Kosmo Online - Horizon |
Posted: Petik strawberi sampai penatOleh BASIR ABU BAKAR JIKA sebelum ini ladang strawberi sering dikaitkan dengan Cameron Highlands, namun kini pencinta buah itu tidak perlu lagi memandu jauh hanya semata-mata menikmati buah strawberi segar. Ini kerana taman strawberi di Genting Highlands yang mula beroperasi sejak tiga tahun lalu kini menjadi salah satu tarikan terbaharu di kawasan tanah tinggi tersebut. Selepas ini pengunjung yang ingin ke kota keriangan Genting Highlands, Pahang pastinya tidak akan melepas peluang singgah sebentar di ladang Genting Strawberry Leisure Farm Sdn. Bhd. yang terletak tidak jauh dari bandar Gohtong Jaya. Menceritakan sedikit mengenai bandar Gohtong Jaya yang merupakan bandar utama di Genting Highlands, Penolong Arkitek Landskap, Majlis Daerah Hulu Selangor, Nurul Huda Khairuddin memberitahu, ia dibina oleh Tan Sri Lim Goh Tong yang juga Pengerusi Genting Group. "Kawasan Gohtong Jaya mempunyai pelbagai kedai, rumah, pangsapuri dan kawasan komersial. Di sana terdapat juga Kolej Antarabangsa INTI Genting. "Selain itu, sebagai sebuah pusat peranginan terkenal terdapat beberapa buah hotel atau rumah penginapan, salah sebuah hotel yang popular ialah Hotel Seri Malaysia," katanya. Menurut Nurul Huda lagi, berdekatan Gohtong Jaya juga terletaknya stesen kereta kabel Genting Skyway iaitu titik sempadan negeri Selangor dengan Pahang. PAPAN tanda Genting Strawberry Leisure Farm yang terletak di pintu masuk taman ini pasti menggamit pengunjung yang hadir. "Di sini jugalah terdapat sebuah taman santai strawberi yang sangat menarik untuk dilawati," katanya yang telah beberapa kali ke taman strawberi itu yang sebenarnya terletak di daerah Hulu Selangor. Pengasas taman tersebut, KC Chung, 40, berkata, di taman itu terdapat kira-kira 80,000 pokok strawberi yang ditanam dengan secara bertingkat di atas tanah seluas 0.8 hektar. Ia diusahakan sejak diusahakan sejak tahun 2009. Menurutnya, pemandangan di taman santai strawberi tersebut hampir menyamai kebun strawberi di Cameron Highlands namun, terdapat beberapa perbezaan yang cuba diketengahkan dalam ladang strawberi berkenaan. Apa yang pasti katanya, pengunjung pasti teruja untuk memetik sendiri buah strawberi di taman santai yang diusahakan KC Chung sejak tiga tahun lalu. "Di ladang ini saya cuba melakukan kelainan dari kebiasaan yang terdapat di ladang strawberi sedia ada di negara ini. Bermula dengan reka bentuk, idea dan konsep 'petik sendiri buah strawberi selagi terdaya' ternyata menjadi tarikan utama pengunjung untuk datang semula ke ladang ini," katanya ketika ditemui di ladang miliknya di sini baru-baru ini. Ladang individu terbesar Idea KC Chung yang cuba mengetengahkan konsep 'kebun rekreasi' atau 'taman santai' itu ternyata memberi satu kelainan yang menjadikan pengunjung seperti berada di kawasan tanah tinggi yang sungguh menyegarkan. Apatah lagi taman ini juga diserikan dengan haruman bunga-bungaan yang berwarna warni. "Untuk pengetahuan anda ladang ini merupakan ladang strawberi milik individu terbesar di Malaysia. Selain itu, semua daya tarikan yang ada di Cameron Highlands terdapat di sini. "Kecuali ladang teh, turut terdapat di sini ialah taman mini kaktus, gerai jualan dan taman mini sayuran gergasi pertama Asia," katanya. Menurutnya lagi, buah strawberi yang dihasilkan di ladang tersebut jauh lebih besar, sedap dan ranum dimakan berbanding buah strawberi di tempat lain. "Strawberi di sini lebih enak kerana keadaan suhu di sini tinggi sedikit dari Cameron Highlands dan dalam sesetengah keadaan ia akan menjadi lebih sejuk. BUAH strawberi di Genting Highlands lebih besar dan sedap. "Selain itu teknik penanaman pokok strawberi yang digunakan juga menjadi faktor strawberi di sini ranum, berbuah sepanjang musim dan lebih besar," katanya yang enggan mendedahkan teknik rahsia penanaman benih strawberi itu. Kedai cenderamata Seorang pengunjung, Yusri Abdullah, 28, berkata, taman strawberi tersebut sangat luas dan sesuai untuk aktiviti rekreasi seisi keluarga. Malah katanya, perjalanan dari Kuala Lumpur ke Bandar Gohtong Jaya sejauh 46 kilometer itu hanya mengambil masa 47 minit berbanding Cameron Highlands. "Oleh itu orang di Lembah Klang tidak perlu memandu jauh dan mengeluarkan wang yang banyak untuk ke Cameron Highlands bagi melihat dan merasai buah strawberi," katanya. Lebih menyeronokkan lagi, taman santai itu lengkap dengan gerai cenderamata yang turut menyediakan pelbagai barangan hiasan untuk dibawa pulang sebagai kenangan. SALAH sebuah dari 60 gerai yang menjual produk berasaskan strawberi. "Jika kita membawa anak kecil, pasti tangan tidak cukup untuk menjinjing beg plastik terisi tanda mata bertemakan strawberi," katanya tersenyum. Mengimbau kembali keadaan ketika mula-mula masuk ke taman strawberi, Yusri memberitahu sejurus melalui pintu gerbang taman santai, pengunjung akan disambut dengan senyuman manis penyambut tetamu. Selepas memetik strawberi pesan Yusri, pengunjung jangan lupa meneroka rumah cendawan kerana di situ terdapat ribuan jenis cendawan antaranya cendawan ling-zhi, white oyster, black poplar dan abalone. Di penghujung rumah itu, disediakan sebuah kawasan menjual pelbagai produk cendawan dan pengunjung boleh membelinya pada harga yang berpatutan. "Namanya saja ladang strawberi, tetapi bukan setakat buah strawberi, tomato, tauge Cina (bean sprout), markisa, halia, orkid, ros dan anggur turut ditanam serta sayuran gergasi menjadi antara tarikan terbaharu." katanya. Sesuatu yang menarik, sebuah bangsal turut didirikan menggunakan campuran tumbuhan semula jadi seperti buluh, rotan dan mengkuang. Ia merupakan hasil kerja tangan penduduk Orang Asli. Di sini juga, pelbagai menu masakan berasaskan strawberi dan cendawan disajikan untuk tetamu yang ingin meluangkan masa melihat pelbagai barangan cenderamata yang dijual. Bagi penggemar kopi dan teh, jangan lupa merasai kelazatan kopi atau teh berperisa strawberi. Full content generated by Get Full RSS. |
Posted: Eksotik usus lembu sumbatOleh ADZRIEFAIZ ADZLAN BAHAGIAN dalam usus lembu disumbat dengan kentang, tauhu dan telur yang dilenyekkan. JANGEK? Apa itu jangek? Jangek adalah keropok kulit lembu. Itulah antara cabaran makanan yang saya kena lalui. Selama ini asyik mendengar keropok kulit lembu dan sekarang demi penonton setia Makan Angin dan pembaca Kosmo!, saya mempelajari cara membuat keropok eksotik itu dari A hinggalah Z. Bukan setakat itu sahaja, saya juga belajar membuat usus isi yang mana usus lembu disumbatkan dengan bahan-bahan tertentu. Kedua-dua makanan itu merupakan makanan istimewa di Sumatera terutamanya di Pekan Baru, Riau. Memanglah pada mulanya agak sukar untuk menelannya sehingga termuntah tetapi apabila dimakan, memang sedap rasanya. Sebelum memulakan misi, saya telah ke tempat menenun dan mencuba tenun kain sendiri di Tenunan Wan Fitri. Rupanya aktiviti menenun bukanlah semudah yang disangka kerana ia memerlukan kesabaran dan ketelitian. Namun, hasilnya tidak mengecewakan. Selepas menenun, saya sempat mencuba minuman tradisi masyarakat Indonesia iaitu jamu. Dapatkan kulit lembu Selesai minum jamu untuk menambah tenaga, bermulalah misi saya di Pekan Baru. Saya terus ke Pasar Tradisional Dupa Khencana ditemani Pak Agus untuk membeli bahan-bahan yang akan digunakan untuk menu usus lembu sumbat. Saya memilih untuk menaiki bas kerana pengangkutan bas di sini sangat unik dan cantik kerana ia dihias dengan cantik. Antara bahan-bahan yang diperlukan adalah kentang, telur dan tauhu. Cabaran saya adalah mencari dan memilih sendiri bahan-bahan yang hendak dibeli. Selesai membeli kami terus ke hotel untuk rehat kerana jam 2 pagi kami akan ke rumah pemotongan haiwan untuk membeli kulit lembu! Menarik tak? Apabila tiba di rumah pemotongan, sayalah paling teruja. Tapi dalam keterujaan itu timbul juga perasaan ngeri apabila tiba di sana yang seakan-akan dewan, saya lihat darah lembu memenuhi kesemua lantai dewan. Namun, walaupun darah berselerakan, pemotongan lembu-lembu di sana dijalankan secara sistematik. Satu bahagian disediakan untuk penyembelihan dan beberapa bahagian lagi diasingkan untuk melapah bahagian tertentu. Bagi kita ia agak mengerikan tapi bagi mereka ia adalah pemandangan biasa. USUS lembu sumbat yang siap direbus boleh dinikmati begitu sahaja. Kulit lembu dan usus yang saya peroleh itu terus saya bawa kepada Pak Agus yang akan menunjukkan cara memasaknya. Proses pertama yang dilakukan apabila sampai di kilang tersebut adalah menimbang kulit lembu yang dibeli untuk membuat anggaran. Jumlah berat adalah 23 kilogram, sebab itulah saya rasa nak tercabut tangan mengangkatnya. Selesai menimbang, kulit tersebut direbus untuk memudahkan pengasingan bulu kasar di kulit tersebut. Kemudian, kulit itu direbus sekali lagi selama 30 minit untuk memastikan kulit lembu benar-benar bersih. Setelah selesai, proses memotong kulit lembu menjadi kecil seperti saiz dadu kecil dengan menggunakan mesin pemotong khas. Akhirnya kepingan kulit itu dijemur selama lima jam hingga dua hari bergantung kepada panas matahari. Apabila betul-betul kering, barulah kulit lembu siap untuk digoreng. Proses menggoreng keropok itu memerlukan minyak yang benar-benar panas. Misi kedua pula adalah menyediakan usus lembu sumbat. Menggunakan bahan-bahan yang dibeli di pasar, Pak Indra menunjukkan cara-cara menyumbat bahan-bahan tersebut setelah dilenyek untuk disumbat ke dalam usus lembu tersebut. Proses menyumbat bahan-bahan yang telah dilecek haruslah secara berhati-hati dan cekap. Kemudian, usus lembu yang telah disumbat dengan bahan-bahan tadi direbus sehingga masak dan siap untuk dihidang. Apabila selesai, cabaran yang paling mendebarkan untuk saya adalah masa menikmatinya. Apabila saya cuba bayangkan usus lembu tersebut akan menjadi santapan saya, oh! sangat menggerunkan. Tetapi seperti biasa saya akan menggunakan formula jangan fikir, jangan fikir!!! Malangnya masa makan, saya tersedak dan hampir-hampir tercekik. Apa pun menu kali ini memang sedap dan unik sebenarnya. Sebelum pulang saya sempat berjalan-jalan dan mengenal sejarah kerajaan Siak. Salah satunya adalah istana Siak Sri Indrapura yang menjadi simbol wisata di Riau. Ia dibina pada tahun 1889 oleh arkitek berbangsa Jerman. Itulah cerita yang dapat dikongsi untuk semua pembaca Kosmo! dan penonton setia TV9. Esok, jangan lupa menonton Makan Angin 2, episod 10, jam 8.30 malam hanya menerusi TV9. Full content generated by Get Full RSS. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Horizon To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan