Ahad, 23 Mac 2014

Kosmo Online - Rencana Utama


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Rencana Utama


Oleh-oleh wajib Bumi Kenyalang

Posted:

Oleh-oleh wajib Bumi Kenyalang

Oleh-oleh wajib Bumi Kenyalang

'TIGA ekor RM10...tiga ekor RM10...tiga ekor RM10. Begitulah sapaan mesra para peniaga ikan terubuk masin setiap kali pengunjung menjejakkan kaki ke Medan Niaga Satok, Kuching, Sarawak.

Taktik 'jeritan' mesra yang memancing pelanggan berkunjung ke gerai masing-masing itu bagaikan sudah sebati dengan kehidupan peniaga ikan terubuk masin di situ.

Suasana hingar-bingar dengan jerit-pekik suara peniaga yang menjaja 'ikan pelancongan' tersebut di selang-seli dengan suara tawar-menawar antara pembeli dan peniaga.

Menjelang pukul 2 petang, setiap Ahad iaitu sebelum operasi pasar minggu tamat, para peniaga akan saling 'berlawan' menjual ikan terubuk masin masing-masing.

Kadangkala, harga 'runtuh' yang ditawarkan amat rendah dan kedengaran tidak munasabah jika pembeli benar-benar mahu membeli ikan terubuk masin dalam kuantiti yang banyak.

Medan niaga yang terletak di Kubah Ria, Satok yang beroperasi pada 1 Januari 2013 namun ia telah dianggap 'syurga' bagi mendapatkan ikan terubuk masin.

Jumlah pengunjung ke Medan Niaga Satok juga semakin bertambah setiap kali hujung minggu dan musim cuti sekolah.

Malah, tidak lengkap kunjungan pelancong ke Bumi Kenyalang jika tidak membawa pulang oleh-oleh ikan terubuk, terutama terubuk masin dan telur terubuk masin dari Medan Niaga Satok.

Buah tangan

Kepada seorang pembeli, Jamaluddin Ismail, 52, sebaik beliau menjejakkan kaki di Sarawak, perkara utama yang mucul dalam fikirannya ialah mencari ikan terubuk masin untuk dijadikan oleh-oleh selain menikmati sendiri keenakan isinya yang lemak manis.

Dia yang berasal dari Batu Pahat, Johor berkata, kunjungan pertamanya bersama keluarga ke Kuching, Sarawak tidak sah jika tidak berkunjung ke Medan Niaga Satok untuk mendapatkan ikan terubuk masin.


PELANCONG dari Semenanjung akan singgah ke Medan Niaga Satok untuk membeli ikan terubuk masin sebagai oleh-oleh dibawa pulang.


"Peluang berada di Sarawak kali ini tidak akan dilepaskan untuk membeli buah tangan wajib itu lebih-lebih lagi sekarang adalah musim ikan terubuk asli Sarawak.

"Saya membeli ikan terubuk masin untuk simpanan sendiri. Selain itu, saya juga ada membungkus lima kotak lain untuk dijadikan hadiah kepada saudara-mara dan jiran-jiran.

"Saya sangat suka ikan terubuk bakar begitu juga ikan terubuk masin. Kali ini, saya dan keluarga berpeluang untuk membeli sendiri di tempat asal ikan terubuk tersebut," katanya ketika ditemui Kosmo! di Medan Niaga Satok baru-baru ini.

Jamaluddin memberitahu, dia juga sangat kagum apabila dapat melihat sendiri cara-cara ikan terubuk masin diproses oleh para pekerja di Medan Niaga Satok.

Katanya, harga ikan masin di situ berpatutan dan tidak membebankan para pembeli terutama buat pengunjung dari Semenanjung.

Bagi seorang pembeli tempatan, Mohd. Azriq Zaini, 24, ikan terubuk masin seolah-olah menjadi menu wajib bagi dirinya dan keluarga setiap hari.

Terubuk bertelur

"Ikan terubuk masin segar sangat sesuai dimasak lemak, asam pedas atau digoreng. Bagi ikan terubuk masin kering pula, kebiasaannya ia digemari oleh golongan warga emas dan ia sesuai dibuat masak lemak serta digoreng.

"Malah, sebut sahaja ikan terubuk masin, pasti ramai yang terliur dengan keenakannya, apa lagi kalau dapat menikmati ikan terubuk bertelur," katanya.

Seorang peniaga ikan terubuk masin, Suhaimi Ahmad, 31, yang telah 15 tahun terbabit dengan industri ikan terubuk masin memberitahu, Jabatan Perikanan Sarawak (JPS) sentiasa memantau para nelayan menangkap spesies ikan berkenaan yang hanya membiak mengikut musim.


MEDAN Niaga Satok menjadi lokasi utama menjual ikan masin terubuk di Sarawak.


Bermusim

Jelasnya, penangkapan ikan terubuk bukan pada musimnya akan didakwa kerana untuk mengelakkan ikan spesies itu pupus.

"Musim bertelur di Sungai Lupar, Sri Aman agak singkat manakala di Sungai Lassa, Mukah lebih panjang iaitu di antara bulan Mac hingga November. Ikan ini juga terdapat di Batang Sadong di Samarahan dan Batang Saribas di Betong.

"Bagi menampung permintaan ikan terubuk masin yang tinggi, para penjual terpaksa mendapatkan bekalan terubuk import dari Thailand, India dan Myanmar.

"Sebab itu, terdapat dua jenis terubuk di Sarawak iaitu ikan yang diimport dan ikan tempatan," katanya yang berniaga ikan terubuk masin sejak berusia 16 tahun.

Suhaimi menceritakan, ikan terubuk sungai tempatan mempunyai mulut lebih kecil, bersaiz pendek dengan bahagian kepala lebih kecil serta badannya lebih gemuk.

Katanya, dia dan rakan peniaga di situ menjual ikan terubuk masin import mengikut saiz iaitu antara RM5 hingga RM30 seekor manakala telur ikan terubuk masin pula lebih mahal.

"Bagi telur terubuk masin import, ia boleh mencecah sehingga RM200 sekilogram dan telur terubuk masin tempatan lebih mahal iaitu kira-kira RM300 sekilogram kerana sukar didapati.

"Kami menjual ikan terubuk asli Sarawak mahal sedikit berbanding ikan import iaitu antara RM12 seekor dan boleh mencecah RM55 seekor mengikut saiz.

"Bagaimanapun, pelanggan kami tidak merungut, malah jika pada musimnya, mereka pasti memilih ikan terubuk asli Sarawak berbanding import kerana kualiti isinya yang sangat lembut dan lemak," katanya.

Sementara itu, pegawai penyelidik di Institut Penyelidikan Perikanan Sarawak, Albert Chuan, berkata, ikan terubuk asli Sarawak mempuyai keistimewaan tersendiri.

Katanya, ikan terubuk yang menjadi salah satu ikon pelancongan Sarawak yang banyak menyumbang kepada perkembangan ekonomi penduduk dan negeri ini.

Katanya, isi ikan terubuk asli Sarawak lebih berlemak dan telurnya lebih besar berbanding ikan terubuk import.

Albert memberitahu, perbezaan juga dapat dilihat dari segi kesegaran kerana terubuk tempatan lebih sedap kerana ia segar.

Sedangkan terubuk import pula, terpaksa dibekukan terlebih dulu dan sisik terubuk asli lebih mudah tertanggal berbanding sisik ikan import yang keras.

Terubuk sungai

"Terubuk import pula mempunyai bintik hitam di badan tetapi tiada pada terubuk sungai Sarawak. Perbezaan terubuk tempatan dan import juga boleh dilihat pada harga.

"Terubuk sungai lebih mahal berbanding terubuk import. Sekali imbas, memang sukar mencari perbezaan terubuk sungai dan terubuk import. Orang biasa memang selalu keliru," katanya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.

Albert berkata, terdapat dua jenis terubuk di Sarawak iaitu terubuk laut atau Tenualosa Macrura yang boleh dikenali dengan fizikalnya bermulut kecil, bersaiz pendek dengan bahagian kepala lebih kecil dan badan lebih gemuk.

Ujarnya, terubuk sungai atau Tenualosa Toli mempunyai muncung atau mulut lebih besar dan panjang yang juga dikenali sebagai Terubuk Sarawak di kalangan penduduk negara ini.

Jelasnya, penentuan jantina ikan terubuk hanya dapat dikenal pasti apabila ia menjangkau usia dua tahun dan bertelur.

"Mengikut kajian Jabatan Perikanan Laut Sarawak, Tenualosa Toli mula bertelur dari bulan September hingga Oktober dan berkurangan pada bulan November," katanya.

Albert menjelaskan lagi, terubuk jantan boleh mencapai ukuran panjang sehingga 12.8 hingga 34 sentimeter manakala betina pula dari 14 hingga 46.2 sentimeter dan masing-masing mempunyai purata berat 178.2 gram dan 533.9 gram.

Muzium pertama Bollywood

Posted:

Muzium pertama Bollywood

Muzium pertama Bollywood


INDIA mula mengiktiraf Bollywood sebagai salah satu sumber pendapatan pelancongan.


MENGAMBIL masa tujuh tahun untuk disiapkan dengan kos mencecah hampir AS$20 juta (RM66.2 juta), muzium pertama filem India sedia untuk dibuka di Bollywood, selepas lebih hampir 100 tahun industri filem India beroperasi.

Pihak kerajaan bertanggungjawab membiayai Muzium Perfileman Negara India tersebut dan ia menjadikan banglo warisan abad ke-19 itu sebagai paling elegan di selatan Mumbai.

Muzium itu menyimpan sejarah pawagam India dari era hitam putih sehingga ke era muzik blokbuster moden.

"Ia masa yang tepat untuk India mempunyai muzium filem sendiri. Kami mempunyai arkib tetapi bukan sebuah muzium.

"Kini, muzium tersebut menjadi lebih menarik kerana teknologi dan interaktif," kata kurator, Amrit Gangar.

Dibahagikan kepada dua tingkat dengan keluasan kira-kira 557.42 meter persegi, muzium tersebut mempamerkan artifak, memorabilia, rakaman dan alatan menghasilkan filem.

Para pengunjung boleh melihat sendiri poster cat asli filem epik Mother India pada tahun 1957 dan mendengar lagu-lagu K. L. Saigal yang dianggap sebagai bintang pertama filem Hindi.

Masalah

Ia bukan sahaja untuk meraikan filem Hindi Bollywood malah filem lain yang dirakam di wilayah seluruh India memandangkan negara tersebut menghasilkan hampir 1,500 filem setahun.

"Semua pusat pembikinan filem di India ada di sini," kata Ketua Pemasaran Filem Division Kerajaan, Anil Kumar sambil memaklumkan bahawa muzium tersebut sedia untuk dibuka beberapa minggu lagi.


PELAWAT juga berpeluang melihat dengan lebih dekat pembikinan filem Bollywood.


Dalam pada itu, kurator projek turut berhadapan dengan pelbagai masalah apabila pawagam-pawagam lama di negara itu tidak memelihara filem-filem awal India.

Cetakan terakhir wayang gambar pertama India ialah filem Alam Ara namun, ia telah musnah dalam kebakaran pada tahun 2003.

"Banyak benda telah hilang. Kami hanya mempunyai satu peratus filem lama. Oleh itu, ini bukan muzium koleksi tetapi muzium maklumat, interaksi dan pendidikan melalui pengalaman," kata Gangar.

Selain itu, mengumpul memorabilia asal juga merupakan salah satu cabaran bagi muzium tersebut.

"Kami tidak dapat banyak namun memperoleh beberapa benda penting melalui derma dan pembelian.

"Kebanyakan benda di muzium sebelum ini milik simpanan peribadi pengumpul," kata Kumar sambil memaklumkan muzium tersebut sebagai rujukan ilmu.

Melalui panel skrin sentuh, para pelawat boleh melihat klip-klip video daripada filem senyap seperti Prem Sanyas (The Light of Asia, 1925) dan Prapancha Pash (Throw of Dice, 1929).

Antara gambar bergerak yang dipaparkan ialah Raja Harishchandra, filem India pertama yang dibawa ke layar perak di Mumbai pada 3 Mei 1913.

Filem tersebut adalah kisah daripada kitab epik Hindu Mahabharata yang menjadi hit walaupun watak wanitanya dilakonkan oleh lelaki kerana pada ketika itu lakonan kaum wanita tidak disukai.

Menurut Kumar, muzium tersebut akan mambawa pelawat menghayati perjalanan pawagam India bermula dari era prapawagam, era senyap tanpa lagu-lagu, sistem studio, gelombang baharu dan digital.

Tidak seperti di Hollywood yang bertapak di Los Angeles, istilah Bollywood berasal daripada nama samaran pusat terbesar industri filem Hindi di Mumbai yang sebelum ini dikenali sebagai Bombay.


MUZIUM Perfileman Negara India turut menawarkan pakej lawatan Bollywood kepada pelawat.


Projek

Kini, kebanyakan babak lakonan dilakukan dalam studio di kompleks Film City yang terletak di utara bandar raya tersebut atau di lokasi-lokasi sekitar yang menarik. Sementara itu, warisan seperti Studio Bombay Talkies terus dibiarkan kekal seperti sedia ada.

Sejak kebelakangan ini, beberapa lagi projek telah dilaksanakan bagi memeriahkan sejarah bandar tersebut.

Pada tahun 2012, pihak kerajaan telah membina Walk From Star di sebatang jalan berhampiran pesisir pantai seperti di Hollywood, Walk of Fame yang mempunyai cop tangan dan tandatangan ramai pelakon terkenal.

Namun di di India, artis Mumbai telah lama melukis mural gergasi poster filem klasik di dinding jalanan.

Ia seolah-olah menggambarkan pihak berkuasa kini telah mengiktiraf potensi Bollywood dalam menjana pendapatan pelancongan, bukan sahaja muzium malah melalui lawatan perfileman di bandar tersebut.

Pegawai pelancongan negeri Maharashtra baru-baru ini telah menawarkan pakej Bollywood Tour yang merangkumi lawatan ke Walk From Star dan lawatan ke studio serta galeri-galeri pakaian di bandar filem berkenaan.

Dengan pakej pelancongan kelas atasan berharga RM174, ia menawarkan pengalaman melihat secara lebih dekat babak berbalas tembakan di set yang dibantu oleh lampu, pemantul, kren dan solekan pada aktor-aktor.

Walaupun pelawat hanya berjumpa pelakon TV, namun sekiranya bernasib baik mereka berpeluang melihat kelibat pelakon popular Bollywood.

"Idea melakukan lawatan adalah untuk memberi gambaran bandar filem ini dan lokasi sekitarnya serta bagaimana filem Bollywood dihasilkan," kata Manoj Gursahani, pengerusi TravelMartIndia, organisasi yang bertanggungjawab menguruskan lawatan berkenaan. - AFP

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved