Kosmo Online - Sukan |
Troussier ke Malaysia atau Tunisia? Posted: Troussier ke Malaysia atau Tunisia?Oleh AHMAD FAZLI MOHD. YADI
SPEKULASI jurulatih baharu Harimau Malaya semakin hangat apabila Persatuan Bola Sepak Tunisia (FTF) dilaporkan bakal melamar bekas jurulatih Jepun, Phillipe Troussier. Troussier sebelum ini telah dikaitkan dengan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bagi menggantikan bekas pengendali Harimau Malaya, Datuk K. Rajagobal. Kosmo! kelmarin melaporkan, FAM sudah bersedia untuk mengumumkan calon pilihan untuk menggantikan Rajagobal bulan depan. Kontrak Rajagobal selaku jurulatih Harimau Malaya berakhir pada 31 Disember lalu. Begitupun, usaha FTF jelas dilihat memberikan tamparan kepada FAM dalam usaha menagih sentuhan pengendali kelahiran Perancis itu yang berjaya membimbing pasukan Jepun mara ke pusingan kalah mati kempen Piala Dunia 2002. Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin kekal dengan pendirian 'kunci mulut' dan tetap enggan mengulas mengenai calon jurulatih baharu Harimau Malaya. "Saya tidak mahu ulas lebih lanjut (mengenai tawaran FTF yang berminat untuk mendapatkan khidmat Troussier). "Kita tunggu dan lihat sahaja. Seperti yang saya janjikan semalam (kelmarin), FAM akan mengumumkan jurulatih baharu skuad kebangsaan selewat-lewatnya pada Februari depan," katanya. Troussier yang juga dikenali sebagai 'Doktor Bomoh Putih' di Eropah, pernah mengendali tujuh pasukan kebangsaan bermula dengan Ivory Coast, Nigeria, Burkina Faso, Afrika Selatan, Jepun, Qatar dan Maghribi. Tunisia kini terdesak untuk mencari jurulatih baharu dalam usaha mempersiapkan pasukan menjelang aksi kelayakan Piala Negara-Negara Afrika yang akan bermula pada September depan. Selain Troussier, FAM turut dikaitkan dengan bekas jurulatih Singapura, Radojko Avramovic; jurulatih Sarawak; Robert Alberts; bekas jurulatih Liverpool, Alex Miller; bekas pemain Chelsea, Marcel Desailly dan pengendali Harimau Muda A, Datuk Ong Kim Swee. Buat sementara ini, Kim Swee ditugaskan menjadi pengendali sementara Harimau Malaya. Skuad Harimau Malaya masih memiliki baki satu perlawanan kelayakan Piala Asia 2015 menentang Yemen pada Mac depan. | |
Posted: Felda United dijana oleh PumaANDRADE (kanan) bersama Fuad (kiri) pada majlis penyerahaan jersi Puma untuk skuad Felda United di ibu negara semalam. FELDA United akan dijana oleh Puma pada saingan Liga Malaysia (Liga M) musim 2014 yang bakal membuka tirainya minggu depan. Puma akan tampil selaku penaja Felda United untuk selama tiga musim sehingga 2016. Dengan penajaan tersebut, Felda United akan tampil dengan jenama Puma dalam saingan Liga Premier sekali gus mengikut jejak juara Piala Malaysia 2013, Pahang yang turut dijana oleh syarikat pengeluar barangan sukan berkualiti itu. Ketika mengulas mengenai penajaan tersebut, Pengarah Urusan Puma bagi rantau Asia Tenggara, Miguel Andrade menjelaskan bahawa pihaknya memiliki keyakinan yang tinggi terhadap skuad Felda United yang dilihat mampu memberi saingan kepada pasukan-pasukan elit dalam saingan Liga Premier musim ini. "Kami sentiasa meletakkan tahap kualiti yang tinggi sebagai penanda aras kami dan Felda United sememangnya memiliki segala ramuan untuk membuktikan kemampuan untuk melayakkan diri ke Liga Super musim depan. "Secara peribadi, saya merasakan bahawa anda adalah duta terbaik bagi jenama kami dalam Liga Premier," kata Andrade pada majlis pengumuman penajaan perjanjian dengan Felda United di Kuala Lumpur semalam. Seiring dengan aspirasi jangka panjang Puma untuk menjadi kuasa dominan dalam acara sukan berpasukan, Andrade menambah bahawa ia memang menjadi harapannya untuk melihat Felda United kembali bersaing pada pentas tertinggi. Majlis semalam turut disaksikan Pengarah Bahagian Sukan Felda, Datuk Ahmad Fuad, Ketua Pemasaran Puma Malaysia, Gabriel Yap serta para pegawai, jurulatih dan pemain Felda United. Dalam kenyataan ringkasnya, Ahmad Fuad merakamkan penghargaan kepada Puma atas keyakinan yang diletakkan terhadap pasukan Felda United. Menurutnya, penajaan tersebut pastinya akan membantu meningkatkan motivasi para pemain dan pasukan untuk menampilkan persembahan terbaik pada saingan Liga Premier nanti. "Kami melalui musim yang sukar tahun lalu, namun kami yakin nasib kami akan berubah tahun ini dengan sokongan Puma sekali gus meningkatkan gaya persembahan kami musim ini," tambah Ahmad Fuad. Pada majlis tersebut, Ahmad Fuad juga mengumumkan bahawa Datuk Jamaludin Ahmad dilantik sebagai pengurus pasukan Felda United manakala bekas pengendali Selangor, Irfan Bakti Abu Salim akan menggalas tugas sebagai jurulatih dan dibantu oleh Azuan Zain. Pada musim ini, Felda United yang membuat kemunculan pertama dalam Liga M pada tahun 2007, akan menjadikan Stadium MBPJ di Kelana Jaya sebagai gelanggang sendiri. | |
Posted: Chong Wei hampiri final Oleh MOHD. IKHSAN FIRDAUS AZMI PEMAIN No. 1 dunia, Datuk Lee Chong Wei muncul selaku satu-satunya wakil negara yang mara ke pusingan separuh akhir Kejohanan Badminton Siri Super Terbuka Korea 2014 selepas menewaskan Du Pengyu dari China 21-9, 21-12 di Seoul, Korea Selatan semalam. Satu lagi wakil negara, Goh V Shem-Lim Khim Wah bagaimanapun terkandas pada aksi suku akhir apabila tumpas kepada pilihan utama kejohanan, Mathias Boe-Carsten Mogensen dari Denmark 10-21, 9-21. Chong Wei ternyata masih berada dalam kelas tersendiri sepanjang kejohanan itu apabila tampil dengan penuh aksi konsisten untuk mencatatkan satu lagi kemenangan straight set. Lebih menarik, kemenangan itu menyaksikan pemain berusia 31 tahun itu masih sukar digugat selepas kejayaannya memenangi Terbuka Hong Kong 2013 (November) dan Siri Super Masters Akhir di Kuala Lumpur pada Disember lalu. Ketika menentang pemain No. 7 dunia itu semalam, Chong Wei mudah menguasai set pertama, namun turut diuji pada awal set kedua sebelum meninggalkan Pengyu dengan kelebihan sembilan mata sekali gus mengesahkan kemenangan dalam tempoh 35 minit. Jurulatih perseorangan negara, Rashid Sidek turut mengakui, juara bertahan itu tidak menghadapi kesukaran pada aksi suku akhir semalam. "Perlawanan agak mudah. Hari ini (semalam), lawannya tidak boleh bermain rali dengan Chong Wei dan dia juga sukar untuk mematikan pukulan itu. "Chong Wei bermain dengan lebih pantas. Anda tengok kepada keputusan itu pun sudah tahu, jadi buat masa ini ia agak mudah bagi dia, dan (Chong Wei) nampak masih cergas," kata Rashid ketika mengulas mengenai perlawanan tersebut. Juara edisi 2010, 2012 dan 2013 itu akan bertemu pemain Jepun, Kenichi Tago iaitu pemain yang pernah menewaskannya pada separuh akhir Terbuka Perancis 2013, Oktober lalu. Tago mara selepas menewaskan pemain Denmark, Jan O Jorgensen 21-11, 21-14. Rashid tetap menasihatkan Chong Wei waspada dengan ancaman Tago. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Sukan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan