Ahad, 23 Mac 2014

Kosmo Online - Varia


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Varia


Interpretasi seni tanpa had

Posted:

Interpretasi seni tanpa had

Interpretasi seni tanpa had

Oleh SOPI SAMAILE
sopi.samaile@kosmo.com.my

KAMIL merakam gambar yang unik dan jarang dilihat sebagai subjek dalam menghasilkan karya seni fotografi.


SENI adalah satu subjek yang subjektif dan setiap orang mempunyai interpretasi tersendiri dalam mentafsir dan menilai sesebuah karya seni.

Buat pertama kalinya, galeri Artiseri di Hotel Seri Pacific, Kuala Lumpur menganjurkan pameran fotografi berkumpulan yang menampilkan karya-karya seni yang hanya mampu dirakam oleh ketajaman lensa kamera.

Menerusi pameran tersebut, orang ramai dapat menilai dengan mata kasar selain interpretasi sendiri mengenai subjek mahupun karya seni yang dipamerkan.

Bertajuk Limitless: The Unseen yang membawa maksud tiada sebarang had dalam melihat subjek tersembunyi, pameran fotografi berkenaan mempamerkan karya-karya lima jurugambar tempatan yang berbakat.

Karya-karya yang dipaparkan adalah daripada pelbagai subjek termasuk unsur-unsur yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar manusia hingga menyusur kawasan eksotik dan jarang diketahui kewujudannya.

Limitless: The Unseen membariskan lima jurugambar iaitu Datuk Arif Abu Bakar, Abbi Kanthasamy, Dr. Kamil Salem, Mazlim Husin dan Nazmi Raman.

Setiap jurugambar ini datang daripada latar belakang berbeza, namun mempunyai persamaan iaitu masing-masing menggunakan lensa kamera untuk merakam detik-detik yang tidak dapat dilihat melalui mata kasar manusia.


HASIL seni fotografi Mazlim yang dirakam ketika mengembara ke Ladakh di banjaran Himalaya dengan sudut menarik.


Salah seorang jurugambar, Kamil, 54, ketika ditemui Kosmo! memberitahu, dia mengubah rakaman lensa kamera dengan menjadikannya seakan-akan lukisan di atas kanvas menerusi subjek yang jarang dan tidak pernah dilihat sebelum ini.

Pengalaman

Misalnya menurut beliau, dia merakamkan kisah seorang pemain dan pembuat alat muzik sape di daerah Bau yang tidak pernah diketahui umum mengenai latar belakang legenda muzik tradisional suku kaum Orang Ulu tersebut.

"Dengan menggunakan pengalaman lebih tiga dekad dalam bidang grafik, pengiklanan, penyiaran dan industri reka bentuk, saya mengolah rakaman fotografi itu menjadi karya seni yang memuatkan cerita, mesej dan keindahan seni itu sendiri.

"Pujian kepada galeri Artiseri di Hotel Seri Pacific kerana memberi ruang kepada penggiat seni fotografi ini mempromosikan karya masing-masing kepada khalayak. Pada pameran ini, saya memaparkan dua karya sahaja," kata anak kelahiran Kuching, Sarawak ini.

Bagi Mazlim pula, minatnya dalam pengembaraan ke serata dunia membolehkan dia merakamkan pelbagai subjek unik dengan menggunakan sudut-sudut menarik bagi menonjolkan seni fotografi.


LEGENDA pemain sape yang dirakam dengan lensa kamera sebelum diolah menjadi seni fotografi oleh Kamil.


Ini kerana kata Mazlim, 47, yang mempelajari fotografi daripada bapanya, banyak tempat di dunia bahkan di Malaysia sendiri mempunyai keindahan yang tidak pernah diketahui umum, maka dengan seni fotografi ini, dia boleh berkongsi dengan orang ramai.

"Saya juga berhasrat menerbitkan sebuah buku seni fotografi yang menonjolkan hasil karya sepanjang pengembaraan selama ini pada masa hadapan untuk dikongsikan dengan orang ramai," katanya yang serius dalam bidang itu sejak enam tahun lalu.

Sementara itu, Nazmi, 56, yang memiliki pengalaman lebih tiga dekad sebagai jurugambar memberitahu, seni fotografi masih belum berkembang luas di Malaysia.

Beliau yang pernah bertugas di Afrika dan Eropah dalam bidang fotografi berkata, pameran itu diharap dapat mendedahkan seni fotografi kepada orang ramai.

"Para karyawan pula dapat mengetengahkan bakat mereka sekali gus mempromosikan karya masing-masing kepada peminat seni," ujarnya.

Dalam pada itu, galeri Artiseri dibuka kepada orang ramai dan masuk adalah percuma. Untuk maklumat lanjut boleh melayari www.facebook.com/Artiseri atau menghubungi Asha di talian 03-4049 4302.

Tuah makan di Dubu Dubu

Posted:

Tuah makan di Dubu Dubu

Tuah makan di Dubu Dubu

Oleh KHADIJAH MOHAMAD NOR
khadijah.mohamadnor@kosmo.com.my

KAH YONG (dua dari kiri) bersama para pemenang dengan hadiah masing-masing.


BENAR kata pepatah, tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia tak siapa tahu. Itu yang berlaku kepada seorang remaja, Elaira Krizia Soon apabila diumumkan sebagai pemenang utama peraduan anjuran restoran Dubu Dubu.

Elaira, 22, langsung tidak menyangka kehadirannya untuk menjamu selera di restoran tersebut membolehkannya menikmati percutian istimewa ke Korea bernilai lebih RM7,000 untuk dua orang.

Restoran tersebut mempunyai lima cawangan iaitu di Mid Valley, Berjaya Times Square, Damansara, Sunway Pyramid dan Centro Mall, Klang.

Menurut Elaira, ia merupakan kemenangan pertama dalam peraduan yang disertainya secara suka-suka apabila melihat maklumat yang dipaparkan di atas meja hidangan.

"Jujurnya saya masih terkejut apabila dihubungi pihak penganjur yang memaklumkan mengenai kemenangan ini. Sewaktu menyertai peraduan ini, saya langsung tidak menaruh sebarang harapan yang tinggi.

"Saya dan rakan berpendapat tidak salah untuk mencuba. Justeru, kami mengambil gambar untuk berseronok dan ternyata tuah menyebelahi kami apabila memenangi hadiah utama dengan hanya sekeping gambar.

"Memandangkan pihak penganjur memberi peluang untuk memilih tarikh percutian itu, kami sepakat untuk ke Korea sewaktu musim luruh kerana mahu melihat keindahan daun mapel yang gugur berterbangan di samping cuaca yang nyaman," ujarnya dengan penuh teruja.

Dianjurkan sempena menyambut ulang tahun kedua Dubu Dubu bertapak di Malaysia, peraduan itu telah berlangsung selama sebulan bermula 1 hingga 31 Januari lalu.

Pengarah Eksekutif CRDubu Malaysia Sdn. Bhd., Wong Kah Yong berkata, peraduan itu dianjurkan sebagai tanda penghargaan untuk pelanggan yang sentiasa memberi sokongan terhadap Dubu Dubu.


DAK Galbi Dubu-Dubu merupakan sajian paling popular di restoran ini.


"Tanpa sokongan mereka, tidak mungkin kami mencapai kejayaan seperti hari ini. Justeru, dengan adanya peraduan ini, ia akan meningkatkan lagi keyakinan pelanggan terhadap kami," ujar Kah Yong.

Peraduan tersebut memerlukan pelanggan restoran menghantar gambar paling kreatif ketika menikmati hidangan Dak Galbi Dubu Dubu iaitu sejenis sajian Korea yang terdiri daripada ayam dan sayur campur.

Selain Elaira, dua lagi pelanggan bertuah ialah Jayagopal R. Yellumalai, 57, yang memenangi sebuah televisyen LG LED 42 inci dan Naseeha Ubaidi Hishamudin yang membawa pulang Samsung Galaxy Tab 3.

Jayagopal memberitahu, sejak menyertai peraduan itu, dia memang berharap untuk memenangi televisyen LED seperti yang ditawarkan.

"Saya gembira kerana dapat membawa pulang apa yang saya impikan. Televisyen ini amat sesuai untuk saya dan keluarga menghabiskan masa menonton," ungkap Jayagopal yang tampil dengan idea gambar menarik iaitu mencantumkan dua imej dirinya seolah-olah pasangan kembar yang sedang menikmati hidangan Dak Galbi dalam keadaan mencuit hati.

Bagi Naseeha pula, dia menghantar gambar bersama ibunya ketika mereka menikmati makan tengah hari di restoran tersebut.

"Alhamdulillah, saya bersyukur kerana menjadi antara tiga pemenang bertuah dalam peraduan ini. Walaupun pakej percutian ke Korea memang satu hadiah yang sangat menarik, tetapi ia bukan rezeki saya. Mana tahu mungkin rezeki saya dimurahkan pada masa akan datang," tuturnya sambil tersenyum.

Sementara itu, tambah Kah Yong, ramai rakyat Malaysia meminati makanan Korea dan Dak Galbi menjadi antara kegemaran mereka.

"Pelbagai gambar kreatif yang dihantar jelas menunjukkan betapa orang ramai menggemari cita rasa hebat kami. Malah, kami juga gembira apabila melihat Dubu Dubu kini muncul sebagai jenama terkenal bagi mereka yang menghargai hidangan lazat Korea.

"Di Dubu Dubu, kami sentiasa berusaha untuk memastikan bahawa semua ramuan menghasilkan cita rasa asli sajian Korea. Oleh itu, kami hanya menggunakan daging, makanan laut dan sayur-sayuran paling segar untuk menghasilkan makanan yang lazat dan menyelerakan untuk pelanggan," katanya.

Dubu Dubu, yang bermakna tauhu dalam bahasa Korea, adalah rangkaian restoran yang sedang berkembang pesat dan terkenal kerana sajian asli Korea yang dihidangkan dalam suasana yang selesa dan bergaya. Untuk maklumat lanjut, sila kunjungi laman web www.dubudubu.com.my.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved