Kosmo Online - Kesihatan |
Kerap hamil kurangkan risiko kanser ovari Posted: Kerap hamil kurangkan risiko kanser ovariOleh ASMA HANIM MAHMOOD
KEPADA kaum Hawa, seandainya perut anda tiba-tiba terasa kembung atau menjadi buncit tanpa sebab, berhati-hatilah dan segera bertemu doktor. Ini kerana itu adalah antara petanda anda mungkin menghidap kanser ovari. Sel kanser yang membiak di dalam ovari atau kantung telur wanita boleh menyebabkan perut menjadi besar seperti wanita sarat mengandung dalam tempoh tidak sampai satu bulan dan merebak ke organ lain badan seperti usus, paru-paru dan buah pinggang tanpa disedari pesakit. Pakar Gynaeoncology dari Jabatan Obstetrik dan Ginekologi Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) Kota Bharu, Kelantan, Dr. Nor Anita Abdullah berkata, berbeza dengan kanser payudara yang boleh dikesan awal, kanser ovari belum ada kaedah saringan berkesan dan ekonomikal. Beliau berkata, sel kanser ovari berkembang secara agresif dan pantas. Keadaan itu menyebabkan wanita bukan sahaja boleh kehilangan kedua-dua kilang telur bahkan rahim dan pangkal rahim selalunya terpaksa dibuang menerusi pembedahan. Jelasnya, kanser ovari tahap pertama dikelaskan sebagai sel kanser masih kekal berada dalam kantung telur namun ia tetap mampu mengembangkan saiz kilang telur yang asalnya bersaiz 2 atau 3 sentimeter sehingga menjadi tumor yang boleh mencapai berat melebihi 20 kilogram (kg). Katanya, apabila kanser sudah merebak sehingga peringkat tiga atau empat, peratusan pesakit yang boleh hidup sehingga tempoh lima tahun adalah kurang 30 peratus, malah kebanyakan mereka terpaksa menjalani hidup yang tidak berkualiti kerana komplikasi lain seperti sakit belakang yang berpanjangan, mengalami masalah paru-paru dan terpaksa memakai beg najis kesan tumor yang menekan usus. "Protokol kita adalah untuk membuang semua sel kanser yang kita nampak semasa pembedahan, jika ia dapat dikesan pada bahagian lain maka kita akan buang semua termasuklah juga sebahagian usus dan kelenjar limpa. "Namun bagi pesakit kanser tahap satu berumur bawah 40 tahun ataupun yang belum berkahwin kami akan cuba selamatkan ovari dan hanya membuang tumor pada bahagian terjejas sahaja serta menasihatkan pesakit menjalani kemoterapi kerana pada usia yang muda dia boleh sembuh malah kemoterapi tidak akan menjejaskan kilang telur yang masih ada sekali gus memberi peluang pesakit hamil," katanya. PIL perancang keluarga menahan proses ovulasi sekali gus melindungi wanita daripada kanser ovari. Masalah kegemukan Nor Anita berkata, biarpun secara umumnya majoriti pesakit kanser ovari di negara membabitkan wanita berumur 50 hingga 54 tahun namun golongan kanak-kanak dan remaja juga tidak terkecuali. Jelasnya, beliau sendiri di HRPZ II pernah merawat seorang pesakit berusia semuda 9 tahun dan seorang remaja berusia 19 tahun yang pada peringkat awal hanya disangka mempunyai masalah kegemukan. "Pesakit remaja ini datang dengan perut buncit seperti orang mengandung dan oleh kerana fizikalnya yang obes pihak keluarga tidak menjangka yang buruk malah membelikannya pil pelangsing. "Remaja ini disahkan menghidap kanser ovari tahap satu dan dalam masa dua minggu selepas dia dirujuk ke hospital pihak kami telah menjalankan pembedahan dan berjaya membuang tumor seberat 15kg," katanya. Nor Anita memberitahu, wanita yang mempunyai keluarga yang pernah menghidap penyakit kanser payudara dan kanser ovari mempunyai risiko tinggi mengidap penyakit ini dan seharusnya membuat pemeriksaan dengan doktor setahun sekali. Katanya, wanita yang tidak pernah mengandung ataupun mempunyai bilangan anak yang sedikit juga berisiko kerana berbeza dengan wanita yang mempunyai anak, proses ovulasi kilang telur mereka tidak pernah 'berehat' dan terus berulang sehingga memungkinkan perubahan ganjil pada perkembangan sel dalam ovari. Beliau berkata, lebih 50 peratus daripada kes kanser ovari yang dirujuk ke HRPZ II pada tahun lalu terdiri daripada pesakit yang tidak berkahwin, tidak pernah hamil dan beranak kurang dari dua orang. "Wanita yang ramai anak setiap kali dia mengandung ovarinya tidak 'bergerak', dia dapat rehat panjang dan begitu juga dalam tempoh menyusukan anak. Malah wanita yang melahirkan anak kali pertama mengurangkan 45 peratus risiko menghidap kanser ovari," katanya. KANSER rahim boleh menyebabkan wanita kehilangan kedua-dua kilang telur mereka. Ikat peranakan Beliau berkata, wanita yang mengikat saluran peranakan juga boleh mengurangkan risiko daripada menghidap kanser ovari dan ini termasuklah juga bagi wanita yang mengambil pil perancang keluarga. Bagaimanapun, Nor Anita berkata, teori pencegahan kanser ovari menggunakan pil perancang keluarga tidak disenangi oleh pakar perubatan yang merawat kanser payudara kerana pengambilan pil itu meningkatkan risiko kanser nombor satu wanita. Beliau berkata, antara langkah pencegahan lain yang boleh dilakukan adalah menjauhi tabiat merokok serta menjaga pemakanan seperti mengelak pengambilan daging dan lemak yang tinggi. Obesiti adalah faktor kepada pelbagai jenis kanser termasuklah kanser ovari, malah ia dalam masa sama 'menyembunyikan' keadaan sebenar abdomen pesakit yang kembung akibat tumor kanser, katanya. | |
Sering menguap tanda semakin tua Posted: Sering menguap tanda semakin tuaFAKTOR usia mempengaruhi individu untuk menguap. KETIKA tubuh terasa penat, mengantuk dan bosan, biasanya seseorang akan menguap. Hal ini sebenarnya wajar, kerana menguap akan membekalkan kandungan oksigen yang lebih banyak ke otak, sehingga tubuh menjadi lebih bertenaga tetapi menguap terjadi disebabkan pertambahan usia. Sebuah penyelidikan yang dilakukan oleh Sekolah Perubatan di Universiti Duke membabitkan seramai 328 responden ditayangkan video individu lain menguap dan selang tiga minit selepas itu mereka yang menontonnya pula menguap. Penyelidik mendapati, 68 peratus responden menguap ketika menonton video tetapi mengikut kategori usia. Sebanyak 82 peratus responden yang berusia bawah 25 tahun menguap, sementara 60 peratus responden menguap pada kelompok usia 25 hingga 49 tahun dan hanya 41 peratus di kelompok usia lebih dari 50 tahun yang menguap. Hasil kajian mendapati, faktor usia mempengaruhi variasi di dalam kajian ini tetapi penghidap autisme dan skizofrenia cenderung tidak mudah menguap. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Kesihatan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan