Isnin, 10 Oktober 2011

Kosmo Online - Hiburan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Hiburan


Masakan Fizo, kasut Neelofa

Posted:

Masakan Fizo, kasut Neelofa

Masakan Fizo, kasut Neelofa

DATUK DJ Dave atau nama betulnya Irwan Shah Abdullah adalah antara selebriti pertama yang melebarkan sayap dengan terjun ke bidang perniagaan menerusi penubuhan Shahdave Holdings Sdn. Bhd.

Kemudian, trend itu makin berkembang dan menjadi ikutan beberapa artis lain ketika era itu. Sama seperti haluan yang dipilih Datin Seri Tiara Jacquelina, pelakon, model, penyanyi dan kini merangkap penerbit filem dan teater yang telah berhasil menubuhkan produksinya, Enfiniti Production Sdn. Bhd.

Malah, bukan hanya dua nama itu, senario menceburi bidang perniagaan di samping aktif berkarier dalam dunia sebenar turut diteladani oleh artis-artis seperti Datuk Sheila Majid, kumpulan KRU, Datuk Yusof Haslam, Linda Onn, Fasha Sandha, Dynas Mokhtar, penyanyi kesayangan ramai Datuk Siti Nurhaliza, dan ramai lagi.

Bagi yang sudah membina tapak kukuh dalam industri hiburan, mungkin tidak begitu prihatin untuk mempunyai bisnes sendiri. Namun, bagi dua figura muda, Fizo Omar dan Neelofa, merasakan perlu untuk mereka mengambil inisiatif awal untuk membuka bisnes mereka sendiri.

Ibarat pelaburan awal untuk meraih untung pada masa depan, ujar Fizo atau nama sebenarnya Wan Hafizol Wan Omar yang berusia 26 tahun itu: "Seseorang pelakon akan dilihat lebih tinggi kelasnya kalau ada bisnes sendiri. Lagipun dengan mempunyai bisnes sekurang-kurangnya ada pelan sokongan apabila tua kelak."

Keluarga dan bisnes, dua item yang sememangnya tidak boleh dipisahkan daripada anak kelahiran Pasir Puteh, Kelantan itu, namun di samping kedua-dua perkara itu, minat juga mendorongnya untuk meneruskan usaha yang sedang dibikinnya kini.

"Menceburi bisnes mesti selari dengan minat kita, sama seperti saya yang minat memasak sejak di bangku sekolah rendah lagi, begitu juga aliran perniagaan saya yang tidak boleh dipisahkan daripada dunia masakan," ujarnya yang ditemui ketika majlis pra pelancaran dan sidang akhbar Persidangan Usahawan Muda Asia Pasifik (APEC YES 2011) di Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) Jalan Duta, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Menerusi APEC YES 2011 yang dilancarkan Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mukhriz Mahathir itu, Fizo dan Neelofa merupakan antara dua artis yang terpilih untuk memperoleh geran RM200,000 untuk mengusahakan perniagaan mereka.


DUA figura popular ini ternyata sentiasa beringat tentang masa depan ketika usia masih muda.


Empat strategi Fizo

Sementara itu, empat strategi Fizo yang sedang diusahakannya kini, mengusahakan bisnes sarang burung di tanah arwah ayahnya di Kelantan, mempergiatkan perusahaan bisnes serunding yang kini sudah dilaksanakan, mengkomersialkan makanan dan kuih-muih dari Kelantan serta menerbitkan sebuah buku masakannya sendiri.

Daripada keempat-empat sasaran itu, tiga daripadanya sudah hampir terlaksana. Antaranya buku resipi eksklusifnya yang kini tinggal 10 peratus lagi sebelum boleh dipasarkan.

"Memandangkan ibu saya berketurunan Thailand, maka kebanyakan resipi saya lebih mengutamakan masakan dari negara itu dan pastinya hidangan signatur saya adalah tomyam.

"Dalam buku resipi itu, saya akan mengajar bagaimana untuk menyediakan hidangan ala Thailand dan masakan Melayu dengan cara lebih ringkas, aktiviti harian saya berserta tips tambahan untuk penjagaan kesihatan dan petua masakan," katanya berkenaan buku masakannya itu.

Menerusi buku masakan yang belum lagi ditetapkan harganya itu, Fizo akan menyelitkan gambar-gambar eksklusifnya ketika kecil, keluarga serta aktivitinya waktu senggang buat tatapan peminat.

Dalam pada itu, Fizo juga bercita-cita untuk membuka sebuah kafe atau restoran sendiri selain mengusahakan tanah arwah ayahnya yang sebelum ini bagi menternak kambing dan itik.

Lofa kepada Neelofa

Sudah setahun dua bulan usia perniagaan kasut tumit tinggi pemenang Dewi Remaja 2010, Noor Neelofa Mohd. Noor atau nama komersialnya Neelofa.

Kini, sedang merancang untuk menukar jenama kasutnya yang sebelum ini dikenali sebagai Lofa kepada Neelofa menjelang bulan Januari tahun depan, aktres cantik itu juga sedang berusaha untuk mempelbagaikan lagi rekaan, warna, tekstur dan material produknya.

"Melalui geran yang diberikan ini, Lofa akan menggunakan untuk proses promosi dan rebranding kasut-kasut Lofa, selain tampil dengan konsep dan rekaan baharu," katanya yang mengakui dirinya sangat bertuah meraih tawaran itu.

Neelofa, 22, juga akan membuka sebuah gudang khas sama ada di Shah Alam atau Damansara untuk memudahkan proses penghantaran dan penyimpanan kasut-kasutnya.

Dijual antara harga RM150 hingga RM350 setiap pasang, pelakon drama Jiwa & Lara itu juga turut punyai strategi jangka panjangnya sendiri.

"Untuk masa depan memang ada hajat untuk membuka cawangan, Lofa sudah mendaftarkan syarikat Neelofa Sdn. Bhd. di MITI dan untuk cawangan yang bakal Lofa buka, kemungkinan Lofa akan mengurangkan jumlah rekaan kasut tetapi meningkatkan kuantiti setiap rekaan," tuturnya yang mengkhususkan rekaan kasut-kasutnya untuk peringkat umur 20 hingga 30 tahun.

Whitesnake muncul di Kuala Lumpur

Posted:

Whitesnake muncul di Kuala Lumpur

Whitesnake muncul di Kuala Lumpur



BUAT pertama kalinya, peminat Whitesnake bakal menyaksikan kumpulan rock legenda yang muncul di persada seni muzik global sejak tahun 1978 itu beraksi secara langsung menerusi konsert di Malaysia.

Dibawakan oleh JS Concert Productions dan Midas Promotion, Konsert Whitesnake Forevermore Live in Kuala Lumpur 2011 dijadualkan berlangsung di Stadium Tertutup Putra Bukit Jalil menjelang pukul 8.30 malam pada 30 Oktober ini.

Lebih menarik ratu rock Malaysia, Ella diberi kepercayaan sebagai artis pembuka tirai konsert kumpulan yang diasaskan oleh bekas vokalis Deep Purple, David Coverdale itu. Selain Coverdale, Whitesnake kini turut dianggotai Dough Aldrich, Reb Beach, Michael Devin dan Briian Trichy.

Pemain gitar Whitesnake, Dough Aldrich dalam kenyataannya menerusi e-mel memberitahu Kosmo! betapa konsert julung-julung kali kumpulan rock itu di Kuala Lumpur itu nanti akan berlangsung dengan penuh kehebatan.

"Ia (konsert) bakal menggila! Kami tidak sabar-sabar lagi untuk beraksi di pentas konsert di Kuala Lumpur, David juga menjangka peminat-peminat fanatik kami akan turut menyanyi bersama kami. Makin peminat menyanyi bersama kami, makin banyak lagu akan kami dendang. Jumpa nanti!" ujar Aldrich yang menyertai Whitesnake sejak tahun 2003 dan sejak itu sudah sembilan tahun terbabit dengan konsert jelajah kumpulan itu di 45 buah negara seluruh dunia.

Apa yang pasti peminat fanatik tidak sabar lagi menunggu kemunculan Whitesnake yang terkenal dengan lagu-lagu seperti Here I Go Again, Fool For Your Loving, Is This Love, Don't Break My Heart Again dan banyak lagi.

Sebarang urusan mengenai tiket Konsert Whitesnake Forevermore Live in Kuala Lumpur 2011 sila layari www.ticketpro.com.my atau hubungi 03-7880 7999 (Ticketpro). Tiket-tiket juga boleh didapati di Victoria Music, Guitar Store dan Rock Corner pada harga RM 358, RM258, RM158 dan RM98.

Adlin dan Amy bergandingan

Posted:

Adlin dan Amy bergandingan

Adlin dan Amy bergandingan

Oleh HARYATI KARIM


AMY mengakui agak gementar apabila ditawarkan menjadi hos bersama Adlin.


PROGRAM kekeluargaan, Serasi Bersama yang mula menemui penonton pada tahun lalu begitu diminati ramai dan menjadi antara program yang memperoleh rating tertinggi di Astro Ria.

Bagaimanapun, terdapat perubahan apabila pengacara asal program itu Aznil Nawawi dan Sharifah Shahira tidak lagi bersama untuk memeriahkan Serasi Bersama musim kedua kerana tempat mereka diganti dengan gandingan, Amy Mastura dan Adlin Aman Ramli.

Pengurus Saluran Astro Ria, Raqim Ahmad, menolak timbulnya sebarang isu menyebabkan posisi mereka digantikan dalam program sebanyak 12 episod itu.

"Aznil dan Shira memberi komitmen yang bagus sehingga berjaya menarik penonton untuk menonton program ini pada musim pertama. Bagi saya perubahan dilakukan sesuatu yang normal.

"Sebelum ini, banyak program kami mengalami perubahan pengacara misalnya Akademi Fantasia (AF). Perubahan dilakukan untuk memberi nafas segar dalam program itu.

"Sebelum ini kita tidak pernah melihat gandingan Amy Mastura dan Adlin, jadi kami di Astro Ria, menjadi antara yang terawal menggandingkan mereka.

"Padanan mereka memang sesuai kerana walaupun di awal rakaman keserasian antara mereka jelas kelihatan," tuturnya yang menjelaskan masih mengekalkan konsep program seperti musim pertama.

Setiap pasangan akan mewakili satu badan kebajikan dan wang kemenangan mereka akan disalurkan kepada badan kebajikan yang diwakili.

Amy ketika disoal mengapa dia menerima tawaran untuk bergandingan dengan Adlin Aman Ramli dalam program ini sedangkan karakter mereka jauh berbeza memberitahu, dia juga antara peminat program tersebut.

"Sebenarnya sebelum ini, saya pernah menonton program ini pada musim pertama dan pada saya ia memang sebuah program yang menarik kerana peminat dapat mengenali artis pujaan mereka dengan lebih mendalam lagi.

"Selain itu, ia sebuah program kekeluargaan, jadi program ini sangat sesuai untuk saya yang telah berkeluarga," ucapnya yang mendapat tawaran sebelum bulan Ramadan lagi.

Tutur Amy, dia sebenarnya gementar apabila mengetahui pengacara gandingannya adalah Adlin memandangkan karakter Adlin yang agak tegas dan lantang ketika dia muncul dalam program yang lain.

"Karakter luarannya nampak garang dan serius tapi apabila bekerjasama dengannya, Adlin seorang yang baik dan sangat menghormati orang lain. Memang tiada masalah bekerjasama dengannya.

"Saya berharap agar penonton dapat menerima dengan cara saya kerana kalau hendak dibandingkan dengan Shira memanglah saya masih banyak perlu belajar," katanya.

Adlin menerima tawaran untuk mengendalikan program Serasi Bersama dengan harapan agar dia dilihat menjadi seorang pengacara yang versatil.

"Saya pernah mengendalikan program Jangan Tidur Lagi yang menampilkan konsep berbeza dan tawaran menjadi hos Serasi Bersama ini adalah kesempatan yang terbaik buat saya menimba pengalaman menjadi seorang pengacara versatil sekali gus memantapkan kedudukan dalam bidang pengacaraan.

"Saya sudah berkahwin dan program ini sangat dekat dengan saya, malah saya sukakan konsep kekeluargaan yang diketengahkan.

"Jika tidak silap saya, ini adalah satu-satunya program membabitkan artis dan pasangan mereka sama ada penyanyi, pelakon dan mereka yang bekerja di lain bidang. Objektif utamanya berhibur sambil melakukan kebajikan antara perkara paling menarik minat saya.

"Selain itu, tentunya saya amat berbesar hati digandingkan bersama Amy Mastura. Saya peminat Amy dan sukakan karakternya yang ceria, setakat ini kami cukup serasi bersama ketika mengacara program ini," kata Adlin lagi.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved