Khamis, 26 Disember 2013

Kosmo Online - Horizon


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Horizon


Keenakan durian 'pukau' pelancong

Posted:

Keenakan durian 'pukau' pelancong

Keenakan durian 'pukau' pelancong

BIARPUN sesetengah individu tidak menggemari durian terutamanya daripada segi bau, namun musim buah pastinya suatu yang tidak akan dilepaskan bagi para peminat raja buah itu.

Tidak terhad di gerai-gerai buah, dusun durian turut menjadi tumpuan. Sekali pulang, pasti penuh satu but kereta berisi durian.

Bersesuaian dengan statusnya sebagai raja buah, durian merupakan buah tempatan yang yang mendominasi carta buah-buahan tempatan kegemaran, sekali gus menjadi tarikan pelancong di negara ini.

Pelbagai reaksi dapat dilihat bagi mereka yang baru pertama kali ingin merasai buah tersebut, terutamanya dalam kalangan pelancong asing. Salah satu reaksi segera pastinya berkaitan bau buah itu yang dikatakan menusuk hidung.

Namun, apabila merasainya sendiri, rata-rata yang mengakui terpikat dengan keenakan isi buah itu sama ada berasa lemak, pahit atau manis.

Berpeluang mengunjungi pesta tahunan anjuran Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Jom Makan Buah@Putrajaya, di Persint 2, Putrajaya baru-baru ini, penulis dapat menyaksikan ribuan pengunjung menikmati keenakan durian yang dibawa khas dari seluruh Semenanjung Malaysia di pesta itu.

Malah, peniaga-peniaga yang terlibat merupakan usahawan durian di bawah FAMA Lembah Klang.


SELAIN durian, pelbagai buah-buahan tempatan lain turut ditawarkan.


Walaupun terdapat beberapa jenis buah tempatan lain seperti manggis, rambutan dan mangga, namun buah durian tetap menjadi pilihan utama pengunjung.

Riuh-rendah suara penjual durian jelas kedengaran mempromosikan durian masing-masing. Pengunjung berpusu-pusu ke gerai yang menjadi pilihan mereka. Pelbagai gelagat yang dapat disaksikan.

Reaksi

Terdapat dalam kalangan mereka menghidu dulu kemudian mengetuk permukaan durian, tidak kurang juga yang mengambil peluang merasai sendiri isi buah durian tersebut.

Pemilik gerai durian, Miskon @ Yem Markadan, 60, berkata, perniagaan buah durian sentiasa menguntungkan kerana rakyat Malaysia tidak pernah jemu menikmatinya.

"Siapa yang tidak tahu makan buah durian akan rugi sebab tidak dapat merasakan keenakannya. Saya yakin durian adalah antara buah kebanggaan kita.

"Pelancong kalau datang ke Malaysia mesti bertanya tentang buah ini kerana orang mengenali negara kita melalui buah durian," katanya yang menjual durian dari pengusaha kebun durian di Perak.

Berniaga durian sejak sekitar tahun 1995, Miskon memberitahu, durian jenis D24, IOI dan Udang Merah antara yang dicari peminat buah itu.

Menurutnya, peminat-peminat buah itu biasanya tidak memilih jenis durian yang dibeli kerana mereka merasakan setiap jenis durian memberikan rasa enak yang berbeza.

BUBUR kacang durian turut menjadi juadah pilihan di program Jom Makan Buah@Putrajaya.


Pengikat hubungan

Umpama satu pesta perayaan yang mengumpulkan sanak saudara, siapa sangka buah durian mampu mengikat hubungan antara ahli keluarga dan rakan-rakan.

Kelihatan daripada jauh dua sahabat bergurau senda sambil mengopek sebiji buah durian. Ada juga seorang bapa yang leka melayan kerenah isteri dan anak-anaknya yang sedang menjamah durian yang dipilih.

Kelihatan seorang kanak-kanak asyik menghidu sebiji buah durian sambil wajahnya melihat tepat pada bapanya. Rupa-rupanya Muhammad Aqil Danish Zulkefli, 12, sedang memilih buah durian yang elok untuk dinikmati mereka sekeluarga.

"Saya selalu tengok ayah pilih durian. Sebelum membayar, dia akan menghidu buah tersebut. Kalau sedap baunya, isi mesti manis dan lazat," katanya.

Muhammad Aqil Danish, mengakui amat menggemari buah durian.

Katanya, apabila berhadapan dengan durian, perutnya tidak mengenal erti kenyang sehingga kadangkala ibu bapanya terpaksa memberi peringatan supaya berhenti makan.

"Ibu bapa selalu cakap makan durian banyak nanti badan jadi panas. Tetapi sehingga ke hari ini Alhamdulillah saya masih sihat dan tidak pernah berasa panas. Rugi kalau tidak makan durian," katanya.

Muhammad Aqil Danish berkata, dia sering terasa pelik apabila berjumpa dengan mana-mana individu yang tidak meminati raja buah itu atau mereka yang sanggup mengelak daripada merasanya.


PEMINAT durian juga merentasi batasan kaum dan budaya.


"Dalam kalangan rakan-rakan saya ada yang tidak meminati durian. Alasan mereka ialah tidak tahan dengan bau buah berkenaan.

"Saya selalu menasihatkan mereka supaya rasa dulu baru membuat sebarang penilaian," ujarnya.

Variasi juadah

Sementara itu, Ridzuan Ahmad, 32, berkata, keistimewaan buah durian terletak pada isi buah itu yang boleh diadun menjadi pelbagai juadah sama ada tradisional hingga moden.

Beliau menambah, hidangan pencuci mulut durian crepe yang menjadi kegemaran ramai terutamanya warga kota sejak kebelakangan ini merupakan satu contoh terbaik.

"Isi durian bukan sahaja sedap dimakan segar tetapi boleh digunakan untuk menghasilkan pelbagai juadah lain.

"Campur sahaja buah ini dalam mana-mana makanan atau minuman yang sesuai, rasanya pasti sedap," katanya yang menggemari bubur kacang hijau durian.

Penjelajahan Universal Studio Singapura

Posted:

Penjelajahan Universal Studio Singapura

Penjelajahan Universal Studio Singapura


ISTANA Far Far Away yang diinspirasikan daripada filem kartun terkenal iaitu Shrek yang menampilkan kehidupan dongeng karakter itu.


RANCANGAN untuk bercuti ke Korea Selatan bersama rakan-rakan pada bulan Oktober lalu terpaksa dibatalkan memandangkan pada tempoh itu bukan musim sejuk.

Ini disebabkan misi utama mengunjungi negara tersebut adalah untuk merasai pengalaman bermain salji sekali gus ingin melawat Pulau Jeju iaitu salah satu pulau yang popular di sana.

Memandangkan mood percutian sangat menebal apatah lagi ingin merakam memori manis bersama sahabat baik sebelum menamatkan pengajian di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah alam, Selangor maka hasrat percutian tetap diteruskan. Hasil perbicangan bersama, akhirnya kami mengunjungi Taman Tema Universal Studio Singapura (USS) yang terletak di Pulau Sentosa, Singapura.

Penulis bersama Addul Rahman Latip, Mohd Bashah Basroh dan Mohd Amir Aliff masing-masing berusia 24 tahun, memilih Singapura sebagai lokasi percutian dengan satu tujuan iaitu bertemu karakter kartun dan animasi impian kami di USS.

Oleh kerana mahu berjimat-cermat kami memilih untuk menetap di sebuah hotel bajet di Johor Bahru, Johor dan menaiki bas awam ke lokasi yang dituju.

Perjalanan melintasi Tambak Johor melalui Lebuh Raya Laluan Kedua Malaysia-Singapura (Linkedua) mengambil masa lima minit untuk ke imigresen, sementara dari Woodlands menuju ke Pulau Sentosa mengambil masa kira-kira 30 minit dengan jarak perjalanan 30 kilometer.

Seawal pukul 9 pagi kami sudah berada di hadapan pintu masuk USS. Memperuntukkan bajet kira-kira RM300 untuk dihabiskan di USS, penulis terus menuju ke mercu tanda replika glob bumi di situ.

Selepas puas merakamkan gambar, kami bergerak ke bangunan yang menyediakan permainan roller-coaster dan visual seakan-akan siri kartun robotik popular Transformers enam dimensi.


DARI KIRI: Karakter-karakter Sesame Street iaitu Ernie, Cookie Monster, Big Bird, Elmo dan Abby Cadabby sentiasa bersedia menghiburkan pengunjung.


Roller-coaster

Selama 30 minit kami menaiki roller-coaster itu kami menjadi kecut perut. Malah babak yang selama ini ditonton dalam siri Transformers seperti hidup. Jantung yang berdegup laju membuatkan kami kepenatan.

Keluar sahaja daripada bangunan berkenaan, dari jauh sudah kedengaran pelbagai bunyi alatan muzik. Melodi yang rancak menyaksikan setiap maskot seperti animasi adiwira Marvel iaitu Spiderman, Superman dan banyak lagi menari riang. Malah maskot comel seperti Madagascar turut melakukan persembahan dan menceriakan pengunjung yang hadir.

Akhirnya, maskot siri televisyen kesukaan saya iaitu Sesame Street muncul. Kelibat Bert yang comel melambai kepada peminat membuatkan saya hilang akal seketika.

Lucu memikirkan, saya lebih teruja berbanding kanak-kanak yang berada di situ. Selesai sahaja mereka berarak, penulis terus menerkam maskot Bert dan memeluknya sekuat hati sebelum merakamkan foto.

Bangunan Revenge of The Mummy turut menjadi tarikan di USS. Kelihatan dua mumia yang sedang berdiri menyambut kedatangan kami sekali gus menggambarkan misi yang perlu kami jelajahi.

Saat roller-coaster mula bergerak, semua penumpang menjerit ketakutan. Golongan lelaki juga tidak kurang hebatnya menjerit sepuas hati lebih daripada wanita.

Puas melontarkan vokal, tekak mula terasa dahaga dan perut berkeroncong minta diisi. Kami difahamkan, makanan di USS sangat mahal, namun apa yang penting bagi penulis yang kelaparan ialah makanan itu halal.

Lokasi yang kami pilih ialah restoran makanan segera Mel's Drive-In. Melangkah masuk ke restoran itu mata kami dipukau pelbagai alatan muzik lama seperti piring hitam, mesin pemutar lagu dan persembahan muzikal ketika enak menjamu selera.

Kami bersetuju makan tengah hari di restoran segera tersebut untuk menjimatkan masa dalam meneruskan jelajahan kami di kota mini, USS itu. Kami mengeluarkan perbelanjaan sebanyak RM30 dan makanan itu sangat berbaloi dengan saiz set hidangan yang dipilih. Kami menyambung penjelajahan ke Hollywood Street. Antara yang menarik ialah replika set penggambaran Marilyn Monroe.


LAMBANG USS yang berupa sebuah glob berputar menjadi lokasi wajib bagi pengunjung bergambar .


Walk Of Fame

Ketika menghayunkan kaki menyusuri replika Walk Of Fame saya terasa seperti di Los Angeles, Amerika Syarikat.

Menyelami seketika karakter bergelar bintang ternama Hollywood, kami mula merakam foto masing-masing di situ.

Hampir 10 jam berada di taman hiburan USS, ternyata berbaloi untuk menghabiskan ratusan ringgit sepanjang berada di taman hiburan itu.

Benarlah kata mereka yang berkunjung di sini, sesiapa sahaja yang melawat USS pada kali pertama pasti jatuh cinta dan akan kembali untuk percutian seterusnya.

Namun penulis sedikit terkilan kerana tidak sempat menghabiskan masa melawat beberapa lagi tempat menarik di Kota Singa itu.

Walaupun membatalkan percutian ke Korea Selatan, penulis pasti akan memenuhi impian bermain dalam salji selain menyaksikan sendiri kecantikan negara itu seperti dalam filem dan drama bersiri Korea.

Dalam masa yang terdekat, penulis bercadang untuk melawat Indonesia dan Thailand. Tidak sabar rasanya menantikan saat itu.

Menerokai alam secara interaktif

Posted:

Menerokai alam secara interaktif

Menerokai alam secara interaktif


SEBAHAGIAN 155 murid SK Kampung Kuala Pajam, Beranang yang mengikuti rombongan lawatan sambil belajar di NIC pada musim cuti sekolah baru-baru ini.


KUNJUNGAN 155 orang murid Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Kuala Pajam, Beranang, Selangor ke Pusat Penghayatan Alam (NIC), Taman Wetland, Putrajaya ternyata memberi dimensi berbeza buat mereka.

Mereka begitu asyik melihat maklumat hidupan flora dan fauna yang dipaparkan dalam bentuk hologram dan tiga dimensi yang diletakkan di dinding bangunan. Tidak kurang pula, murid-murid seronok bermain di lantai yang memaparkan hidupan akuatik di dalam laut pada ruangan Hidden Depth.

"Murid-murid memberi tumpuan sepenuhnya sewaktu wakil NIC memberi penerangan. Lawatan ini merupakan cara terbaik untuk murid-murid belajar secara interaktif. Mereka dapat menimba ilmu mengenai alam semula jadi dalam persekitaran yang menyeronokkan," kata Guru Besar Sekolah Kebangsaan Kampung Kuala Pajam, Mazinun Zam Zam, 53, ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.

Tambah Mazinun, tayangan dokumentari mengenai isu alam sekitar menerusi Pawagam Skrin 240 Darjah umpama mata seekor burung yang memberi gambaran luas mengenai kepentingan menjaga flora dan fauna dalam rantaian kehidupan manusia.

NIC yang merupakan tarikan baharu di Putrajaya itu dibuka kepada umum sejak Februari lalu. Sehingga kini, pusat maklumat lengkap mengenai Taman Wetland, Presint 13, Putrajaya itu telah menerima lebih 20,000 pengunjung.

Melalui lapan segmen pameran, pengunjung berpeluang mengenali flora, fauna dan mendalami fungsi ekosistem di Taman Wetland, Putrajaya.


NIC merupakan salah satu tarikan pelancong di Putrajaya sempena Tahun Melawat Malaysia 2014.


Ejen penapis semula jadii

Timbalan Pengarah Bahagian Pembangunan Taman, Jabatan Landskap dan Taman Perbadanan Putrajaya (PPj), Haslinda Khalid memberitahu, Taman Wetland merupakan ajen penapis semula jadi bagi bahan cemar dari Sungai Bisa dan Sungai Chuah, Kuala Langat, Selangor sebelum mengalir terus ke Tasik Putrajaya.

"Pengunjung boleh mendapatkan maklumat mengenai 24 sel yang merupakan tumbuhan semula jadi seperti pokok bakung yang menjadi ejen penapis air sungai. Pusat ini juga merupakan satu langkah terbaik bagi memupuk kesedaran mengenai kepentingan alam sekitar dalam kehidupan manusia.

"Putrajaya merupakan sebuah destinasi ekopelancongan dunia sempena Tahun Melawat Malaysia 2014. NIC merupakan antara tarikan utama sepanjang tahun depan. Setiap ruang pameran mempunyai penyampaian interaktif tersendiri," ujarnya.

Pameran grafik dan hologram tiga dimensi yang memaparkan titisan air bergerak apabila disentuh menjadi ruangan tumpuan pengunjung.

Selain pameran interaktif, pengunjung pasti tertarik melihat ukiran bumi tiga dimensi yang digantung di tengah-tengah ruangan di tingkat tiga NIC.

Tidak hanya tertumpu kepada ruang pameran di tingkat tiga, Pusat Sumber dan Maklumat NIC juga menyediakan pelbagai buku mengenai flora dan fauna.

Seorang pengunjung, Amin Farhan Amin Mahir, 26, memberitahu, dia bersama sembilan rakannya menjadikan Pusat Sumber dan Maklumat NIC sebagai destinasi pilihan setiap kali mengadakan sesi diskusi pelajaran.

"Buku-buku mengenai flora dan fauna menjadi bahan bacaan selingan kami ketika dalam sesi diskusi. Melalui pembacaan sebuah buku, saya dapat mengetahui maklumat mengenai efek rumah kaca terhadap kehidupan manusia," ujar pelajar Universiti Utara Malaysia, kampus Institut Profesional Baitulmal, Kampung Pandan, Kuala Lumpur itu.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved