Kosmo Online - Hiburan |
Posted: Tak terima Mamat lagiKUMPULAN Sepah yang dianggotai oleh Mohd. Nazri Zainal Abidin (Jep), 26, Shahmira Muhamad (Shuib), 27, dan Mohd. Noor Murad (Mamat) 26, telah pun mengumumkan pembubaran kumpulan mereka pada Ogos lalu atas sebab peribadi, tambahan mereka bertiga kerap mendapat tawaran secara individu bukannya berkumpulan. Ramai yang terkejut dengan berita pembubaran itu kerana menyifatkan jenama Sepah sudah cukup kuat apabila kumpulan itu menjadi juara untuk program Raja Lawak musim ketiga dan Maharaja Lawak mengalahkan pelawak popular yang lain. Belum pun reda dengan isu pembubaran kumpulan yang berasal dari Johor itu, baru-baru ini dua bekas ahli kumpulan Sepah, Jep dan Shuib mengumumkan mereka kini bergerak bersama di bawah nama Sepahtu. Ketiadaan Mamat dalam Sepahtu menjelaskan krisis yang berlaku ketika mereka masih dalam kumpulan Sepah. "Sebenarnya ketika dalam program Raja Lawak musim ketiga lagi kumpulan kami (Sepah) bagai retak menanti belah dan ingin berpecah. Saya ingatkan ketika di atas pentas final saya ingin umumkan kami berpecah begitu juga halnya ketika program Maharaja Lawak, tetapi tidak adil untuk peminat yang mengundi kami, jadi saya diamkan sahaja masalah kami. "Saya sudah bersabar terlalu lama. Bukan sekali dua kali tetapi sudah tiga tahun, saya memberi peluang, ruang dan nasihat kepada Mamat untuk memberi komitmen pada kumpulan Sepah sehingga sampai satu tahap kami sudah tidak boleh buat apa. Jadi jalan penyelesaian terbaik adalah berpecah meskipun kami bertiga sedar ramai yang tidak mahu melihat kami berpecah," ujar Jep yang menceritakan masalah sebenar yang dihadapi Sepah selepas dipaksa berkali-kali. Jelas Jep lagi, perpecahan berlaku selepas dia berfikir semasak-masaknya dan berbincang sesama mereka bertiga. Malah, perpecahan Sepah adalah untuk kelangsungan jangka hayat mereka dalam bidang seni. "Kalau satu kumpulan banyak masalah yang timbul ia akan menyusahkan banyak pihak. Bukan kami sahaja tetapi orang sekeliling yang bekerja dengan kami, jadi lebih baik berpecah dan ikut haluan masing-masing. Sebelum berpecah saya sedih dan tertekan tetapi apabila kami berpecah umpama beban di bahu saya hilang serta saya rasa lega," luah Jep sambil berhati-hati menutur kata bimbang kata-katanya melukai mana-mana pihak. Disoal lagi mengapa tidak teruskan sahaja dengan nama kumpulan Sepah jawab Jep: "Mamat kata Sepah itu dia yang punya, jadi kami pun pilih guna nama baharu. Lagipun, nama Sepah itu untuk kami bertiga, saya, Shuib dan Mamat dan rasanya tidak adil untuk Mamat kalau kami guna nama Sepah." Tambah Shuib yang merupakan suami kepada penyanyi Siti Sarah: "Sepahtu bermaksud Sepah dua atau sepatu yang digabungkan bermaksud kasut, kasut ada kiri dan kanan dengan jumlahnya dua. Oleh itu, sesuailah namanya dengan kami berdua." Cukup bersahabat
Persahabatan yang terjalin antara mereka sudah lama, mungkin perpecahan kumpulan Sepah hanya bersifat sementara dan pada masa depan Mamat akan kembali semula dalam kumpulan Sepah. Ketika diajukan soalan itu buat Jep dan Shuin kedua-duanya terdiam sebentar, berfikir jawapan yang sesuai barangkali. "Sudah cukup masa yang kami beri kepadanya. Sekarang saya sudah berhenti kerja dan bidang seni merupakan periuk nasi utama saya, mungkin sudah tertulis rezeki saya di sini. Saya rasa saya tidak akan terimanya kembali kerana saya ingin bekerja dalam bidang ini untuk satu tempoh yang lama, saya bimbang jika kami bersama masalah yang sama akan berulang," jawab Jep. Respons Shuib pula: "Saya sudah ada keluarga dan tidak lama lagi akan menjadi ayah, tanggungjawab saya semakin besar. Saya tidak mahu kerana mahu menjaga hal orang membuatkan saya jatuh, bagi saya itu tidak adil. Kalau saya tidak ada duit, saya minta orang, mana ada orang nak bagi duit. Sekarang kami hanya mahu fokus pada kerja sahaja. Terima Mamat kembali, rasanya tidaklah." Sungguhpun sudah berpatah arang, namun hubungan persahabatan antara mereka masih terjalin seperti biasa, cuma apabila ia membabitkan kerja mereka terpisah kerana memiliki ideologi yang berbeza. "Kami masih baik, masih tegur antara satu sama lain, memang tidak ada sebarang masalah. Sekarang ini pun, saya berlakon dengannya dalam drama Superlawak FC. Bila jumpa di lokasi penggambaran, macam biasa tidak ada apa yang berubah," jelas Shuib yang dijangka akan mendapat anak lelaki dalam masa terdekat. Selain itu, mereka bertiga juga bakal muncul dalam filem Sepah The Movie yang akan mula menjalani penggambarannya pada 17 Oktober depan. "Kontrak filem Sepah The Movie telah kami tandatangani sebelum Sepah berpecah. Walaupun sudah berpecah, kami profesional bila bekerja. Kami bertiga berjumpa ketika sesi bacaan skrip dan memang tidak ada masalah untuk berlakon bersama. "Kami sebagai kawan masih okey, cuma bab komitmen, saya sudah tidak boleh bertolak- ansur. Kami tidak menyingkirkan Mamat kerana perpecahan kami terjadi atas persetujuan bersama. Kiranya ini merupakan projek terakhir kami sebagai Sepah," kata Jep mengenai filem yang berkisar tentang konflik cinta tiga segi itu lagi. Album Kewujudan Sepahtu bermula apabila penyanyi Mawi menawarkan mereka kontrak untuk merakamkan album di bawah syarikat miliknya MW Entertainment dan Sheikh Qalam Records. Melihat kepada tawaran yang datang tepat pada masanya, baik Jep mahupun Shuib tidak mampu untuk menolak tawaran yang sekian lama dinanti-nantikan mereka. "Sebenarnya tawaran ini datang ketika kami pergi beraya ke rumah Mawi pada penghujung bulan Syawal. Sebelum itu baik saya atau Shuib langsung tidak tahu menahu tentang tawaran untuk rakam album ini. "Bagi saya ia sebuah tawaran yang tidak mampu saya tolak kerana ia merupakan salah satu impian saya. Selain berlakon, sebagai Sepahtu kami memang ingin mencuba satu bidang yang baharu, mungkin selepas ini peminat dapat melihat sisi lain kami," beritahu Jep. Album Sepahtu yang diedar dan dipromosikan oleh Universal Music Malaysia itu akan bergenre pop dan rock dengan beberapa lirik berunsur komedi. Ia akan mendapat sentuhan komposer dan penulis lirik terkenal seperti Datuk M. Nasir, Azmeer, Sheikh Qalam, Mawi dan Sepahtu sendiri. "Mereka masih belum masuk studio kerana sedang memilih lagu yang sesuai dan dalam perancangan mungkin akan ada enam hingga lapan buah lagu yang diterbitkan, jika tidak ada aral melintang pada bulan November lagu single pertama mereka akan muncul di radio dan album akan siap sepenuhnya dalam bulan Disember. "Bagi saya, Jep dan Shuib tiada masalah untuk menyanyi kerana mereka pernah merakamkan lagu hari raya manakala Shuib sudah mempunyai single Cinta Itu Nyawa yang dinyanyikan secara duet dengan isterinya, Siti Sarah," kata penerbit album Sepahtu, Sheikh Qalam. | ||
Aaron jadi pembunuh upahan filem Hollywood Posted: Aaron jadi pembunuh upahan filem HollywoodOleh KHAIRUL AMRI HASSAN
PELAKON popular, Aaron Aziz, 35, mengesahkan pembabitannya dalam filem Hollywood berjudul Prince Of The City arahan Roslan Hussin. Filem itu sudah memulakan penggambaran di Sungai Penchala, Selangor. Menurut Aaron atau nama sebenarnya Aaron Mustapha Aziz, dia membawa watak seorang pembunuh upahan dalam filem itu. "Dalam filem ini, saya berlakon bersama, Michael Madsen sebagai pembunuh upahannya untuk membalas dendam terhadap watak yang dilakonkan oleh Jehan Miskin," kata pelakon drama Jiwa & Lara yang kini sedang ditayangkan di TV3 dalam slot Samarinda pukul 10.30 malam. Michael Madsen sebelum ini pernah berlakon dalam filem Outrage, Eldorado selain terlibat dalam drama bersiri 24 serta (Crime Scene Investigator) CSI: Miami. Selain Aaron, filem itu turut menggandingkannya dengan pelakon Tara Wallers, Yang Kassim dan Jehan Miskin. Filem yang bakal menjalani penggambaran selama 16 hari di Malaysia itu menggunakan sepenuhnya dialog dalam bahasa Inggeris. "Ini filem pertama saya dalam bahasa Inggeris, sebelum ini saya sudah banyak berlakon dalam drama Inggeris sejak di Singapura lagi. "Sasaran tayangan filem ini di luar negara, tapi saya difahamkan jika filem ini masuk ke pasaran tempatan, kemungkinan akan melalui proses alih suara," ujarnya berkenaan filem yang diterbitkan Axis Entertainment itu. Menerima pelawaan untuk berlakon dalam filem bertaraf antarabangsa ujar Aaron bukan kerana duit, namun dia melihat dalam skop yang lebih luas. "Saya ingin menimba pengalaman berlakon dalam filem Hollywood, mencari apa kelebihan mereka dan mungkin tidak ada pada kita. "Lagipun, kalau mereka (Hollywood) boleh terima kita, mengapa perlu kita menolak untuk berlakon dengan produksi mereka," tuturnya yang ditemui selepas majlis prapelancaran dan sidang akhbar Persidangan Usahawan Muda Asia Pasifik (APEC YES 2011) di Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Jalan Duta, Kuala Lumpur baru-baru ini. Buka produksi Ditanya mengenai pembabitannya dalam APEC YES 2011, Aaron menjawab pelantikannya sebagai duta hanya sekadar tanda sokongannya kepada perkembangan usahawan muda masa kini. "Belum ada apa-apa perancangan untuk saya menceburi bidang bisnes buat masa sekarang, tapi jika diberikan peluang satu hari nanti ingin juga saya mencuba bidang pengiklanan dan produksi, itulah passion saya," katanya yang belum punyai sebarang idea untuk mengeluarkan sebarang produk. Sesungguhnya, minat mendalam diperlukan untuk menceburi bidang perniagaan kerana bimbang sesuatu yang diceburinya tidak menjadi. "Untuk berniaga perlu minat, tidak adil untuk dapatkan geran tapi tidak melaksanakannya dengan berhemah," ujarnya lagi. | ||
Posted: Westlife kembali ke KLWESTLIFE bakal menggegarkan Stadium Tertutup Bukit Jalil, Kuala Lumpur menerusi konsert Westlife Live in Kuala Lumpur: Gravity Tour 2011 pada malam ini. SELEPAS lebih sedekad bersama, kumpulan popular dari Britain yang dikenali di seluruh dunia sebagai Westlife dikatakan tidak lagi akan aktif. Itu berita mengejutkan bagi peminat kumpulan yang kini dianggotai Nicky Byrne, Kian Egan, Mark Feehily, Shane Filan. Single terbaharu mereka, Lighthouse yang terkandung dalam album kesebelas Westlife, Gravity dikatakan bakal menjadi lagu terakhir Westlife. Lighthouse dijadualkan berada di pasaran menjelang bulan September ini. Sumber memberitahu akhbar Britain, The Mirror: "Nicky, Kian, Mark dan Shane sudah kepenatan. Mereka aktif untuk Westlife sejak lebih sedekad yang lalu dan kini mereka hanya mahu menikmati masa senggang untuk diri masing-masing sebelum mereka kembali muncul dengan album terbaharu." "Namun, jangan bimbang. Westlife bukan berpecah tetapi mereka mahu berehat sebelum kembali muncul dengan lebih hebat." Walau bagaimanapun sebelum berehat seketika, Westlife kini dalam rangka konsert mempromosi album Gravity dan peminat kumpulan itu di Malaysia sangat bertuah kerana Westlife yang pernah muncul dengan lagu-lagu yang menjadi siulan ramai seperti Swear It Again, Flying Without Wings, If I Let You Go, Uptown Girl dan I Have A Dream bakal menemui mereka pada malam ini! Westlife muncul kali ini di Kuala Lumpur sempena konsert terbaharu Westlife yang dikenali sebagai Westlife Live in Kuala Lumpur: Gravity Tour 2011. Konsert tersebut dijadualkan berlangsung pada pukul 8.30 malam di Stadium Tertutup Bukit Jalil, Kuala Lumpur. Apa yang pasti, ia bukan kali pertama kunjungan Westlife di Malaysia untuk membuat konsert selepas membuat kemunculan sulung di negara ini pada Jun 1999 iaitu kira-kira setahun selepas kumpulan itu ditubuhkan. Malaysia ternyata begitu dekat di hati Westlife apabila mereka kembali buat kali kedua pada November, 1999 sebelum muncul lagi pada Mei, 2001. Kali terakhir Westlife muncul di Malaysia adalah pada tahun 2002, justeru pada tahun ini peminat-peminat Westlife sudah tentu begitu rindu dengan kemunculan mereka, sementelah Westlife dikatakan akan berehat seketika daripada segala kegiatan seni mereka Maka, inilah peluang buat mereka untuk larut bersama kumpulan yang mencipta sejarah dunia muzik British sebagai satu-satunya karyawan muzik yang muncul dengan tujuh single yang terus menguasai juara carta UK Singles Chart sebaik sahaja dilancarkan, selain sejumlah 44 juta album mereka sudah terjual di seluruh dunia. Pada 22 November tahun lepas, Westlife muncul dengan album Gravity dan single pertama daripada album itu, Safe membuat kemunculan debut pada UK Singles Chart sehari sebelum itu di tempat kesepuluh, menjadikan ia single ke-25 Westlife yang berjaya meraih tempat pada Top 10 UK Singles Chart. Bagi menyemarakkan lagi album Gravity yang bakal melancarkan single kedua iaitu Lighthouse, Westlife kini muncul dengan konsert jelajah mereka di Kuala Lumpur pada malam ini yang dibawakan oleh JS Concert Productions bersama Midas Promotions. Sebarang urusan pembelian tiket Westlife Live in Kuala Lumpur: Gravity Tour 2011 boleh dibuat dengan melayari www.ticketpro.com.my atau menerusi talian telefon 03-7880 7999 (Ticketpro). |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Hiburan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan