Kosmo Online - Stailo |
Posted: Ilham koktel Noni ReyndersNONI REYNDERS, mungkin satu nama asing di Malaysia. Malah, mungkin ada yang menganggap wanita tersebut berasal dari negara Barat. Bagi mereka yang tidak pernah mengenali mahupun mengetahui kewujudannya, Noni atau nama sebenarnya Roziani Zulkifli merupakan anak jati Melayu tempatan yang dilahirkan di Petaling Jaya, Selangor. Dia kini sedang mengukir nama di persada fesyen antarabangsa melalui labelnya, Noni Reynders. Walaupun kurang dua tahun menceburkan diri dalam bidang rekaan fesyen secara profesional, Noni, 32, pantas menawan hati para pelanggan. Jenama Noni Reynders kini sedang meniti di bibir para penggemar pakaian koktel di kota London. Walaupun masih merangkak mengejar impiannya sebagai pereka fesyen, label tersebut sudah mula menembusi beberapa pasaran di Eropah. Kesempatan menemui Noni ketika pulang bercuti ke tanah air bulan lalu membuat penulis cukup teruja untuk mengenalinya dengan lebih dekat. Beberapa ketika diperkenalkan, hati tersentuh pula dengan kelembutan tutur bicara dan gerak lakunya yang mengekalkan kelaziman wanita Timur. Seandainya Noni menggayakan baju kurung petang itu, tentu sahaja dia melengkapi imej dan ciri-ciri sinonim wanita Melayu Timur yang lemah lembut, menghargai tradisi dan penuh adab kesopanan. Mungkin itulah juga antara ciri-ciri yang memikat hati suaminya Robbie Reynders yang berasal dari Belgium. Walaupun kesempatan pertemuan itu pada mulanya dia menolak dengan alasan masih baru dalam bidang fesyen dan menganggap dirinya belum layak untuk diketengahkan, namun dia akur apabila ditegaskan bahawa pada satu ketika nanti dia pasti melalui saat-saat tersebut. Maka, ini satu titik permulaan ke arah dunia glamor dan populariti arena fesyen yang bakal diharungi kelak. Wanita tinggi lampai yang kini menetap di kota London itu pernah menjadi pramugari penerbangan Emirates, selain bertugas sebagai penata gaya profesional. Personalitinya tidak banyak bercakap, namun dia mudah diajak berbicara terutamanya topik yang menyentuh tentang dunia fesyen. "Saya yakin usia bukan pengukur atau penentu sesuatu usaha atau kejayaan. "Saya tahu dari segi usia memang agak lewat untuk memulakan kerjaya ini. Tetapi sebenarnya ramai tidak tahu, dunia fesyen sudah sebati dengan jiwa dan kerjaya yang telah saya ceburi," pintas Noni. Karya agung Noni akui, pengalaman yang dikutip sepanjang berkhidmat sebagai pramugari dan penata gaya secara tidak langsung mendorong semangatnya untuk menghasilkan produk fesyen jenama sendiri. Hasil kerja Noni banyak mencerminkan siapa dirinya. Setiap karya yang ilhamkan adalah karya agung yang ingin dipakainya. Sebagai wanita yang feminis dan mereka cipta untuk wanita, Noni percaya bagi menghasilkan sesuatu karya yang diterima pakai, seseorang pereka perlu bijak mengenengahkan gaya yang disenangi. Dia percaya setiap pereka perlu ikhlas acap kali menghasilkan karya dan sentiasa mengaplikasi prinsip tersebut dalam setiap rekaan. Kerjaya baharu ini menurut Noni adalah sesuatu yang cukup menyeronokkan. Pengalaman bertugas sebagai penata gaya untuk para eksekutif dan profesional di Dubai beberapa tahun lalu sesungguhnya membantu melengkapi perjalanannya terjun ke dunia fesyen. "Tugas penata gaya adalah untuk membantu dan memastikan individu meningkatkan imej agar bersesuaian dengan keperibadian profesional bidang mereka. Minat mendalam terhadap fesyen tersemai sejak remaja sehingga menyebabkan kerjaya itu amat menyeronokkan. "Walaupun kadangkala terasa sukar kerana setiap individu mempunyai imej impian, matlamat kerjaya dan keperibadian tersendiri, namun saya menganggapnya cabaran yang mengujakan," tambah Noni.
Pada masa yang sama, pengalaman bertugas di awan biru juga turut membuka peluang kepadanya meraih pengalaman gaya dan fesyen di setiap negara yang dilawati. Setiap kali ke luar negara, sepasang matanya pasti meneliti gaya masyarakat negara atau kota tersebut. Sebagai wanita yang amat mementingkan imej dan kesempurnaan penampilan diri, Noni mengakui bahawa dia tidak akan sesekali menghadiri majlis formal dengan menyarungkan busana konsep santai. Ciri ketimuran Berteraskan ciri-ciri susur galur Timurnya dan menggabungkan ilham yang dikutip sepanjang pengalaman mengembara ke tempat orang di serata dunia, Noni menghasilkan ciptaan koktel yang istimewa dengan sentuhan hiasan unik serta fabrik menakjubkan. "Hasil karya saya perlu menepati keinginan dan ciri-ciri wanita di luar sana. Sebab itu, setiap ciptaan saya pelbagaikan dari segi pilihan warna, potongan dan perincian. "Apa yang pasti, saya menggabungkan elemen keanggunan yang tidak lapuk di telan masa," jelas Noni yang cukup kagum dengan rekaan pereka terkenal dunia seperti Lanvin, Marchesa dan Catherine Malandrino. Di manakah terletaknya ciri-ciri ketimuran yang diterapkan Noni pada produknya? Jelas Noni, ia terletak pada perincian dan perhiasan. Kalau diperhatikan sehelai pakaian koktel yang bercirikan gaya Barat tetapi mempunyai sentuhan perincian Timur seperti manik, permata dan sulam. Paling mengujakan setiap hasil kerja Noni dapat dilihat pada potongan koleksi busananya. Si pemakai bukan sekadar mampu tampil menawan tetapi dengan potongan ideal ia menghasilkan siluet menawan. Contohnya untuk musim luruh/sejuk 2011, Noni menampilkan himpunan koktel romantis yang anggun dengan potongan menawan dan diberikan sentuhan lisu baik pada baju dan skirt. Teknik ropol yang dihasilkan pada dada dan bustier tentu sahaja membuat koleksi Rock & Romance tampak romantis. Satu lagi kredit buat Noni ialah kebijaksanaannya memilih fabrik yang sesuai untuk setiap karya. Bagi menyuntik ciri-ciri romantis pada pakaian koktel, Noni banyak bermain dengan fabrik organza sutera. Misalnya, dres kelopak mawar merah jambu yang dipadankan dengan skirt bertingkat dan berlisu hitam yang diperbuat daripada organsza sutera. Karya menawan dengan pilihan warna mewah seperti merah delima, biru firus, ungu, merah jambu yang digabungkan dengan nuansa hitam, coklat keemasan dan gading menghasilkan karya yang menakjubkan. Menggunakan cogan kata, Tradisi Timur, rekaan Barat, Noni melangkah penuh yakin. Butik di Kuala Lumpur Selain aktif memperkenalkan hasil karyanya melalui perniagaan secara talian, label Noni Reynders boleh didapati di beberapa sudut runcit butik dan pusat beli-belah terpilih di United Kingdom (UK) dan di Kuala Lumpur bermula November ini. "Selain menitikberatkan aspek rekaan, fabrik dan warna, saya percaya harga juga merupakan perkara utama bagi seseorang wanita dalam membeli pakaian. Sebab itu saya amat berhati-hati memilih fabrik dan hiasan agar ia sesuai dan tidak perlu dijual pada harga yang tinggi," tambah Noni yang pernah mendapat pendidikan formal dalam Associates of Arts in General Business dari Axia College, University of Phoenix, Amerika Syarikat (AS), serta beberapa kursus pendek berkaitan fesyen di pusat pengajian fesyen terkemuka dunia seperti London College of Fashion dan Central St. Martins di London. Sebelum menutup bicara, Noni yang gemar menggunakan seni muzik sebagai ilham rekaannya, ingin mengenengahkan jenama tersebut di arena fesyen tempatan. Sehubungan itu, sebagai langkah awal Noni bakal muncul di pentas peraga slot Persatuan Pereka Bumiputera (BDA) pada pertunjukan fesyen antarabangsa terbesar negara Malaysian International Fashion Alliance 2011 (MIFA)pada 22 November ini. | ||
Posted: Ekstrak tumbuhan laut AnnisueProduk kecantikan Annisue yang menggunakan bahan semula jadi dapat memberikan alternatif penjagaan kulit dalam memastikan kulit sentiasa kelihatan mulus dan sihat. SUZANA (tengah) menunjukkan rangkaian produk Annisue yang dihasilkan daripada ekstrak tumbuhan laut. MEMILIKI kulit wajah yang bersih dan suci dapat menyerlahkan lagi penampilan diri apabila berada di khalayak umum. Ia secara tidak langsung dapat meningkatkan keyakinan diri pemilik kulit yang mulus dalam menjalani kehidupan seharian mereka. Untuk memiliki kulit wajah yang sihat dan segar, penjagaan awal perlu dititikberatkan tatkala usia muda agar kesan proses penuaan dapat diminimumkan apabila dimamah usia kelak. Terbaru, produk kecantikan Annisue yang menggunakan bahan semula jadi memberi alternatif penjagaan kulit dalam membantu melewatkan proses penuaan, mencerahkan dan pelembapan kulit. Pengasas Produk Kecantikan Annisue, Suzana Khalek berkata, penuaan adalah proses semula jadi dan jika seseorang mengambil sikap sambil lewa serta menunggu saat akhir dalam membaik pulih kulit ia hanya mengundang kerugian. "Produk kecantikan Annisue menampilkan rangkaian produk penjagaan kulit menggunakan ekstrak tumbuhan laut yang menjalani proses kompleks. "Ia membekalkan stem sel daripada tumbuhan laut yang boleh memperbaharui sel-sel kulit mati dan meningkatkan pertumbuhan kolagen," katanya pada majlis pelancaran rangkaian produk Annisue di Kuala Lumpur baru-baru ini. Suzana menjelaskan, mereka yang ingin mencuba produk Annisue boleh menggunakan pek permulaan yang mengandungi pembersih, penyegar, pelembap dan krim kecantikan. Katanya, produk permulaan tersebut menggalakkan pertumbuhan sel baru, melindungi wajah dan merawat permasalahan kulit. "Bagi kesan yang lebih optimum, pengguna digalakkan menggunakan pati stem sel Annisue kerana ia mudah menyerap ke dalam sel kulit. "Selain daripada itu, ia juga dapat menegangkan kulit dan mengurangkan garisan kedutan pada wajah. Dengan menggunakan produk ini, wajah pengguna akan menjadi lebih lembap dan segar sepanjang hari. Bagi mereka yang berminat menggunakan atau menjadi pengedar produk terbaharu ini boleh melayari laman web www.annisue.com atau menghubungi talian 017-635 7089. | ||
Posted: Pereka muda fesyen Muslimah
HALAL Fiesta Malaysia (Halfest) 2011 yang julung-julung kali diadakan di negara ini bakal menyaksikan pereka-pereka fesyen tempatan berentap di pentas peragaan dengan membawakan rekaan-rekaan berkonsepkan Muslimah. Menurut pengasas Young Designers Arena (YODA), Baizura Tazri, YODA adalah penganjur persembahan fesyen Muslimah Halfest yang akan mengetengahkan para pereka fesyen tempatan bagi memperkenalkan rekaan-rekaan terkini mereka. "Persembahan fesyen akan diadakan pada 15 Oktober nanti bertema Modesty in Style dan para pereka yang terdiri daripada pereka YODA dan pereka muslimah lain akan mempersembahkan 10 rekaan terkini mereka mengikut tema yang ditetapkan. "Pertandingan ini diadakan bagi menggalakkan para pereka muda menonjolkan bakat mereka dan idea-idea baharu yang dapat memberikan inspirasi kepada kita semua," katanya pada majlis memperkenalkan pereka-pereka untuk Halfest di Menara Maple, Kuala Lumpur baru-baru ini. Menurut Baizura, pertandingan fesyen tersebut bakal diadili oleh panel-panel hakim yang berpengalaman dalam bidang fesyen dan tiga pemenang bakal diumumkan selepas persembahan fesyen berakhir. "Pemenang utama akan membawa pulang hadiah wang tunai RM3,000 termasuk sijil penghargaan, manakala pemenang kedua dan ketiga masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai RM2,000 dan RM1,000 serta sijil penghargaan," ujarnya. Baizura memberitahu, pihaknya juga berbangga dengan kehadiran Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil pada persembahan fesyen itu nanti. "Dengan kehadiran beliau, saya harap acara ini akan mendapat lebih sokongan daripada orang awam dan syarikat korporat bagi memastikan acara ini mencapai objektifnya dan mempunyai kesan jangka panjang," jelas Baizura. Halfest bakal berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) bermula 12 Oktober ini sehingga 16 Oktober, manakala pameran bermula jam 10 pagi sehingga 7 malam selama lima hari. Harga untuk sebuah gerai pameran adalah RM4,500 untuk lima hari dan pihak penganjur membuka peluang untuk semua pereka fesyen Muslimah di negara ini untuk mengambil bahagian. Acara tersebut merupakan anjuran Perbadanan Kemajuan Industri Halal (HDC) dan disokong oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) serta Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM). Peranan YODA adalah bagi menyalakan semangat keusahawanan dalam kalangan pereka fesyen di Malaysia. – ROSMALINA ABD. KADIR |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Stailo To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan