Khamis, 9 Januari 2014

Kosmo Online - Hiburan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Hiburan


Status bukan halangan

Posted:

Status bukan halangan

Status bukan halangan

MEMILIKI kecantikan dan berbakat besar sebagai seorang pelakon, Amyra Rosly boleh dikatakan cukup bertuah kerana sudah mula berjaya menempatkan diri sebaris dengan pendatang baharu yang sedang meningkat naik.

Sejak membintangi drama bersiri Jodoh yang ditayangkan di saluran Astro Ria pada tahun lalu, ia telah membuka mata ramai pihak dan rezekinya kini dalam dunia lakonan semakin luas.

Bagaimanapun, sewaktu namanya memanjat tangga populariti dalam bidang yang diceburinya, pelakon yang baru menjangkau usia 22 tahun itu mengambil keputusan untuk bertunang.

Menariknya, lelaki yang menjadi pilihan hatinya itu adalah seorang pelakon yang juga kini sedang meningkat naik, Dazrin Kamaruddin yang mula dikenali menerusi drama bersiri Adam Dan Hawa.

Dalam satu sesi fotografi yang diaturkan bersama pelakon tersebut baru-baru ini, Amyra ditanya tentang keputusannya itu memandangkan dia baru sahaja mula dikenali ramai.

"Sebelum membuat keputusan, saya mengambil masa memikirkannya tetapi apabila memikirkan ia kebaikan untuk masa hadapan, akhirnya saya nekad dengan keputusan untuk bertunang," jelas anak sulung daripada empat orang adik-beradik itu.

Ketika ditanya tentang penerimaan peminat memandangkan dia baru sahaja mencipta nama, pemilik nama sebenar, Nur Amira Izzati Rosli itu menyatakan, peminat sekarang tidak lagi memandang status, sebaliknya lebih menilai kepada bakat seseorang pelakon.

Ujarnya, status sebagai tunangan orang juga langsung tidak menjadi halangan untuk dia terus mengembangkan kerjaya lakonannya, malah rezekinya sekarang ini semakin bertambah sejak mengikat tali pertunangan.

"Hubungan saya dan Dazrin mula rapat sejak sama-sama membintangi drama bersiri Jodoh. Padahal, sebenarnya kami sudah saling mengenali sejak tiga tahun lalu ketika sama-sama berlakon dalam filem Apokalips.

"Selepas menjalinkan hubungan serius selama enam bulan, akhirnya kami mengambil keputusan untuk bertunang.

AMYRA ROSLI mengakui gementar pertama kali bergandingan dengan Remy Ishak menerusi drama bersiri, Ku Cinta Kau Seorang.


"Saya memilihnya kerana dia ada ciri-ciri yang saya suka dan seorang lelaki yang bertanggungjawab," jelas Amyra yang masih belum menetapkan tarikh perkahwinannya.

Apabila diminta komennya terhadap pandangan sinis segelintir pihak yang mendakwa dia menumpang populariti Dazrin memandangkan tunangnya itu terlebih dahulu mencipta nama, Amyra merasakan dakwaan sedemikian tidak menjadi beban buat dirinya.

"Kalau saya dikatakan menumpang populariti Dazrin, seharusnya ia bukan menjadi satu masalah yang besar.

"Namun begitu, saya percaya segala yang dikecapi sekarang ini adalah hasil usaha keras yang saya lakukan sejak setahun lalu tanpa menumpang populariti sesiapa," ujarnya.

Memandangkan kedua-duanya terbabit dalam bidang yang sama, Amyra menyatakan yang dia atau Dazrin tidak keberatan untuk berlakon bersama dan merasakan berlakon dengan tunang sendiri lebih mudah.

Profesional

Apabila mengambil keputusan untuk meneruskan kerjaya lakonan secara serius, Amyra memberitahu, dia sangat beruntung kerana keluarga banyak menyokong dan menjadi tulang belakang terhadap pencapaian yang diraihnya sekarang.

Menurut Amyra, setakat ini perjalanan kariernya sebagai seorang pelakon tidak menimbulkan sebarang masalah yang besar kerana segalanya diuruskan sendiri oleh ibunya, Noor Zaridah Ahmad.

"Sebelum ini, ibu sudah mempunyai pengalaman yang cukup luas sebagai pegawai perhubungan awam di sebuah syarikat rakaman tetapi kini ibu bertindak sebagai pengurus saya sepenuh masa.

"Ibu merupakan individu yang paling banyak membantu saya dari semua sudut berdasarkan pengalaman yang beliau miliki.

"Jadi, tidak ada masalah buatnya untuk menguruskan kerjaya seni saya," jelas pelakon yang berasal dari Kuala Lumpur itu.

Biarpun mempunyai ikatan hubungan antara ibu dan anak, pelakon tersebut menyatakan, dari segi kerja masing- masing bertindak secara profesional dan dia bersedia menerima sebarang teguran yang diberikan oleh ibunya.

"Apabila diuruskan oleh ibu sendiri saya tidaklah rasa terikat sangat dan menjadi lebih selesa. Lagipun kalau ada sebarang perkara yang berbangkit, kami selalu berbincang bersama," luahnya.

AMYRA bergelar tunangan Dazrin selepas menjalinkan hubungan serius selama enam bulan.


Gementar

Menceritakan tentang aktiviti lakonan terbaharunya, Amyra berkata, ketika ini dua drama bersiri lakonannya sedang ditayangkan di TV3 iaitu Ku Cinta Kau Seorang sejak 19 November lalu serta Kalimah Jiwa yang baru sahaja ditayangkan pada 1 Januari.

Menariknya, dalam drama bersiri Ku Cinta Kau Seorang yang ditayangkan setiap hari Selasa pada pukul 9 malam itu, dia diganding- kan dengan pelakon hebat iaitu Remy Ishak, Ruminah Sidek, Faradhiya dan Zack X-Factor.

"Ketika mula mendapat tawaran membintangi drama bersiri itu, saya berasa agak terkejut kerana diberi watak utama sebagai Batrisya.

Tambahan pula, saya digandingkan dengan Remy Ishak sehingga membuatkan saya berasa gementar.

"Namun begitu, perasaan tersebut hilang sepanjang menjalani penggambaran dan rasa seronok pula dengan peluang yang diberikan.

Biarpun saya dilabel sebagai pelakon baharu tetapi pelakon yang lebih senior banyak membantu dan kami bekerja sebagai satu pasukan," ujarnya.

Jelas Amyra, penampilannya dalam drama bersiri itu turut mendapat maklum balas yang positif daripada penonton dan ia telah memberikannya satu kekuatan untuk tampil dengan lebih baik.

Selain itu, dalam Kalimah Jiwa yang ditayangkan setiap hari Isnin hingga Khamis pada pukul 4 petang, Amyra berlakon di samping pelakon muda lain seperti Nazim Othman, Nabila Dally, Amar Bahrin dan Raja Ilya.

Memandangkan namanya yang kini semakin kukuh apabila ramai pihak sudah melihat kemampuannya dalam bidang lakonan, namun ia bukanlah bermakna dia kini sudah mula bertindak selektif dalam memilih sesebuah tawaran.

"Saya tidak kisah kalau diminta membawakan apa sahaja watak, asalkan saya tidak disuruh berpakaian yang mendedahkan atau membabitkan sentuhan yang melampau dengan lelaki.

"Misalnya, kalau diberikan watak seorang pelacur tidak bermakna saya perlu berpakaian terlalu seksi. Semuanya boleh dilakukan menerusi perbincangan antara pelakon dan pengarah serta ada batas yang tertentu," jelasnya.

Empat finalis PU sedia berentap

Posted:

Empat finalis PU sedia berentap

Empat finalis PU sedia berentap

Oleh FATEN SAPHILLA MOHAMED ISA


FINALIS Pencetus Ummah (dari kiri), Rahmat, Hafiz, Shahul dan Yeop yang bakal bersaing sesama sendiri bagi merebut gelaran juara.


BERSAING selama tujuh minggu melalui program realiti TV Islamik, Pencetus Ummah (PU), empat peserta yang berjaya ke peringkat akhir kini sudah bersedia mendepani dua tugasan peringkat akhir program yang bakal disiarkan pada hari ini, pukul 9 malam di Astro Oasis (saluran 106) serta tayangan serentak di Maya HD (saluran 135).

Dua cabaran yang bakal diharungi empat finalis Pencetus Ummah iaitu dikenali PU Rahmat, PU Yeop, PU Shahul dan PU Hafiz adalah merujuk kepada dua tajuk yang diberikan juri iaitu Cinta Rasul dan juga empat tajuk tugasan yang diperoleh peserta melalui cabutan undian.

Bersyukur kerana terpilih untuk bertanding ke peringkat akhir daripada 12 peserta, menurut PU Hafiz atau nama sebenarnya Muhammad Hafiz Mohd. Haneefa, dia mendapat tajuk Pendakwah Untung Dunia dan Akhirat serta tajuk Cinta Rasul yang diberikan kepada keempat-empat peserta akhir.

"Untuk tajuk Cinta Rasul, saya akan bercerita mengenai pengalaman duduk di Madinah selama empat tahun. Saya akan tonjolkan sesuatu yang luar biasa seperti jasad Nabi Muhammad yang terdapat di sana," ungkap peserta berusia 32 tahun berasal dari Klang, Selangor itu.

Bertugas sebagai pensyarah Qiraati dan merupakan Naib Presiden Akademik di Kolej Hafiz, Klang, Hafiz juga akan bercerita mengenai Bukit Uhud yang menjadi saksi kepada peperangan paling dahsyat dalam sejarah agama Islam.

Shahul gementar

Sementara itu, bagi Shahul atau nama sebenarnya Shahrul Hameed M.P.H. Seeni Md., biarpun dia mempunyai lebih banyak pengalaman dakwah daripada tiga lagi peserta, namun dia mengakui tidak mudah untuk mengalahkan ketiga-tiga peserta lain kerana semua mempunyai kelebihan masing-masing.

"Dalam pertandingan, lain cabarannya. Mungkin dari segi isi saya tidak ada masalah sebab ada kitab sebagai rujukan tetapi dari segi penyampaian kita tidak tahu apa kehendak masyarakat dan juga juri," ujarnya jujur.

Sedikit lega kerana pada peringkat akhir Shahul mulai nampak apa yang dikehendaki oleh juri. Bagaimanapun, peserta berusia 38 tahun itu sedikit gementar dengan tajuk yang diperoleh menerusi undian iaitu Ibu Bapa Hebat, Anak Keparat dan juga masa singkat yang diberi.

Namun begitu, melalui tajuk kedua iaitu Cinta Rasul, Shahul yang juga merupakan jurusan Sarjana Hadith (Al-Quran dan Sunnah) dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu akan mengangkat kisah keunggulan dan kehebatan Nabi Muhammad dari sudut yang belum pernah diketahui masyarakat.

"Sebenarnya isi untuk Cinta Rasul itu saya sudah ada lama tetapi untuk tugasan lagi satu iaitu Ibu Bapa Hebat, Anak Keparat itu sedikit sukar. Sebabnya, saya sudah dapat tajuk yang lebih kurang sama seperti ini sebelum ini.

"Saya juga risau dari segi masa yang diberi. Biasa mengajar atau beri ceramah selama tiga jam. Untuk tugasan ini saya cuma diberi masa selama tiga minit," luahnya yang mempunyai pengalaman mengajar agama selama 15 tahun.

Mengulas lebih lanjut mengenai tugasan akhir yang bakal dilunaskan, peserta yang terkenal dengan dakwah humor iaitu Mohd. Zinudin Mohamed Zaini atau PU Yeop memberitahu dia akan memfokuskan mengenai Rasulullah menggembala kambing ketika di usia kanak-kanak untuk tugasan kedua iaitu Cinta Rasul.

"Saya lebih selesa mengangkat kisah Nabi ketika kecil. Sebabnya, sebelum ini saya sentiasa beri ceramah mengenai kisah tersebut. Saya juga akan selitkan sedikit humor ke dalam cerita tersebut," jelasnya yang memberitahu akan tampil cerita yang lebih menghiburkan di akhir Pencetus Ummah nanti.

Yeop yang mempunyai pengalaman selama hampir lima tahun sebagai tenaga pengajar kursus praperkahwinan di Jabatan Agama Islam Perak menegaskan, tugasan yang diperoleh menerusi undian pula adalah bertajuk Kenapa Doa Aku Tidak Makbul.

Pengisian eksklusif Rahmat

Peserta akhir yang berjaya melangkah kaki ke peringkat akhir Pencetus Ummah yang juga merupakan peserta paling popular dalam kalangan penonton iaitu PU Rahmat pula mendedahkan dia akan cuba tampilkan pengisian dakwah secara eksklusif melalui tajuk yang diperoleh iaitu Mencari Cinta Kekasih Sehingga Lupa Cinta Maha Pengasih.

"Saya sedar cabaran dari segi ilmu dan kematangan saya sangat berbeza daripada peserta-peserta lain. Disebabkan itu, saya akan cuba tampilkan pengisian lebih eksklusif seperti yang ditampilkan oleh penceramah dari Eropah," ulas peserta berusia 20 tahun itu.

Sedar ilmu agama sedikit kurang berbanding tiga peserta lain, pelajar jurusan Sains Persekitaran di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu menyusun strategi untuk menarik perhatian pengundi melalui laman sosial Facebook.

Bagaimanapun, peserta berasal dari Segambut, Kuala Lumpur itu juga tidak membelakangkan para juri yang memberi markah 70 peratus daripada 100 peratus itu.

Pencetus Ummah menggunakan sistem pemarkahan iaitu sebanyak 70 peratus undian juri manakala 30 peratus pula melalui undian penonton.

Program realiti Islamik terbaharu di Astro Oasis yang membawa para peserta menggunakan pelbagai cara kreatif dalam menyampaikan dakwah itu mula ditayangkan pada 21 November lalu.

Seramai 12 orang peserta telah dipilih dan empat orang yang berjaya melangkah kaki ke peringkat akhir. Peserta yang tidak berjaya ialah PU Thowi, PU Fakhrul, PU Razi, PU Fidz, PU Hissam, PU Izzat, PU Sufian dan PU Salman.

Juara Pencetus Ummah bakal memenangi hadiah utama iaitu wang tunai RM50,000 dan sebuah kereta. Naib juara pula akan menerima wang tunai RM30,000 manakala tempat ketiga dan keempat bakal membawa pulang wang sagu hati RM10,000 setiap seorang.

Sangkaan yang meleset

Posted:

Sangkaan yang meleset

Sangkaan yang meleset

PADA usia yang sudah mencecah 46 tahun, Rosyam masih mampu melakonkan watak aksi dengan baik.


BERDASARKAN jumlah lambakan filem-filem bercorak aksi, terutamanya membabitkan gengsterisme yang menjadi pilihan ramai penerbit, filem Balistik yang mula ditayangkan di pawagam hari ini ternyata memberikan kelainan kepada peminat filem bercorak sedemikian.

Membariskan beberapa pelakon hebat seperti Datuk Rosyam Nor, Adi Putra dan Rita Rudaini sebagai tunjang utama, filem terbitan RK Screen Sdn. Bhd. yang diarahkan Silver Yee dengan kos sebanyak RM2.5 juta itu tidak menghampakan.

Mungkin ramai yang menyangka Balistik adalah sebuah filem tentang perseteruan antara kongsi gelap serta membabitkan banyak aksi pergaduhan tetapi sangkaan untuk nyata meleset apabila menontonnya.

Sesuai dengan judulnya, Balistik yang bermaksud kelajuan peluru, filem ini sebenarnya lebih sarat dengan adegan tembak-menembak berbanding babak pergaduhan yang sudah kerap ditampilkan dalam kebanyakan filem aksi lain.

Tidak hairan apabila produksi berkenaan memperuntukkan kos sebanyak RM45,000 untuk senjata api serta 1,000 butir peluru bagi menjayakan kira-kira 30 peratus adegan tembak-menembak yang dipaparkan dalam filem ini.

Balistik yang merupakan filem sulung terbitan RK Screen dengan kerjasama Asia Tropical Films Sdn. Bhd. (ATF) mengisahkan tentang Saga lakonan Rosyam sebagai pembunuhan upahan yang terpaksa berpisah dengan isterinya, Salina (Rita) lantaran pekerjaannya itu.

Bagaimanapun, Saga mengambil keputusan membawa anak mereka iaitu Rykarl (Rykarl Iskandar) dan dibesarkan tanpa kasih sayang seorang ibu. Enam tahun kemudian, Salina kembali muncul dalam kehidupan Saga dan Rykarl apabila ketiga-tiganya terserempak dalam satu insiden.

Konflik bertambah menarik apabila Salina yang ditinggalkan oleh suaminya berkahwin pula dengan Nizam, seorang anggota polis yang juga rakan baik Saga ketika mereka dibesarkan bersama-sama di rumah anak yatim sewaktu kecil.


ADI dan Rita berlakon sebagai pasangan suami isteri.


Ternyata, situasi tersebut mewujudkan sengketa antara Saga dan Nizam yang bukan sahaja disebabkan kerana seorang wanita, malah Nizam turut terikat dengan komitmen dan tanggungjawabnya untuk memantau kegiatan yang dilakukan oleh rakan baiknya itu.

Diakui filem bercorak sebegini memang sudah kerap dihasilkan dan tidak adil rasanya kalau hendak dibandingkan dengan filem aksi Hollywood tetapi kekuatan filem ini terletak pada jalan ceritanya yang digarap dengan kemas oleh Silver agar mudah difahami penonton.

Tidak dinafikan unsur gengsterisme masih diterapkan, cuma penonton tidak seharusnya melihat Balistik sebagai sebuah filem aksi semata-mata memandangkan ia lebih menitikberatkan elemen drama dalam penceritaannya.

Itulah kelainan yang cuba ditampilkan Silver bagi menunjukkan perbezaan dengan kebanyakan filem aksi tempatan yang lebih kerap menumpukan kepada babak aksi sebagai tunjang kekuatan jalan cerita. Dalam filem Balistik, penonton dibuai dengan permainan emosi yang membabitkan ikatan kekeluargaan dan persahabatan.

Apa yang lebih penting, penonton perlu fokus terhadap setiap babak kerana di pengakhiran cerita, semua rahsia yang tersimpan rapi bakal terjawab, termasuk identiti sebenar Saga dan pengarah cukup bijak memainkan elemen kejutan dalam filem ini.

Kalau dinilai dari segi daya lakonan pula, Rosyam berhasil memberikan lakonan yang sangat baik dan berjaya lari daripada karakter yang ditampilkan dalam filem aksi lakonannya sebelum ini seperti Castello dan KL Gangster 2.

Siapa sangka, dalam usianya yang sudah mencecah 46 tahun, Rosyam masih mampu membawakan watak yang memerlukan kekuatan fizikal.

Begitu juga dengan pemilihan Adi Putra yang membawakan watak seorang pegawai polis telah dilakonkan cukup memberi impak tersendiri, biarpun dia lebih dikenali membawakan watak antagonis seperti dalam filem Haq atau KL Gangster.

Selain itu, mempertaruhkan beberapa pelakon Cina tempatan seperti Jack Lim dan Gan Mei Yan merupakan satu pendekatan tersendiri yang cuba dilakukan dan dapat menarik penonton bukan Melayu. - RONI HIDAYAT RIDWAN

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved