Selasa, 13 Mei 2014

Kosmo Online - Infiniti


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Infiniti


Kepakaran tempatan bertaraf antarabangsa

Posted:

Kepakaran tempatan bertaraf antarabangsa

Kepakaran tempatan bertaraf antarabangsa

Oleh HAFIZ AHMAD

PEMBUKAAN Pusat Angkasa Negara (Angkasa) yang terletak di Banting, Selangor memberi nafas baharu kepada bidang penyelidikan sains dan teknologi angkasa negara.

Dirasmikan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi pada 4 Oktober 2006, ia kini lengkap untuk digunakan oleh penggiat industri dan universiti bagi menjalankan kajian berkaitan.

Lebih membanggakan, Angkasa merupakan agensi pertama di Asia Tenggara yang menyediakan pengukuran berkapasiti tinggi.

Ini bermakna, agensi tersebut tidak terhad kepada industri angkasa sahaja, malah boleh menjalankan eksperimen untuk bidang automotif, elektrik dan elektronik.

Bagi Institusi Pengajian Awam (IPT), ia membantu pelajar dan penyelidik melakukan kajian antaranya Sains Hayat, Pertanian Angkasa, Satelit Komunikasi, Sistem Maklumat Geografi, Navigasi dan Sains Angkasa.

Terdapat tiga perkhidmatan yang disediakan di Angkasa iaitu Fasiliti Kawalan Misi, Makmal Kalibrasi Optik dan Fasiliti Pemasangan, Integrasi dan Pengujian Satelit.

Fasiliti Kawalan Misi mengendalikan komunikasi Uplink (laluan komunikasi dari stesen bumi ke angkasa) dan Downlink (laluan komunikasi dari angkasa ke stesen bumi) dengan kapal angkasa mengorbit.

Pegawai Penyelidik Angkasa, Terence Jerome Daim menerangkan, Stesen Bumi Angkasa mempunyai dua sistem antena iaitu MCS Model 4000 dan IRPS Model 12000.

MCS Model 4000 mempunyai keupayaan untuk menyediakan perkhidmatan TT&C untuk berkomunikasi dengan satelit yang dilancarkan pada orbit Low Earth Orbit (LEO) dan Medium Earth orbit (MEO). Ia menggunakan antena 5.0 meter diameter yang menghantar dan menerima data dalam S-band.

Ia meliputi kawasan liputan komunikasi dengan radius 3,000 kilometer (km) dengan tempoh komunikasi satelit dan LEO antara 10 hingga 15 minit/lintasan manakala MEO selama 12 jam/lintasan.

Bagi IRPS Model 12000, stesen tersebut menggunakan antena 7.3 diameter untuk penerimaan data X-band daripada satelit yang dilancarkan pada orbit LEO. Selain itu, ia mempunyai keupayaan auto-tracking untuk X-band dan S-band.


SEKUMPULAN pengkaji menjalankan eksperimen di Makmal Kalibrasi Optik yang mampu menyediakan perkhidmatan penentu ukuran dan pencirian radiometrik.


Misi

Kedua-dua sistem antena tersebut boleh melakukan pelbagai mod pengesanan automatik, program dan manual sama ada Right-Hand Circular Polarization (RHCP) dan Left-Hand Circular Polarization (LHCP).

"Sistem tersebut mempunyai keupayaan dalam menerima di kedua-dua saluran data secara serentak," ujarnya ketika ditemui dalam lawatan ke Angkasa, Banting baru-baru ini.

Berdasarkan fasiliti yang ada, ia mampu menyediakan perkhidmatan kepada pemain industri antaranya seperti, pemprosesan dan pengendalian data, pengehosan, perancangan misi Fasa Operasi Pelancaran Awal (LEOP), konsultasi dan latihan teknikal.

Misi Kawalan telah menyumbang kepada beberapa misi dalam dan luar negara seperti menyokong satelit RazakSAT, Agensi Angkasa Eropah (ESA) dan Organisasi Penyelidikan Angkasa India (ISRO).

Terletak bersebelahan dengan bangunan Fasiliti Misi Kawalan ialah Makmal Kalibrasi Optik yang merupakan makmal perintis di Malaysia dalam bidang penentu ukuran elektro-optik satelit.

Ia mampu menyediakan perkhidmatan penentu ukuran dan pencirian radiometrik yang tidak terhad kepada satelit malah untuk peralatan berkaitan optik.

Menurut Adhwa Amir Tan, salah seorang Pegawai Penyelidik di makmal tersebut, terdapat tiga peralatan utama di makmal tersebut iaitu Sfera Integrasi, Spektroradiometer ASD dan Meja Putar.

Sfera Integrasi yang berukuran 102.6 sentimeter itu berfungsi sebagai simulator solar untuk mencirikan dan menentukan sistem pengimejan. Ia mampu menghasilkan sumber cahaya seragam dengan panjang gelombang antara 400 hingga 2400 nanometer (nm).

"Lampu Tungsten-Halogen dan Xenon digunakan untuk mengintegrasikan sumber cahaya," jelas Adhwa.


UJI kaji yang dijalankan pada ruang EMC membolehkan pengkaji mengetahui kewujudan gangguan elektromagnetik yang terdapat dalam satelit atau peranti.


Spektroradiometer ASD ialah alat digunakan untuk memantau pengedaran spektrum cahaya di dalam Sfera Integrasi. Ia mampu mengukur pengagihan spektrum cahaya dengan panjang gelombang antara 350 hingga 1050 nm.

Alat Meja Putar pula digunakan untuk meletakkan satelit atau peranti ujian yang boleh dipusingkan ke posisi melintang dan menegak (90 darjah). Ia dilakukan untuk menyelaraskan sistem pengimejan bahan uji kaji dengan Sfera Integrasi.

"Semua fasiliti ini boleh digunakan untuk kajian seperti tindak balas gelap, pencirian piksel, sinaran tepu dan respons kelinearan," tambahnya.

Siap sepenuhnya pada tahun 2011, Fasiliti Pemasangan, Integrasi dan Pengujian Satelit (AITC) secara keseluruhannya mampu mensimulasikan keadaan persekitaran yang dialami oleh satelit dan kompenannya seperti pelancaran roket, pemisahan satelit daripada roket dan persekitaran orbit.

Menerangkan serba sedikit fungsi yang terdapat di bangunan itu, Pegawai Penyelidik di AITC, Elena Woo Lai Leng memberitahu, terdapat enam ruang pengujian peralatan iaitu pengujian getaran, pengujian akustik, pengujian vakum terma, pengujian keserasian elektromagnetik, pengukuran sifat jisim dan pengukuran penjajaran.

Ruang getaran dapat memberikan data kekuatan dan kekakuan satelit atau peranti selepas ia didedahkan kepada beberapa getaran. Ia memberi gambaran keadaan ruang angkasa yang tidak menentu memungkinkan satelit berlanggar satu sama lain sehingga menyebabkan ia rosak dan pecah.

"Oleh itu, uji kaji di ruang ini dapat membantu mengetahui data ketahanan tersebut," ujarnya.

Ruang pengujian vakum terma pula dapat menilai sama ada satelit mampu menerima kondisi ruang persekitaran angkasa. Ia akan didedahkan kepada suhu ekstrem sejuk dan panas antara -180 hingga 150 darjah Celcius.

PEGAWAI penyelidik, Nor'Asnilawati Salleh menunjukkan cara penyelenggaran sistem pengujian vakum terma.


Bagi merangsangkan proses pelancaran satelit, ia boleh diuji kaji pada ruang akustik. Sejumlah besar bunyi dijana dalam kepulan ekzos mengalir dari muncung ketika proses itu dijalankan.

Bahagian pengukuran sifat jisim pula dapat menentukan dan mengukur dengan tepat sifat-sifat fizikal satelit. Ia bagi menentukan graviti pusat dan inersia kawalan kedudukan satelit ketika pengorbitan.

Bilik pengujian keserasian elektromagnetik (EMC) menjalankan uji kaji mengenai kewujudan sebarang gangguan elektromagnetik yang boleh memberi kesan kepada bahagian lain pada satelit atau peranti.

Pada ruang pengukuran penjajaran, kajian yang dilakukan adalah untuk mendapatkan ketepatan pengukuran penjajaran geometri khusus untuk komponen satelit.

Sistem pengukuran menggunakan dua unit teodolit lengkap dengan penjajaran optik, satu unit meja berputar, meja leper, dua unit peralatan menegak dan sistem pemerolehan data.

Kebinasaan hutan tropika Myanmar

Posted:

Kebinasaan hutan tropika Myanmar

Kebinasaan hutan tropika Myanmar

Oleh NADIA SHAIFUL BAHARI


SEORANG kanak-kanak perempuan duduk di kawasan saki baki kayu yang dibakar.


KEMEGAHAN hutan tropika tebal di bumi Bago, Myanmar dengan pokok-pokok hutan gergasi terpasak teguh di jantung negara tersebut menjadi rakaman memori zaman remaja yang sukar dilupakan Wa Tote.

"Kami hanya berani masuk ke sana dalam kumpulan yang besar. Hutan itu sangat tebal dan dihuni pelbagai spesies haiwan liar.

"Tapi itu semua dulu. Sekarang, kita sudah tidak dapat mencari bayang-bayang pokok untuk berteduh apabila keletihan," ujar lelaki yang berusia awal 70-an itu.

Pada satu ketika, harimau begitu mudah dijumpai dan tulangnya dijual begitu murah. Kini, raja rimba tersebut lenyap daripada ingatan begitu sahaja.

Pemandangan indah landskap di kawasan pergunungan Bago menjadi gondol akibat kerakusan pembalakan haram berlaku sejak beberapa tahun lalu dan saki-baki kayu yang tinggal pula dibakar.

Penduduk setempat diberitahu tentang perancangan untuk menanam semula pokok-pokok yang bernilai tinggi walhal ia seperti misi sukar. Rencana yang masih belum pasti itu bakal mengambil masa 80 tahun untuk mencapai tempoh matang.

Pembalakan di Myanmar semakin aktif di bawah pemerintahan tentera bahkan pegawai tertinggi mengetepikan amalan perhutanan lestari demi mengejar wang ringgit hasil jualan sumber asli.

Pakar mengatakan selera dunia terhadap permintaan bekalan kayu tidak pernah puas sehingga mengancam spesies berharga tersebut.

Menurut organisasi makanan dan pertanian Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), Myanmar kehilangan hampir 20 peratus kawasan hutannya dalam tempoh 20 tahun sejak tahun 1990 hingga 2010.


KEADAAN tongkang yang penuh dengan kayu balak di sepanjang sungai berhampiran Yangon.


Kemusnahan besar-besaran yang berlaku di kawasan hutan paling padat itu menyaksikan keluasan 17.9 juta hektar lenyap di Bago berbanding keluasan asalnya 30.9 juta hektar.

Di kawasan pergunungan utara Myanmar yang bersempadan dengan China pula menjadi laluan aktiviti pembalakan haram dan ia semakin jauh ke dalam hutan. Pembalakan perlu dihentikan serta-merta.

Ini kerana, kira-kira 300 monyet liar dianggarkan masih bertarung untuk hidup dalam habitat terancam di Kachin yang terletak di penghujung banjaran Himalaya.

Pekerja China membanjiri kawasan tersebut untuk memburu saki baki monyet yang ada sebagai sumber makanan dan ubat tradisional.

Ekosistem di sana sedang hancur berpunca daripada pembalakan haram.

Penjenayah alam sekitar ini membekalkan kayu untuk industri perabot di Tengchong, China. Pokok mapel ditebang untuk menghasilkan meja yang diukir cantik manakala pokok konifer atau lebih dikenali sebagai pokok krismas digunakan untuk pembuatan keranda mewah.

Dalam laporan penilaian impak alam sekitar yang terkini berdasarkan dokumen perhutanan Myanmar dan maklumat perdagangan antarabangsa, negara berkenaan dipercayai telah mengeksport lebih tiga kali ganda hasil pembalakan antara tahun 2000 hingga 2014.

Kerugian tersebut dianggarkan bernilai AS$5.7 bilion (RM18.4 bilion).

Kebaikan ekstrak pati cucur atap

Posted:

Kebaikan ekstrak pati cucur atap

Kebaikan ekstrak pati cucur atap

Oleh NADIA SHAIFUL BAHARI


MOHD. ZUL HELMI (dua dari kiri) menghasilkan krim kosmetik pelembab kulit yang dinamakan Floria bagi mempercepatkan kadar penyembuhan masalah kulit.


SENARIO pesakit yang berhadapan dengan masalah kulit seperti atopic eczema, dermatitis atau keradangan kulit sering dibelenggu dengan isu kadar penyembuhan dan keberkesanan ubat yang digunakan. Selain itu, pesakit juga terpaksa mendapatkan ubatan di pasaran yang turut mengandungi steroid dan kandungan antihistamin bagi menghilangkan kesan kegatalan terlampau.

Keadaan cuaca kering, panas dan lembab yang tidak menentu turut memburukkan lagi masalah tersebut. Sekumpulan penyelidik muda dari Universiti Malaysia Terengganu (UMT) berjaya menemui penyelesaian bagi mempercepatkan kadar penyembuhan masalah kulit.

Produk yang dinamakan Floria itu merupakan hasil penyelidikan yang telah dijalankan selama tiga tahun serta berjaya mencipta teknologi sistem pembawa nanovesikel dan nanohedral yang terbentuk daripada formulasi nanoteknologi dengan kehadiran minyak pati cucur atap atau nama saintifiknya Beackea frutescence.

Menurut ketua penyelidik yang juga merupakan Pengarah Pusat Pengurusan Penyelidikan UMT, Prof. Madya Dr. Mohd. Zul Helmi Rozaini, pembentukan sistem pembawa yang amat unik membolehkan bahan aktif daripada minyak pati cucur atap dapat menembusi dan meresap ke dalam kulit dengan lebih cepat iaitu sepantas lima kali ganda berbanding produk konvensional.

"Produk ini bersifat hibrid dan bukan sahaja mampu memberikan kesan penyerapan yang pantas malah turut mempunyai elemen antiseptik yang boleh menghalang pertumbuhan bakteria.

"Ia berjaya merencatkan pertumbuhan beberapa bakteria yang menyebabkan keradangan kulit seperti E. coli, B. substilis, S. aureus dan Citrobacter. ," jelasnya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.

Floria adalah produk penjagaan kulit yang tidak mengandungi steroid, bebas paraben dan menggunakan formulasi dirumus khas untuk kulit sensitif yang sememangnya tidak mendatangkan sebarang alahan.

Floria juga sesuai digunakan setiap hari dan boleh digunakan oleh orang dewasa, kanak-kanak mahupun bayi.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Komen

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved