Kosmo Online - Pesona |
Fauziah ubah mentaliti masyarakat Posted: Fauziah ubah mentaliti masyarakatOleh ALIF ABU BAKAR PETIKAN indah gambus dan kelunakan suara wanita muda itu mencuri tumpuan orang ramai yang lalu lalang di Bukit Bintang, Kuala Lumpur pada petang itu. Solekan nipis dan dres merah paras lutut menyerlahkan keanggunan pemilik bakat istimewa itu yang turut dibantu lima jejaka berpakaian serba hitam dengan gabungan alat muzik tradisional dan moden. Meskipun ia sekadar sesi fotografi dan wawancara biasa, wanita bernama Fauziah Suhaili, 23, itu tidak menolak permintaan orang awam terutama pelancong asing yang mahu bergambar kenangan dengannya. Bagi anak kelahiran Bongawan, Papar, Sabah itu, budaya serta adat masyarakat Melayu Brunei yang diajar datuk dan neneknya perlu dipelihara sebaik mungkin dan dipraktikkan tidak kira di mana jua dia berada. Ia bukan sahaja merangkumi keperibadian diri malah tanpa disedari, wanita yang lebih intim dengan gelaran Fauziah Gambus itu, dianugerahkan kemahiran bermain gambus dan keupayaan vokal berlenggok untuk membawakan lagu-lagu berentak tradisional. Walaupun pada awalnya ramai yang tidak biasa menyaksikan seorang wanita bermain gambus, lama-kelamaan kehadiran Fauziah bersama usaha menyuntik kembali kesegaran dunia muzik tradisional tanah air, semakin diterima ramai. KUMPULAN Fucia terdiri daripada anak-anak muda iaitu (belakang, dari kiri) Mohd. Nazrin, Abdillah Firlany Abdul Malik, (duduk, dari kiri) Muhammad Afiq, Fauziah, Ahmad Haziq Ramli dan Azmir Zin. Benar, selama ini kita memiliki nama-nama besar yang sering memartabatkan gambus di pentas industri seni tempatan seperti Allahyarham Fadzil Ahmad, Ramli Sarip dan M. Nasir, namun kesemua mereka merupakan golongan Adam dan legasi mereka juga dilihat seperti tiada penyambungnya. Kemunculan Fauziah diibaratkan ramai pihak sebagai srikandi moden yang layak menggalas tugas legenda-legenda sebelum dirinya bagi membawa muzik gambus ke persada global. "Dahulu, masyarakat terutama orang-orang tua melarang golongan wanita bermain gambus kerana dikatakan alat muzik itu hanya boleh dimainkan golongan lelaki. "Memandangkan datuk saya juga seorang pemain dan pembuat gambus, saya mengambil kesempatan itu dengan bermain alat muzik itu secara rahsia. "Saya akan mengamati cara datuk dan kumpulannya, Panca Irama, bermain setiap kali mereka membuat persembahan. Kemudiannya saya akan berlatih sendirian di rumah tanpa pengetahuan datuk," ujar cucu kepada Ismail Matusin itu. Menyamar lelaki FAUZIAH pernah menyamar sebagai lelaki bagi menyertai pertandingan bermain gambus. Kesungguhan Fauziah mendalami muzik gambus bermula ketika dia menyertai satu pertandingan bermain gambus di daerahnya pada usia 13 tahun. Bagi mengelakkan tentangan datuknya, Fauziah tekad menyamar sebagai seorang peserta lelaki lengkap berbaju Melayu dan menggunakan nama Fauzi sahaja. "Mujur pertandingan itu tidak menuntut saya untuk menyanyi, jika tidak pasti awal-awal rahsia terbongkar, tetapi akhirnya ia diketahui semua orang apabila saya diumumkan sebagai pemenang pertama. "Pada awalnya saya khuatir datuk akan marah namun dia turut tumpang gembira dan semenjak itu dia mula mengajar saya bermain gambus secara terbuka," imbau Fauziah. Dalam keghairahan gadis-gadis lain menyanjungi kehebatan muzik semasa dan barat, Fauziah lebih selesa mendendangkan lagu-lagu ghazal serta setia memetik gambus pemberian datuknya. Minat mendalam dan jerih-perih Fauziah terbayar akhirnya apabila bakatnya itu sampai ke pengetahuan penyanyi serta pemuzik popular negeri di bawah bayu, Abu Bakar Ellah, yang menjadi individu pertama menerbitkan album solo Fauziah pada 2007. NAMA Fauziah disebut-sebut ketika mengadakan persembahan khas di Indonesia. Mengambil elemen masyarakat Melayu Brunei sebagai taruhan untuk album sulungnya, Fauziah sememangnya mahir dengan bahasa dan adat masyarakat tersebut memandangkan dirinya berasal dari rumpun yang sama. Dalam meniti pengalaman dan merangkul kejayaan, impian Fauziah untuk menyambung pelajaran dalam bidang muzik menjadi kenyataan apabila diterima masuk ke Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara), Kuala Lumpur sejurus selepas album pertamanya dilancarkan. Jika dahulu Fauziah banyak bergerak solo, namun selepas bertemu pelajar-pelajar sealiran di Aswara, tertubuh pula kumpulan Fucia yang dianggotai enam anak muda termasuk Fauziah yang menyuntik elemen segar dalam muzik tradisional. "Memang sukar hendak menarik minat orang muda khususnya remaja mendengar dan menghayati keindahan muzik tradisional tetapi jika kena dengan cara ia tidak mustahil dicapai. "Disebabkan itu, kumpulan saya banyak menyampaikan lagu-lagu moden diiringi muzik tradisional, jadi ia akan tampak lebih menarik dan remaja juga akan mudah menerima pembaharuan itu," ujar Fauziah yang turut menjadi penyanyi utama kumpulannya. Fauziah tidak menafikan bahawa muzik tradisional seperti gambus sering menarik perhatian golongan berusia. Namun kini katanya, selepas inisiatif kumpulannya membawakan elemen kontemporari dalam persembahan, semakin ramai anak-anak muda mula menunjukkan minat. Bawa kelainan FUCIA mengakui bahawa peminat muzik luar negara lebih menghargai muzik tradisional tempatan. Ahli kumpulan Fucia, Mohd. Nazrin Ahmad Zabidi, 22, menyatakan kelainan yang dibawa kumpulan mereka adalah mengetengahkan muzik tradisional dalam bentuk moden. "Kalau dinilai berdasarkan audiens, orang luar negara lebih menunjukkan apresiasi terhadap muzik tradisional yang benar-benar asli," jelas pelajar tahun akhir Aswara itu. Pemain gitar kumpulan itu, Muhammad Afiq Rosli, 22, sedar akan kebangkitan band indie yang sudah terbiasa dalam mata masyarakat lantas membuatkan genre yang dibawa mereka kurang diberi perhatian. Kelahiran band-band yang diibaratkan bak cendawan tumbuh selepas hujan bagaimanapun tidak menjejaskan usaha kumpulan mereka untuk terus memperjuangkan muzik tradisional kontemporari. "Walau apapun, kami mempunyai kelebihan yang tidak terdapat pada pemuzik-pemuzik yang hanya bermain muzik moden. Kami mampu membawakan kedua-dua genre moden dan tradisional," kata Afiq. Nama Fauziah dan Fucia mungkin masih belum mekar sepenuhnya di tanah air ini, namun Fauziah sendiri telah menjadi fenomena di Riau, Indonesia selepas menjayakan beberapa siri persembahan di sana dan sambutan luar biasa yang diterima membuka jalannya mengadakan konsert buat peminatnya di sana. Selain kebolehan bermain gambus, Fauziah juga berkemampuan membuat gambus sama seperti datuknya. Ketelitian dan kemahiran amat dititikberatkan dalam menghasilkan instrumen klasik itu. "Terdapat pelbagai jenis gambus sebenarnya di dunia ini dan orang tempatan pula sering menganggap gambus hanya berasal dari Johor. "Ada gambus dari Arab, Brunei dan Turki. Kesemuanya berbeza mengikut ketebalan bunyi dan daripada segi talinya. "Jadi proses pembuatan bagi setiap jenis itu juga berbeza dan paling sukar adalah pemilihan kayu. Pembuatan gambus memakan masa selama dua bulan dan paling cepat ia dapat disiapkan dalam tempoh sebulan sahaja," jelas Fauziah. | ||
Posted: Pusat kreatif anak autismeANAK autisme memiliki keistimewaan luar biasa dalam perkara-perkara tertentu. ATAS kesedaran bahawa keluarga memainkan peranan penting dalam perkembangan progresif kanak-kanak autisme, Drypers, jenama lampin pakai buang terkemuka mengumumkan kerjasama jangka panjang bersama Persatuan Kebangsaan Autisme Malaysia (NASOM). Kerjasama tersebut merangkumi pelantikan NASOM sebagai benefisiari utama bagi semua aktiviti pungutan derma yang dijalankan Drypers. Matlamat utama ia diwujudkan adalah bagi mengumpul dana untuk melengkapkan Pusat Kreatif yang diadakan bagi membentuk persekitaran lebih baik kepada kanak-kanak persatuan tersebut. Pusat Kreatif di Setia Alam, Shah Alam, Selangor itu bakal merangkumi aktiviti seni dan kraf tangan, muzik, terapi, drama dan pelbagai lagi aktiviti yang dapat menjana kreativiti kanak-kanak autisme itu. Menerusi pendedahan aktiviti-aktiviti tersebut, setiap kanak-kanak itu dapat menyerlahkan bakat dan kecenderungan mereka terhadap sesuatu perkara. Secara tidak langsung, ia membantu ibu bapa mengenal pasti keistimewaan anak-anak mereka. "Ini merupakan tanggungjawab sosial yang perlu dilaksanakan semua organisasi dan Drypers sendiri memilih NASOM sebagai benefisiari tunggal berdasarkan keperluan persatuan tersebut untuk berkembang. OMAR GHANI (tengah) menjadi anak kebanggaan Terry Ghani (kiri) dan Rohani Jelani. "Menerusi pembangunan pusat ini, ibu bapa kepada kanak-kanak autisme juga menerima faedah daripadanya. Sekurang-kurangnya mereka tahu bahawa masih ada kumpulan yang sedar akan kepentingan masa depan anak-anak mereka," ujar Pengurus Pemasaran Kanan SCA Hygiene Marketing (M) Sdn. Bhd., Evelyn Chan. Pada perasmian kerjasama itu, wakil Drypers telah ditunjukkan karya seni kanak-kanak autisme yang menghasilkan lukisan mengikut tema Drypers, Family Togetherness. Setiap kanak-kanak itu diminta menterjemahkan definisi keluarga pada mereka dalam bentuk lukisan. Ramai tetamu acara yang tersentuh hati apabila melihat hasil kreatif kanak-kanak tersebut yang benar-benar di luar jangkaan. Sesungguhnya, label 'lembab' atau 'bodoh' terhadap kanak-kanak autisme tidak boleh diguna pakai langsung kerana majoriti daripada mereka begitu menyerlah dalam bidang kreatif. BAKAT kanak-kanak autisme akan lebih menyerlah jika didedahkan dengan seni kreatif. Lukisan-lukisan yang dihasilkan mereka menjadi bukti bahawa mereka masih mampu mendengar arahan dan memahami erti kata keluarga itu. Gambaran keluarga bahagia menghiasi semua kertas lukisan kanak-kanak itu dengan ibu bapa menjadi teraju utama erti keluarga buat mereka. Tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa karya mereka adalah setanding dengan kanak-kanak normal lain. Bermula tahun hadapan, berdasarkan perancangan jangka panjang Drypers dan Nasom, kolaborasi kedua-dua entiti itu bakal menyaksikan penganjuran bengkel jelajah seni dan kraf tangan serta ceramah pendidikan mengenai topik penglibatan keluarga dalam kehidupan kanak-kanak autisme. Namun, sebelum jelajah itu dilaksanakan, Drypers dan NASOM akan mengadakan acara pungutan derma terlebih dahulu pada November ini bagi kelancaran program tersebut. Ceramah pendidikan itu akan diadakan di tiga buah lokasi berbeza bagi memberi peluang kepada semua rakyat Malaysia mempelajari dan memahami maksud sebenar autisme. Selain itu, walkaton sempena Hari Autisme Sedunia juga akan dilaksanakan pada April 2012. Ia diikuti dengan penganjuran konsert yang menampilkan bakat kanak-kanak autisme dalam bidang nyanyian termasuk kumpulan koir autisme pertama di Malaysia, NASOM Maestros, yang dijadualkan pada Mei tahun depan. "NASOM amat berbesar hati dapat bekerjasama dengan Drypers kerana bantuan serta sumbangan yang diberikan amat bermakna buat persatuan ini khususnya kanak-kanak autisme ini. "Aktiviti-aktiviti yang dirancang sepanjang tahun depan juga dapat dijadikan platform buat ibu bapa dan orang ramai menyelami dunia pesakit autisme dengan lebih dekat," jelas Pengerusi NASOM, Teh Beng Choon. | ||
Dengar, adakah anak anda berdehit? Posted: Dengar, adakah anak anda berdehit?
PERNAHKAH anda mendengar orang yang merungut tentang penyakit asma mereka? Atau ternampak seseorang yang bernafas menggunakan ubat sedut (inhaler)? Meskipun asma bukan penyakit luar biasa, namun ia masih misteri dalam dunia perubatan moden. Sehingga hari ini, puncanya masih belum diketahui dan tiada ubat untuk menyembuhkannya. Oleh kerana asma merupakan penyakit keturunan yang diwarisi dalam keluarga, kanak-kanak akan cenderung mendapat asma jika mempunyai anggota keluarga yang menghidapnya. Setiap kanak-kanak mempunyai enam peratus kecenderungan mendapat asma. Namun, ia meningkat kepada 30 peratus jika salah seorang daripada ibu atau bapa menghidapnya, dan 70 peratus jika kedua-dua ibu dan bapa merupakan penghidap asma. Secara amnya, asma adalah keadaan saluran pernafasan ke paru-paru yang mengecil atau tersumbat buat sementara waktu lalu mengakibatkan gejala seperti batuk, berdehit, pendek nafas dan sesak dada. Pesakit yang menghidap asma sering menyamakan serangan asma seperti bernafas melalui penyedut minuman di dalam mulut sambil menutup hidung! Melihat anak anda tiba-tiba tercungap-cungap untuk bernafas adalah pengalaman yang menakutkan bagi ibu bapa, kerana kanak-kanak lebih mudah mendapat serangan asma kerana saluran pernafasan mereka lebih sempit berbanding orang dewasa. Semua serangan asma memerlukan perhatian dan rawatan perubatan segera. Begitupun, ibu bapa boleh belajar mengenali tanda-tanda amaran awal serangan, seperti: n Batuk. Adakalanya, batuk merupakan satu-satunya gejala serangan asma. Jika anak anda kerap batuk, terutama sekali pada waktu malam dan tanpa sebarang penyakit lain yang boleh menjadi punca, segeralah membuat pemeriksaan doktor. Jika batuk itu berterusan selama 2 minggu atau lebih tanpa sebab nyata, maka besar kemungkinan si anak sedang diserang asma. n Bernafas. Jika anak anda sukar bernafas, dengar dengan teliti kerana ini mungkin menandakan dia akan diserang asma. Dengarkan sebarang bunyi berdehit, bunyi nafas yang kuat dan cepat, dan perhatikan sama ada dia bernafas dengan hidung kembang, atau jika dia kerap berdehem. Kanak-kanak penghidap asma juga sering berdehit apabila bernafas secara normal. n Simptom lain. Periksa sama ada anak anda menunjukkan gejala fizikal lain seperti muntah, berpeluh dan kulit pucat yang boleh menandakan serangan asma. Dia juga mungkin akan mengadu rasa sesak atau tidak selesa di dada. Pencetus asma Walaupun asma seringkali diwarisi daripada ahli keluarga, namun kanak-kanak boleh juga mendapat asma daripada pendedahan faktor-faktor persekitaran yang dikenali sebagai asma alahan. Pencetus-pencetus yang boleh mengakibatkan serangan asma mungkin berbeza antara individu. Bagi sesetengah kanak-kanak, asma menjadi lebih buruk apabila menyedut asap rokok, bau atau udara tercemar, wap cat dan semburan aerosol. Bahan-bahan ini mudah merengsa bahagian atas dan bawah saluran pernafasan lalu menyebabkan kanak-kanak berdehit, batuk, dan hidung atau mata berair. Asma juga boleh dicetuskan oleh cuaca, pendedahan kepada udara sejuk atau udara terlalu panas. Antara pencetus dalam rumah yang lazim boleh mencetuskan serangan asma termasuk: n Bulu haiwan peliharaan, bulu burung, kelemumur, air kencing atau air liur haiwan peliharaan. n Hama debu dalam rumah. n Kulat dan spora. n Tahi dan bangkai lipas. n Asap tembakau. n Minyak wangi, semburan rambut, losen wangi. n Bahan pencuci, racun serangga, wap cat. Elakkan perengsa Cara terbaik untuk membantu kanak-kanak penghidap asma adalah dengan mengelakkan pencetus asma mereka. Namun, kadang-kadang pencetus itu tidak boleh dielak dan hanya boleh diuruskan dengan pengambilan ubat. Kanak-kanak yang bergejala ringan tidak berterusan, iaitu gejala waktu siang kurang daripada seminggu dan gejala waktu malam kurang daripada dua kali sebulan serta akan sihat pada waktu-waktu lain, tidak perlu mengambil ubat untuk jangka panjang. Kanak-kanak ini hanya akan menggunakan ubat asma apabila diserang asma. Ini dikenali sebagai ubat penyelamat atau pelega (bronkodilator seperti agonis beta tindakan singkat (SABA) dan antikolinergik) kerana ia bertindak cepat untuk membuka saluran pernafasan bagi membenarkan pernafasan. Kanak-kanak yang mengalami gejala asma waktu siang lebih dari sekali seminggu, gejala malam lebih dari dua kali sebulan dan mengalami serangan asma yang mengganggu tidur serta aktiviti lebih daripada sekali sebulan akan memerlukan rawatan jangka panjang, iaitu ubat pencegah dalam bentuk sedutan kortikosteroid. Ubat ini perlu diambil setiap hari bagi mencegah keradangan dan serangan asma. Sekiranya masih tidak terkawal walaupun dengan mematuhi pengambilan ubat sedutan kortikosteroid, maka satu ubat pengawal akan ditambah dalam bentuk agonis B2 tindakan lama atau antileukotriene. Walau bagaimanapun, kanak-kanak yang mengikuti terapi jangka panjang perlu kerap berjumpa doktor untuk menilai gejala dan kawalan asmanya serta untuk menyelaras dos ubat dari semasa ke semasa. Ubat asma paling kerap adalah semburan alat penyedut yang ditekup pada mulut dan ditekan untuk melepaskan kabut ke dalam paru-paru apabila menarik nafas. Kanak-kanak tidak digalak menggunakan ubat sedutan teknik ini kerana ia memerlukan kordinasi. Mereka perlukan alat corong dengan topeng mulut. Ubat ini akan mengembangkan saluran pernafasan untuk memudahkan kanak-kanak bernafas. Terapi penyedutan merupakan jenis ubat pilihan berbanding ubat makan, kerana ubat yang disedut boleh sampai terus ke paru-paru, dengan hanya sedikit atau tiada kesan sampingan. Bukan mudah bagi seisi keluarga jika mempunyai anak yang menghidap asma. Namun demikian, dengan langkah berjaga-jaga dan pengurusan yang betul, anda sekeluarga boleh hidup dalam keadaan yang hampir normal. Ramai kanak-kanak akan sembuh sepenuhnya daripada asma atau kurang mengalami serangan yang teruk apabila lebih besar. Doktor percaya, saluran pernafasan kanak-kanak akan lebih luas apabila mereka lebih besar dan ini memudahkan udara keluar dan masuk lantas mengurangkan kekerapan mereka diserang asma. Sementara itu, jangan pandang remeh tentang penyakit asma dan sentiasa pastikan ubat anak anda tidak jauh daripada anda. Asma yang tidak dikawal boleh menyebabkan serangan yang lebih teruk dan boleh membawa maut jika tidak segera diberi rawatan kecemasan yang betul. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Pesona To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan