Kosmo Online - Infiniti |
Berhenti merokok dengan Champs Circle Posted: Berhenti merokok dengan Champs CircleOleh ADLAN JAAFAR TAHUKAH anda bahawa tinjauan yang dijalankan oleh Kementerian Kesihatan pada tahun 2006 mendapati terdapat seramai 2.8 juta perokok dewasa di Malaysia sementara 0.2 juta lagi adalah perokok bawah umur? Lebih membimbangkan, angka tersebut dijangka terus meningkat setiap tahun sehingga boleh mencecah seramai 4.6 juta orang pada tahun 2025. Data yang dibentangkan oleh Pengarah Institut Perubatan Respiratori (IPR), Datuk Dr. Abdul Razak Muttalif itu turut menyatakan kerajaan terpaksa menanggung perbelanjaan besar bagi merawat pesakit yang menderita disebabkan oleh produk tembakau itu. "Kira-kira RM1 bilion telah dibelanjakan oleh perokok tegar dalam setahun, manakala kerajaan pula terpaksa mengeluarkan tiga kali ganda jumlah tersebut bagi merawat mereka. Penyakit-penyakit yang dirawat termasuklah strok, kanser paru-paru dan ia memerlukan perbelanjaan yang sangat mahal," katanya dalam ucapan pelancaran laman sesawang Champs Circle di pusat beli-belah Sunway Piramid, Petaling Jaya baru-baru ini. Laman web www.champscircle.com itu adalah manifestasi kepada usaha syarikat farmaseutikal, Pfizer Malaysia dalam membantu orang ramai berhenti merokok sekali gus menggalakkan gaya hidup lebih sihat. Ia dilancarkan sempena Hari Tanpa Tembakau Sedunia oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang jatuh pada 31 Mei setiap tahun. Langkah memperkenalkan laman web tersebut amat tepat kerana terdapat banyak bukti menunjukkan seseorang perokok itu perlu mencuba sehingga tujuh kali untuk berhenti merokok sebelum berjaya. Maklumat nikotin Dalam laman web itu, orang ramai boleh mendapat maklumat mengenai nikotin yang bukan sahaja menjadi penyebab seseorang menjadi ketagih kepada rokok tetapi juga menjadi punca pelbagai jenis penyakit yang boleh meragut nyawa. Fakta itu turut disokong oleh Presiden Jawatankuasa Bertindak mengenai Merokok dan Kesihatan (ASH), Datuk Dr. Khoo Kah Lin. Katanya, setiap kali nikotin diambil, ia akan memberi perasaan yang menyeronokkan kepada badan secara psikologi dan fizikal. "Ia menyebabkan perokok yang mahu menghentikan ketagihan mula mendapat simptom-simptom seperti pening kepala, kekeliruan dan ketidakselesaan. "Jadi, perokok tegar akan kembali kepada ketagihan nikotin ditambah dengan kurang sumber sokongan dan pengaruh rakan sebaya," katanya. Selain itu, menurut Penasihat Perubatan Pfizer, Dr. Kamalanathan, Champs Circle turut memberi pelbagai maklumat dan trivia mengenai bahaya ketagihan rokok. Antara maklumat yang menarik yang boleh didapati daripada laman web tersebut adalah jika setitik nikotin tulen dititis kepada seekor arnab, ia akan menyebabkan kematian mengejut haiwan itu. LAMAN web Champs Circle direka dengan susun atur yang mudah dan mesra pengguna bagi mengelak lebih ramai perokok menjadi penagih nikotin. Kesan-kesan jika seseorang itu berjaya menghentikan ketagihan turut dipaparkan supaya dapat menjadi motivasi kepada perokok. Pemahaman mengenai kesan rokok terhadap ekonomi akan turut menarik perhatian pelayar laman web tersebut dengan mengklik butang Reason To Stop Smoke. Antara fakta yang mencuri perhatian ialah seorang perokok yang menghisap 20 batang sehari membelanjakan sebanyak RM3,650 setahun. Dengan jumlah tersebut, perokok boleh membeli sebuah gajet terbaru seperti Ipad2. Kategori perokok Pada dasarnya, terdapat empat bahagian dalam www.champscircle.com iaitu pemahaman mengenai rokok, cara alternatif untuk berhenti, berhenti sekarang dan link yang boleh membantu. Laman web yang menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa perantara itu turut mempunyai satu seksyen untuk memberi kategori kepada perokok. Terdapat lima kategori perokok iaitu pengurus yang bercita-cita tinggi, pasangan yang bertolak-ansur, perokok yang mempunyai kesedaran kesihatan, perokok untuk imej dan status serta kategori ibu bapa bertanggungjawab. Kategori tersebut boleh didapati dengan mengklik butang What type of smoker are you. Jika ia tidak dapat membantu dalam memberi tafsiran kepada diri, sebuah kalkulator soalan turut disediakan. Set soalan itu dapat menentukan tahap kebergantungan seseorang terhadap nikotin, ia direka oleh seorang penyelidik mengenai bahaya tembakau, Dr. Karl Fagerstrom. Fagerstrom yang berkelulusan Pakar Psikologi dari Universiti Uppsula telah mengkaji tingkah laku ubat, tembakau dan nikotin serta pernah menulis 80 buah penerbitan. KAH LIN (tengah), Kamalanathan (kanan) dan tetamu kehormat mematahkan replika rokok sebagai menyokong sambutan Hari Tanpa Tembakau Sedunia di Petaling Jaya baru-baru ini. "Set soalan tersebut dapat membantu perokok memahami profil mereka dan boleh menentukan cara untuk berhenti," kata Kamalanathan dalam sesi penerangan laman web. Antara soalan yang ditanya adalah tabiat pengambilan rokok setiap hari dan juga cara seseorang itu merokok bergantung kepada situasi. Champs Circle turut menyediakan senarai semak dan tarikh sasaran untuk berhenti merokok dalam bentuk fail PDF. Jadi kepada mereka yang berhajat untuk berhenti merokok anda boleh mencetak dokumen tersebut untuk sentiasa dikemaskini. Bagi sokongan yang berterusan, laman web yang menggunakan rona hijau dan biru cair itu turut menyiar klip-klip video iklan kempen berhenti merokok. Maklumat-maklumat yang terdapat dalam laman web itu juga dapat dikongsi dalam Twitter dan laman sosial Facebook. Kepada perokok-perokok yang mahukan maklumat lebih terperinci daripada apa yang terdapat di Champs Circle, mereka boleh menekan butang Helpful Link. Di muka web itu, terdapat lebih 20 buah link ke laman-laman web dan blog yang mengulas mengenai tembakau. Majlis pelancaran laman web itu turut dihadiri oleh Ketua Penolong Pengarah Kanan, Unit Kawalan Tembakau Kementerian, Dr. Zarihan Zain. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. |
Nasib malang beruang hitam Asia Posted: Nasib malang beruang hitam AsiaPAPARAN iklan yang mengingatkan pengedar haram hidupan liar boleh menerima hukuman berat jika tertangkap. SEEKOR beruang hitam liar mengaum sambil menggoncangkan galang-galang sangkar segi empat tepat yang kelihatan hanya besar sedikit daripada tubuhnya. Mamalia yang mempunyai bulu tebal itu tidak ubah seperti ribuan beruang lain merentasi Asia apabila hanya menanti detik pemiliknya mengekstrak hempedu daripada tubuh gebunya. Hempedu merupakan bahan yang dihargai dalam perubatan tradisional Cina. Dalam sebuah bangunan tidak bertingkap berbau hancing di bandar Boten, Laos, berdekatan sempadan negara China, terdapat kira-kira 15 sangkar logam tersusun rapi. Setiap satu sangkar logam berkenaan menempatkan seekor beruang. Sukar bagi mamalia itu untuk bergerak apatah lagi berdiri kerana ruang yang sempit. "Sekiranya sangkar lebih besar, ia akan mengundang bahaya kepada orang yang menjaga haiwan ini," kata Se yang merupakan pemilik 'ladang' beruang hitam Asia itu. Di halaman ladang tersebut, terdapat empat ekor anak beruang yang baru dilahirkan beberapa minggu lalu. Ia akan dijual pada harga AS$750 (RM2,255) setiap seekor kepada pedagang haram. Anak beruang malang itu akan menerima nasib yang sama tidak lama lagi. "Sekali sehari, kami akan mengekstrak hempedu daripada seekor beruang dengan menggunakan jarum. Kami melakukan penukaran beruang setiap hari," kata Se, yang hanya memberitahu nama pendeknya selain tidak membenarkan gambar-gambar beruang dirakam. Pejuang kempen hak asasi haiwan menuntut pengharaman terhadap amalan mengekstrak hempedu beruang kerana ia menyeksa haiwan tersebut selain memendekkan usia beruang. Malah, selepas beberapa tahun beruang-beruang itu akan dibunuh untuk membolehkan penternak atau pemburu menjual anggota badannya yang lain. Permintaan China "Pada kebiasaannya, hempedu akan diekstrak menggunakan pembedahan yang sangat kasar atau melalui penanaman kateter. "Kerosakan teruk pada pundi hempedu sudah biasa malah tumor juga akan terhasil daripada tindakan ini," kata Jude Osborne yang menguruskan tempat perlindungan yang dibangunkan Dana Pembebasan Beruang Australia berhampiran Luang Prabang, Laos. "Keadaan beruang di ladang ini amat menakutkan dengan kesakitan tidak terhingga dan penderitaan mental," kata Osborne. HEMPEDU daripada tubuh beruang diproses sebagai ubat kapsul atau cecair. Akibatnya, jangka hayat mamalia tersebut berkurangan kepada 10 tahun, sambung Pengarah Penyelidikan Keprihatinan Haiwan dan Pendidikan Masyarakat (ACRES), Loius Ng yang berpangkalan di Singapura. Beruang liar mampu hidup menjangkau sehingga 25 tahun. "Selepas membunuh haiwan-haiwan ini, mereka akan mengambil pundi hempedu untuk membuat ubat tradisional Cina, malah kakinya dimasak sebagai sup. "Mereka percaya bahawa amalan meminum sup tersebut akan menjadikan seseorang itu sekuat beruang," kata Ng. Menurut laporan yang dikeluarkan TRAFFIC, sebuah rangkaian memantau perdagangan haiwan liar, terdapat sekurang-kurangnya 12,000 beruang berdepan dengan senario tersebut di Asia. Majoriti beruang terlibat ialah beruang hitam Asia yang juga dikenali sebagai beruang bulan. Perdagangan beruang telah diharamkan oleh Persidangan Antarabangsa Perdagangan Spesies Terancam Flora dan Fauna Liar (CITES). China merupakan pengeluar terbesar hempedu dengan pengeluaran dianggarkan mencecah enam hingga 30 tan satu tahun, kata TRAFFIC. Negara berkenaan juga mengeksport produk beruang dengan banyak di wilayahnya yang masih sah dalam perdagangan beruang. Organisasi yang berpangkalan di United Kingdom mendapati hempedu dari China terdapat dalam sejumlah ubat tradisionalnya yang dijual di seluruh Asia. Ia didapati dalam pelbagai bentuk termasuk cecair, serbuk dan pil. Hempedu beruang biasanya digunakan dalam rawatan pelbagai penyakit dari kerongkong ke sawan dan terseliuh. "Perladangan beruang mempunyai permintaan dan hempedu juga kini boleh didapati dalam ubat gigi, gula-gula dan syampu," kata Kaitlyn Foley dari TRAFFIC. Ladang baru di Laos SANGKAR besi sempit sengaja dibina untuk memudahkan penternak mengekstrak hempedu beruang hitam Asia. Dalam pada itu, menurut kumpulan kebajikan haiwan, Laos kini menjadi lokasi tumpuan untuk penternakan beruang di Asia. "Kebanyakan peladang dari negara Vietnam kini beralih arah ke Laos untuk memulakan ladang kerana kerajaan Vietnam mengetatkan kawalan terhadap mereka," kata Ng. Foley menambah, satu kebimbangan TRAFFIC adalah dengan tekanan yang meningkat untuk menutup ladang-ladang di China dan Vietnam, kemungkinan terdapat satu pasaran yang sedang berkembang di Laos dan Myanmar. Di Laos, pembiakan dijalankan oleh peladang Vietnam atau China "Kami perlu lebih berwaspada terhadap sebarang percubaan mewujudkan ladang-ladang secara haram di Laos. "Kami bekerja rapat dengan pihak berkuasa di sini dalam usaha memastikan keadaan ini tidak berlaku," ujar Foley lagi. Di Lapangan Terbang Vientiane, terdapat satu papan iklan besar menunjukkan gambar-gambar beruang untuk mengingatkan pengedar haram hidupan liar boleh dihukum oleh undang-undang. "Setiap kali anda membeli, alam semula jadi akan membayar," katanya. Di Boten, kedai Se sangat terkenal. "Saya membeli beberapa hempedu untuk sepupu saya yang mempunyai masalah lemah lutut," kata seorang pelanggan yang meninggalkan kedai tersebut dengan bebuli kecil dibeli pada harga AS$4 (RM12). Se turut menawarkan gigi beruang, kulit gajah dan racun wain. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. |
Posted: Kamera moden gaya klasikCUBA mengekalkan reka bentuk klasik, namun FinePix X100 diperhebat dengan pelbagai teknologi terkini. MEMILIKI sebuah kamera dengan reka bentuk klasik tetapi masih lagi mempunyai fungsi-fungsi moden mungkin kedengaran mustahil hari ini. Bagaimanapun, pengeluar kamera Fujifilm yang sudah menapak di Malaysia selama 20 tahun merealisasikan idea tersebut baru-baru ini dengan mengeluarkan kamera model FinePix X100. Mengadun nilai-nilai estetika kamera lama dan teknologi terkini, FinePix X100 sangat mudah dikendalikan untuk apertur, kelajuan shutter dan konfigurasi pendedahan kamera dengan masalah yang minimum. Lensa FinePix X100 menawarkan jarak fokus sepanjang 23 milimeter yang membolehkan jurugambar mengambil pelbagai jenis gambar sambil mengekalkan foto beresolusi tinggi dan kejelasan optikal. Apertur F2 yang besar bukan sahaja memberi kecerahan dan kontras, bahkan mendapatkan resolusi tinggi apabila apertur ditutup pada tahap satu atau dua. Reka bentuk pada bahagian atas dan bawah menggunakan tuangan aloi aluminium untuk memberi ketepatan dan tidak mudah dibengkok. Kemasan di bahagian pemegang disaluti dengan bahan seakan-akan kulit berwarna hitam bagi memberi rekaan berunsur klasik yang original. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Infiniti To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan