Kosmo Online - Varia |
Posted: Bahana ketagihan laman sosial
SETIAP kali berada di restoran, kita dapati manusia kini begitu sibuk menuliskan sesuatu di telefon pintar mereka berbanding dengan berbual dengan teman yang berada di depan mereka. Kelihatan trend ini berlaku di mana-mana sahaja, malah ketika memandu sekalipun pengguna jalan raya tetap mengirim dan menerima mesej. Ia berlaku kepada semua orang, tanpa mengenal umur, jantina dan bangsa. Mutakhir ini, simptom tersebut diklasifikasikan sebagai satu bentuk penyakit ketagihan baharu yang dinamakan sebagai Social Networking Sites Addiction atau Ketagihan Laman Rangkaian Sosial. Seperti penyakit ketagihan yang lain, ketagihan ini juga memberi implikasi yang teruk kepada psikologi dan emosi manusia. Sehingga tahun 2012, pengguna Facebook di seluruh dunia dikatakan telah mencecah 900 juta orang dan 500 juta daripadanya mengakses laman sosial berkenaan melalui telefon pintar. Di Malaysia sahaja, kita dikatakan salah satu pengguna terbesar Facebook dengan anggaran 13 juta pengguna. Perubahan teknologi dan fungsi telefon mudah alih pada hari ini telah memberi kesan terhadap kegilaan manusia mengakses pelbagai aplikasi jaringan sosial. Punca penceraian Ironinya, telefon bimbit kini tidak lagi kerap digunakan sebagai alat untuk manusia berbual, sebaliknya telah berubah menjadi 'mesin taip' untuk manusia berkongsi emosi dengan sahabat mereka di serata dunia. Walaupun ada kebaikannya, tetapi adakalanya berkongsi emosi dengan sahabat maya ini juga boleh menyebabkan hal buruk berlaku. Kajian di Amerika Syarikat menunjukkan bahawa satu perlima daripada kes penceraian yang direkodkan adalah disebabkan oleh penggunaan Facebook. Kajian-kajian juga menunjukkan bahawa masa yang banyak diluangkan untuk melayari Facebook boleh menyebabkan pasangan berasa cemburu. Semua ini adalah permulaan buruk kepada keharmonian rumah tangga. Bayangkan, manusia kini berkongsi segala cerita kehidupan, daripada aktiviti memasak, membeli-belah hingga masalah rumah tangga di laman-laman sosial. Perbuatan ini seolah-olah menggambarkan semua perkara itu bukan lagi privasi buat mereka.
Hal ini, hakikatnya membuka kepada pintu bahaya. Ini kerana, tidak semua rakan maya ini mempunyai watak atau personaliti yang sama dalam dunia realiti. Kajian-kajian menunjukkan bahawa pengguna media sosial biasanya 'melakonkan' watak-watak yang diinginkan. Ia diistilah sebagai selective self-presentation atau peragaan diri terpilih. Ia boleh dilakukan dengan meletakkan gambar yang menunjukkan kemewahan atau menulis status seperti mereka manusia terpelajar. Semua ini tidak bermakna bahawa mereka cuba untuk melakukan penipuan. Bagaimanapun, secara psikologiknya, manusia cenderung untuk menampilkan imej manusia budiman demi menjaga status mereka. Berbeza dengan perbualan melalui telefon atau interaksi bersemuka, manusia juga biasanya membaca mesej yang ditulis berpandukan penilaian imaginasi. Ayat seperti Saya suka awak mungkin ditafsirkan dengan pelbagai makna. Pembaca mungkin membacanya sebagai Saya cintakan awak walaupun mungkin itu bukanlah seperti yang dimaksudkan dalam mesej tadi. Ia bergantung kepada siapa yang menulisnya dan siapa pula yang membacanya. Kewujudan pelbagai ikon emosi yang disertakan dalam aplikasi dalam talian ini juga memberikan kesan psikologi kepada manusia. Walaupun ia dalam bentuk yang ringkas, namun manusia cenderung menafsirkan ikon-ikon ini berdasarkan persepsi yang mereka harapkan. Permainan emosi Sekiranya kenalan mereka ialah seseorang yang akrab dan kerap berkomunikasi secara maya, ikon love mungkin akan ditafsirkan secara berlainan jika dibandingkan sekiranya ikon yang sama dikirimkan oleh ahli keluarga atau oleh kenalan sesama jantina. Permainan emosi inilah yang kemudiannya menyebabkan hubungan yang pada mulanya hanya bersifat teman biasa bertukar menjadi semakin erat. Permainan emosi ini melibatkan semua manusia tanpa mengira darjat, status atau pangkat. Ia mungkin tidak menjadi masalah sekiranya hubungan ini berlaku dalam kalangan anak muda yang masih bujang. Tetapi, ia akan mencetuskan musibah yang besar apabila ia melibatkan mereka yang sudah berumahtangga. Sebab itulah, pengguna media rangkaian sosial perlu berhati-hati. Ia perlu dibataskan dengan perkongsian maklumat yang mustahak sahaja dan jangan sampai penggunaan medium ini menjadi beban baharu kepada kehidupan mereka. Jangan juga dibiarkan penggunaan medium ini secara keterlaluan menjejaskan tanggungjawab rumah tangga dan masyarakat. Dalam satu kajian di Amerika Syarikat, apabila ditanya kepada seorang ibu muda mengapa beliau tidak memberikan perhatian terhadap kerja sekolah anak-anaknya, wanita itu menjawab : "Saya seorang penagih. Saya akan 'hilang' dalam dunia Facebook." Walaupun kajian tersebut dilakukan di Amerika Syarikat, tetapi kita mungkin menemui hal yang sama di Malaysia. Justeru, berpada-padalah apabila menggunakan media sosial ini. Ia mungkin menjadi sahabat yang berguna jika kita bijak memanfaatkannya, tetapi juga sahabat durjana sekiranya kita tidak tahu mengendalikannya. | ||
Patung karakter terbesar di dunia Posted: Patung karakter terbesar di dunia
BARU-BARU ini, aplikasi sosial terkenal, LINE Malaysia telah membuka kedai sementara pertamanya di Asia Tenggara iaitu di Tokyo Street di dalam pusat beli-belah Pavilion Kuala Lumpur. Kedai sementara itu menjual barangan LINE edisi terhad selama sebulan sahaja iaitu sehingga 2 Januari tahun depan. Aplikasi sosial yang terkenal dengan karakter Brown dan Cony tersebut turut menjadikan patung karakter Moon setinggi 4.6 meter sebagai hiasan di hadapan pintu masuk pusat beli-belah terkemuka itu. Struktur tersebut turut diiktiraf oleh The Malaysia Book of Records sebagai patung karakter Moon terbesar di dunia. Menurut Ketua LINE Malaysia, Wind Koh, pihaknya menerima maklum balas positif daripada orang ramai berkenaan pembukaan kedai yang dilihat melengkapkan aktiviti promosi dan hiasan Hari Krismas yang terdapat di pusat beli-belah itu. "Kami percaya hiasan kami yang unik ini akan dapat menaikkan lagi semangat pengunjung untuk menyambut Hari Krismas yang akan menjelang tidak lama lagi," katanya dalam satu kenyataan sempena pembukaan kedai itu baru-baru ini. Pelancaran tersebut turut diserikan dengan kehadiran artis terkenal tanah air iaitu Nazim Othman dan Ke Qing yang juga merupakan duta LINE Malaysia. Justeru itu, Koh berharap pengunjung tidak melepaskan peluang untuk mendapatkan barangan edisi terhad aplikasi sosial itu dan sama-sama meraikan perayaan tersebut dalam suasana yang menggembirakan. NAZIM OTHMAN teruja melihat sebahagian daripada barang yang dijual di kedai LINE Malaysia. Sementara itu menurut Ketua Pemasaran Pavilion Kuala Lumpur, Kuang Suang Ai, kerjasama dengan LINE Malaysia merupakan yang pertama antara pusat beli-belah yang terletak di Jalan Bukit Bintang, Kuala Lumpur itu dengan satu aplikasi komunikasi sosial. Kedai yang mula dibuka pada 2 Disember lalu sehingga 2 Januari 2014 turut melakukan beberapa promosi khusus kepada pengunjung Pavilion. Antara usaha yang dilakukan adalah pemberian secara percuma anak patung kepada 300 pelanggan yang membeli barangan melebihi nilai RM200 dan putaran roda bertuah kepada pengunjung yang membuat pembelian bernilai RM120 dan ke atas. Pada pelancaran kedai tersebut, pihak LINE Malaysia juga melancarkan projek amal LINE Santa Claus yang turut terbuka kepada pengguna aplikasi tersebut di seluruh dunia. Pengguna LINE Malaysia yang berminat boleh menyertai program amal tersebut dengan menghantar impian mereka di akaun rasmi LINE Santa Claus yang dibuka sehingga 25 Disember ini. Impian yang berjaya menambat hati pihak LINE Malaysia akan diumumkan pada Hari Krismas melalui laman rasmi dan laman sosial Twitter dan Facebook perkhidmatan aplikasi tersebut. Pihak LINE Malaysia akan mula menjadikan hasrat tersebut sebagai realiti pada tahun hadapan. Selain itu, LINE Malaysia telah bekerjasama dengan jenama konfeksi terkenal, Julie's, untuk mengeluarkan biskut karakter Brown yang boleh didapati di pasar raya AEON, The Store, Mydin dan MaxVelu di seluruh negara sehingga 31 Disember ini. | ||
Ludia penjahit pakaian Bidayuh Posted: Ludia penjahit pakaian Bidayuh
DI satu sudut sebuah kedai kayu kecil yang menjual pakaian terpakai di Pekan Bau, kira-kira 40 kilometer dari bandar raya Kuching, Sarawak kelihatan seorang wanita berkulit cerah dengan ketinggian sederhana sibuk menjahit. Bunyi mesin jahit jelas kedengaran dari kedainya yang menjual pakaian tradisi masyarakat Bidayuh itu. Ludia Apoi, wanita Kenyah yang berasal dari Long Banga, Baram mencari rezeki dengan mengambil tempahan menjahit pakaian tradisional Bidayuh. "Saya sebenarnya bukan berketurunan Bidayuh, tetapi Kenyah iaitu antara etnik yang termasuk dalam kelompok Orang Ulu di Sarawak, " katanya memulakan perbualan. Wanita yang meminati ilmu jahitan itu hanya berpeluang mendalami kemahiran tersebut selepas menyertai kursus jahitan yang diadakan di Dewan Suarah Bau tiga tahun lalu. Sumber pendapatan Menurut ibu kepada empat cahaya mata itu, kursus selama enam bulan itu ternyata memberinya kemahiran menjahit yang cukup baik. Selepas tamat kursus beliau tekad menjadikan jahitan sebagai sumber pendapatannya. Memulakan perniagaannya di kediaman di Kampung Belimbing, Ludia menerima tempahan menjahit pakaian tradisional Bidayuh, baju kurung dan baju kebaya daripada penduduk sekitar. Suaminya Libek Jonny, 48, seorang guru berketurunan Bidayuh memberitahu, kemahiran Ludia agak mengagumkan kerana isterinya bukan berketurunan Bidayuh. Libek sentiasa memberi sokongan terhadap minat isterinya itu dengan membantu membeli barang-barang seperti kain, manik dan benang untuk menghasilkan pakaian tradisional itu. Sejak kecil, anak perempuan tunggal Ludia, Mariam Urai, 18, diajar menjahit pakaian tradisional. Mariam juga mahir membuat aksesori seperti rantai manik yang dipakai untuk melengkapi pakaian tradisional Bidayuh. Pakaian tradisi wanita Bidayuh terdiri daripada baju berlengan pendek atau separuh lengan, kain sarung paras lutut dan tudung kecil atau penutup kepala. Pakaian lelaki Bidayuh pula terdiri daripada baju hitam separa lengan atau berlengan pendek, kain lilit kepala dan seluar atau cawat.
Apakah yang menyebabkan Ludia memilih pakaian tradisional Bidayuh berbanding pakaian tradisi Orang Ulu? "Masa yang lebih panjang diperlukan untuk menghasilkan pakaian tradisional Orang Ulu berbanding pakaian tradisional Bidayuh, selain itu saya tinggal di kawasan majoriti masyarakat Bidayuh yang menyebabkan pasaran pakaian Orang Ulu sangat terhad," katanya yang mampu menghasilkan sekurang-kurangnya 18 pasang pakaian dalam masa sebulan. Masyarakat Bidayuh mendiami sekitar Kuching, Bau, Padawan dan Serian, Sarawak masing-masing mempunyai baju tradisional yang berbeza antara satu dengan lain terutama daripada segi warna. "Walaupun ketika ini saya menghasilkan baju tradisional masyarakat Bidayuh di Bau, pada masa yang sama saya juga mengambil tempahan dari kawasan lain. Yang penting mereka sertakan contoh pakaian," katanya sambil tersenyum. Rantai manik Selain baju, kain, topi dan selendang, Ludia turut menghasilkan aksesori tambahan seperti rantai manik untuk melengkapkan persalinan tradisional. Selain Ludia, terdapat beberapa penjahit pakaian tradisional Bidayuh di sekitar Bau tetapi mereka tidak menghasilkan persalinan lengkap. Sesuai dengan perkembangan telnologi masa kini dan bagi mengembangkan perniagaannya, Ludia menggunakan laman sosial Facebook Ludia Craft Collections. Sejak menggunakan laman sosial enam bulan lalu, Ludia menerima banyak tempahan di sekitar Sabah, Sarawak dan Semenanjung. Permintaan yang tinggi secara talian dan langsung menyebabkan adakalanya Ludia tidak menang tangan. Dia juga merancang untuk membesarkan perniagaannya seperti menambah bilangan mesin jahit dan menggaji lebih ramai pekerja. - Bernama |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Varia To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan