Sabtu, 16 November 2013

Kosmo Online - Rencana Utama


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Rencana Utama


Garis masa 200 tahun kamera

Posted:

Garis masa 200 tahun kamera

Garis masa 200 tahun kamera

PELUANG berkunjung ke Muzium Kamera yang terletak di George Town, Pulau Pinang memberikan perspektif yang berbeza mengenai dunia kamera.

Rasa teruja untuk melihat sendiri bentuk dan rekaan kamera yang digunakan pada 200 tahun lalu membuak-buak apatah lagi ia muzium kamera pertama di Asia Tenggara.

Pencapaian tersebut membolehkan muzium ini mencatat nama dalam Malaysia Book of Records pada 23 Julai lalu.

Muzium berharga RM1 juta ini dirasmikan pada 31 Ogos lalu.

Salah seorang Pengarah Muzium Kamera iaitu Najieb Ariff Nazir Ariff, 35, berkata muzium itu merupakan ilham bersama enam orang rakannya yang lain iaitu Tony Chng, 34; Chris Cheah, 33; Venus Khor, 28; Lance Ooi, 27; Paul Lee, 27 dan Adrian Soh, 26. Kesemua mereka merupakan jurugambar profesional dan pencinta seni fotografi.

"Idea untuk membuka muzium kamera ini tercetus pada awal tahun 2012 apabila Chng dan Ooi bertemu seorang rakan mereka yang juga pengumpul kamera vintaj pada sebuah majlis makan malam di Terengganu. Chng dan Oii tertarik dengan kamera lama jenis Rolleiflex yang digunakan rakan mereka itu untuk merakam gambar pada majlis tersebut.


MUZIUM Kamera yang dibuka pada 31 Ogos lalu ini bernilai hampir RM1 juta.


Vintaj

"Ketika itu, mereka secara berseloroh memberitahu alangkah bagusnya jika mereka dapat mengumpul kesemua koleksi kamera lama itu," ujar Najieb.

Najieb memberitahu, kamera vintaj dipilih kerana ia sukar diperoleh sekarang.

"Kebanyakan orang kini memiliki telefon bimbit yang dilengkapi kemudahan kamera. Mereka juga boleh memuat naik gambar yang diinginkan pada bila-bila masa dan di mana jua. Tetapi jangan lupa, 20 tahun lalu kita masih menggunakan filem untuk menghasilkan gambar.

"Pengalaman mengendalikan kamera lama ini juga sangat mencabar. Bayangkan kerja untuk menghasilkan sekeping gambar juga memakan masa yang lebih lama berbanding kamera digital.

"Jadi, Muzium Kamera ingin membawa kembali kenangan fotografi serta mendidik anak-anak muda mengenai asal usul kamera.

"Kami memilih Pulau Pinang sebagai lokasi muzium ini disebabkan kebanyakan daripada kami berasal dari negeri ini. Secara tidak langsung, kami mahu menyumbang kepada industri pelancongan negeri menerusi muzium ini," tambahnya.


HAMPIR 70 peratus kamera lama di muzium ini masih berfungsi dengan baik.


Muzium dua tingkat seluas 371 meter persegi ini menempatkan pameran fotografi dan kedai menjual barangan cenderamata serta kafe di tingkat bawah manakala galeri pameran yang menempatkan lebih 300 kamera vintaj di tingkat atas.

Melangkah masuk ke pekarangan muzium ini, pengunjung dihidangkan dengan pameran fotografi karya jurugambar dokumentari, Maggie Steber serta beberapa replika kamera lama.

Penulis dibawa ke tingkat atas yang menempatkan kamera vintaj, bilik pinhole, bilik obskura dan bilik gelap oleh seorang kakitangan muzium yang bertindak sebagai pemandu pelancong, Mohd. Azzeem Mohd. Naim, 22.

Sebelum memasuki ruang pameran utama, penulis terlebih dulu diterangkan tentang konsep keseluruhan ruang di tingkat atas menggunakan peta. Di sini, pengunjung dapat merasai pengalaman fotografi dengan cara yang berbeza.

Di bilik obskura, pengunjung boleh mengendalikan kamera pertama di dunia, iaitu kamera obskura.

Kamera ini membenarkan cahaya masuk melalui lubang kecil dan menghasilkan imej songsang yang kemudiannya diunjurkan dari cermin bersudut ke panel kaca pada peranti, di mana kertas boleh diletakkan di atasnya supaya imej dapat dikesan.


BILIK gelap ini hampir 100 peratus sama dengan bilik gelap fotografi yang sebenar.


Koleksi unik

Kamera merupakan sejenis alat optik yang merekodkan imej yang boleh disimpan secara langsung dan dihantar ke lokasi lain. Ia diterjemahkan melalui paparan gambar atau imej bergerak seperti video dan filem.

Istilah kamera berasal daripada perkataan Latin, obscura yang bermaksud bilik gelap.

"Pengunjung turut berpeluang mengendalikan kamera antik yang sebenar serta menghayati sejarah kamera sejak abad ke-19 hingga abad ke-21," beritahu Najieb.

Koleksi kamera perisik dan kamera untuk senapang ciptaan Jepun yang digunakan semasa Perang Dunia Kedua pula menghiasi sebuah bilik unik di muzium ini.

Penulis seterusnya dibawa ke replika bilik gelap yang juga bilik untuk memproses gambar bagi mendidik pengunjung tentang cara gambar filem dihasilkan.

"Terdapat dua bahagian di bilik gelap ini iaitu kawasan kering dan basah tetapi kami tidak menggunakan bahan kimia sebenar untuk memproses gambar disebabkan ia agak bahaya untuk kanak-kanak.

"Replika bilik gelap ini hampir sama dengan keadaan bilik gelap yang sebenar," beritahu Najieb.

Sebahagian daripada koleksi kamera di muzium ini diperoleh dari lebih 20 negara termasuk Jepun, Rusia, China, Jerman, India dan Amerika Syarikat (AS). Ia dibeli secara online melalui laman web eBay.

"Di Malaysia, kami memperoleh koleksi kamera daripada pengumpul kamera lama dan kedai barangan antik di sekitar Terengganu dan Perak," ujarnya sambil memberitahu, penggunaan slogan Bring Back the Time menjadi tema kepada muzium itu.


SEJARAH penciptaan kamera diterjemahkan melalui garis masa di muzium ini.


Tambahnya, antara jenis kamera yang terdapat di muzium itu ialah SLR, kamera polaroid, kamera obskura, kamera pengintip, kamera refleks lensa berkembar, kamera, kamera plat basah dan kamera lipat.

"Kami juga ada mempamerkan koleksi kamera untuk kanak-kanak yang berbentuk karakter kartun Bugs Bunny, Barbie dan Spiderman yang dibawa dari Amerika Syarikat.

"Pengunjung dikenakan bayaran masuk sebanyak RM20 bagi dewasa dan RM10 bagi pelajar dan warga emas manakala percuma bagi kanak-kanak bawah 12 tahun," jelasnya yang mempunyai lapan orang kakitangan.

Selain itu, pengunjung juga berpeluang melihat peralatan lain yang digunakan bersama kamera seperti tripod buatan AS.

"Kamera yang digunakan pada tahun 1800 sangat berat dan panjang. Kadangkala sesi bergambar memerlukan masa sekitar empat hingga lapan jam bagi sekeping gambar.

"Tripod ini digunakan bagi memastikan gambar yang diambil tidak kabur atau bergegar," tambahnya sambil memberitahu hampir 70 peratus kamera lama yang terdapat di muzium itu masih berfungsi.

Jelasnya, pihaknya juga ada menjual cenderamata yang berasaskan kamera seperti mug bermotifkan lensa kamera, pelekat magnet dan baju-T yang dijual pada harga antara RM5.90 hingga RM200.

Nilai anak di mata penculik

Posted:

Nilai anak di mata penculik

Nilai anak di mata penculik

Oleh ZULHILMI JALIL

FREDDIE JOSEPH ditemui semula di Taman Tasik Titiwangsa, Kuala Lumpur selepas 19 jam dilarikan penculik.


TANGGAL 8 November lalu mungkin menjadi detik yang tidak dapat dilupakan oleh Sarah Joseph, 38, selepas hasrat untuk meluangkan masa bersama anaknya di kawasan pekarangan rumah bertukar tragedi yang tidak disangka-sangka.

Anak lelakinya, Freddie Joseph yang berusia setahun enam bulan dilarikan seorang penjenayah ketika Sarah sedang memberi makan kepada anaknya itu di kediamannya di Jalan Temasek, Bangsar, Kuala Lumpur.

Insiden berkenaan mendapat liputan meluas di media cetak dan elektronik.

Episod tersebut membuatkan kita terbayang kembali kejadian pada April tahun lalu apabila seorang kanak-kanak warga Belanda, Nayati Shamelin Moodliar, 12, dilarikan sewaktu kanak-kanak itu dalam perjalanan ke sekolahnya iaitu Sekolah Antarabangsa Mont Kiara, Kuala Lumpur.

Setelah seminggu dilarikan, Nayati akhirnya dibebaskan di kawasan Hentian Rawat & Rehat Rawang, Lebuh Raya Utara-Selatan selepas ahli keluarganya membayar wang tebusan sebanyak RM300,000.

Tidak jauh bezanya dengan kes yang menimpa Nurin Jazlin, Nurul Huda Abdul Ghani dan Nurul Nadirah Abdullah atau Dirang sebelum ini yang hilang selepas diculik individu tertentu.

Apa yang menyedihkan ialah misteri kehilangan anak-anak kecil ini berakhir dengan penemuan jasad yang sudah tidak bernyawa lagi.

Bagaimanapun, guru warga British itu dianggap bernasib baik apabila anak lelakinya itu ditemui semula oleh orang awam di kawasan Tasik Titiwangsa, Kuala Lumpur selepas 19 jam dia diculik.

Tidak keterlaluan jika ingin dikatakan kes kanak-kanak hilang berlaku saban tahun di negara ini.

Malah, menurut Pertubuhan Keselamatan Anak-Anak Malaysia (PaMa), statistik menunjukkan dari 1985 hingga Oktober 2011, sebanyak 17,088 kes kanak-kanak hilang dilaporkan.

Daripada angka itu, hanya 6,944 orang dijumpai semula.

Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak dan Akta Kanak-Kanak 2001 mendefinisikan kanak-kanak sebagai seorang yang berumur di bawah 18 tahun.

KANAK-KANAK yang diculik kebiasaannya dijadikan mangsa tebusan. - Gambar hiasan


Tempat awam

Malah, golongan ini dikatakan merangkumi 35 peratus populasi iaitu seramai 10.3 juta daripada 29.3 juta rakyat Malaysia.

Ini bermakna sekiranya individu yang diculik atau hilang itu merupakan pelajar sekolah menengah, mereka masih dianggap sebagai kanak-kanak.

Pengerusi PaMa, Mohd. Fairuz Mohamed Isa berkata, kes kanak-kanak hilang dapat diklasifikasikan kepada tiga kategori.

"Pertama, hilang akibat lari daripada jagaan, diculik dan sesat di tempat awam.

"Namun, bagi kes culik, kebiasaannya ia melibatkan kanak-kanak yang berumur 14 tahun ke bawah dan berkait dengan pemerdagangan manusia atau dijadikan sebagai mangsa tebusan," katanya.

Ujarnya, kejadian jenayah seperti ini bukan hanya menjadi igauan di negara ini, malah di luar negara.

Ia terbukti menerusi kajian National Incidence Studies of Missing, Abducted, Runway, and Thrownway Chidren (NISMART) pada tahun 2002 yang menunjukkan sebanyak 58,200 kes kanak-kanak dilaporkan hilang disebabkan penculikan pada tahun 1999 di Amerika Syarikat.

"Namun, realitinya, satu kaji selidik yang dijalankan pada tahun 2006 di AS mendapati ibu bapa merasakan kehilangan anak-anak di tempat awam lima kali lebih membimbangkan daripada pengganas dan tiga kali daripada penculikan," ujarnya.

Apa jua terjadi, ibu bapa perlu memainkan peranan penting dengan mengambil langkah berjaga-jaga bagi memastikan tiada ruang buat penjenayah untuk bertindak sedemikian.

"Sistem keselamatan seperti kamera litar tertutup di rumah sebenarnya dapat membantu jika berlaku kejadian yang tidak diingini.

"Biarpun ia memerlukan sedikit kos, tetapi bagi jangka panjang, ia dapat mengurangkan risiko kejadian jenyah secara terang-terangan ini," ujar Presiden Lembaga Kesedaran Pencegahan Jenayah Malaysia, Prof. Datuk Seri Saharuddin Awang Yahya.

Malah, katanya, pihak polis juga harus lebih peka dengan membuat pemantauan di kawasan perumahan yang berkemungkinan menjadi sasaran penjenayah seperti di kawasan perumahan elit.

Namun, ujar beliau, masyarakat juga tidak boleh meletakkan sepenuhnya tanggungjawab ke atas pihak berkuasa semata-mata.

"Masyarakat sendiri juga perlu memupuk kesedaran pencegahan jenayah menerusi penubuhan persatuan rukun tetangga di satu-satu tempat bagi menghidupkan suasana berjiran," ujarnya.

Durian runtuh untuk petani, nelayan

Posted:

Durian runtuh untuk petani, nelayan

Durian runtuh untuk petani, nelayan

Oleh MEGAT RAMLI MEGAT RAOF


ISMAIL SABRI (kiri) menyampaikan replika cek insentif untuk peserta Program Bidang Keberhasilan Utama Negara kepada wakil Koperasi Wawasan Tani Simpang 5 Sg. Besar Bhd. di Kuala Selangor baru-baru ini.


KEMENTERIAN Pertanian dan Industri Asas Tani komited untuk melaksanakan pelbagai program yang menjana pendapatan golongan peladang, penternak dan nelayan sekali gus menjadikan kehidupan mereka lebih selesa.

Menterinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, perkara itu dapat dilaksanakan berikutan peruntukan RM6 bilion bagi kementerian itu sebagaimana diumumkan dalam Bajet 2014 baru-baru ini.

Beliau berkata, antara fokus kementerian itu adalah memastikan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) meneruskan strategi mengeksport produk ladang tempatan secara terus.

Menurut beliau, pihaknya juga berusaha untuk membuka agro bazar buah-buahan Malaysia di Singapura dalam masa terdekat.

Katanya, jika program itu berjaya, konsep agro bazar akan diperluaskan ke negara-negara Asia Barat, Australia dan lain-lain.

Menurut beliau, pihaknya juga akan meningkatkan eksport durian ke China memandangkan permintaan dan harga jualan yang tinggi di negara itu.

Katanya, bagi memastikan kesegaran produk pertanian termasuk durian, kerajaan akan menyediakan kemudahan bilik sejuk di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.

"Pemasaran produk tempatan ini bukan sahaja berupaya meningkatkan eksport negara malah dapat memberi pulangan yang lebih lumayan kepada petani," katanya.

Beliau berucap pada majlis perasmian Hari Peladang, Penternak dan Nelayan (HPPN) 2013 peringkat Negeri Selangor yang berlangsung selama tiga hari di Kuala Selangor baru-baru ini.

Sepanjang penganjuran HPPN, pelbagai acara menarik diadakan antaranya ceramah agama, sukan rakyat, jualan, pameran, pertandingan memancing dan memasak serta seminar keusahawanan.

Ismail Sabri memberitahu, bagi pasaran tempatan, sebanyak 60 buah pasar tani, 50 buah pasar ikan, 50 buah karavan tani dan 100 buah gerai buah-buahan akan ditambah di seluruh negara.


ISMAIL SABRI melawat sebuah gerai di Kuala Selangor baru-baru ini.


Jualan terus

Katanya, penjualan terus produk makanan dan hasil tangkapan kepada pembeli dapat mengurangkan penguasaan orang tengah.

Usaha berkenaan juga selaras dengan tekad beliau yang mengisytiharkan 2014 sebagai tahun jihad terhadap penguasaan orang tengah yang selama ini mengaut keuntungan atas penat jerih golongan peladang, penternak dan nelayan.

"FAMA, Lembaga Pertubuhan Peladang dan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia telah diarah untuk mewujudkan pusat pengumpulan produk atau buah-buahan di setiap daerah sebelum dihantar ke pasar-pasar tani atau pasar lain," ujarnya.

Ismail Sabri berpendapat antara masalah yang membelenggu serta mengekang golongan berkenaan daripada lebih maju adalah penguasaan orang tengah dalam urusan pemasaran.

Justeru, antara pendekatan yang akan dilaksanakan termasuk memperkukuhkan rantaian nilai bagi setiap sektor pertanian agar golongan itu tidak bergantung kepada orang luar lagi.

"Oleh sebab itu, pihak kementerian bersungguh-sungguh untuk menambah bilangan pasar tani, serta mewujudkan pasar tani kekal dan pasar nelayan di negara ini supaya peladang, penternak dan nelayan boleh terus menjual hasil mereka kepada pembeli.

"Kita yakin golongan ini bukan sahaja akan dapat keluar daripada belenggu kemiskinan malah menjadikan mereka golongan berpendapatan tinggi," katanya.

Menurutnya, semua perkara itu terkandung dalam Program Transformasi Pertanian yang dirancang dilaksanakan oleh kementeriannya tahun depan.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved