Sabtu, 16 November 2013

Kosmo Online - Hiburan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Hiburan


Kesempatan kedua Noah

Posted:

Kesempatan kedua Noah

Kesempatan kedua Noah

INI bukan satu cerita luar biasa, namun ia menjadi luar biasa bagaimana empat lelaki yang pada satu ketika telah jatuh terhempas di dalam satu lubuk gelap, ditarik semula untuk kembali bernafas dalam udara yang cukup nyaman. Ia, kemudian dianggap sebagai satu rahmat luar biasa yang tidak akan disia-siakan oleh mereka - Ariel, Lukman, Uki dan Reza.

Catatan gelap karier mereka bermula dua tahun lalu bersama Peterpan, saat vokalis mereka, Ariel dipenjarakan atas kesalahan pornografinya bersama beberapa wanita.

Sebaik dia terperuk di penjara, pada saat itu juga, tiga rakan yang lain yang sama-sama memperjuangkan Peterpan, 'mati' sama.

Padahal, sebelum semuanya diregut tanpa pesan, Peterpan saat itu masih khayal dengan kemewahan material dan populariti yang cukup hebat. Bagaimanapun, sepantas kerdipan mata, semuanya hilang ditelan badai.

Namun, Tuhan sayangkan umatNya, dan begitu yang terjadi kepada mereka. Sepanjang Ariel dipenjarakan, sememangnya rakan-rakan yang lain hilang semangat.

Malu untuk keluar berhadapan dengan khalayak, serta hampir berputus asa untuk meneruskan karier bermain muzik.

Bagaimanapun, keyakinan Reza, Uki dan Lukman menanti keputusan mahkamah untuk melepaskan Ariel dan kembali 'memandu' grup baharu mereka membuat Noah kembali berjalan dalam lapangan muzik Indonesia.

Bertemu empat lelaki ini serta seorang ahli baharu mereka, David, mencetuskan satu emosi yang sukar diterjemah dengan kata.

Ada kedukaan yang mereka cuba hilangkan dari ingatan, diganti dengan rasa gembira dan syukur bukan kepalang.

"Kesempatan kedua yang datang pada kami ini adalah kalam Allah," begitu pemain drum mereka, Reza, menyimpulkan tentang kembalinya Noah dalam belantara muzik Indonesia.

Bagi Uki pula yang menjawab dalam bicara penuh tersirat: "Setiap manusia melakukan kesalahan, dan apabila Tuhan bisa memaafkan seseorang itu, bermakna orang itu memang sering berada dalam perhatianNya."

Sementara Ariel yang melafaz kata syukur terhadap musibah yang menimpa dirinya pula dengan ringkas berkata: "Apa yang menimpa diri saya, adalah hal yang tidak berlaku kepada semua orang. Saya bersyukur kerana diberi kesempatan untuk punya peluang kedua dalam kehidupan saya."

Ternyata, kesempatan kedua yang diberi Tuhan memang diguna sebaik mungkin oleh mereka. Sejak Ariel dibebaskan dengan bersyarat, syarikat rakaman yang menaungi mereka, Musica, mengambil risiko cukup besar untuk kembali mempertaruhkan grup ini.


NOAH kini masih sibuk dengan konsert mereka di seluruh Indonesia.


Mereka merangka jelajah lima negara termasuk Malaysia dan Australia sebagai percubaan melihat termometer grup tersebut, adakah ia masih panas atau sudah tidak dipedulikan.

Tanpa sebarang tajaan, lalu terbang Noah menjengah lima negara memperdengarkan debut perdana mereka, Seperti Seharusnya yang digarap sepanjang Ariel berada di dalam penjara. Hasilnya sukses!

Sejak itu, sudah lebih setahun Noah tertubuh, mereka kini bagai mendapat nyawa baharu. Malah, dalam pada banyak yang menentang perlakuan Ariel pada satu ketika dahulu, kini semuanya terbentuk menjadi positif.

Noah menjadi raksasa dalam muzik Indonesia apabila menjadi grup nombor satu pada masa kini. Mereka juga hampir tidak punya waktu rehat dan padat dengan pelbagai jemputan melakukan persembahan, sekali gus membuat Noah menjadi grup paling mahal di republik tersebut.

Bercakap tentang hal tersebut, Uki dan Ariel tidak lekang menyebut ia sebagai keberuntungan terhadap peluang kedua yang tidak mungkin mereka lepaskan.

Ariel kemudian membuka cerita. Ujar lelaki berusia 32 tahun itu, kekuatan yang membuat dia kembali aktif dalam dunia muzik ialah kerana semangat setia kawan yang tinggi dalam diri tiga sahabatnya yang lain.

Mereka sanggup menunggu dirinya dan yakin bahawa jika mereka kembali aktif, kehadiran mereka mampu mencetus fenomena seperti dahulu.

"Sebenarnya sepanjang berada di dalam penjara, saya pernah menyuarakan pendapat agar mereka menubuhkan grup lain atau berjalan tanpa saya kerana saya tidak tahu tentang keputusan dan masa depan yang akan diputuskan terhadap saya.

"Bagaimanapun, mereka tetap setia dan ia menjadi satu kepercayaan buat saya untuk kembali aktif. Sementelah, dalam masa yang sama, kami juga masih dalam kontrak, jadi masih belum boleh berpecah untuk tidak melanggar kontrak," ujar Ariel.

Uki yang duduk di sebelah Ariel kemudian mencelah. Dia menjelaskan, sepanjang Ariel dipenjarakan, mereka tetap berkarya dan sebagai satu tanda penghargaan, mereka telah melahirkan sebuah album instrumental khusus buat Ariel dan peminat mereka. "Ya, memang kami punya pilihan untuk tidak menanti dia, namun kami percaya kepada semangat setiakawan.

"Lantas, sepanjang dia berada di dalam penjara, kami di luar mengerjakan sebuah album khas untuk peminat tanpa 'menghilangkan' Ariel di situ.

"Saya fikir, terpisahnya kami dulu, bukan alasan untuk kami berjalan tanpa dia. Justeru, sebaik mendengar keputusan mahkamah yang membebaskan dia tanpa syarat, kami terus bersatu untuk memastikan Noah kembali."


NOAH berharap agar filem Noah, Awal Semula dinilai dengan perspektif yang positif.


Sebaik Ariel dibebaskan, masalah mereka ialah adakah pertaruhan yang dirancang akan berhasil. "Sebaik saya dibebaskan, kami bersama Music menggunakan plan A untuk mencuba pasaran kami, dan ternyata ia berhasil, maka setakat hari ini, kami tidak perlu menggunakan plan B yang dipersiapkan jika plan A kami gagal," ujar Ariel pula.

Ariel saat ditanya bagaimana kehidupan di dalam penjara banyak membantu dirinya pada masa kini, tersenyum sebelum menjawab: "Saya telah memanfaatkan waktu dengan sebaiknya. Bukan dahulu saya tak punya waktu, ada, tapi tidak dimanfaatkan dengan perkara-perkara berfaedah.

"Misalnya, sepanjang di dalam penjara, saya banyak menghabiskan masa dengan mentelaah buku dan membuat saya mengerti lebih banyak hal yang sebelum ini saya terlepas pandang.

"Ya, perkara-perkara seperti ini, dalam ruang waktu saya sendiri inilah yang telah membantu kehidupan saya pada hari ini," ujarnya yang masih perlu melaporkan dirinya di penjara di Bandung sebulan sekali sebagai bukti dia tidak lari daripada negara sendiri.

Filem

Selain sukses dengan perjalanan baharu mereka, Noah juga kini melangkah setapak lagi apabila muncul dengan filem sulung yang diberi judul Noah, Awal Semula.

Ia merupakan sebuah filem yang mendokumentasikan semua perjalanan karier mereka sejak bersama Peterpan sehingga mereka bubar dan tertubuhnya Noah.

Menariknya filem yang dihasilkan oleh 700 Pictures, Berlian Entertainment dan Musica Studio's ini ialah garapan atau cantuman karier mereka dalam pelbagai emosi.

Paling meruntun, apabila setiap anggota melahirkan rasa 'mati' mereka saat Ariel ditangkap dan dipenjarakan, selain babak lelaki itu berada di dalam penjara dan bergaul dengan penghuni penjara yang lain.

Menurut sutradaranya, Putrama Tuta, apa yang cuba dia sampaikan di dalam filem tersebut ialah tentang kesempatan kedua yang Tuhan hadirkan buat sesiapa yang Dia kehendaki.

"Keseluruhan filem ini berkisar tentang jatuh bangun Peterpan, Ariel dan rakan-rakan serta Noah. Semuanya dilakukan tanpa satu pun babak lakonan, ia sebaliknya merupakan cantuman rakaman daripada jelajah konsert mereka dan temu bual bersama mereka.

"Harapan saya, agar penonton dapat melihat kejujuran pembikinan cerita ini yang mahu mengangat tentang setiap manusia mempunyai peluang kedua dalam kehidupan dan perlu yakin dengannya," ujar Putrama.

Sementara itu, Ariel dan Uki berharap agar semua khalayak mendapat manfaat daripada filem yang dipersembahkan oleh mereka. Ia bukan soal siapa mereka, tetapi soal kesempatan dan perjuangan mereka dalam dunia muzik.

Lelaki itu bukan muda - Noniswara

Posted:

Lelaki itu bukan muda - Noniswara

Lelaki itu bukan muda - Noniswara

Oleh NOOR ASHREEN ISMAIL


PELAKON ini enggan memikirkan soal cinta buat masa sekarang.


BEBERAPA bulan lalu, kes penceraian pelakon Noniswara dengan Datuk Rosman Ridzwan sudah selesai dan kini dia sudah kembali solo. Namun, belum pun cukup setahun usia penceraiannya, wanita yang mesra disapa sebagai Nonis ini kini dihimpit kontroversi dengan gosip baharu tentang dirinya.

Menerusi perkhabaran yang masih bertiup itu, khabarnya Nonis, 44, kini sudah mempunyai kekasih baharu yang jauh lebih muda daripadanya. Nonis juga dikatakan sering juga membawa kekasih baharunya itu ke majlis-majlis dan ada yang pernah terserempak dengan mereka berdua.

Namun, itu sekadar gosip kerana tuan punya badan, tidak mengesahkan apa-apa tentang kebenaran berita tersebut.

Justeru, bagi mendapatkan kepastian dan tidak ingin membuat apa-apa spekulasi tentang perhubungan baharu itu, Kosmo! telah menghubungi Nonis. Ikuti pengakuan Nonis yang berbicara tentang kesahihan cerita yang disebarkan itu.

Kosmo! Bagaimana dengan kehidupan Nonis sekarang ini selepas kembali solo?

NONIS: Kehidupan saya masih seperti biasa. Sibuk dengan beberapa tawaran lakonan serta kerja yang saya lakukan dan juga anak-anak.

Namun, jika dahulu, ada suami, masa bersama suami harus ada. Kini, saya lebih banyak luangkan masa bersama rakan-rakan dan juga punya masa untuk sesi manjakan diri sendiri.

Selain lakonan, adakah Nonis ada melakukan kerja sampingan seperti perniagaan atau seumpamanya?

Bagi tawaran lakonan, saya pilih yang tidak mengambil tempoh masa lama. Saya ada ambil beberapa tawaran drama dan telefilem sahaja.

Selain itu, saya juga ada membuat kerja separuh masa iaitu menjadi perunding kewangan peribadi.

NONIS kini sibuk menguruskan kehidupannya bersama tiga orang anaknya.


Bolehkah Nonis komen tentang gosip yang mengatakan anda kini sudah ada pengganti?

Memang tiada pengganti atau kekasih buat masa ini. Memang saya akui, ada yang mahu mendekati, namun sekarang belum lagi masanya. Tambahan, saya baru habis tempoh edah tempoh hari, mana mungkin pula saya sudah mahu raikan dengan punya kekasih baharu. Saya kini ingin beri fokus terhadap karier dulu.

Jadi, tidak benarlah dakwaan tersebut?

Tak baik cerita begini dibuat. Saya ketika itu mengajak rakan saya untuk menemani saya ke majlis itu sahaja. Dia bukan kekasih atau sesiapa yang istimewa. Banyak lagi benda dalam perancangan saya yang ingin saya lakukan. Bukannya saya serik tapi malas saya ingin fikirkan tentang cinta buat masa ini.

Adakah ini bermakna Nonis tidak serik lagi untuk menjalinkan hubungan yang serius selepas ini?

Jodoh adalah ketentuan Allah, jika benar jodoh saya bersama sesiapapun, memang perkara tersebut tidak dapat dielakkan. Namun, jika benar saya mengenali seseorang, saya akan nilai dan kenal betul-betul sebelum membuat keputusan.

Ini perkahwinan saya yang ketiga, jadi saya mahu sangat berhati-hati dalam memilih pasangan dan membuat keputusan. Memang saya tidak menafikan ada yang mahu rapat tapi saya masih tidak buka ruang itu untuk sesiapa.

Jadi, boleh Nonis beritahu siapakah gerangan jejaka muda yang dilihat bersama anda ke majlis seperti yang diperkatakan?

Lelaki itu sebenarnya kawan saya dan dia bukan muda seperti yang dikatakan. Dia sebaya dengan saya. Orang kenal saya, tahu umur saya, dan orang tidak kenal dia. Mungkin juga penampilannya, orang nampak dia muda. Memang belum terbuka hati saya dan jika keluar pun kami ramai-ramai bersama kawan-kawan.

Mungkin juga orang salah sangka kerana saya sering bertemu dengan klien atas urusan kerja. Saya mahu fokus terhadap masa depan saya kini, dan bukan perkara sebegini.

Saingan finalis Ratu Rania

Posted:

Saingan finalis Ratu Rania

Saingan finalis Ratu Rania

Oleh NOOR ASHREEN ISMAIL

AIDA yang nampak lembut sebenarnya seorang wanita yang tegas.


SETELAH sembilan minggu bersaing, program realiti Ratu Rania bakal berakhir. Program yang baru bersiaran untuk musim pertama itu merupakan sebuah rancangan pencarian ikon wanita moden dan kini, dua finalis akhir telah pun diumumkan.

Dua orang ibu iaitu Normazuraida Zakaria, 34 tahun dan Rosnawati Bachok, 37 tahun merupakan finalis yang berjaya mara ke peringkat akhir untuk merebut gelaran Ratu Rania musim yang pertama ini.

Finalis yang dipilih melalui sistem permarkahan 100 peratus oleh tiga orang juri tetap yang terdiri daripada Rizalman Ibrahim, Rozita Che Wan dan Ziana Zain itu telah mengetepikan dua lagi peserta di peringkat separuh akhir.

Selain menguji sejauh mana pengetahuan mereka terhadap produk Safi Rania, mereka juga dinilai mengikut tiga kriteria utama yang lain iaitu keyakinan diri, pengetahuan am dan berpersonaliti menarik.

Walaupun mereka merupakan seorang ibu dan isteri, tanggungjawab terhadap keluarga tidak diabaikan walaupun mempunyai jadual yang sibuk. Namun begitu, mereka terpaksa berkorban dari segi masa untuk dibahagikan antara menjadi peserta program serta menguruskan keluarga.

Aida tegas dalam kelembutan

"Walaupun jadual saya padat, saya tidak sesekali abaikan keluarga ketika sibuk menguruskan karier saya sebagai pegawai tadbir di Kementerian Pertahanan, Jalan Semarak, Kuala Lumpur.

"Saya akui saya perlu bijak bahagi masa, tambahan pula saya seorang ibu tunggal," tutur Normazuraida atau lebih mesra disapa Aida ini.

Apa yang menariknya, ketika bertemu wanita itu, dia kelihatan seperti seorang wanita yang lemah lembut pertuturannya.

WATIE, ibu moden yang sudah mempunyai tiga orang anak.


Namun, hakikatnya Aida merupakan seorang yang tegas di tempat kerjanya dan perkara tersebut diakui oleh pekerjanya sendiri.

Bicara Aida tentang kelebihan dirinya sebagai peserta program ini ialah dia mempunyai keyakinan diri yang tinggi serta punya personaliti yang menarik.

Tambahnya, sepanjang tempoh menjadi peserta Ratu Rania, dia telah melakukan segala tugasan dengan penuh semangat.

Watie raih sokongan keluarga

Lain pula cerita Rosnawati Bachok atau lebih mesra dengan panggilan Watie yang bersyukur kerana mendapat sokongan suami serta anak-anak sepanjang menjadi peserta program itu. Watie yang merupakan seorang pegawai pentadbiran dan peragawati sambilan berkata, dia perlu bijak menguruskan jadual.

"Ketika saya mula-mula terlibat dalam program ini, keadaan memang kelam-kabut kerana ingin uruskan anak-anak serta suami, tambahan pula dengan karier saya. Namun, saya berterima kasih kepada anak-anak dan suami kerana sentiasa menyokong saya.

"Anak-anak merupakan pengkritik tetap saya di rumah. Selain itu, apabila terlibat dalam program ini, saya terpaksa korbankan karier sebagai peragawati sambilan untuk beri lebih fokus terhadap semua ini," jelas Watie yang mempunyai tiga orang cahaya mata.

Bicara Watie, sepanjang terlibat dalam Ratu Rania, dia menghadapi cabaran dalam mengekalkan stamina untuk mengharungi cabaran yang telah disediakan. Ini kerana sejak beberapa tahun lamanya, dia tidak aktif melakukan aktiviti berat.

Kedua-dua finalis itu ternyata menyimpan harapan untuk menang sejak mula menyertai program ini.

Mereka mempunyai kekuatan diri dalam merebut gelaran juara Ratu Rania musim pertama.

Episod akhir Ratu Rania akan disiarkan pada Rabu, 20 November ini pukul 9.30 malam di saluran Astro Prima (saluran 105). Saksikan siapa yang bakal membawa pulang hadiah utama bernilai RM50,000.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved