Kosmo Online - Varia |
Kerja amal Azmina untuk gelandangan Posted: Kerja amal Azmina untuk gelandangan
MEMEGANG gelaran gelandangan di kota raya Kuala Lumpur, Indera Abha meneruskan kehidupan dengan menjual barangan kitar semula. Oleh itu, penampilan dirinya langsung ditolak tepi dan tidak diambil kira. Namun, kerja amal seorang rakyat tempatan yang menawarkan potongan rambut secara percuma, di samping diberi makan sedikit sebanyak menceriakan Indera. "Saya suka apabila rambut saya dipotong. Saya rasa hebat. Tambahan pula, ia percuma," ujar lelaki berusia 49 tahun itu sambil tersenyum menampakkan giginya yang rongak. Helaian rambutnya yang nipis berselerak di atas tanah selepas digunting. Berbekal gunting di tangan, Azmina Burhan yang memiliki sebuah salun di Kuala Lumpur, secara sukarela bekerjasama dengan Pertubuhan Tindakan Wanita Islam (Pertiwi) melalui projek Pertiwi Soup Kitchen untuk menyediakan keperluan yang sering diabaikan oleh golongan gelandangan. "Bagi saya, penampilan seseorang itu sangat penting. Anda tentu mahu kelihatan menarik setiap hari apabila bangun tidur, tidak kira sama ada anda kaya atau miskin," ujar gadis periang berusia 26 tahun itu. Azmina menyertai program amal tersebut tidak lama selepas ia ditubuhkan pada tahun 2010 dengan membantu memberi makanan dan air beberapa kali seminggu kepada golongan gelandangan di sekitar Kuala Lumpur. Namun, selepas dua tahun, dia mendapati ratusan gelandangan yang tidak mampu mendapatkan perkhidmatan menggunting rambut, dia mula mengambil langkah seterusnya. Bulan berikutnya, Azmina membawa bersama set gunting, apron dan peralatan kecil untuk menjalankan tugasnya. Setiap kali menawarkan khidmat menggunting rambut, jumlahnya meningkat sehingga 30 orang dan kini semakin bertambah. "Selepas selesai menggunting rambut, anda akan kelihatan lebih baik dan mempunyai keyakinan diri," ujarnya sambil menambah, penampilan yang kemas membantu individu mendapatkan kerja. Bagi Azmina, tugas yang dijalankan itu memerlukannya mengendalikan benda-benda kotor dan rambut yang kusut. Paling teruk, dia pernah menggunting rambut seorang lelaki yang tidur di jalanan dan tidak pernah membasuh rambutnya selama sebulan menjadikan tangannya hitam berdebu. AZMINA ingin menghapuskan pemikiran stereotaip yang beranggapan golongan gelandangan berbau busuk dengan rambut yang dipenuhi kutu. Tolak persepsi Namun, wanita ini tidak pernah menolak sesiapa yang datang untuk mendapatkan khidmatnya. Malah, Azmina menegaskan, imej gelandangan dengan badan berbau atau rambut dipenuhi kutu adalah salah dan ia merupakan stereotaip yang ingin dihapuskan melalui kerja amalnya itu. Hakikatnya, 'pelanggan' Azmina boleh menjadi seorang yang trendy terutamanya dalam kalangan anak muda. Menurutnya, permintaan golongan tersebut termasuk gaya potongan rambut seperti bintang bola sepak England, David Beckham serta ikon pop Korea dan Jepun. Taraf hidup di Malaysia telah berubah dengan mantap hasil perkembangan ekonomi yang kukuh sejak berdekad lalu. Tetapi negara kuasa ekonomi ketiga terbesar di Asia Tenggara ini tidak terkecuali berdepan masalah kemelaratan hidup dan jurang pendapatan yang semakin melebar. Menurut Pertiwi, Kuala Lumpur dan kawasan sekitarnya dianggarkan mempunyai kira-kira 1,800 individu gelandangan. Permintaan agensi berita AFP untuk mendapatkan angka rasmi golongan tersebut tidak mendapat maklum balas daripada pihak berwajib. Pertiwi juga memberi makan sehingga 700 orang gelandangan empat kali seminggu melalui penghantaran van di beberapa kawasan sekitar Kuala Lumpur. Sukarelawan perubatan turut menyediakan pemeriksaan dan ubat-ubatan kepada mereka yang memerlukan. "Saya tidak menyangka ia akan menjadi begini besar," kata Pengasas Pertiwi, Munirah Abdul Hamid yang menegaskan jumlah golongan yang memerlukan itu semakin meningkat. Kini, Azmina mencari pendandan rambut sebagai sukarelawan untuk memenuhi permintaan golongan gelandangan seperti Paul Chin yang tinggal di jalanan selepas kehilangan pekerjaan di sebuah pusat cucian kereta beberapa bulan lalu. "Ia amat menjengkelkan," tutur Chin malu-malu dengan keadaan rambutnya yang beruban sambil Azmina mula melakukan tugasannya. Namun apabila wanita itu menyudahkan tugas beliau, Chin berkata: "Saya rasa lebih baik." - AFP | |
Posted: Sajian urban KoreaOleh KHADIJAH MOHAMAD NOR NIKMATI keenakan sajian urban Korea di Dubu-Dubu. TAMPIL dengan suasana restoran yang segar dan kontemporari, Restoran Dubu-Dubu di pusat beli-belah Mid Valley, Kuala Lumpur menawarkan seleksi kuisin urban Korea untuk dinikmati para pelanggan. Lebih istimewa, sempena meraikan ulang tahun kedua restoran itu di Malaysia, satu peraduan khas turut dianjurkan. Hadiah utama yang ditawarkan ialah pakej pelancongan ke Korea untuk dua orang yang bernilai lebih RM7,000. Selain itu, hadiah berupa televisyen diod pemancar cahaya (LED) dan tablet Samsung turut diberi kepada pemenang kedua dan ketiga peraduan yang berlangsung selama sebulan bermula 1 hingga 31 Januari ini. Pengarah Eksekutif CRDubu Malaysia Sdn. Bhd., Wong Kah Yong berkata, peraduan itu dianjurkan sebagai tanda penghargaan untuk pelanggan yang sentiasa memberi sokongan terhadap Dubu-Dubu. "Tanpa sokongan mereka, tidak mungkin kami mencapai kejayaan seperti hari ini. Justeru, dengan adanya peraduan ini, ia akan meningkatkan lagi keyakinan pelanggan terhadap kami," ujar Kah Wong ketika ditemui cawangan Dubu-Dubu Mid Valley baru-baru ini. Antara menu signatur di restoran tersebut ialah Soondubu Jigae. Ia merupakan hidangan campuran daging atau makanan laut dengan tauhu lembut yang dimasak berkuah. Disajikan panas, hidangan itu membangkitkan selera pelanggan. Sajian itu boleh dinikmati bersama tiga hidangan sampingan atau banchan dalam bahasa Korea seperti kimchi, sayur dan makaroni. Set hidangan ini hanya berharga RM12.90. Selain itu, menu terbaharu Dubu-Dubu menampilkan Dak Galbi iaitu campuran ayam, brokoli dan kobis yang digoreng bersama topokki (kek nasi). Untuk set hidangan, ia ditawarkan pada harga RM14.90 manakala ala carte (RM12.90). Mi pedas Ramyeon, kepak ayam bersalut madu dan sos mustard antara menu yang wajib dicuba terutamanya bagi anda yang pertama kali ke restoran ini. Menurut Kah Yong, sejak ditubuhkan dua tahun lalu, Restoran Dubu-Dubu telah mempunyai lima cawangan di sekitar Lembah Klang iaitu di pusat beli-belah 1Utama dan Sunway Pyramid, Petaling Jaya; Berjaya Times Square Kuala Lumpur dan Centro Mall, Klang. "Kami menyasarkan untuk meluaskan lagi perniagaan Dubu-Dubu ke seluruh negara dalam tempoh lima tahun akan datang," jelasnya. | |
Posted: Kegilaan terhadap kerjaGOLONGAN yang mempunyai ketagihan kerja positif biasanya akan menyiapkan tugas di pejabat tanpa membawanya pulang ke rumah. KUAT bekerja merupakan istilah yang selalu disebut orang dan selalu dikaitkan dengan rahsia kejayaan seseorang. Bagaimanapun, kita jangan terperangkap dengan istilah ini kerana sikap tersebut tidak selalunya memberi kesan positif. Istilah karoshi iaitu kematian yang disebabkan terlebih bekerja dan karo-jisato membunuh diri disebabkan tidak mampu menanggung beban kerja seperti yang berlaku di Jepun mungkin sesuatu yang asing dalam budaya kita. Namun, harus diingat, kita mungkin sudah termasuk dalam kelompok mereka yang bekerja lebih daripada apa yang sepatutnya. Walaupun jumlah masa bekerja yang ideal ialah 40 jam seminggu, tetapi di kebanyakan negara Asia termasuk Malaysia, sebahagian besar pekerja menghabiskan lebih 60 jam seminggu. Di bandar-bandar besar seperti Kuala Lumpur dan Pulau Pinang, jalan raya sentiasa sesak dengan orang ramai yang pulang bekerja dan lampu-lampu di sesetengah pejabat masih menyala seperti biasa. Semua ini seolah-olahnya memberikan kita isyarat betapa ramai orang sudah menjadi hamba kepada pekerjaan. Ahli psikologi cuba menerangkan kegilaan bekerja ini dengan istilah workaholic atau ketagihan kerja. Seseorang itu dikatakan workaholic apabila menyumbangkan tenaganya lebih daripada apa yang diharapkan oleh organisasi atau keperluan ekonominya. Mereka yang ketagihan bekerja ini juga adakalanya sanggup menghabiskan masa di tempat kerja. Selain itu, seseorang itu dikatakan sebagai workaholic apabila berlebihan memikirkan mengenai pekerjaannya, sekali pun ketika di luar waktu bekerja atau bercuti. SETIAP pekerja bertanggungjawab melaksanakan tugas yang diamanahkan majikan sebaik mungkin. - Gambar hiasan Tertipu Sekiranya perasaan kerja masih terbawa-bawa ketika di luar waktu bekerja dan anda sanggup untuk melebihkan pekerjaan, sekali pun tatkala berhadapan dengan perkara yang lebih penting, ia berkemungkinan menunjukkan anda telah tertipu dengan istilah 'kuat bekerja'. Sebab itulah, ahli psikologi cuba menerangkan perbezaan antara amalan kuat bekerja yang positif dengan ketagihan bekerja negatif. Mereka yang mempunyai ketagihan kerja yang positif dikatakan begitu teruja dan asyik dengan pekerjaan mereka. Mereka akan cuba menyiapkan tugas mereka sebaik mungkin ketika waktu kerja, tetapi akan melupakannya apabila pulang ke rumah. Ia diistilahkan sebagai job engagement atau ketekunan bekerja. Golongan ini dikatakan sebagai lebih produktif dan berjaya. Sebaliknya, mereka yang ketagihan kerja pula sanggup melakukan apa sahaja untuk menyiapkan kerja sekali pun di luar waktu bekerja. Ini kerana bagi mereka pejabat sudah menjadi rumah kedua mereka. Mereka tidak kisah jika perlu pulang lambat atau datang kerja pada hari cuti. Sekiranya mereka perlu membawa pulang kerja ke rumah, ia tidak dianggap sebagai sesuatu yang janggal. Lebih teruk, sekiranya mereka tidak mempunyai tugas untuk disiapkan, mereka akan mencipta kesibukan bagi mendapatkan kepuasan. Gangguan kesihatan Semua ini adalah simptom ketagihan bekerja dan kita perlu berhati-hati dengannya. Kajian-kajian yang dilakukan setakat ini menunjukkan bahawa mereka yang mengalami sindrom workaholic ini mengalami pelbagai gangguan kesihatan seperti hipertensi, diabetes, masalah tidur dan berpotensi untuk diserang penyakit jantung. Sebagai manusia, kita perlu menginsafi bahawa kehidupan kita ini bukan sekadar untuk mendapatkan kejayaan dalam dunia kerjaya. Kita juga perlu membahagikan masa yang ada untuk keluarga dan masyarakat. Sebagai pekerja yang berjaya kita sepatutnya mampu menguruskan kesibukan bekerja dengan cara yang sewajarnya. WAKTU bercuti bersama keluarga seharusnya dimanfaatkan sepenuhnya tanpa memikirkan urusan kerja. - Gambar hiasan Antara yang boleh dilakukan ialah sekiranya kita tidak mampu melakukan sesuatu tugas disebabkan beban kerja yang keterlaluan, ada baiknya berbincang terlebih dahulu dengan majikan. Harus diingat, sebagai manusia kita mempunyai batas tertentu. Kita tidak mampu melakukan semua perkara pada satu-satu masa yang sama. Masalah lain yang sering berlaku ialah ada pekerja yang membiasakan dirinya untuk melengah-lengahkan pekerjaan. Ini menjadikan sesuatu pekerjaan yang sepatutnya boleh disiapkan lebih awal, telah dicampurkan dengan tugasan yang baharu. Ia secara tidak langsung telah menjadikan pekerjaan yang sepatutnya sedikit, telah menjadi berganda. Walaupun individu sebegini seperti seorang yang sangat sibuk dan rajin, hakikatnya mereka mungkin tidak seperti yang digambarkan. Mereka mungkin individu yang gagal menguruskan pekerjaannya dengan baik. Dalam dunia serba mencabar dengan kos sara hidup yang semakin tinggi, kita mungkin tidak boleh mengelak daripada tidak bekerja. Tetapi, kita boleh mengelak daripada menjadi manusia yang ketagih bekerja. Ingatlah, ketika kita sakit atau tidak mampu melakukan kerja, kita akhirnya dianggap sebagai manusia yang tidak lagi mempunyai harga. Sehubungan itu, tidak salah bekerja kuat tetapi biarlah berpada-pada. Jangan membiarkan diri tertipu dengan permainan istilah kuat bekerja. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Varia To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan