Khamis, 6 Oktober 2011

Kosmo Online - Rencana Utama


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Rencana Utama


Jobs ikon teknologi era baru

Posted:

Jobs ikon teknologi era baru

Jobs ikon teknologi era baru

Susunan IZYAN LIYANA MOHD. DARIF

TANGGAL 5 Oktober menjadi tarikh kepada kelahiran sebuah lagi gajet terbaru kebanggaan Apple apabila telefon pintar iPhone 4S dilancarkan di ibu pejabat firma Apple, Amerika Syarikat (AS).

Namun, ironinya tarikh itu akan diingati bukan sahaja oleh warga Apple bahkan seantereo dunia, apabila ia adalah hari terakhir buat pengasas syarikat gergasi itu Steve Jobs. Lelaki berusia 56 tahun itu yang juga bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Apple, menghembus nafas terakhir ekoran sakit kanser pankreas yang dihadapinya. Jobs yang menghembuskan nafas terakhir di samping keluarga tercinta mengalami masalah kesihatan yang semakin merosot sejak bulan Februari tahun ini.

Dia bukan saja mengalami keguguran rambut yang melampau kesan daripada rawatan kemoterapi malah, berat badannya dikatakan merosot dari 79.37 kilogram (kg) kepada 59kg. Sebelum ini, Jobs juga pernah menjalani pembedahan hati pada dua tahun lalu selain membuang tumor pada tahun 2003.

"Dunia telah kehilangan insan yang sarat dengan visi dan kreativiti," luah Presiden AS, Barack Obama dalam kenyataan penghormatan buat mendiang Jobs.

Impian menjadi sami


RANGKAIAN kedai Apple Inc. di seluruh dunia dipenuhi foto dan jambangan bunga daripada orang ramai sebagai tanda penghormatan kepada mendiang Jobs.


Jobs yang dilahirkan di San Francisco, AS, merupakan anak kepada pasangan Joanne Simpson dan Abdulfattah John Jandali berketurunan Arab Syria. Bagaimanapun dia tidak membesar bersama ibu bapa kandungnya, sebaliknya dibesarkan oleh keluarga angkat, Paul dan Clara Jobs di Silicon Valley, AS. Ia sebuah kawasan yang dikelilingi ladang aprikot.

Pencinta seluar jean jenama Levi's itu pernah menuntut di Sekolah Menengah Cupertino di California, AS dan bersekolah di Sekolah Tinggi Homestead H.S di bandar yang sama. Kemudian, Jobs melanjutkan pengajian di Reed College, Portland, Oregon.

Namun, tempoh pengajiannya di kolej seni liberal berkenaan bertahan selama satu semester sahaja kerana Jobs mengambil keputusan mengembara ke India bagi mendalami ilmu agama Zen Buddhism bersama rakannya, Daniel Kottke.

Pada waktu itu, usia Jobs baru saja mencecah 19 tahun. Dalam memastikan proses kerohanian itu berjalan dengan sempurna, Jobs sanggup mengikuti amalan ritual keagamaan tersebut seperti mempraktikkan diet ketat dengan berpuasa dan menikmati makan buah saja.

"Secara tidak langsung, minat mendalam terhadap agama ini telah mendorong saya untuk menjadi sami di biara Jepun berbanding melibatkan diri dalam dunia komputer.

"Tetapi, guru saya, Kobun Chino telah menyedarkan saya bahawa anutan ini masih boleh diteruskan walaupun pada masa yang sama saya mengusahakan bisnes komputer," jelas Jobs yang kembali ke Silicon Valley pada tahun 1974 dengan membawa agama Buddha.

Penglibatan dunia komputer


JOBS (kiri) dan Wozniak (kanan) sewaktu memperkenalkan salah satu produk ciptaan mereka pada tahun 1984.


Menyusuri penglibatan Jobs dalam dunia komputer dan gajet, segala-galanya berpunca selepas perkenalannya bersama Stephen Wozniak atau Woz yang pintar dalam hal berkaitan komputer dan elektronik.

Persahabatan yang terjalin itu telah membawa Jobs menyertai Kelab Homebrew Computer pada tahun 1975 bersama Woz. Sepanjang melibatkan diri dalam kelab berkenaan, Jobs mendapati industri komputer mempunyai potensi terbaik untuk jangka masa panjang. Hasil perbincangan yang dilakukan maka mereka berdua sepakat melancarkan syarikat Apple Inc. pada 1 April 1976.

"Nama Apple cukup ringkas dan simbolik. Ia sentiasa mengingatkan saya pada memori memetik buah epal pada musim panas," jelas Jobs yang memperoleh modal perniagaan sebanyak AS$1,300 (RM3,963) iaitu hasil daripada menjual microbus iaitu salah satu komponen komputer, manakala Woz menjual kalkulator.

Walaupun berpejabat di dalam sebuah garaj dan fasa permulaan hanya menjual papan sirkit iaitu papan memegang salah satu komponen dalaman komputer, tetapi bisnes mereka berkembang baik selepas menjual komputer pertama Apple I yang bernilai AS$666 (RM2,026).

Kemudian, diikuti pula dengan komputer Apple II dan rangkaian produk yang lain sehingga Apple Inc., mula menjual saham syarikat sekitar Disember tahun 1980. Namun, jodoh Jobs bersama Apple Inc. tidak bertahan lama.


JOBS (kanan) bersama Stephen Wozniak membuka syarikat Apple Inc. pada 1 April 1976.


Gara-gara tidak berpuas hati dengan lembaga pengarah, akhirnya dia mengambil keputusan meninggalkan Apple Inc., lantas membuka syarikat sendiri, NeXT pada tahun 1986.

"Firma NeXT lebih fokus pada pembangunan perisian untuk komputer. Kami turut memainkan peranan utama pada pembentukan e-mel dan jaringan sejagat (WWW)," ulas Jobs yang kemudian dilantik semula menjadi Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Apple Inc., selepas syarikat tersebut membeli NeXT yang hanya beroperasi selama sedekad.

Sebahagian besar pakar IT dan penganalisis ekonomi di serata negara menyifatkan jenama Apple Inc., terus kukuh sehingga kini meskipun hampir bankrap pada tahun 1990, disebabkan kebijaksanaan dan etika kerja yang dipamerkan Jobs.

Perkara itu diakui oleh pakar teknologi komunikasi maklumat (ICT) dan Ketua Pegawai Eksekutif Dapat Vista Sdn. Bhd., Azli Paat, yang menyatakan bapa kepada empat cahaya mata itu seorang yang berdisiplin, kreatif dan berwawasan tinggi.

Jelas Azli, Jobs bijak mencipta telefon pintar iPhone dan komputer tablet iPad, yang ideal dengan perkembangan teknologi serta trend semasa.

Fenomena iPhone


JOBS merupakan tonggak utama kejayaan Apple Inc. dengan menghasilkan telefon pintar dan gajet berteknologi canggih.


Buktinya, kemunculan telefon pintar iPhone pada empat tahun lalu telah mencipta fenomena luar biasa di seluruh dunia. Bermula daripada pengeluaran iPhone, iPhone 3G, iPhone 3GS sehingga iPhone 4, permintaan dan pembelian terhadap telefon itu amat menggalakkan sehingga mengatasi jualan produk telefon lain.

"Walaupun bukan mudah untuk mencipta telefon pintar ini tetapi, Apple sentiasa berusaha melakukan yang terbaik. Prinsip utama sebelum mencipta produk saya elak bertanyakan kehendak pengguna sebaliknya, lebih cenderung menghasilkan sesuatu bermanfaat untuk masa depan," terang Jobs dalam satu temu bual.

Populariti penjualan iPhone dan iPad sekali gus menyenaraikan Apple Inc., sebagai syarikat kedua di dunia yang mencecah nilai melebihi AS$300 bilion (RM912 bilion).

Malah, penganalisis Goldman Sachs, David Bailey, memberitahu setiap tahun penjualan iPhone khususnya memperlihatkan peningkatan yang drastik.

Biarpun telah meletakkan jawatan CEO Apple, pada bulan Ogos lalu tetapi, Jobs masih kekal sebagai pengerusi di syarikat berkenaan.

Ini disebabkan khidmat nasihat dan idea kreatif Jobs tetap diperlukan bagi memastikan keluaran produk terbaharu Apple, berkualiti dan terbaik.

Namun, kelmarin bukan sahaja Apple malah, seluruh dunia merasai kehilangan seorang genius yang juga dianggap ikon teknologi era baru.

Cabaran urus sisa pepejal

Posted:

Cabaran urus sisa pepejal

Cabaran urus sisa pepejal

Oleh SAKINI MOHD. SAID


PENJANAAN sisa pepejal di negara ini semakin meningkat dan banyak pihak kini sedang memikirkan cara terbaik untuk mengendalikannya.


KADAR penjanaan sisa pepejal negara ketika ini sudah mencecah 27,000 tan sehari. Isunya adalah: adakah kemungkinan besar sasaran yang dibuat sebelum ini iaitu 30,000 tan sisa pepejal sehari menjelang tahun 2020, bakal menginjak kepada angka baharu berdasarkan kepada laporan terkini itu?

Kedua, adakah tapak pelupusan sisa pepejal negara mencukupi untuk menampung penambahan itu? Dari satu sudut, mungkin segelintir daripada kita melihat isu ini tidak mempunyai nilai kepentingan dalam ekonomi negara.

Bagi mereka, hanya aktiviti berelemenkan pertumbuhan ekonomi dan kepesatan teknologi yang perlu diambil perhatian dalam mencapai status negara maju.

Hakikatnya, setiap aktiviti industri mahupun kegunaan domestik yang dilakukan oleh setiap daripada kita sebenarnya penyumbang kepada penambahan penjanaan sisa pepejal negara.

Apatah lagi dengan penambahan populasi penduduk negara ini, yang mencecah kepada 28.3 juta orang berdasarkan laporan Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2010, sekali gus meningkatkan lagi kadar penjanaan sisa pepejal.

Namun, masih ramai mempunyai persepsi bahawa urusan sisa pepejal tiada kaitan dengan mereka, walhal kita juga sebenarnya turut memainkan peranan penting bagi membantu mengurangkannya menerusi kaedah mengitar semula. Mengapa senario ini berlaku?

Kitar semula


SEJAUH manakah rakyat di negara ini mengamalkan konsep kitar semula bermula di kediaman masing-masing?


Sudah hampir 12 tahun lamanya program kitar semula kebangsaan dilancarkan dengan penglibatan pelbagai pihak seperti pihak berkuasa tempatan (PBT), syarikat konsesi dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Namun, amat menyedihkan apabila dilaporkan kadar kitar semula di negara ini hanyalah pada kadar lima peratus. Jika dibandingkan dengan negara maju, kita memang jauh ketinggalan. Jerman sahaja sudah mencecah sebanyak 74 peratus penglibatan program kitar semula, Belgium (71), Austria (67) dan Belanda (66). Di manakah silapnya?

"Mungkin faktor terpaksa mencari tempat mengitar semula dan menghantar sendiri sisa pepejal yang diasingkan itu, menyebabkan program kitar semula tidak begitu menambat hati masyarakat.

"Ditambah pula dengan kurangnya kesedaran mengenai kepentingan kitar semula lantas menyebabkan mereka lebih gemar untuk mencampuradukkan pelbagai jenis komposisi sampah dalam satu tong," kata Nadzri.

Atas faktor itu, Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672) yang dilaksanakan bermula 1 September lalu dilihat berpotensi besar mendidik orang ramai mengamalkan sikap kitar semula.

Akta itu mewajibkan orang ramai mengasingkan bahan sisa pepejal dan bahan kitar semula dan mereka yang tidak berbuat demikian akan dikenakan tindakan undang-undang.

Biarpun akta itu diwartakan pada tahun 2007 dan hanya dapat dilaksanakan bermula 1 September lalu, itu bukanlah perkara pokok yang perlu diambil perhatian.

Lebih utama, ia perlu dilihat sebagai pembuka lembaran baharu dalam pengurusan sisa pepejal negara. Ia sekali gus dijangka dapat meningkatkan kesedaran orang ramai serta mengurangkan jumlah kutipan sampah ke tapak pelupusan.

Penguatkuasaan


DALAM pelaksanaan sistem akan datang, penggunaan lori kutipan sisa pepejal akan diperkenalkan selain menyediakan lori berlainan untuk memungut sampah yang boleh dikitar semula.


Menerusi pelaksanaan akta ini, barulah kerajaan dapat menguatkuasakan pelaksanaan penswastaan perkhidmatan kutipan sisa pepejal isi rumah dan pengambilalihan pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam daripada PBT dengan sepenuhnya.

"Ia secara berfasa. Bagi fasa pertama, pihak konsesi akan mula mengagihkan tong sampah berukuran 120 liter kepada seluruh kawasan perumahan secara percuma di semua ibu negeri kecuali di negeri-negeri yang memilih untuk tidak melaksanakan penswastaan penuh (Selangor, Perak, Pulau Pinang) sehinggalah 1 September tahun depan.

"Selepas setahun kemudian, proses agihan tong sampah itu akan diberikan pula di seluruh majlis perbandaran dan majlis daerah. Tong sampah ini akan digunakan untuk membuang hanya barang-barang yang tidak boleh dikitar semula seperti lampin pakai buang dan sisa makanan.

"Bagi barang-barang seperti kaca, botol, kertas, pengguna haruslah mengasingkannya dan tidak mencampurkan sekali dalam tong sampah tersebut," katanya.

Selaras dengan itu, jadual kutipan sampah juga akan diubah kepada sistem 2+1 iaitu dua hari untuk mengutip sampah organik manakala satu hari diguna untuk mengutip sampah yang boleh dikitar semula.

Mengenai perbezaan lain hasil daripada penswastaan ini, Nadzri menambah: "Ada beza. Sekarang (sampah) dikutip tidak ikut peraturan, tidak ikut jadual, lori meleleh air larut resap (leachate).

"Tetapi, melalui sistem baharu nanti, anda akan dapat melihat perbezaan iaitu tiada air leachate meleleh keluar kerana menggunakan lori baharu dan kutipan sampah diasingkan antara yang boleh dikitar dan yang sebaliknya".

Menariknya, sistem penggunaan Indeks Petunjuk Prestasi (KPI) akan dilaksanakan kepada tiga syarikat konsesi yang dipertanggungjawabkan, Alam Flora Sdn. Bhd. di zon tengah, Southern Waste Management Sdn. Bhd. di zon selatan dan Environment Idaman Sdn. Bhd. di zon utara Semenanjung.

Bakal dipantau oleh pihak Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (PPSPPA) secara berterusan, ia bertujuan memastikan pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awal diuruskan dengan teratur dan sistematik.

Memandangkan kadar pencapaian kitar semula negara ini agak rendah, penguatkuasaan akta itu akan memperuntukkan tempoh dua tahun bagi memberi peluang kepada rakyat membiasakan diri dengan program itu sebelum tindakan diambil.

Sudah tiba masanya, bagi semua masyarakat sedar akan kepentingan penglibatan mereka dalam pengurusan sisa pepejal negara. Tanpa kesedaran ini, sudah tentu agak sukar bagi Malaysia mencapai status negara maju.

– Bernama

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved