Jumaat, 27 Disember 2013

Kosmo Online - Pemotoran


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Pemotoran


The Beast akhir tiba ke pasaran Malaysia

Posted:

The Beast akhir tiba ke pasaran Malaysia

The Beast akhir tiba ke pasaran Malaysia

Oleh SHAWKATH AZDE
shawkath.ashraf@kosmo.com.my

JENAMA motosikal KTM bukannya asing dalam dunia perlumbaan off-road (motocross dan enduro) di peringkat antarabangsa.

Malah tidak keterlaluan jika dikatakan itu antara platform yang membantu melonjakkan nama produk keluaran syarikat yang berpangkalan di Mattighofen, Austria tersebut.

Entiti perniagaan yang diasaskan oleh Hans Trunkenpolz pada tahun 1934 turut berkecimpung dalam penghasilan motosikal untuk kelas supermoto, kembara, naked bike dan supersport.

KTM sedar jika tumpuan diberikan pada satu segmen sahaja, sudah pasti perniagaannya sukar mengorak jauh apatah lagi berdepan saingan daripada pemain lain dalam pasaran.

Duke model popular

Langkah rasional yang perlu dilakukan ialah meneroka pasaran pengguna harian. Itulah yang menjamin survival mana-mana syarikat motosikal masa kini. Segmen yang menjadi fokus terkini ialah streetbike. Nyata ia pilihan yang tepat.

Produk streetbike KTM merangkumi hampir 50 peratus jualan syarikat manakala Duke terus menjadi pemacu jualan.

Keluarga Duke merupakan siri motosikal naked yang terbahagi kepada kategori Duke dan Super Duke. Secara ringkas, profail Duke lebih tertumpu pada model berkapasiti rendah hingga sederhana yang menggunakan enjin silinder tunggal.


SISTEM ASB roda belakang boleh dinyah aktif bagi mereka yang mahu nikmati tunggangan gaya supermotor.


Super Duke pula cenderung kepada kelas sesaran yang lebih tinggi dengan konfigurasi enjin V-Twin. Siri Duke merangkumi varian 125, 200, 390, 690 dan 690R manakala model Super Duke ialah 990 dan 990 R.

Bertempat di Pameran Motosikal Milan 2012, KTM mencetuskan keghairahan dalam industri roda dua apabila mempersembahkan model 1290 Super Duke R. Apa yang pasti, para pengeluar motosikal utama Eropah bakal berdepan saingan sengit dalam landskap naked bike.

Pengarah Urusan KTM Asia Tenggara, Selvaraj Narayana ketika ditemui di Litar Antarabangsa Sepang memberitahu, KTM 1290 Super Duke R tidak mempunyai sebarang pesaing secara langsung dalam pasaran antarabangsa.

Biarpun begitu dakwaannya, model yang diberi gelaran The Beast bakal mencetuskan saingan terhadap Aprilia Tuono V4, Ducati Streetfighter, MV Agusta Brutale dan Triumph Speed Triple.


LENGAN ayun tunggal aluminium membantu mengurangkan berat jentera sekali gus meningkatkan kecekapan bahan bakar.


KTM 1290 Super Duke R sememangnya memaparkan reka bentuk yang cukup agresif dengan solekan sudut tajam pada sebahagian besar tubuh jentera itu.

Model dengan pilihan warna hitam dan jingga memiliki tarikan hadapan hasil pengenaan set lampu utama yang didatangkan bersama lampu DRL LED.

Tiada mod Race

Rangkaian kuasa The Beast datangnya daripada enjin superbike KTM 1190 RC8 R (1,195cc). Unit enjin itu sudah melepasi fasa kejuruteraan semula termasuk membesarkan saiz gerek, meningkatkan kadar lejang, penggunaan omboh lebih ringan dan mengurangkan berat rod penyambung.

Pemetaan enjin melibatkan tiga jenis mod yang boleh ditetapkan dengan menggunakan butang kawalan pada bahagian kiri hendal. Penukaran tetapan hanya boleh dilakukan ketika jentera berada dalam keadaan statik. Masa menukar setiap tetapan mengambil masa selama lima saat.

Pilihan mod disediakan ialah Street, Sport dan Rain. Bagi mengawal ledakan tork, KTM memasang sistem kawalan jelajah Bosch MTC dan meningkatkan keupayaan membrek dengan padanan sistem brek antikunci (ABS).

Jika mahu merasa tunggangan supermoto, padamkan sahaja ciri ABS pada bahagian roda belakang. Ini membolehkan tayar belakang mudah gelongsor ketika bermain di kawasan selekoh.


MODEL Streetfighter terbaharu KTM mempersembahkan reka bentuk garang dan nyata cukup kemas.


Casis KTM 1290 Super Duke R diperbuat daripada keluli krom-molibdenum dengan padanan seunit lengan ayun tunggal aluminium. Kejuruteraan casis itu menitikberatkan ergonomik tunggangan.

Bagi merealisasikan aspek keseimbangan, jurutera KTM mengaplikasikan penggunaan sistem suspensi jenama WP pada bahagian hadapan dan belakang yang boleh ditala mengikut selera penunggang.

Bagi memastikan kadar cengkaman berada pada prestasi terbaik sewaktu pecutan atau mengambil selekoh, tugas itu diserahkan kepada tayar jenama Dunlop SportSmart 2. Tayar itu yang dicipta untuk kegunaan atas jalan dan trek lumba juga mampu memberi cengkaman bila berada di atas permukaan basah.

Untuk pasaran Malaysia, harga jualan asas ditetapkan pada tag harga RM128,800 seunit. Masuk akal? Mungkin berbaloi bagi mereka yang tahu nilai sebenar motosikal terbaharu edaran KTM Malaysia. Jika berminat, tempahan sudah dibuka.

Sendok Group luaskan tawaran van

Posted:

Sendok Group luaskan tawaran van

Sendok Group luaskan tawaran van


PEMBELI diberi pilihan konfigurasi 10 atau 12 tempat duduk bagi model Farid Placer-X A4


SENDOK Group Sdn. Bhd. (Sendok Group) meluaskan tawaran kenderaan van menerusi pengenalan model Farid Placer-X A4. Varian itu model ketiga di bawah keluarga CAM yang dihasilkan menerusi fasiliti pengeluaran yang terletak di Kapar, Klang di Selangor.

Placer-X A4 ditawarkan dengan dua pilihan konfigurasi tempat duduk iaitu 10 atau 12 buah kerusi. Produk yang tergolong sebagai kenderaan komersial ringan itu disasarkan kepada syarikat perniagaan atau individu persendirian.



Tenaga menggerakkan jentera diperoleh daripada unit enjin diesel DK4 2.5 liter berserta unit pengecas turbo yang mampu menghasilkan kuasa output sebanyak 85kW dan kuasa kilas setinggi 260Nm. Kelajuan maksimum van itu ialah 110 kilometer sejam.

Ruang dalaman van itu mengetengahkan beberapa ciri moden antaranya seunit skrin sesentuh yang menawarkan kemudahan sistem navigasi, pemain DVD serta kamera pandangan belakang. Pemandu juga boleh menyelaras stereng mengikut kesesuaian masing-masing.



Tambahan lain membabitkan tetingkap kuasa dan enam unit saluran pendingin hawa untuk keselesaan para penumpang. Menyentuh aspek keselamatan, Placer-X A4 didatangkan dengan sistem brek antikunci dan teknologi agihan brek elektronik (EBD) sebagai ciri standard.

Van dengan pilihan warna putih dan perak itu dijual pada harga sebanyak RM94,988 (individu) dan RM95,401 (syarikat). Jaminan diberikan ialah tiga tahun atau jarak perbatuan 100,000 kilometer (mana-mana tiba dulu).

CR-Z hibrid tak mengecewakan

Posted:

CR-Z hibrid tak mengecewakan

CR-Z hibrid tak mengecewakan

Oleh AFIFI HAFIZ MOHD. NOR
afifihafiz.nor@kosmo.com.my


REKAAN luaran Honda CR-Z yang mencerminkan imej sporty dan tidak menggambarkan kereta itu menggunakan enjin hibrid sebenarnya.


HONDA CR-Z merupakan kereta sport pertama keluaran Honda yang menggunakan teknologi hibrid. Model yang diperkenalkan di Tokyo Motor Show pada tahun 2007 itu diuar-uarkan sebagai model hibrid pertama menggunakan kotak gear manual enam kelajuan.

CR-Z yang bermaksud Compact Renaissance Zero itu membuktikan komitmen Honda untuk membina kereta tanpa terikat dengan nilai-nilai sebuah kereta hibrid biasa.

Pada tahun ini, Honda melancarkan model CR-Z dengan transmisi CVT tujuh kelajuan automatik di Malaysia. Kali ini, Honda Malaysia memberi peluang kepada penulis untuk memandu uji CRZ.

Sebaik pintu dikuak, ruang kokpit kelihatan padat namun nilai futuristik memberi karakter bahawa CR-Z sebenarnya kereta sport. Susun atur pelbagai butang bahagian bahagian tengah konsol memberi kesan simetri yang selesa mata memandang.

Antara butang-butang yang menarik perhatian penulis ialah butang S+, Sport, Normal dan ECON yang mendiami kawasan sebelah kanan pemandu.

Kompak berprestasi

Pun begitu, ruang tempat duduk belakang memang sempit malah ia hanya sesuai untuk meletak fail atau buku sahaja. Bagi penulis, untuk meningkatkan keluasan ruang simpanan barang, lebih praktikal jika direbahkan sahaja tempat duduk barisan belakang.


ENJIN CR-Z ini tidak boleh dipandang rendah kerana ia mampu menghasilkan kuasa maksimum sebanyak 135PS pada 6,600rpm.


Pandu uji kali ini bermula dari Kuala Lumpur ke Genting Highlands, Pahang sejauh 40 kilometer.

Sebaik melepasi Plaza Tol Gombak, mod pemanduan sport menjadi pilihan bagi menikmati keupayaan kereta hibrid yang sering didakwa kurang 'power.'

Sangkaan itu terus meleset sebaik butang mod sport ditekan. Panel meter terus berubah warna dari biru kepada merah. Deruman enjin mula sedikit garang manakala takometer segera menunjukkan angka 5,000 RPM. Pilihan mod berkuasa dengan hamburan kuasanya walaupun CR-Z hanya berkapasiti 1500cc.

Melayan liku-liku mendaki pusat pelancongan Genting Highlands setinggi 1,740 meter itu bagai tidak terasa berikutan kerusi jenis semi bucket bagi memegang badan penulis.

Sistem suspensi jenis MacPherson Strut dengan bar penstabil pada bahagian hadapan manakala Torsion-Beam Axle untuk roda belakang banyak membantu CR-Z mengambil selekoh.


SUSUNAN panel radio dan pendingin hawa mudah dicapai tangan pemandu.


Apabila melayan selekoh sewaktu mendaki bukit, penulis dapat merasakan kereta ini menawarkan prestasi memuaskan biarpun menggunakan sistem transmisi automatik.

Kadar senggukan kotak gear kurang terasa jika memilih mod ECON dan Normal namun ketika menekan pedal dalam mod Sport, perkara itu jelas terasa. Ini mungkin disebabkan enjin perlu berusaha lebih keras dan penukaran gear didapati bertukar dalam tempoh lebih panjang untuk membolehkan penjanaan kuasa lebih tinggi. Perkara ini menjadikan enjin lebih ringan dan kuasa tarikan dinikmati sepenuhnya.

Kombinasi enjin 1.5 liter i-Vtec dan Integrated Motor Assist (IMA) mampu menjana kuasa maksimum 135 PS pada 6,600 rpm dan tork maksimum 172 Nm pada 1,000 hingga 3,000 rpm.

Penggunaan bateri jenis Litium-Ion berprestasi tinggi di samping motor elektrik berkuasa tinggi yang menyumbang kudrat pada model ini untuk menjayakan pemanduan sport.

Sejurus sahaja sampai di laluan lurus, penulis menekan butang S+ dan didapati meter rpm bergerak lebih laju daripada normal.

Honda CR-Z ini menggunakan rim bersaiz 16 inci dan tayar jenama Bridgestone Potenza bersaiz 195/55. Kereta ini pernah meraih beberapa anugerah antaranya Anugerah Kereta Hijau Terbaik 2010 (2010 Top Gear Green Car of the Year) di Britain dan kereta terbaik (Car of the Year, COTY) di Jepun bagi tahun 2010/2011.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved