Khamis, 26 Disember 2013

Kosmo Online - Rencana Utama


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Rencana Utama


Krisis antara agama calar imej

Posted:

Krisis antara agama calar imej

Krisis antara agama calar imej

POHON palma yang tumbuh melata di pesisir pantai Zanzibar kelihatan cukup indah dan mendamaikan. Namun, di sebalik ketenangan, Zanzibar sebenarnya berdepan krisis keagamaan yang semakin serius.

Pembunuhan kejam dan serangan asid yang berlaku akibat ketegangan antara penganut agama sekali gus mengancam industri pelancongan yang menjadi sumber pergantungan kepulauan yang terletak di timur Afrika itu.

Selepas bertahun-tahun masyarakatnya hidup aman di pulau yang majoriti penduduknya beragama Islam, pada bulan Ogos lalu, dua remaja perempuan Britain yang mengajar di sebuah sekolah telah disimbah asid dan terbakar teruk.

Dilaporkan penyerang tersebut menunggang motosikal sebelum menyimbah asid ke wajah mereka. Pihak berkuasa Zanzibar menyifatkan serangan berkenaan sebagai satu perkara yang memalukan rakyat negara berkenaan.

Justeru, pihaknya menawarkan ganjaran yang besar kepada mereka yang dapat memberi maklumat yang membawa kepada penangkapan suspek.

Tetapi, terlalu sedikit perkembangan mengenai kes tersebut dan keluarga kedua-dua gadis berkenaan telah mengadu berhubung kelemahan pihak berkuasa wilayah itu dalam menangani kes itu.

Simbah asid

Insiden itu bukan kes terpencil. Hakikatnya, di laluan sempit dan berliku di sekitar jalan lama bandar Stone yang disenarai sebagai pusat sejarah Pertubuhan Pelajaran, Sains, dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) di ibu negara kepulauan Tanzania itu, penyerang turut bertindak menyimbah asid ke muka pemimpin agama kedua-dua belah pihak iaitu Kristian dan Islam.

Sewaktu keluar berjoging pada waktu pagi tahun lalu, Sheikh Fadhil Soraga telah disimbah asid oleh penyerang yang tidak dikenali.

Ketika itu, Soraga yang merupakan ulama terkenal telah menjadi suara toleransi dan kesederhanaan pada saat unsur-unsur radikal komuniti Islam telah menjadi kebimbangan ramai.

"Dia menyimbah asid ke muka saya, sasarannya di bahagian mata. Cecair asid tersebut mengalir terus dari mata hingga ke leher dan membakar bahagian dada. Ia satu serangan yang sangat serius," ujar beliau kepada AFP.

Sejak serangan tersebut, terdapat sekurang-kurangnya empat lagi serangan serupa di pulau itu. Pada bulan Februari, seorang paderi Khatolik juga ditembak mati dan beberapa buah gereja telah dibakar ekoran bantahan berhubung serangan kepada orang-orang Islam.


SORAGA mengalami kecacatan kekal akibat disimbah asid ketika keluar berjoging tahun lalu.


Sejak serangan itu, terdapat sekurang-kurangnya empat yang lain di pulau itu. Pada bulan Februari seorang paderi Katolik ditembak mati, dan beberapa gereja telah dibakar ekoran protes keganasan.

Soraga berkata, pemuda Islam dilihat muncul untuk mengikut laluan pelampau.

"Kita semua penduduk Zanzibar, kita juga rakyat Tanzania, kita perlu saling menghormati antara satu sama lain tanpa mengira pegangan agama atau ideologi.

"Inilah yang diajar oleh Islam, namun kebanyakan anak muda Islam tidak tahu mengenai perkara ini. Mereka menjadikan orang Kristian atau sesiapa yang bukan Islam sebagai musuh," tegasnya.

Pengaruh jihad global

Selepas gereja Assemblies of God dibakar tahun lalu, bendera kumpulan pelampau Islam yang dikenali sebagai Uamsho, Swahili for The Awakening telah dikibarkan di sebalik sisa runtuhan.

"Semangat jihad global yang berlaku di seluruh dunia turut memberi kesan kepada beberapa tempat di Afrika termasuk di sini.

"Malah, terdapat segelintir manusia yang berfikir bahawa Islam adalah satu-satunya agama yang berhak wujud di sini," kata Dickson Kaganga, bishop di Assemblies of God di Zanzibar.

Uamsho baru-baru ini telah berkembang daripada sebuah badan amal agama ke gerakan politik Islam dan ketika masih kumpulan minoriti, mereka dilihat semakin berpengaruh terutama dalam kalangan generasi muda dan penganggur.

Meskipun mereka menafikan terlibat dalam mana-mana serangan, mereka berjaya menyalurkan ketegangan budaya dan politik secara meluas kepada sokongan untuk Islam radikal.

Ketika Zanzibar menghampiri sambutan ulang tahun ke-50 penyatuannya dengan tanah besar Tanzania tahun depan, terdapat parti politik pembangkang juga mahu memutuskan hubungan dan kembali bebas, kumpulan radikal penyokong pemisahan seperti Uamsho turut mengeksploitasi situasi itu untuk mendapatkan sokongan.

"Para pemuda di sini digunakan sebagai alat untuk Uamsho mendapatkan kedudukan dan kuasa," kata Pesuruhjaya Polis Zanzibar, Mussa Ally Musa.

"Kadangkala mereka digunakan oleh parti pembangkang, jadi untuk Uamsho kini, objektif mereka adalah untuk memutuskan penyatuan."

Bagaimanapun, pemimpin kedua Uamsho, Azaan Khalid Hamdan, menafikan dakwaan mereka di sebalik keganasan dan menolak sebarang tuduhan mempunyai hubungan dengan gerakan Islam di Somalia yang merupakan pusat kepada pemberontak Shebab rangkaian Al-Qaeda.


PENDUDUK Zanzibar dipengaruhi oleh budaya Afrika, Arab dan India.


"Uamsho tidak membuat serangan terhadap gereja dan Kristian. Kami tidak menyimpan sebarang kebencian dan bermusuhan dengan mereka.

"Siapa di belakang serangan? Saya tidak tahu. Polisi Uamsho bukan sebegitu. Kami terus membantu kerajaan dengan penyiasatan mereka terhadap insiden tersebut dan dalang di sebaliknya," tegas Hamdan.

Kadar pengangguran rasmi di kepulauan tersebut ialah 34 peratus, namun statistik sebenarnya dipercayai lebih tinggi seiring dengan penurunan dalam industri pelancongan akibat krisis ini boleh menyebabkan keadaan menjadi lebih teruk.

"Apabila pelancong diserang dan ketegangan agama semakin serius, ia akan memberi nama buruk kepada Zanzibar sekali gus menyebabkan ekonomi merudum," tambahnya.

Ironinya, di tengah-tengah kesukaran ekonomi, kumpulan radikal Islam mungkin kekal menjadi objek untuk menarik mereka yang menganggur dan tidak puas hati.

Situasi itu juga boleh terus menjadi punca kekacauan terus melanda Zanzibar pada masa hadapan.

Mengulas mengenai isu puak pelampau Islam yang bertindak ganas terhadap penganut agama lain, ulama yang berasal dari England, Sheikh Abdul Aziz Fredericks menegaskan, ketidakfahaman terhadap sirah Rasulullah SAW menyebabkan mereka bertindak sedemikian rupa.

"Jika umat Islam hari ini menjadikan Nabi Muhammad SAW yang diutus Allah sebagai pembawa rahmat ke sekalian alam sebagai idola mereka dan mencontohi Baginda dalam setiap aspek kehidupan, sudah pasti dunia akan aman.

"Lantaran tidak memahami al-Quran dan sunnah Nabi SAW, maka umat Islam jadi berpecah belah dan bercanggah walaupun dalam perkara-perkara cabang," ujarnya sewaktu menyampaikan syarahan bertajuk Prophet Muhammad SAW: Mercy to Mankind di Institut Kefahaman Islam Malaysia, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved