Kosmo Online - Hiburan |
Posted: Tidak kejar popular
KETAWA menjadi teman setia pelakon muda, Tiz Zaqyah dalam banyak bicaranya. Barangkali dia senang begitu untuk menutup rasa malu dan menyembunyikan perasaan kekok setiap kali ditemu bual. Berulang kali juga dia menekankan dia masih baru dalam bidang lakonan. Baru mahu mencecah usia lima tahun dan ilmunya masih terlalu cetek jika dibandingkan dengan barisan pelakon sedia ada. Begitu Tiz meletak kedudukan dirinya dalam industri. Namun sama ada dia suka atau tidak, usia setahun jagung pada pandangan matanya itu sebenarnya sudah cukup matang untuk memperkenalkan Tiz kepada industri. Lebih-lebih lagi apabila dia kerap mendapat karakter yang berjaya dijiwai dengan cukup berjaya. Paling mengesankan audiens tentulah watak Nur Amina yang dimainkan dalam drama dan filem fenomena, Nur Kasih. Jujur juga, biar Tiz menyatakan dia sudah lama meninggalkan Nur Amina dan bermain dalam pelbagai gelanggang baharu, namun watak itu juga yang selalu menghantui peminatnya. Tiz - Nur Amina bagai satu item. "Saya sudah lama bergerak ke depan dan peminat harus ikut sama sebab saya sudah banyak memainkan karakter lain yang tidak kurang hebat dalam produk-produk saya selepas Nur Kasih," katanya yang mahu peminat tidak terperangkap dalam karakter lamanya itu. Kini nama Tiz kembali hangat seiring kemunculan drama rantaian yang mengisi slot Akasia setiap Isnin hingga Khamis pukul 7 malam berjudul Soffiya. Membawa watak Soffiya, seorang gadis yang dirogol bapanya sendiri, gambaran awal cerita itu dikecam segelintir khalayak yang melihat isu tersebut sebagai satu tabu pada masa kini. Bagaimanapun seiring dengan perkembangan plot, ternyata babak tersebut hanya sedikit dan kini Soffiya berkembang menjadi satu kisah yang lebih berat dengan bebanan emosi dan konflik cinta. "Sebab utama saya mengambil watak Soffiya adalah kerana mahu mencabar kemampuan sendiri. Watak dirogol bapa sendiri dan bebanan emosi yang ditanggung selepas itu membuat saya tidak berfikir panjang untuk memberi persetujuan. Soffiya adalah cabaran baharu buat saya sebagai seorang pelakon. "Sebab itu saya mahu peminat saya bergerak bersama saya kerana setiap masa saya akan meneroka watak-watak baharu untuk mencabar dan mempertingkatkan kualiti saya sebagai seorang pelakon," ujar Tiz mengenai drama rantaian 28 episod itu.
Biar suka mencabar diri dengan 'permainan' terkini, ia tidak membuat anak kelahiran Kuala Lumpur ini terlalu ghairah menerima semua tawaran. Dia sedar, banyak orang memegang prinsip selagi laku dan muda, harus merebut peluang yang datang, tetapi tidak baginya. Prinsip yang dipegang Tiz adalah hanya mengambil peluang yang dia benar-benar yakin, selesa dan paling penting kata gadis bermata galak ini, dia tidak mahu audiens bosan melihat wajahnya terlalu kerap muncul di kaca televisyen. "Benar, orang kata masa muda dan laku ini kita patut guna kesempatan yang ada dengan sebaiknya. Tapi saya bukan jenis pelakon yang lepas satu, satu dan terkejar-kejar bekerja. Saya jenis pelakon yang suka lepas satu produk, saya berehat sebentar, mencari momentum semula dan bila dapat watak yang bagus, saya akan mula berlakon semula. "Walaupun mungkin ada yang berpendapat ia akan memberi kerugian kepada saya kerana setiap hari banyak muka baharu muncul, namun saya percaya, jika kita punya kualiti, Insya-Allah akan ada tawaran dan rezeki buat kita," jelasnya. Tambah Tiz lagi, bukan dia tidak sedar bahawa dia perlu rajin bekerja dan mengumpul duit kerana lakonan adalah satu-satunya bidang yang memberi dia kelangsungan hidup, namun buat masa ini dia selesa dengan cara kerjanya. Katanya: "Saya masih muda. Baru 21 tahun, mungkin sebab itu saya rasa tidak terlalu berkejar-kejar bekerja. Bukan saya menafikan wang itu penting untuk masa depan, tapi saya memang jenis yang tidak suka terburu-buru. Saya suka buat apa yang saya nak buat dan dalam masa yang sama saya kini sedang cuba mengumpul aset." Sementara ditanya bagaimana dia mengawal gosip yang sering menerpa seiring popularitinya, ringkas Tiz yang dikait mempunyai hubungan istimewa dengan aktor Remy Ishak ini memberitahu dia lebih gemar mendiamkan diri dan membiarkan gosip berlalu pergi daripada kerap memberi kenyataan kerana dia percaya gosip akan mati sendiri apabila ia tidak dilayan. Full content generated by Get Full RSS. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Hiburan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan