Kosmo Online - Pemotoran |
Posted: Nissan Livina X-GearOleh AHMAD SYUKRAN ZAINUDDIN SEJAK model kenderaan pelbagai guna (MPV) Grand Livina dipasarkan pada Disember 2007, jenama Nissan dilihat kembali bernyawa di pasaran tempatan. Dengan praktikaliti dan kualiti yang ditawarkannya, Grand Livina pantas menarik perhatian ramai. Sekali gus menjadikannya MPV bukan nasional paling laris di Malaysia. Kelibat Grand Livina boleh dilihat di mana-mana. Sama ada model biasa atau lengkap dengan bodykit Impul, ia jelas membuktikan betapa popularnya MPV tersebut. Namun, kebelakangan ini anda mungkin terserempak dengan kenderaan yang seakan-akan Nissan Livina tetapi bentuknya sedikit lain. Sebenarnya, itu adalah varian terbaharu dalam keluarga Grand Livina yang ditawarkan oleh Edaran Tan Chong Motor Sdn. Bhd. (ETCM). Dikenali sebagai Livina X-Gear, ia dikategorikan dalam segmen crossover yang bersaing secara langsung dengan beberapa model lain seperti Suzuki SX4. Ia juga boleh bertindak selaku pencabar kepada model-model hatchback segmen B sedia ada termasuklah Suzuki Swift, Ford Fiesta, Mazda2 dan Honda Jazz. "Dengan Livina X-Gear berkapasiti dua baris tempat duduk, kami kini mensasarkan pelanggan segmen baru yang mahukan sebuah crossover penuh gaya untuk menunjukkan individualiti mereka. Pada masa yang sama kekal praktikal dan ekonomikal untuk kegunaan setiap hari," kata Pengarah Eksekutif ETCM, Datuk Dr. Ang Bon Beng. Apa sebenarnya crossover? Mudah cerita ia merupakan model yang dibangunkan daripada platform sedan dan diberi wajah berinspirasikan kepada sebuah SUV. Ia cukup sesuai untuk mereka yang mempunyai gaya hidup aktif, tetapi jarang sekali membawa kenderaan ke laluan off-road. Seperti namanya, model itu dibina menggunakan platform sama dengan Grand Livina. Bezanya, ia tidak lagi mempunyai barisan tempat duduk ketiga. Jadi, sekali pandang ia seakan-akan Grand Livina versi lima tempat duduk. JENTERA ini sesuai untuk mereka yang memiliki gaya hidup aktif. Melepasi ekspektasi Namun, ketiadaan tempat duduk baris ketiga itu memberikan anda lebih ruang kargo. Dalam keadaan biasa, ruang itu boleh mencecah 383 liter. Apabila kerusi belakang itu dilipat sepenuhnya, ia berubah menjadi 769 liter. Lebih daripada cukup untuk mengangkut barang-barang runcit yang dibeli pada hujung minggu. Secara mekanikalnya model itu berasaskan kepada Grand Livina 1.6. Gayaan luaran yang menarik adalah eksklusif untuk Livina X-Gear. Ini dapat dilihat pada gril hadapan yang sofistikated dan agresif. Bampar hadapan dan belakangnya mengangkat tema SUV bersama penutup takungan pelincir berwarna perak, over-fender maskulin serta rel bumbung (roof rails). Harus tahu bahawa rel bumbung itu bukan sekadar hiasan. Ia boleh menampung beban sehingga 25 kilogram tanpa sebarang masalah. Jadi, bolehlah anda mengangkat barang seperti basikal, kotak Thule atau kelengkapan berkhemah di atasnya. Saya berpeluang memandu uji Livina X-Gear baru-baru ini ke Pulau Pinang. Apa yang boleh saya katakan ialah ia melepasi ekspektasi awal saya. Untuk makluman, jentera itu menggunakan enjin aluminium sepenuhnya berkod HRDE16 bersesaran 1.6 liter, sama seperti yang ada pada model Grand Livina 1.6. Apa yang pasti, ia tidak terasa berat sebagaimana Grand Livina. Ini kerana 100 kilogram beratnya sudah hilang. Jadi, anda akan dapat menikmati torknya dengan lebih cepat. Memotong kenderaan atau bermula di lampu isyarat juga semakin mudah. PAPAN pemuka dan stereng yang ringkas dan praktikal. Stereng Ringan Memandu di jalan lama yang bengkang-bengkok, kualiti pemanduan yang diberikan oleh X-Gear adalah memuaskan. Sterengnya responsif dan tepat. Walaupun dipandu agak laju, keadaan bahagian belakang membuang jarang sekali berlaku. Di laluan lurus, pemandu akan merasa stereng X-Gear agak ringan. Sekali gus mengurangkan sedikit keyakinan untuk memandu dalam kelajuan terlalu tinggi. Ketika pedal ditekan ke lantai, maklum balas enjin yang disalurkan menerusi transmisi empat kelajuan dapat dilakukan dengan lancar. Ditanya kenapa transmisi itu dipilih dan bukannya kotak gear CVT dengan lebih banyak pilihan gear digunakan, ETCM ada beberapa sebab. Pertamanya, berkaitan dengan kos. Kedua, kolaborasi antara enjin itu sudah cukup bagus. Walaupun kelajuan mencecah lebih 100 kilometer sejam (km/) jarum rpm masih berlegar di bawah 3,000rpm. Saya harus akui bahawa Livina X-gear menawarkan ruang kabin yang luas. Tidak kira sama ada di hadapan atau belakang, anda boleh duduk dengan selesa. Untuk membezakannya lagi dengan varian Grand Livina, tempat duduk dan kemasan pintunya menggunakan fabrik bercorak kotak-kotak atau tartan. Berada di tempat duduk pemandu, anda akan pantas mengenali susun atur papan pemuka tipikal kenderaan Nissan yang ringkas. Semua butang kawalannya mudah dicapai dan dioperasi. Sterengnya juga kosong tanpa sebarang butang kawalan audio. Memang ia tidak mampu menandingi pelbagai ciri yang ada pada produk keluaran Korea yang ditawarkan pada harga hampir sama dengannya. ANDA boleh mengharap pemanduan yang memuaskan dengan Livina X-Gear. Aspek keselamatan tidak dilupakan. Nissan Livina X-Gear dilengkapi dengan dua beg udara, ABS, EBD dan BA sebagai ciri standard. Nissan Livina X-Gear serba baharu didatangkan dalam lima warna iaitu perak, kelabu, putih, hitam dan oren. Ia ditawarkan pada harga RM82,800 seunit, kurang RM7,000 berbanding model Grand Livina 1.6. Ia turut hadir bersama jaminan tiga tahun atau perbatuan sejauh 100,000km (yang mana tiba dahulu). Lebih menarik lagi, ETCM kini menawarkan pelan sewa beli istimewa dengan kadar faedah rendah bermula daripada 0.88 peratus setahun. Para pembeli Livina X-Gear juga akan menerima pakej filem tinted Solar Gard Armorcoat bernilai RM1,400 secara percuma sepanjang promosi yang akan berakhir pada 30 Oktober 2011. |
Lotus Renault GP terus optimis Posted: Lotus Renault GP terus optimisOleh SAHLIZAH MOHAMED AKSI jentera R31 yang bersaing dalam Grand Prix F1 di Singapura baru-baru ini. SEMPENA perlumbaan Grand Prix Formula Satu (F1) Singapura yang berlangsung pada 25 September lalu, Proton Holdings Berhad (Proton) telah membawa kumpulan media dari serata Asia termasuk Malaysia untuk bertemu dan menyaksikan kemampuan pasukan Lotus Renault GP (LRGP). Sebelum perlumbaan, Proton dan Kumpulan Lotus terlebih dahulu membuat pertunjukan di Clarke Quay, Singapura dengan mempamerkan model kereta masing-masing seperti Lotus Evora, Proton Satria Neo R3 dan jentera LRGP iaitu R31. Ratu cantik Australia, Scherri-Lee Biggs yang merupakan duta Proton turut hadir di pameran berkenaan. Pengarah Urusan Kumpulan Proton, Datuk Seri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir menyatakan pihaknya berhasrat untuk terus mengukukuhkan kesedaran jenama globalnya menerusi kerjasama dengan pasukan LRGP. Kerjasama itu juga dilihat mampu menyumbang kepada pembangunan kereta Proton pada masa depan. Menerusi LRGP, Proton mendapat pemindahan teknologi automatif daripada Lotus. "Selain akan cuba memperbaiki prestasi kereta Proton, kami juga mahu belajar tentang sukan permotoran berprestasi tinggi. Bukan sahaja tentang komponen atau sistem kenderaan, malah melibatkan logistik, pemasaran dan bidang lain. Ia adalah sebahagian daripada program pemindahan teknologi yang baik," katanya. Bercakap mengenai sasarannya dalam F1, Syed Zainal memberitahu beliau gembira dengan keputusan musim pertama setakat ini. LRGP kini sedang giat merancang untuk mencongak permulaan pada musim depan. SUASANA lazim yang dapat dilihat sewaktu perlumbaan F1 berlangsung. Jentera R32 Sementara itu, mengimbas semula perlumbaan di GP Singapura sebelum ini, Pengurus Pasukan LRGP, Eric Boullier mengakui ia umpama kisah yang amat mengecewakan. Namun beliau tetap optimis dan melihat apa yang telah berlaku sebagai pengalaman. "Sebenarnya kami sedar mengapa aksi yang dipamerkan begitu mengecewakan. Jawapannya mudah, melalui selekoh pada kelajuan 60 hingga 100 kilometer sejam (km/j) adalah tidak memadai bagi jentera kami (R31). "Jadi, misi kami selepas ini adalah untuk menyelesaikan masalah tersebut pada jentera R32. Kami yakin dapat melakukannya," kata Boulier. Ditanya mengenai prestasi kedua-dua orang pemandunya, Boullier tidak berdepan dengan sebarang masalah kerana apa yang lebih penting ialah jentera mereka. "Meskipun tiada seorang di antara mereka yang menyerlah, itu bukan masalah utama kerana kami lebih bimbangkan jentera yang mereka pandu. "Bruno (Senna) merupakan seorang pemandu yang cepat belajar. Dia sering mahukan cabaran daripada jurutera kami dan mahu meningkatkan pengetahuannya dari semasa ke semasa. Vitaly (Petrov) pula telah berjaya mengutip sebanyak 34 mata sepanjang perlumbaan pada musim ini," tambahnya. Kini, LRGP berada di tepat kelima dalam kategori pengeluar dengan 70 mata. Sementara Petrov berada di tangga kesembilan dengan 34 mata dan Senna di kedudukan ke-15 dengan dua mata dalam kategori pemandu. SYED ZAINAL yakin kolaborasi dengan LRGP mampu mengukuhkan kesedaran jenama Proton di peringkat antarabangsa. Seorang lagi pemandu LRGP, Fairuz Fauzi menegaskan beliau sedang merangka program dan perancangan untuk tahun depan. "Saya amat berharap akan dapat berada di tempat yang tepat. Sudah tentu anda mahu berada dalam pasukan yang hebat untuk meningkatkan kualiti diri. "Begitupun, saya berbangga dengan apa yang saya miliki sekarang. Cuma sukar untuk saya jelaskan apa yang akan berlaku dalam masa terdekat. "Selain itu, saya juga harap orang luar akan mula buka mata untuk mencari bakat baru. Lapangan ini sangat kompetitif. Jika ada peluang yang lebih baik, saya akan merebutnya," jelas Fairuz yang berhasrat untuk mencuba nasib di Eropah jika diberi peluang, beserta penaja dan bajet yang sesuai. |
Posted: Inovasi pintar FordDENGAN teknologi ini, pintu anda tidak akan kemik atau calar lagi. FORD memperkenalkan satu sistem baharu yang membantu mengelakkan kesan calar dan kemik pada kenderaan sewaktu pintunya dibuka apabila ia diparkir di ruang sempit. Dikenali sebagai Door Edge Protector, ia merupakan penebat getah khas yang akan keluar dan menutup bahagian hujung pintu (kawasan tengah) secara automatik dalam tempoh 60 milisaat apabila pintu dibuka melebihi 15 sentimeter. Getah khas tersebut memiliki kitaran hayat lebih 1,000 kali dan hanya menghasilkan bunyi minimum apabila melindungi pintu. Getah pelindung tersebut cukup mudah untuk ditukar dan ia hanya perlu diklip pada pemegangnya. Ciri baharu itu memberi perlindungan melebihi 90 peratus untuk pintu hadapan dan 85 peratus untuk pintu belakang. Buat permulaan, Door Edge Protector akan dipasang pada model Ford Focus 2012. "Sistem Door Edge Protector ini akan menjadi satu ciri yang membuatkan pelanggan berkata: Mengapa tiada siapa memikirkannya lebih awal?" kata Jurutera Sistem Pembangunan Produk Ford, Matthias Tensing. Pengurus Pusat Penyelidikan Pembaikan Insurans Motor UK, Matthew Avery berkata, kesan kemik atau calar sering kali mengecewakan pemilik kenderaan kerana ia terlalu kecil dan tidak dilindungi insurans. Sedangkan kos membaik pulih kecacatan tersebut pula sebagai agak mahal. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Pemotoran To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan