Selasa, 7 Jun 2011

Kosmo Online - Rencana Utama


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Rencana Utama


Keunikan siput tanpa cengkerang

Posted:

Keunikan siput tanpa cengkerang

Keunikan siput tanpa cengkerang

Oleh IZYAN LIYANA MOHD. DARIF
izyanliyana.darif@kosmo.com.my



HIDUPAN yang habitatnya di dasar laut ini mempunyai saiz sebesar kepala mancis sehingga ibu jari. Kepada para penyelam biasa, mungkin mereka terlepas pandang dengan kewujudannya. Namun, kepada penyelam dan jurufoto marin tegar, haiwan ini menjadi salah satu objek buruan lensa kamera mereka.

Mata mereka cekap mengenal pasti kewujudan siput tanpa cengkerang atau lebih mesra dikenali sebagai nudibranch. Selain saiznya yang comel, haiwan tersebut juga terkenal kerana corak pada badannya yang berwarna-warni.

"Sebelum ini sukar melihat nudibranch kerana saiznya yang kecil. Maklumlah, dasar laut dipenuhi dengan pelbagai hidupan. Tetapi kekerapan menyelam akhirnya memberi saya kemahiran mengesan nudibranch di merata-rata tempat di dasar laut," jelas penyelam skuba Mohamad Tajuddin Mohd. Kassim, 40, sambil memberitahu di Pantai Penunjuk, Kijal, Terengganu terdapat beberapa spesies nudibranch.

Antaranya nembrotha kubaryana, black spot jorunna, glossodoris atromarginata dan flabellian exoptata.

Menurut bapa kepada empat cahaya mata itu, aktiviti menyelam memberinya kepuasan yang sukar ditemui di darat. Anak kelahiran Trong, Perak yang mempunyai lapan tahun pengalaman menyelam itu menjelaskan, menyelam memberi seseorang pengalaman berada di kawasan tanpa graviti.

"Mengenali dan mendekati pelbagai spesies di dasar laut antara aktiviti yang paling ditunggu-tunggu setiap kali menyelam," katanya ketika dihubungi baru-baru ini.

Menurut Tajuddin, lazimnya apabila menyelam dia akan terus ke sekitar kawasan yang berbatu atau terumbu karang semata-mata untuk mencari nudibranch. Kadangkala anak ketiga daripada empat beradik itu tidak melepaskan peluang merakam gambar nudibranch untuk koleksi peribadinya.

Menakjubkan

Kepada Fredy Tansari, 26, pula dia berasa bertuah kerana dilahirkan di Jakarta, Indonesia yang dikelilingi pulau-pulau yang memiliki keistimewaan khususnya buat penyelam skuba sepertinya.

Fredy yang merupakan jurufoto dasar laut sepenuh masa berkata, dia sudah menyelam hampir separuh pulau yang terdapat di Indonesia. Antaranya termasuklah Pulau Bali, Pulau Derawan, Pulau Maratua, Pulau 1000, Pulau Shang Hiang dan Pulau Raja Ampat. Dia juga mengakui aktiviti menyelam memberi pengalaman yang menakjubkan.

Menyelam, kata Fredy, memberinya peluang mendalami ekologi dan hidupan laut serta sejarah sesebuah pulau. Selain itu, dia dapat menenangkan fikiran setiap kali lensa kameranya sibuk mencari objek menarik dan pelik di dasar laut untuk dirakamkan.

"Buangkan persepsi bahawa pemandangan yang cantik hanya boleh dilihat di darat sedangkan dasar laut juga menawarkan kepelbagaian hidupan laut yang memukau pandangan. Selain menemui pelbagai jenis ikan yang cantik dan unik dari segi bentuk dan warna, saya menemui hidupan yang pelik.


PERBANDINGAN saiz nudibranch dengan hujung jari manusia.


"Salah satunya nudibranch yang berwarna-warni. Bayangkan, hidupan bersaiz antara dua hingga 21 sentimeter (sm) itu amat cantik dan terdapat dalam bermacam-macam jenis. Badannya lembut dan bercorak. Kadangkala ada spesies nudibranch yang hadir dalam dua warna seperti kuning dan hitam, ungu dan putih serta kuning dan coklat," tambah Fredy yang berkelulusan dalam bidang sains komputer.

Menurut Fredy, nudibranch merupakan haiwan yang bertoksik bagi menyelamatkan dirinya daripada menjadi mangsa ikan. Biasanya, nudibranch makan makanan yang bertoksik bagi mengekalkan kandungan toksik di dalam badannya.

Hidupan beracun

Penyelam dan jurufoto dasar laut dari Pasir Mas, Kelantan, Tan Pee Pheng, 37, mengakui bahawa nudibranch merupakan hidupan yang beracun. Dengan bentuk fizikalnya yang kecil maka haiwan tersebut dapat melindungi diri daripada menjadi makanan si pemangsa.

"Selain dikenali dengan panggilan singkatan nudi, segelintir penyelam menggelarkan nudibranch sebagai permata dan rama-rama di dasar laut. Lihat saja warna-warna dan corak di badan nudi yang begitu menarik.

"Namun, jangan sangka hidupan yang kecil dan secantik itu tidak bahaya. Ia beracun dan bertoksik. Toksik tersebut diperoleh menerusi proses makan bunga karang, alga, rumput laut, obor-obor, binatang moluska, krustasia atau telur ikan," terang Pee Pheng mengenai pemakanan nudibranch.

Nudibranch mampu menghasilkan racunnya sendiri. Biasanya haiwan tersebut menyimpan zat-zat beracun di dalam badan dan mengeluarkannya menerusi sel kulit atau kelenjar apabila diancam atau diganggu si pemangsa.

Selain itu, warna terang yang menghiasi nudibranch bukan sekadar daya penarik semata-mata malah ia bertindak memberi tanda visual pada pemangsa bahawa hidupan yang berwarna terang bermakna dagingnya tidak enak dimakan.

Menyentuh mengenai aktiviti merakam foto nudibranch, Pee Pheng memberitahu, ia adalah pengalaman yang menyeronokkan dan wajib dilakukan setiap kali pergi menyelam.

"Memang tidak dinafikan kehadiran nudibranch sukar dilihat kerana saiz kecil. Tetapi, biasanya ia berada di sekitar terumbu karang.

"Bagi memudahkan proses mencari haiwan ini, saya menggunakan kanta pembesar. Begitu juga dengan kamera, saya menggunakan kamera Canon G9 dan kanta makro," kata Pee Pheng. Nudibranch boleh ditemui di pulau-pulau di Malaysia, Indonesia, Thailand, Filipina, Jepun dan Korea.

Dalam pada itu, Pengarah dan Jurulatih Skuba, Ocean Elements, Mohd. Halimi Abdullah, 40, turut menyatakan kecantikan yang dimiliki nudibranch sering menjadi perhatian jurufoto dasar laut.

"Pulau Tenggol di Terengganu antara pulau di Malaysia yang menjadi kawasan habitat utama hidupan laut ini. Hidupan-hidupan laut di pulau itu agak banyak kerana pulau itu masih kekal terpelihara dan kurang dibangunkan.

"Tak silap saya terdapat lebih daripada 50 spesies nudibranch di Pulau Tenggol," tambah Halimi, yang kerap ke Pulau Tenggol, selain Pulau Redang dan Pulau Perhentian di Terengganu dan Pulau Mabul, di Semporna, Sabah untuk aktiviti merakam foto nudibranch.

Namun Halimi menyarankan supaya berhati-hati sewaktu merakam hidupan berkenaan. Dia menasihatkan kumpulan jurufoto terutamanya yang baru berjinak-jinak agar tidak bersandar atau memijak terumbu karang.

Terumbu Karang


HALIMI bersama kelengkapan fotografinya yang sering dibawa ketika menyelam di dasar laut.


"Seperti yang kita ketahui kebanyakan nudibranch berada di celah-celah dan sekitar terumbu karang. Jadi, memandangkan saiznya kecil maka ia memerlukan jurugambar mengambil gambar dari sudut yang lebih dekat.

"Namun, apa yang menyedihkan, dek terlalu teruja untuk merakamkan gambar hidupan itu, sesetengah individu secara tidak sengaja merosakkan terumbu karang. Ramai yang tidak tahu terumbu karang memerlukan ribuan tahun untuk membesar. Dianggarkan haiwan tersebut membesar satu sentimeter setahun," ujar Halimi.

Mengulas lanjut mengenai aktiviti merakamkan foto nudibranch di dasar laut, Halimi menerangkan penyelam boleh menggunakan kamera kompak digital ataupun kamera lensa refleks tunggal digital (DSLR).

"Berdasarkan pengalaman peribadi saya, kedua-dua jenis kamera ini boleh digunakan untuk merakam foto nudibranch. Cuma perbezaannya dari segi kualiti dan perincian foto tersebut.

"Bagi mereka yang selesa menggunakan kamera kompak pastikan anda bawa bersama perumah kamera kedap air. Ia bukan saja mengelakkan kerosakan pada kamera malah membantu menghasilkan foto-foto nudibranch yang menarik," jelas Halimi yang menggunakan kamera kompak digital jenama Canon G9.

Halimi dari Taman Melati, Kuala Lumpur mengakui kamera DSLR lebih baik berbanding kamera kompak dalam menghasilkan rakaman foto terbaik. Rupa dan corak nudibranch jelas kelihatan memandangkan aktiviti fotografi berkenaan dibantu dengan teknik fokus menggunakan lensa kamera yang sesuai.

Menurut Halimi, dia membelanjakan RM15,000 untuk membeli kelengkapan kamera di dasar laut. Bagi mendapatkan foto yang menakjubkan, sebaik-baiknya gunakan lensa makro berukuran antara 90 milimeter (mm) hingga 150 mm.

"Pemilihan lensa makro yang betul memudahkan aktiviti fotografi sekali gus membantu penyelam merakam nudibranch yang menyorok di celah-celah terumbu karang," ujar Halimi ketika ditemui Kosmo!.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tangan seni Chai Tiam

Posted:

Tangan seni Chai Tiam

Tangan seni Chai Tiam

Oleh NURUL IZZA ROSLY



SEPASANG mata tuanya begitu teliti melihat hasil calitan berusnya. Dia mewarnakan motif bunga sakura di atas sepasang terompah kayu.

Siapa sangka daripada sepasang terompah kosong yang langsung tidak dipandang orang, ia dilukis indah dengan cat berwarna-warni sehingga menjadi hasil seni yang mengagumkan.

Walaupun suasana di Makan Kitchen

di DoubleTree, Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur sibuk dengan tetamu yang mahu menjamu selera, Ng Chai Tiam, 70, tekun melukis pelbagai motif di atas terompah. Adakalanya dia menulis kaligrafi di atas lembaran kertas.

Keghairahan lelaki yang sudah beruban kelahiran Bukit Mertajam, Pulau Pinang itu terhadap seni lukisan dan kaligrafi Cina membuatkannya nekad mengembara jauh untuk mendalami seni tersebut lima dekad lalu.

Ketika usianya 21 tahun, Chai Tiam meninggalkan tanah tumpah darahnya dari tahun 1962 hingga 1966 semata-mata mahu mempelajari seni mengecat terompah, kaligrafi dan ukiran Cina di New Asia College di Kowloon, Hong Kong.

Menyelami hatinya untuk membongkar cerita di sebalik kebolehannya itu agak sukar. Dia juga kurang fasih bertutur dalam bahasa Melayu dan Inggeris. Sebaliknya, Chai Tiam lebih selesa berbicara dalam dialek Hokkien dan Mandarin.


PROSES melukis corak di atas terompah memerlukan ketelitian pelukisnya.


Mujur anak perempuannya yang kebetulan menemaninya, Ng Sin Tean, 34, dengan bantuan daripada Eksekutif Komunikasi dan Pemasaran DoubleTree, Lim Chi Yee, memudahkan urusan menterjemah.

"Tiada siapa yang mendorong saya untuk berkecimpung dalam bidang seni lukisan dan kaligrafi Cina. Semunya didorong oleh minat saya sendiri. Ibu dan ayah juga tidak menunjukkan minat yang sama, begitu juga dengan sembilan adik-beradik lain," katanya yang mempunyai 10 adik-beradik.

Motif

Chai Tiam memberitahu, terompah yang dihias dengan motif menarik itu bergantung kepada permintaan. Ada yang mudah dilukis dan ada yang sukar bergantung pada motif yang dikehendaki dan saiz terompah.

"Ia memerlukan ketekunan, kesabaran, ketelitian dan yang paling penting kemahiran," ujarnya sambil memberitahu perkara paling penting ialah lukisan itu perlu nampak hidup dan bukan kusam.

Untuk mendapatkan kesan hidup itu, sesebuah lukisan pada terompah mahupun pada lembaran kertas memerlukan kombinasi warna yang betul.

"Sepasang terompah yang siap diwarna dan dilukis indah mengambil masa di antara tiga hingga empat jam untuk disiapkan kerana ia melibatkan beberapa proses yang memerlukan ketelitian dan kesabaran," jelasnya.

Antara peralatan yang diperlukan ialah berus Cina pelbagai saiz, kertas pasir, syelek dan cat air.

Katanya, sesebuah terompah sebelum diwarnakan perlu digosok permukaannya dengan menggunakan kertas pasir sebelum dicat dengan warna asas.

"Selepas ia kering, proses melukis dilakukan secara berperingkat-peringkat. Mula-mula ranting dan kelopak-kelopak bunga dilukis dan dikeringkan sebelum membuat perincian lukisan seperti daun dan sebagainya.

"Selepas ia kering, barulah terompah tersebut disapu dengan syelek bagi mengilatkan kayu sekali gus menjadikan lukisan itu tahan lama," terangnya bersungguh-sungguh sambil memberitahu kayu terompah biasanya diperbuat daripada kayu pokok durian dan pokok getah.


SALAH seorang pelanggan mencuba terompah hasil kerja tangan Chai Tiam.


Terompah hasil kerja tangannya sering dijadikan cenderamata dan digunakan dalam perkahwinan masyarakat Cina.

Menurutnya, dalam kepercayaan kaum Cina, terompah tersebut akan diletakkan di atas katil bertujuan memijak segala unsur jahat bagi membolehkan perjalanan sesebuah perkahwinan itu lancar dan harmoni.

"Kini, tiada lagi yang memakai terompah. Dahulu, terompah digunakan sebagai alas kaki bagi mengelakkan seseorang itu tergelincir apabila melalui kawasan licin kerana tapaknya kesat yang mencengkam.

"Bagi mengembalikan kegemilangan terompah supaya ia lebih dikenali, kini permukaannya dilukis dengan pelbagai motif seperti bunga sakura, buluh, ikan dan sebagainya," katanya yang mempunyai kedainya sendiri di Tian Hua Arts & Antique di 85, Carnarvon Street, George Town, Pulau Pinang.

Terompah Chai Tiam yang indah dijual pada harga antara RM38 hingga RM58 mengikut saiz manakala terompah mini dijual pada harga di antara RM12 hingga RM28.

Walaupun lima dekad mengabdikan dirinya dalam seni melukis terompah dan kaligrafi, dua orang anaknya, Sin Tean, 34 dan Ng Weng Leng, 38, sedikit pun tidak menunjukkan minat yang sama seperti bapa mereka.

Namun, Chai Tiam tidak terguris malah tidak pernah memaksa anak-anakmengikut jejaknya itu. Begitupun, hatinya mungkin berbunga riang apabila cucunya, Laurel Soo Zhi Ying, 7, menunjukkan minat melukis.

Selain melukis pada terompah, Chai Tiam turut membuat kaligrafi dan mengukir cop mohor.

Kaligrafi memerlukan seseorang itu mahir mengendalikan berus untuk melukis dan menulis. Ia nampak mudah tetapi bagi yang pernah mencubanya pasti sukar untuk mengawal pergerakan tangan.

Bagi Chai Tiam yang suka membaca buku dan menonton televisyen, dia hanya memerlukan masa antara lima hingga 10 minit untuk menyiapkan sesuatu hasil kaligrafi mengikut saiz.

Katanya, sesuatu motif yang dilukis membawa maksud yang tersendiri. Kura-kura membawa maksud panjang umur, buluh membawa maksud peningkatan dalam karier, udang sebagai simbol kegembiraan dan bunga sakura pula diertikan sebagai tabah, tekun dan kesungguhan.

"Cop mohor seperti ini juga jarang digunakan. Ia adalah pengganti tandatangan yang seringkali digunakan oleh seseorang pelukis pada hasil seninya.

"Ia sukar ditiru dan diukir pada batu dengan penuh cermat. Tulisan perlu ditulis dengan pensel terlebih dahulu sebelum diukir dan sesuatu cop mohor itu disiapkan dalam tempoh dua jam yang dijual pada harga antara RM150 hingga RM300," katanya yang mendapat tempahan dari tokong dan orang perseorangan.

Ditebak soalan sampai bilakah dia mahu meneruskan minatnya itu, Chai Tiam menjawab: "Saya akan melakukannya selagi tangan masih kuat dan mata boleh melihat," katanya yang gemar mengisi masa lapang dengan membaca buku dan menonton televisyen.

Ketekunan


TEROMPAH mini sesuai dijadikan cenderamata.


Walaupun Sin Tien tidak menunjukkan minat untuk mendalami bakat bapanya, namun dia berbangga dengan penglibatan ayahnya itu kerana tidak ramai individu yang mahir dalam seni tersebut.

"Sungguhpun tidak mewarisi bakat bapa, tetapi semasa kecil saya suka menolong bapa di kedai dan menemaninya ke mana sahaja.

"Ayah seorang yang tekun melukis tetapi untuk mengikut jejak langkahnya adalah mustahil kerana saya tidak mahir melukis," katanya.

Walaupun bapanya itu mempunyai minat yang mendalam terhadap seni lukisan dan tulisan kaligrafi, dia tidak pernah memaksa anak-anaknya untuk melakukan perkara yang sama.

"Ayah lebih suka jika kami mempunyai minat yang lahir daripada diri kami sendiri," katanya.

Rakan baik Chai Tiam, Lee Chee Cheng, 48, turut memuji ketekunan rakannya itu walaupun jarak umur mereka jauh berbeza.

"Kedai kami berhampiran sahaja. Kami dalam aliran yang sama iaitu membuat seni tradisional Cina. Minat saya lebih kepada kaligrafi dan ukiran kayu.

"Kami selalu berbincang dan bertukar-tukar pandangan selain memenuhi jemputan membuat demonstrasi ke seluruh negara bagi mempromosikan hasil seni yang semakin jauh dari hati masyarakat terutamanya anak-anak muda," ujarnya yang mendapat tunjuk ajar daripada seorang guru di Ayer Hitam, Pulau Pinang tujuh tahun lalu.

Chee Cheng memberitahu, mereka yang benar-benar berminat sahaja akan melibatkan diri dalam seni lukisan dan kaligrafi Cina.

"Ramai anak muda kini tidak mahu membuat kerja-kerja ini sebab tidak boleh jadi kaya. Memang benar, kerana kami mahu menjadikan apa yang kami lakukan sebagai karier memang sukar.

"Kami berkorban kerana sangat meminati bidang seni ini," akuinya.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Bandar kuil tarikan India

Posted:

Bandar kuil tarikan India

Bandar kuil tarikan India

Trend melancong di India yang lebih terarah kepada lokasi-lokasi keagamaan mendorong para pengusaha hotel untuk menyediakan infrastruktur yang lebih baik.


Dimensi pelancongan di India lebih terarah kepada tempat-tempat keagamaan.


TEMPAT-TEMPAT suci di India menjadi aset dan persaingan sihat kepada rangkaian hotel domestik dan antarabangsa menyediakan penginapan yang berkualiti untuk para pelancong di negara itu.

Dalam banyak-banyak lokasi, pelancong dikatakan lebih tertumpu di kawasan-kawasan yang digelar bandar kuil. Antaranya ialah Shirdi yang terletak di barat Maharashtra iaitu sebuah bandar suci Sikh di Amritsar, Punjab dan Haridwar yang hanya dilengkapi kemudahan asas sejak bertahun-tahun lamanya.

Bagaimanapun, peningkatan jumlah pelancong yang memberi rezeki kepada penduduk tempatan dan pengalaman rakyat India melancong ke luar negara telah membuka satu dimensi baru kepada industri pelancongan di India.

Timbalan President Best Western India, Gaurav Sarin berkata, sebelum ini pelawat-pelawat yang melawat ke bandar-bandar kuil tidak mampu menginap di hotel yang berkualiti.

"Tetapi, senario ini telah berubah secara drastik sejak beberapa tahun lalu. Pelancong seboleh-bolehnya mahukan kemudahan dan layanan yang bertaraf antarabangsa.

"Mereka yang berpendapatan besar mahu menyewa sebuah bilik atau prasarana-prasarana lain," katanya.

Sarin berkata, bandar kuil dan bandar Tier II adalah lokasi yang paling berkembang pesat dan menjadi tumpuan para pelancong yang menitikberatkan unsur-unsur keagamaan.

Menyentuh tentang pelancong seperti itu, pegawai hotel itu berkata, ia bukanlah sesuatu yang menghairankan. Ujarnya, selain kelompok itu, mereka yang berpendapatan rendah, para eksekutif korporat, pemain kriket malah bintang filem Bollywood juga gemar melancong di sekitar India yang kaya dengan pelbagai warisan.

Menurut perangkaan, kunjungan pelancong domestik meningkat sebanyak 15.5 peratus pada awal tahun lalu dan menjadikan jumlah keseluruhannya menjangkau seramai 650 juta orang. Angka itu tidak termasuk 5.1 juta pelancong asing pada tahun yang sama.

"Kebanyakan kumpulan pelancong domestik terdiri daripada mereka yang berpegang kuat kepada agama yang mereka anuti. Mereka ingin melawat lokasi seperti di Shirdi berdekatan Mumbai, Vaishnodevi, Haridwar dan Rishikesh yang terletak di Himalaya," kata Pengarah Eksekutif Bird Group, Ankur Bhatia.

"Sektor perhotelan berkembang sangat baik. Kita sasarkan pertumbuhan sebanyak 10 peratus setiap tahun. Sektor ini sebenarnya meliputi mereka yang berada di peringkat bawah termasuk atasan," katanya. Permintaan untuk bilik di lokasi seperti Tirupati iaitu bandar kuil di selatan Andhra Pradesh, misalnya, menerima tempahan yang luar biasa, ujar Bhatia. Hotel-hotel di Tirupati menerima tempahan pelawat di antara 50,000 hingga 70,000 orang sehari.

Pelancong antarabangsa

Dalam pada itu, Pengarah Urusan, Analisis Sektor Hotel India, Kaushik Vardharajan berkata, pasaran pengembara antarabangsa di India bermusim dan berubah-ubah.

Perubahan paling ketara dan mengecewakan ialah ketika Mumbai diserang pengganas di November 2008.

Bagaimanapun, Vardharajan berkata, ada perancangan untuk membina 90,000 hingga 95,000 bilik penginapan baru di Mumbai dalam tempoh lima tahun akan datang untuk menarik minat orang luar ke India.

Best Western yang mempunyai rangkaian hotel di Amritsar dan Shirdi juga merancang untuk membangunkan hotel di Ajmer yang terletak di utara Rajasthan, Puri di bahagian timur Orissa dan Kapra di Andhra Pradesh.

Tanpa ingin menjelaskan dengan lebih lanjut, Best Western juga dikatakan sedang melihat potensi di tiga atau empat pusat agama yang lain di India.

Bagi Bird Group pula, mereka merancang membangunkan resort di Rishikersh untuk memenuhi selera golongan mewah.

Ginger Hotel, rangkaian hotel bajet di bawah Indian Hotels Company Limited yang turut memiliki hotel bertaraf lima bintang seperti Mumbai Taj Mahal Palace juga mahu meluaskan pasaran mereka.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian dan Pengarah Hotel negara itu, Prabhat Rani memberitahu, antara lapan hingga 10 buah daripada 40 hingga 50 hotel baru bakal dibuka dalam tempoh lima tahun ini di bandar-bandar kuil.

"Permintaan penginapan yang meningkat secara mendadak ini secara tidak langsung melonjakkan ekonomi India," katanya. - AFP

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.
Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved