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa Evangeline Banao Vallejos, 59, layak mendapat hak kerakyatan sepenuhnya di Hong Kong. Bagaimanapun, keputusan itu melanggar perlembagaan mini pulau itu yang dikenali sebagai Undang-Undang Asas. "Kami tidak mahu amah datang ke Hong Kong untuk bekerja, pada masa yang sama mencuri peluang mendapatkan hak penduduk secara tetap. Kesannya, mereka bukan saja memperoleh gaji yang tinggi malah, turut mengambil keuntungan sosial kami," kata seorang penunjuk perasaan, Dennis Leung selepas dia dan sekumpulan penunjuk perasaan berarak melalui bandar raya Hong Kong ke pejabat kerajaan. Selepas rayuan Vallejos mendapatkan hak penduduk tetap tiga tahun lepas gagal, Vallejos yang sudah berkhidmat selama 25 tahun di Hong Kong, tidak berputus asa. Sebaliknya, ibu kepada lima cahaya mata itu sanggup turun dan naik mahkamah bagi memastikan segala prosedur yang diingini lengkap dan sempurna. Dia tidak berjuang seorang diri sebaliknya dia dibantu oleh majikan, keluarga, rakan-rakan dan kumpulan peguam yang berkaliber. "Saya bersyukur dan terharu kerana berjaya memenangi kes ini. Segala usaha yang dilakukan mendatangkan hasil. Terima kasih kepada Tuhan, majikan dan peguam yang banyak membantu sehingga menjadikan impian ini satu realiti," ujar Vallejos kepada Mark Daly, iaitu salah seorang peguam yang mengendalikan kesnya. Kejayaan Vallejos secara tidak langsung membuka peluang kepada 117,000 pembantu rumah warga asing yang berlumba-lumba untuk memohon hak kerakyatan di Hong Kong. Hong Kong dikategori sebagai bandar mahal yang menawarkan pendapatan yang lebih baik berbanding negara-negara lain di Asia. Bersantai hujung minggu Selain dibayar gaji minimum sebanyak RM1,500 sebulan, pembantu rumah turut diberi cuti sehari dalam seminggu dan cuti sakit berbayar. Buktinya, pada hujung minggu di sekitar bandar raya dan kawasan lapang di Hong Kong sentiasa menyaksikan kumpulan amah bersantai bersama teman-teman. Mereka membawa bekalan makanan untuk dinikmati bersama dan menghiburkan hati dan melakukan aktiviti permainan. Ternyata berita kejayaan Vallejos dikongsi bersama penduduk di Filipina. Mereka menyambut baik keputusan Mahkamah Tinggi Hong Kong yang membenarkan amah warga Filipina mendapatkan taraf penduduk tetap. "Keputusan tersebut sebagai satu langkah mewujudkan hak sama rata dalam kalangan pekerja asing. Lagipun, mereka telah memberi sumbangan kepada majikan dan keputusan tersebut sebagai mengiktiraf usaha Vallejos, selepas dia berkhidmat selama 25 tahun di sini," kata Timbalan Presiden, Jejomar Binay merangkap penasihat pekerja Filipina di luar negara. Setakat ini, lebih sembilan juta rakyat Filipina mencari rezeki di luar negara. Seramai 137,000 berkhidmat sebagai amah di Hong Kong. Paling mengujakan 70 peratus amah dari Filipina fasih berbahasa Inggeris dan mempunyai ijazah serta mendapat pendidikan hingga ke sekolah menengah. Mereka sanggup berhijrah sementara ke Hong Kong semata-mata mencari pendapatan lumayan bagi meningkatkan taraf hidup keluarga di kampung halaman. Berdasarkan laporan pemerintah Filipina tahun lalu, pembantu rumah negara tersebut yang bekerja di Hong Kong telah menghantar sebanyak HK$312 juta (RM127.8 juta) ke negara mereka. RAKYAT Hong Kong membantah keputusan Mahkamah Tinggi negara itu meluluskan kerakyatan ke atas seorang pembantu rumah Filipina, Vallejos. Kaut keuntungan "Kami begitu kecewa, sedih dan marah dengan insiden yang berlaku pada Jumaat lalu. Ia merupakan tamparan hebat bagi kami apatah lagi perkara seumpama ini pertama kali berlaku di Hong Kong. "Bayangkan ribuan pekerja asing yang bekerja di sini ditukar hak kerakyatan, mereka akan mengaut banyak keuntungan dan kemudahan yang sememangnya sukar diperoleh di negara mereka sendiri," tegas Jeff Lam, wakil jurucakap daripada Kumpulan Sosial Prihatin Hong Kong. Warga asing yang tinggal di Hong Kong selepas tujuh tahun memperoleh akses untuk mengundi dan hak tinggal di bandar raya itu tanpa visa kerja. Kumpulan amah turut termasuk dalam peruntukan itu. Menerusi taraf penduduk tetap, seorang amah tidak lagi terikat kepada majikan. Mereka boleh melakukan sebarang pekerjaan dan mendapat manfaat daripada skim perumahan awam. Sementara itu, Pengerusi Kesatuan Awam Industri Perkhidmatan, Kang-yiu Tong menambah: "Kami membantah keputusan mahkamah kerana ia tidak adil kepada warga negara Hong Kong. Walau bagaimanapun Hong Kong akan mengetatkan undang-undang agar pekerja asing di negara ini tidak sewenang-wenangnya mendapatkan taraf penduduk tetap. Sementara itu, Pensyarah Psikologi dan Kaunseling, Jabatan Psikologi Pendidikan dan Kaunseling Universiti Malaya (UM), Prof. Dr. Suradi Salim, memberitahu selain Hong Kong kebanyakan negara maju dan membangun turut membantah sekiranya hak kerakyatan diberikan kepada kumpulan pekerja asing. Pekerja asing bukan saja berpeluang berkongsi hasil negara, pada masa yang sama mereka menikmati kepelbagaian skim dan peruntukan daripada kerajaan sama seperti rakyat tempatan. "Dari segi psikologi ia menyebabkan rakyat asal sesebuah negara itu mula memandang serong kehadiran pekerja asing. Secara tidak langsung, mereka menyifatkan tujuan utama pekerja asing bukan untuk mencari rezeki tetapi lebih cenderung mencapai misi mendapatkan hak kerakyatan. "Rakyat tempatan juga gusar adakah pekerja asing yang menjadi warga tetap akan taat pada negara baharu setulus hati? Jika situasi ini berterusan tanpa diatasi secara serius, tidak mustahil dalam tempoh jangka panjang pekerja asing dalam sektor pembantu rumah semakin berkurangan. Populasi di sesebuah negara itu pula semakin bertambah," jelas Suradi ketika dihubungi Kosmo!. Suradi turut menyatakan Hong Kong antara negara yang menjadi pilihan ramai warga asing mencari rezeki sebagai pembantu rumah kerana upah kerja yang tinggi. Buktinya, secara minimum gaji pembantu rumah dibayar sebanyak HK$3,740 (RM1,532) sebulan. Taraf pendidikan Tambah Suradi, lebih memburukkan keadaan selepas warga asing berjaya mendapatkan kelulusan warga tetap maka golongan itu mula meninggalkan pekerjaan pembantu rumah. Mereka mula berkira-kira mencari pekerjaan yang menawarkan gaji yang lebih tinggi berbanding gaji sebelum ini. "Padahal, kebanyakan masyarakat yang sibuk bekerja sememangnya memerlukan khidmat pembantu rumah menguruskan hal rumah tangga seperti memasak, menyapu, menggosok pakaian dan anak-anak kecil," ulas Suradi. Pensyarah Sosiologi dan Antropologi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof. Dr. Fatimah Daud berkata, perkara itu tidak seharusnya berlaku di sebuah negara maju. "Fikirkan kembali di mana relevannya meluluskan amah menjadi warga tetap? Sebahagian besar kumpulan ini tidak mempunyai latar belakang pendidikan memberangsangkan. Kemahiran diri pula hanya terhad perihal kerja-kerja rumah. "Sewajarnya kelayakan hak kerakyatan diberikan kepada pekerja asing yang memiliki taraf pendidikan, skil dan pemikiran tinggi. Dalam erti kata lain, kita memilih warga asing yang terlibat dalam bidang akaun, perubatan, saintis, pendidikan mahupun reka cipta. Kelebihan yang mereka memiliki mampu memberi sumbangan pada negara dari aspek ekonomi dan sosial," tegas Fatimah. Fatimah tidak menafikan khidmat pembantu rumah adalah untuk meringankan beban wanita yang kadangkala sukar membahagikan masa antara tugasan di pejabat dan tugasan di rumah. "Sebab itu, sesetengah majikan berusaha menghargai pembantu rumahnya dengan cara mendapatkan status kewarganegaraan terutamanya kepada pembantu rumah yang sudah lama berkhidmat. "Pada pendapat saya, menaikkan gaji pekerja sudah memadai untuk menunjukkan tanda terima kasih," jelas Fatimah. |
Posted: Memori hitam Vandyke di LibyaVANDYKE pernah berada di sel penjara bersaiz kecil ini yang turut menempatkan kemudahan sinki dan ruang mandi. PEMBIKIN filem Amerika Syarikat (AS), Matthew Vandyke memandangkan atas dan ke bawah sel penjara Tripoli. Dia pernah meringkuk di dalam penjara berkenaan selepas ditahan oleh pengawal peribadi pemimpin Libya, Muammar Ghaddafi. Sambil menarik nafas lega, Vandyke menyatakan: "Sekiranya Ghaddafi. tidak ditumbangkan, pasti saya tidak akan keluar dari penjara ini." Bru-baru ini, Vandyke mengunjungi semula penjara Abu Salim yang berpangkalan di ibu kota Tripoli itu, dan beliau masih tidak percaya bahawa dia telah bebas. Pengalaman dipenjara bersama 76 banduan selama 161 hari masih segar di fikirannya. "Saya fikir saya perlu berada di dalam penjara ini selama tiga dekad dan dikenakan hukuman," jelasnya sambil memberitahu bahawa dia berjaya melarikan diri dari penjara itu selepas pemberontak anti-Ghaddafi. menakluk Tripoli. Merakam pertelingkahan Pemuda berusia 32 tahun yang berasal dari bandar Baltimore, Maryland, AS itu tiba di Libya pada bulan Februari lalu yang kebetulan pada tempoh itu pemberontak mula menentang Ghaddafi. Vandyke memberitahu, kedatangannya ke Libya bertujuan menghabiskan masa dengan kumpulan pemberontak, menyaksikan keadaan sekeliling dan merakamkan pertelingkahan mereka untuk dimasukkan ke dalam filemnya itu. Bukannya untuk bergaduh dengan rakyat setempat. Malangnya, pada pertengahan bulan Mac lalu, Vandyke tidak sempat melarikan diri ketika berlakunya peperangan hab minyak di timur Brega. "Kami jatuh ke tangan penyerang. Saya cedera di bahagian kepala. Sebaik saja tersedar, saya sudah berada di dalam penjara dan terdengar suara seorang lelaki menjerit kesakitan akibat diseksa," imbas Vandyke. VANDYKE berdiri dan menunjukkan sel penjara dia dipenjarakan di penjara Abu Salim di Tripoli, Libya. Dia percaya penjara itu berhampiran bandar pelabuhan Sirte, iaitu kampung halaman Ghaddafi. Kawasan itu kini menjadi salah satu baki kubu sokongan. Vandyke kemudiannya dipindahkan ke penjara Abu Salim yang menempatkan tahanan politik di bawah rejim Ghaddafi. Penjara berkenaan kelihatan bersih dan mempunyai kemudahan seperti sinki, tandas, tempat mandi dan tilam. Dia menikmati tiga kali makan sehari dan tidak diseksa atau didera. Tetapi dia dikurung secara berasingan. "Saya menghabiskan masa di sini dan tidak pernah meninggalkan sel. Tiada apa yang boleh dilakukan, tiada buku kecuali membaca label kotak susu yang ditulis dalam bahasa Perancis. Malah, tiada sesiapa untuk diajak berbual dan tiada sesiapa pun yang datang menjenguk saya di sini," luah Vandyke kecuali pengawal yang datang menghantar makanan menerusi tingkap kecil di sel itu. Situasi Vandyke menjadi semakin rumit kerana kehadirannya ke Libya bukan atas tiket wartawan. Sebaliknya, dia dianggap sebagai sebagai suspek. Seksaan psikologi "Mereka menyangka saya Agensi Perisikan Pusat Israel, Mossad. Lebih menakutkan mereka menyatakan saya tidak akan dapat melihat AS buat selama-lamanya," katanya. Di dalam penjara, dia berusaha mengekalkan tahap kesihatan dan kewarasan dengan mundar-mandir selama 10 jam sehari di dalam sel kecilnya itu sambil menatap sekeping gambar budak perempuan di penutup sabun yang rupanya seperti wajah bekas wanitanya ketika muda. Setiap malam dia berasa bimbang kumpulan rejim datang untuk menyeksanya. "Bersendirian merupakan satu seksaan psikologi. Saya ingin kekal bertenaga tetapi mood saya bercelaru. Saya memikirkan banyak benda sehingga saya hilang kawalan," ujarnya yang menjadi obses mencuci tangan ketika berada di dalam sel penjara. Bersendiri di negara asing itu, Vandyke langsung tidak menyedari bahawa Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO), sedang melakukan serangan ke atas Libya manakala kumpulam pemberontak menjadikan bandar di timur Benghazi sebagai kubu pertahanan mereka. Selain itu, Vandyke juga tidak tahu kumpulan pemberontak meraih keuntungan besar terhadap tentangan pada kuasa Ghaddafi. Dia tidak mengesyaki apa-apa apabila mereka menyerbu ibu negara minggu lepas. Apabila dia mendengar letupan bom di luar penjara, dia berpendapat itu merupakan serangan tentera udara Ghaddafi kepada pemberontak manakala bunyi tembakan pula sebagai tanda kejayaan kumpulan Ghaddafi meraikan kemenangan. Namun pada suatu malam salah seorang tahanan telah membuka sel dan memaksanya keluar. Pada waktu itu dia berpendapat bahawa semua banduan sedang melakukan rancangan lari dari penjara. Sebaik saja keluar dari penjara, dia terdengar jeritan Ghaddafi telah digulingkan. Sementara itu, kira-kira 200 tahanan kelihatan berdiri di tepi jalan. Pada ketika itulah dia mula memahami apa yang sedang berlaku di Libya. - AFP |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Rencana Utama To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan