Jumaat, 10 Januari 2014

Kosmo Online - Rencana Utama


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Rencana Utama


Ubat pos atasi kesesakan di hospital

Posted:

Ubat pos atasi kesesakan di hospital

Ubat pos atasi kesesakan di hospital

SEJAK sembilan tahun lalu, Shazwani Alias, 26, terpaksa berulang-alik dari Melaka ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) sebanyak tiga kali sebulan untuk mendapatkan bekalan ubat susulan bagi penyakit buah pinggang yang dihidapnya.

Pelajar ijazah kedoktoran (PhD) dalam jurusan Teknologi Maklumat di Universiti Teknikal Melaka (UTeM) itu pernah menjalani rawatan pembedahan transplan buah pinggang di hospital yang sama pada tahun 2004.

Sebagai pelajar, rutin itu menyebabkan dia sering tertinggal dalam pelajaran. Dia juga pernah dimarahi pensyarah kerana kerap ponteng kuliah disebabkan perlu mengambil ubat di hospital pada setiap bulan.

Bagaimanapun, sejak tahun 2010, Shazwani menarik nafas lega berikutan wujudnya Perkhidmatan Ubat Melalui Pos 1Malaysia (UMP1M) yang dicetuskan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

"Alhamdulillah, sejak menggunakan perkhidmatan UMP1M, banyak masa dapat dijimatkan. Paling penting saya tidak perlu lagi ponteng kelas untuk ke hospital bagi mengambil bekalan ubat.

"Selain itu, saya juga dapat menjimatkan kos perbelanjaan tambang teksi atau tol untuk ke hospital," jelas Shazwani yang semakin sihat ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.

UMP1M merupakan lanjutan kepada projek perintis yang berjaya dijalankan di Hospital Putrajaya, empat tahun lalu. Ia adalah transformasi KKM demi menambah baik perkhidmatan yang ditawarkan kepada masyarakat.

Pada mulanya hanya hospital utama yang menyediakan perkhidmatan ini.


KAKITANGAN Pos Malaysia mengutip bungkusan pos laju yang mengandungi ubat pada setiap Sabtu dan dihantar ke destinasi dalam tempoh 24 jam.


Kerjasama Pos Malaysia

Namun, bermula tahun 2011, ia diperluaskan ke seluruh negara.

Sehingga kini, sebanyak 53 buah hospital dan 55 buah klinik kesihatan telah menawarkan perkhidmatan tersebut. Sambutan yang menggalakkan daripada pesakit merupakan petunjuk keberkesanan perkhidmatan ini. Memandangkan HKL merupakan hospital rujukan utama, pesakit datang dari seluruh Malaysia ke hospital ini untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Perkhidmatan ini mendapat kerjasama daripada pihak Pos Malaysia Berhad.

Bagi mendapatkan perkhidmatan, pesakit hanya perlu membayar kos penghantaran serendah RM5 sebaik sahaja menerima bekalan ubat.

Lokasi penghantaran ubat pula tidak terhad kepada sesuatu kawasan sebaliknya meliputi seluruh negara. Ia akan dihantar ke rumah, pejabat atau mana-mana destinasi pilihan pesakit. Bekalan ubat yang dihantar adalah dalam bentuk tablet atau kapsul sahaja.

Menurut Ketua Jabatan Farmasi HKL, Abida Haq Syed M. Haq, hanya pesakit kronik seperti penghidap hipertensi, sakit jantung dan diabetes dibenarkan menggunakan perkhidmatan pos bagi mendapatkan bekalan ubat susulan.

Kebiasaannya pesakit seperti ini akan berjumpa dengan doktor setiap tiga hingga enam bulan sekali. Bekalan ubat pula diberikan pada setiap bulan dan mereka dikehendaki datang berulang kali ke hospital sebelum ini," ujarnya ketika ditemui di Jabatan Farmasi HKL baru-baru ini.

Namun begitu, pesakit harus memahami cara-cara untuk menggunakan perkhidmatan ini terlebih dulu. Perkara pertama yang perlu dilakukan ialah membuat pendaftaran dengan UMP1M ketika mengambil ubat pertama di farmasi hospital selain menepati kriteria yang ditetapkan.

PEGAWAI farmasi akan memastikan semua bekalan ubat yang dihantar kepada pesakit adalah betul.


Kutip bungkusan

Menurutnya lagi, sehingga kini sebanyak 1,361 pesakit HKL telah berdaftar untuk menggunakan perkhidmatan ini. Kira-kira 2,736 bungkusan telah dikirim dari HKL tanpa mengalami sebarang masalah setakat ini.

Setiap bungkusan ubat diuruskan oleh dua orang pegawai farmasi untuk memastikan ubat, arahan penggunaan, label, dan kuantiti yang dibekalkan termasuk alamat pesakit adalah betul.

Kemudian wakil Pos Laju akan mengutip semua bungkusan dari hari Isnin hingga Jumaat dan semua bungkusan akan dihantar ke destinasi dalam tempoh 24 jam.

Di samping itu, pihak farmasi juga mengamalkan sistem temu janji melalui telefon dan khidmat pesanan ringkas kepada pesakit selepas kiriman dibuat untuk memastikan bungkusan ubat selamat sampai kepada pesakit.

Bagaimanapun, bekalan ubat tidak diberikan terus kepada pesakit dalam tempoh masa yang panjang. Ini disebabkan kaedah penstoran di rumah tidak menjamin ubat disimpan dengan betul.

Sehingga Jun 2013, dianggarkan sebanyak 99,095 bungkusan bekalan ubat telah dihantar kepada pesakit sejak UMP1M diwujudkan di negara ini.

Sementara itu, seorang pesara syarikat penerbangan Malaysia Airlines, Abu Bakar Katan, 61, memberitahu, dia telah menggunakan perkhidmatan UMP1M sejak setahun yang lalu.

Dia yang berasal dari Batu Caves, Selangor bukan sahaja menghidap penyakit asma malah pelbagai jenis penyakit lain seperti jantung dan diabetes sejak beberapa tahun lalu.

Katanya, perkhidmatan tersebut turut menyelesaikan masalah yang dihadapinya sebelum ini yang adakalanya terpaksa bergantung kepada ahli keluarga untuk mendapatkan ubat.

"Sebelum ini, sebulan sekali saya akan ke HKL untuk mengambil ubat. Apabila umur semakin meningkat, tahap kesihatan tidak lagi mengizinkan saya untuk memandu jauh.

"Perkhidmatan ini secara tidak langsung memudahkan pesakit daripada kalangan warga emas seperti saya untuk mendapatkan bekalan ubat tanpa perlu menunggu lama di kaunter farmasi. Di samping itu, ia dapat mengelakkan kesesakan yang sering berlaku di hospital," jelasnya.

Pesta salji tiga negara

Posted:

Pesta salji tiga negara

Pesta salji tiga negara


PENGUNJUNG turut berpeluang meluncur ais di Festival Musim Sejuk Quebec.


MUSIM sejuk yang melanda beberapa negara pada masa ini membuatkan permukaan bumi di negara-negara terlibat menjadi putih akibat dilitupi salji tebal.

Biarpun suhu di negara berkenaan jatuh di bawah paras beku, cuaca ekstrem tersebut tidak menghalang penduduk negara seperti di Kanada, China dan Jepun untuk menunjukkan daya kreativiti mereka dalam ukiran salji.

Festival Musim Sejuk Quebec 2014 atau lebih dikenali sebagai Carnaval de Québec yang diadakan di Kanada merupakan karnival musim sejuk terbesar di dunia. Karnival yang disambut selama 17 hari oleh penduduk kawasan Old Quebec itu bermula secara rasmi pada 31 Januari hingga 16 Februari ini.

Dalam pada itu, sambutan Festival Ais Harbin di wilayah Harbin yang terletak di utara China juga tidak kurang gahnya.

Bandar tersebut yang terkenal dengan gelaran Bandar Ais juga mempunyai keunikan tersendiri kerana mengalami empat musim berbeza. Menariknya, keempat-empat musim tersebut dianggap sebagai musim sejuk yang panjang kerana musim panasnya juga masih terasa sejuk.

Antara acara menarik yang disediakan sepanjang festival tersebut ialah pertunjukan tanglung ais pada waktu malam, ukiran arca ais gergasi dan pertunjukan aksi haiwan-haiwan kutub yang mencuit hati pengunjung.


LEBIH 7,000 artis dan pekerja terlibat bagi menjayakan Festival Ais Harbin di Harbin yang terletak di utara China.


Aktiviti musim sejuk

Bagi mereka yang gemar melakukan aktiviti tradisional musim sejuk, mereka berpeluang berbuat demikian dengan meluncur ais, ski dan menaiki kereta yang turut disediakan sepanjang festival tersebut. Ia berlangsung pada pertengahan bulan Disember hingga penghujung Februari.

Sementara itu, di Jepun pula berlangsung Festival Ais Sapporo yang berjaya menarik seramai 2 juta pengunjung setiap tahun.

Beberapa patung ais berskala besar diukir dan didirikan bermula dari Taman Odori ke Tsudome dan berakhir di jalan utama Susukino.

Festival salji di Jepun bermula sejak tahun 1950 apabila pelajar-pelajar sekolah tinggi tempatan membina enam patung salji di Taman Odori.

Pada tahun 1955, Pasukan Pertahanan Diri (Jepun) menyertai festival berkenaan dan membina arca ais berskala besar yang pertama. Sejak itu, Festival Ais Sapporo terkenal sehingga kini.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved