Isnin, 10 Oktober 2011

Kosmo Online - Urban


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Urban


Teroka diri atas kanvas

Posted:

Teroka diri atas kanvas

Teroka diri atas kanvas

Oleh MAZLINA ABDUL MAJID
mazlina.majid@kosmo.com.my

BERBICARA dengan tiga pelukis muda tanah air, atmosferanya sangat berbeza. Mereka bersemangat dan berkobar-kobar dalam memperincikan setiap hasil karya sehingga ada kalanya sulit untuk difahami.

Namun, itu bukanlah menjadi masalah kerana yang paling signifikan, kehadiran Ali Nurazmal Md.Yusof, 33, Arif Fauzan Othman, 32 dan Hushinaidi Abdul Hamid, 38, dianggap sebagai legasi yang terus menyambung dan memperkayakan khazanah seni tampak negara.

Tiga sekawan itu yang sama-sama menuntut di Universiti Teknologi Mara (UiTM) dalam jurusan Seni dan Reka Bentuk diklasifikasikan sebagai pelukis dalam seni figuratif psikodinamik.

Dalam pemahaman yang lebih mudah, figuratif psikodinamik adalah merujuk kepada tindak-tanduk manusia, hubungan antara minda, personaliti atau psikik yang berhubung rapat dengan mental, emosi dan motivasi di bawah sedar.

Huraian maksud itu nampak kompleks. Namun, secara jujurnya dapat dirumuskan, khalayak seni sebenarnya berupaya menghadam karya tiga pelukis itu dengan mudah berbanding meneliti hasil seni bersifat abstrak.

Cuma nanti, akan wujud beberapa persepsi yang bercanggah antara satu individu dengan individu yang lain.

Dalam membincangkan tentang falsafah karya tiga pelukis muda tersebut, ada intipati yang unik untuk dihebahkan. Bertentangan dengan prinsip sesetengah pengkarya lain, Ali Nurazmal, Arif Fauzan dan Hushinaidi mengambil objek diri mereka sendiri atau orang terdekat untuk dilukis di dada kanvas.

Mereka dilihat 'menyerapkan' figura diri menerusi peristiwa-peristiwa terpilih yang mereka ada-adakan atau melalui pengalaman yang pernah dilalui.

Ya, hasil seni sebegini agak canggung pada mata khalayak Malaysia. Ada yang menghormati, tidak kurang juga yang menyimpan rapi perspektif mereka.

Apa jua pandangan yang dilontarkan, Ali Nurazmal, Arif Fauzan mahu pun Hushinaidi, tentu secara profesionalnya mahu menjadikan kata-kata orang luar sebagai pedoman.

Inspirasi kanak-kanak

Ali Nurazmal memberitahu, nalurinya terarah untuk mengabdikan imej kanak-kanak. Katanya: "Kanak-kanak itu adalah mereka yang berhampiran dengan saya, ia terdiri daripada anak saya sendiri, sepupu dan juga anak saudara saya."

Dia yang ditemui di Galeri Arti yang terletak di Desa Melawati, Kuala Lumpur disogok dengan persoalan mengapa harus memilih kanak-kanak dalam sentuhan seninya.

Jawab beliau: "Kanak-kanak ini naif, mudah terpengaruh, mereka melihat dan mahu menjadi apa yang dilihatnya. Sebagai contoh mereka menonton animasi Ben 10, mereka mahu menjadi Ben 10, ekspresi itu saya sifatkan sebagai sesuatu menarik untuk diterjemahkan."


ALI Nurazmal, Arif Fauzan dan Hushinaidi menampilkan kelainan apabila mengaplikasikan konsep figuratif psikodinamik dalam karya mereka.


Untuk merealisasikannya, langkah Ali Nurazmal tidak sah tanpa membawa bersama kamera poketnya ke mana juga destinasi yang hendak dituju.

Lelaki berbakat itu akan merakam puluhan dan adakalanya ratusan detik dan emosi kanak-kanak di sekelilingnya. Kemudian, dia akan memilih reaksi yang dikira terbaik.

Sesungguhnya, bukan mudah untuk menghasilkan karya setepat foto yang dirakam oleh sebuah kamera. Bagaimanapun, Ali Nurazmal gigih dan berjaya melaksanakannya.

Pada pameran kali ini, dia mempamerkan lima karyanya. Dua lukisan menjadi topik perbincangan kami ialah For Your Entertainment I dan Pursuit Your Happiness.

"Karya bersiri bertajuk For Your Entertainment merujuk kepada wajah anak saudara saya yang terpukau melihat sesuatu yang menggamit perhatiannya, iaitu watak kartun," jelasnya yang sudah mengikuti lebih daripada 20 pameran seni secara solo dan berkumpulan di dalam mahu pun di luar negara.

Sudah menjadi resam kanak-kanak, mereka akan terpesona dengan watak animasi. Itulah yang ditampilkan oleh Ali Nurazmal pada siri lukisannya. Untuk lukisan itu, dia selesa menggunakan arang. Mesej yang hendak disampaikan cukup jelas dan mudah untuk ditelah.

Karya Pursuit Of Happiness yang berteraskan cat minyak pula mengajak khalayak seni berfikir sejenak. Untuk itu, Ali Nurazmal membahagikan lukisannya kepada beberapa blok tertentu yang berlatarbelakangkan warna-warna yang bertenaga.

Tiga gambaran kanak-kanak itu sebenarnya terdiri daripada kanak-kanak yang sama tetapi berlainan emosi dan transisi wataknya.

Karya itu bercerita tentang kanak-kanak yang sedang marah dan ia dimanifestasikan dengan riak wajah berteriak. Amarah kanak-kanak itu ditonjolkan lagi dengan sapuan warna merah menyala pada wajahnya.

Kanak-kanak di tengah-tengah blok lukisannya pula menampakkan sisi kecergasan. Objek kapal terbang mainan pula barangkali mewakili minat dan cita-citanya.

Belon yang terselit di antara kaki kanak-kanak itu pula ditafsirkan sebagai ke mana hala tujunya tatkala menjelang dewasa.

Lukisan tersebut sebenarnya karya terbaik dalam mewakili lima karyanya dalam menjelaskan teori figuratif psikodinamik yang merupakan falsafah karya yang dipegang Ali Nurazmal.

Pesona diri sendiri

Bagaimana dengan Arif Fauzan? Lelaki itu seorang yang sentimental dan daya pengaruh terhadap barangan klasik seperti kamera lama sangat kuat.


LUKISAN ini adalah reaksi yang dirakam oleh lensa Ali Nurazmal dan kemudiannya dipindahkan ke dada kanvas.


Dia sanggup merakam gambar potret rakannya menggunakan kamera manual yang barangkali sukar dijumpai di pasaran dan kemudian memindahkannya ke dada kanvas.

Lihat hasil kerja Gamma dan Beta, sungguh memukau. Semasa kami galak berbincang, Arif Fauzan berterus terang. Katanya, warna-warna bumi pada karya Gamma dan Beta merupakan satu kebetulan.

"Ia berlaku kerana semasa melukis, salah satu warna kehabisan, jadi saya menggunakan apa saja material yang ada," katanya.

Namun, kebetulan yang kreatif itu sebenarnya telah menyumbang kepada keunikan sentuhan karya anak kelahiran Ipoh tersebut.

Beralih kepada lukisan bertajuk Grave Digger dan Keep Grounded, figuranya adalah diri Arif Fauzan sendiri.

Grave Digger sebenarnya adalah imitasi kepada kulit album kumpulan legenda Inggeris legenda, The Beatles. Arif Fauzan dengan beraninya meletak dan menggantikan dirinya pada lukisan itu. Persembahan karya tersebut amat berani.

Begitu juga dalam karya The Little Thinker. Dua imej iaitu wajahnya semasa bayi dan karakternya semasa dewasa menunjukkan konflik keinginannya yang berbeza semasa zaman kecil dan dewasanya.

Impak karya

Lenggok gaya Hushinaidi mirip Arif Fauzan. Lelaki itu turut mengguna pakai personalitinya untuk sebuah karya.

Dalam karya Sedekad Kita, lelaki yang berumur 30-an sedang duduk pada satu posisi sebuah kerusi adalah Hushinaidi.

Apa yang cuba disampaikan dengan meletakkan pisang pada lututnya? Pisang itu dikatakan adalah sumber nutrien dalam pembinaan otot dan selari dengan teori psikodinamik.

Ya, memang payah untuk memahami tetapi secara jujurnya, karya Hushinaidi yang juga seorang pensyarah memberi impak kepada perkem bangan jiwa dan fikiran manusia.

Tidakkah Ali Nurazmal, Arif Fauzan dan Hushinaidi resah sekiranya ditempelak apabila dikatakan sudah kering idea gara-gara mengadaptasikan diri kepada karya sendiri?

Mereka sebulat suara menyimpulkan: "Dalam dunia ini, kita harus melakukan apa yang kita suka dan apabila kita melukis diri sendiri, kita akan lebih kenal akan diri kita. Namun, setakat ini, ramai yang selesa dengan cara kami."

Tidak kira apa pun stigma umum, tiga pelukis itu bergabung dalam memperjuangkan karya mereka yang semestinya lain daripada yang lain. Mereka anak muda yang rajin, unik dan berkebolehan besar.

Seperti kata Pengurus Galeri Arti, Mohd. Yusri Abdul Rahman, kehadiran mereka bertiga berjaya memecah tembok kesunyian karya-karya berbentuk figuratif di galeri-galeri tempatan.

"Diharapkan ia dapat menjadi wadah kepada perkembangan seni lukis tempatan pada masa kini dan akan datang," katanya.

Full content generated by Get Full RSS.

Usahawan desa jengah pasaran global

Posted:

Usahawan desa jengah pasaran global

Usahawan desa jengah pasaran global

Oleh MAZLINA ABDUL MAJID
mazlina.majid@kosmo.com.my


KARNIVAL USAHAWAN DESA (KDU) turut memberi ilham kepada orang ramai yang bercadang untuk menghias kediaman.


PARA usahawan yang mengambil bahagian pada Karnival Usahawan Desa 2011 (KUD 2011) baru-baru ini mengakui, karnival yang dianjurkan oleh Kementerian Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) telah membawa satu anjakan positif terhadap produk yang diusahakan.

Siti Zauyah Mustafa, 38, yang merupakan pemilik C.T Five.M Enterprise yang mengeluarkan perencah makanan jenama Zauyah mengakui hakikat itu.

Katanya: "Sebelum ini jenama Zauyah hanya bertapak di Kedah dan saya berpendapat dengan penyertaan saya pada KUD kali ini berupaya membantu produk saya menembusi pasaran luar terutama di Lembah Klang."

Usahawan desa itu memberitahu, barangkali peluang untuknya agak cerah memandangkan produknya seperti perencah seperti mi udang dan ayam goreng berempah keluaran bumiputra masih terhad di pasaran.

KUD yang berlangsung pada 21 hingga 25 September lalu di Laman 1Malaysia Presint 2, Putrajaya antara lain berjaya menghimpunkan kira-kira 500 usahawan luar bandar.

Mereka mempamer dan menjual empat kategori utama produk iaitu makanan, kraftangan, herba dan perkhidmatan.

Bukan sahaja kesemua barangan dijual pada harga berpatutan malah para pengunjung juga berupaya menjana idea untuk mengubah suai atau mendekorasi kediaman.

Khidmat landskap

Daripada ratusan usahawan, Mohd. Zahir Ibrahim, 55, membawa kelainan. Dia merupakan satu-satunya yang membuka premis menjual pokok-pokok eksotik yang sesuai untuk menghiasi landskap kediaman.

Syarikatnya, Heliconia Farm & Trading yang terletak di Kampung Chemperuh, Janda Baik, Bentong, Pahang menjual spesies pokok-pokok seperti heliconia, calathea, costus, musa (pisang hiasan), ginger dan banyak lagi.


SANTAN sawit antara inovasi baharu yang menarik perhatian orang ramai.


"Pada karnival ini kami membawa 140 jenis spesies dan kami juga menyediakan khidmat membina landskap kepada pelawat yang bercadang untuk berbuat demikian," katanya.

Syarikat Tie Zek Resources Sdn. Bhd. turut menawarkan kepakaran serupa namun ia lebih tertumpu kepada hiasan perabot taman.

Pengarahnya, Tengku Hafiz Tengku Zaina Abidin, 27, berkata, pihaknya menawarkan perabot seperti buaian, kerusi rehat atau meja makan yang diperbuat daripada kayu cengal.

Tidak jauh dari premis ahli perniagaan itu, seorang lagi pempamer, Fadzillah Ahmad Najib, 28, dari Pekan, Pahang pula memperkenalkan perkakas hiasan dalaman yang meng gunakan kayu pain.

Ketika karnival, Fadzillah membawa 50 jenis produk dan sambutan yang diterima daripada orang ramai sangat memberangsangkan.

Pasangan suami isteri, Kharul Amin Yazid, 47, dan Fatimah Ahmad, 49, yang mengusahakan produk berupa barang perhiasan seperti labu sayung, dulang dan tudung saji daripada kertas juga cukup unik.

"Alhamdullillah, pada karnival ini ramai yang tertarik dengan perusahaan kami, ini pun kami sedang menyiapkan tempahan pelanggan yang ingin membawa produk saya ke luar negara," kata Kharul Amin.

Tempahan RM2 juta

Lazimnya, pada program sebegini, banyak barangan termasuk produk makanan yang unik akan ditemui.

Antara yang mencuri lensa jurufoto, Saiful Bahari Ashari ialah santan sawit.


MALAYSIA sememangnya kaya dengan makanan yang lazat dan berupaya menarik perhatian antarabangsa sekiranya berpeluang dipasarkan ke luar negara.


Menurut pengedarnya, Rashidah Lopesapien, 39, hasil inovasi teknologi pada hari ini buah sawit kini direvolusikan menjadi santan.

"Santan sawit ini banyak khasiat dan boleh digunakan untuk membuat air sirap bandung, kari ikan, dadih, cendol, nasi minyak dan lain-lain lagi," katanya.

Jenama kopi Cap Dua Daun dari Kampung Durian Burung, Serdang, Kedah turut menarik perhatian umum.

Menurut pembantu jurujualnya, Ahmad Zalal Khamis, 21, kopi yang dihasilkan secara tradisional itu diharap dapat menembusi pasaran luar atau setidak-tidaknya menjengah ke kompleks membeli-belah di ibu negara.

Sementara itu, menurut Setiausaha Bahagian Pengupayaan Ekonomi, KKLW, Zazali Salehudin, usahawan yang dipilih menyertai KUD merupakan mereka yang mempunyai produk yang berpotensi untuk pergi lebih jauh.

Tambahnya, untuk merealisasikan impian para usahawan untuk memperluaskan lagi pasaran produk mereka, pihaknya menjemput 13 agensi pemasaran yang terdiri daripada pasar raya besar seperti Giant, Tesco dan Mydin dalam usaha menarik perhatian mereka untuk menjalin kerjasama dengan pengusaha desa.

Dalam pada itu Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, sejak dilaksanakan pada tahun 2006, KUD berjaya meraih jualan tunai dan tempahan sebanyak RM2 juta serta mewujudkan lebih 3,000 jaringan perniagaan.

"Kementerian yakin KUD 2011 mampu menyemarakkan jiwa usahawan terutama mereka yang berada di luar bandar bagi meningkatkan daya saing, produktiviti dan kualiti pengeluaran sekali gus meningkatkan taraf hidup masyarakat luar bandar," katanya.

Full content generated by Get Full RSS.

Buku idaman pada harga murah

Posted:

Buku idaman pada harga murah

Buku idaman pada harga murah

Oleh NIZHA PERIASWAMY
nizha.periswamy@kosmo.com.my


NAUFAL ZAQUAN AZHAR, 3, sedang asyik melihat isi kandungan buku ketika ditemani oleh bapanya pada Ekspo Buku Big Bad Wolf bertempat di MAEPS, Serdang.


RUANG pameran Dewan A di Taman Ekspo Pertanian Serdang Malaysia (MAEPS) minggu ini diserang satu acara yang tentu sekali mengujakan ulat-ulat buku. Acara tahunan yang dinamakan Big Bad Wolf iaitu jualan mega buku-buku dengan diskaun sehingga 95 peratus itu antara pameran dan jualan buku yang boleh menyebabkan pengunjung rambang mata mendapatkan bahan bacaan.

Berpuluh-puluh buku yang dipilih tetapi anda mungkin tidak akan percaya dengan jumlah bayarannya kelak kerana ia tidak pun sampai separuh pun harga asal buku-buku itu. Itu adalah keistimewaan dan tarikan utama acara jualan buku Big Bad Wolf.

Bertempat di ruang pameran seluas 8,361 meter persegi , ia dipenuhi dengan segala jenis buku termasuk buku paling laris, buku seni, buku koleksi dan set kotak yang diperoleh dari segenap pelosok dunia.

"Saya yakin acara jualan besar seperti ini boleh menghidupkan semula minat untuk membaca, belajar dan berkongsi pengetahuan," kata pemilik bersama BookXxccess, penganjur acara jualan Big Bad Wolf, Andrew Yap.


BAHAN bacaan dijual pada harga yang murah dengan diskaun sehingga 95 peratus.


Kali keempat jualan acara Big Bad Wolf yang disifatkan sebagai jualan buku terbesar itu hampir menjadi satu misi yang mustahil untuk dianjurkan pihak penganjurnya. Ini kerana pihak penganjur mengakui terpaksa berhadapan dengan pelbagai cabaran sebelum merealisasikannya.

Malahan, pihak penganjur juga teruja dengan sokongan pihak bank OCBC sebagai rakan kongsi Big Bad Wolf yang dijalankan bermula 7 hingga 16 Oktober ini.

Sebagai nilai tambah kepada kerjasama dengan OCBC, pemegang kad kredit bank tersebut akan mendapat potongan harga lima peratus lagi bagi semua buku yang dibeli semasa acara Big Bad Wolf.

Buku untuk anak yatim

Bukan itu sahaja, BookXxcess dan OCBC akan melancarkan program tanggungjawab sosial korporat yang dinamakan Red Readerhood dengan setiap pihak membeli dan mendermakan 1,000 buku kepada rumah anak yatim dan persatuan ibu tunggal. Orang ramai juga dipelawa menyertai program itu dengan membeli buku untuk didermakan.

"Kami ingin membolehkan kanak-kanak yang kurang bernasib baik mendapat manfaat daripada keseronokan membaca sambil menyemai minat dan tabiat membaca sejak dari kecil," ujar Andrew.

Seramai 500,000 pelawat yang dijangka mengunjungi acara jualan Big Bad Wolf. Masuk adalah percuma dan pengunjung dinasihat membawa troli, kotak atau beg besar untuk memudahkan isian item pembelian.

Full content generated by Get Full RSS.
Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved