Jumaat, 15 November 2013

Kosmo Online - Pesona


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Pesona


Perniagaan warisan keluarga Mokhtar

Posted:

Perniagaan warisan keluarga Mokhtar

Perniagaan warisan keluarga Mokhtar

Oleh KHADIJAH MOHAMAD NOR

ENAM tahun bertugas sebagai jurutera perunding di Johor Bahru, Mohd. Khir Mokhtar, 36, sebenarnya sudah mempunyai satu kehidupan yang sempurna. Apatah lagi, kerjaya profesional yang menjanjikan pendapatan bulanan yang lumayan itu menjadi dambaan ramai individu.

Walaupun demikian, bukan semua mampu menyandang jawatan tersebut tanpa kelulusan dalam bidang berkenaan.

Rasa tidak puas dalam kerjaya menyebabkan beliau mahu meneroka bidang perniagaan yang menjanjikan seribu cabaran dan ruang untuk mengembangkan keupayaan dirinya.

"Alhamdulillah, keputusan yang dibuat pada tahun 2006 ternyata tidak sia-sia. Kini, produk Otak-Otak Mamart Food semakin dikenali dan mempunyai pelanggan tersendiri," ujar Pengarah Urusan KHM Food Industries Sdn. Bhd. (KHM Food) itu kepada Kosmo! baru-baru ini.

Menurut Mohd. Khir, syarikat tersebut mula ditubuhkan pada September 2007 sebagai sebuah perusahaan makanan sejuk beku halal. Sinonim dengan lokasi premis awal yang terletak di Taman Sri Gombak, Batu Caves, Selangor, produk otak-otak yang dikeluarkan lebih dikenali sebagai Otak-Otak Gombak.

Antara produk yang dipasarkan termasuk otak-otak daun nipah, otak-otak popia, sos tauhu bakar dan makanan sejuk beku seperti roti canai dan donut.

"Sewaktu mula memperkenalkan produk kami di Kuala Lumpur, banyak cabaran yang terpaksa dihadapi. Tambahan pula, jenama kami tidak dikenali dan sukar untuk mendapatkan pelanggan.

"Tetapi, selepas dua tahun beroperasi, sambutan yang diterima semakin bertambah baik. Hingga kini, kami telah mempunyai lebih 20 pengedar di seluruh negara," ujar bapa kepada lima cahaya mata itu.


PEKERJA wanita, yang kesemuanya rakyat tempatan termasuk ibu tunggal, sibuk membungkus otak-otak.


Menjalankan perniagaan bersama abangnya, Hisham, 42, dan adiknya, Suliana, 29, kini jenama Mamart Food keluaran syarikat itu semakin mendapat tempat di hati pelanggan setia mereka.

Kualiti produk yang sentiasa terjamin antara faktor yang menyumbang kepada populariti makanan sejuk beku yang dihasilkan.

Pasaran eksport

Perkara itu diakui Pengarah Eksekutifnya, Hisham selaku anak ketiga daripada lapan beradik yang berasal dari Muar, Johor.

"Berbekalkan slogan Makin dirasa makin terasa, kami sentiasa berusaha memastikan setiap produk yang dihasilkan menepati cita rasa para pelanggan. Bagi kami, tiada sebarang kompromi untuk kualiti.

"Justeru, dalam aspek bahan mentah misalnya, kami hanya menjalin kerjasama dengan pembekal di sekitar Selangor yang konsisten dan komited dalam menawarkan perkhidmatan mereka," terang Hisham sambil memaklumkan bahawa syarikatnya berdaftar dengan Jabatan Perikanan Negeri Selangor dan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia yang juga banyak membimbing mereka menjadi usahawan berjaya.

Menyasarkan untuk memasuki pasaran global dalam industri makanan sejuk beku dalam tempoh dua tahun akan datang, dia memberitahu, pihaknya kini dalam proses menambah beberapa tawaran produk berupa keropok lekor dan otak-otak samosa.

"Semua ini merupakan permintaan daripada beberapa kenalan usahawan di United Kingdom. Kami cuma mengubah resipi otak-otak asal kepada yang kurang pedas bagi mengikut selera masyarakat di sana," ujarnya.

Sehubungan itu, beliau memberitahu, KHM Food kini dalam persediaan untuk memohon sijil Amalan Pengilangan Baik (GMP) serta Analisis Bahaya dan Titik Kawalan Kritikal (HACCP) untuk meluaskan pasaran ke peringkat tertinggi.

SETIAP hari sebanyak 500kg isi ikan kerisi digunakan untuk membuat otak-otak.


Produktiviti

Bagi Suliana, peranan sebagai Pengurus Operasi KHM Food memerlukannya memantau produktiviti dan pengeluaran syarikat tersebut setiap hari.

Dengan kapasiti 40 pekerja termasuk sembilan kakitangan lelaki, Suliana akan memastikan setiap tempahan pelanggan disiapkan dalam tempoh yang telah ditetapkan.

"Setiap hari, kami akan menghasilkan kira-kira 40,000 keping otak-otak daun nipah dan 20,000 keping otak-otak popia.

"Kesemua produk ini kemudian akan disimpan dalam ruang penyimpanan sejuk beku dengan suhu -22 darjah Celsius sebelum diambil secara borong oleh para pengedar," jelas graduan bidang Pemasaran dan Perniagaan Universiti Teknologi Malaysia ini.

Jelasnya, proses membuat otak-otak hanya mengambil masa 25 minit iaitu mengadun isi ikan bersama rempah ratus dan herba istimewa menggunakan mesin gaul.

Bagi menghasilkan otak-otak popia pula, bancuhan otak-otak yang telah siap perlu dikukus terlebih dahulu selama 20 minit sebelum dibalut dengan kulit popia.

"Setiap hari, kami menggunakan 500 kilogram (kg) isi ikan kerisi untuk membuat otak-otak manakala sebanyak satu tan metrik daun nipah digunakan untuk membungkusnya. Stok daun biasanya diterima setiap dua atau tiga hari sekali," kata Suliana lagi.

Disiplin

Salah seorang pekerja, Norizan Shoaid, 35, berkata, setiap hari mereka akan menetapkan sasaran untuk membungkus kira-kira 2,500 otak-otak daun nipah seorang.

"Jika tempahan meningkat, kami akan bekerja lebih masa sehingga dua jam bagi memenuhi permintaan. Sepanjang lima tahun bertugas di sini, saya bersyukur kerana dapat mencari rezeki yang halal untuk keluarga.


SEBAHAGIAN pekerja yang sentiasa memberikan sokongan dalam mengembangkan lagi jenama Mamart Food di pasaran.


"Majikan juga sentiasa menjaga kebajikan kami sebagai pekerja. Selain menetapkan gaji asas sebanyak RM900 sebulan, kami turut menikmati kemudahan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja dan Pertubuhan Keselamatan Sosial; cuti sakit, cuti tahunan dan tuntutan perubatan," katanya.

Bagi Mohd. Rafi Ahmad Rasdi, 18, walaupun baru enam bulan menimba pengalaman sebagai pekerja, banyak perkara telah dipelajari terutamanya dari aspek disiplin dalam mencari rezeki.

"Apa yang penting, saya gembira kerana berpeluang mencari duit selepas tamat sekolah dan belajar berdikari tanpa perlu bergantung kepada ibu bapa," ungkapnya yang bertugas sebagai pembantu penyelia bahagian basah.

Pantas membaca dengan Cahayaku

Posted:

Pantas membaca dengan Cahayaku

Pantas membaca dengan Cahayaku

Oleh KHADIJAH MOHAMAD NOR


AKTIVITI bacaan tidak hanya terhad pada buku-buku latihan dan cerita di kelas tetapi juga sumber-sumber lain seperti surat khabar.


SATU persatu tajuk berita yang terpapar di muka depan akhbar Kosmo! bertarikh 11 November 2013 dibaca dengan lancar oleh Afiq Danial Ahmad Fazil. Habis satu muka, anak kecil berusia enam tahun itu menyelak pula lembaran berikutnya.

Selesai membaca satu artikel berkaitan Taufan Haiyan yang melanda Filipina baru-baru ini, Afiq Danial terus berkata: "Kesiannya. Ramai yang mati sebab taufan. Nasib baik dekat Malaysia tak ada."

Reaksi spontan yang berlaku hasil daripada pembacaan tersebut membuktikan kanak-kanak ini sudah memahami apa yang terpapar di dada-dada akhbar.

Situasi ini sekali gus menimbulkan minat untuk mengetahui apa yang terjadi di sekeliling mereka. Malah, pertanyaan demi pertanyaan yang dilontarkan juga menunjukkan perkembangan minda kanak-kanak tersebut.

Ketagihan membaca

Selain Afiq Danial, kemahiran membaca akhbar dengan pantas ini turut dikuasai oleh rata-rata pelajar yang mengikuti pendidikan awal di Tabika Perpaduan Bandar Tasik Kesuma Fasa 7, Beranang, Selangor.

Jurulatih Utama Tabika Perpaduan, Noorhaya Nuruddin, 54, berkata, melalui kaedah pembelajaran buku Cahayaku yang digunapakai, kesemua pelajar berupaya menunjukkan potensi diri masing-masing.

"Alhamdulillah, penggunaan buku tersebut memang memberi manfaat yang besar buat para pelajar. Kebanyakan mereka menunjukkan peningkatan terhadap kemahiran membaca.

"Malah, ada pelajar mempunyai ketagihan membaca yang amat tinggi sejurus menguasainya. Selain itu, tahap keyakinan diri mereka juga semakin bertambah melalui pembacaan," ujar Noorhaya ketika ditemui Kosmo! Rabu lalu.

Sementara itu, penulis dan pereka konsep buku Cahayaku, Chahaya Abdul Manan, 52, memberitahu, buku tersebut telah diterbitkan pada tahun 1998. Namun, ia mula dipakai sebagai salah satu kaedah pembelajaran pada tahun 1999 di beberapa tempat.

"Antaranya seperti Tabika Perpaduan, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Yayasan Selangor dan beberapa tadika swasta.


SELAIN membaca, para pelajar tabika ini turut didedahkan dengan permainan alat muzik tradisi angklung di kelas.


"Bermula tahun ini, Tabika Perpaduan di seluruh Malaysia telah menggunakan buku Cahayaku sebagai projek perintis untuk kanak-kanak di sana," kata Chahaya yang pernah diberi liputan oleh saluran kabel antarabangsa CNN.

Teknik

Chahaya menambah, konsep pembelajaran Cahayaku lebih kepada membetulkan kecerdasan emosi (EQ) untuk mengembangkan tahap kecerdasan intelektual (IQ). Selain itu, ia juga berkonsep membaca dengan sendiri dan membetulkan bacaan.

"Objektif saya adalah untuk membetulkan emosi anak-anak diikuti memasukkan provokasi dan motivasi dalam diri mereka.

"Untuk mempelajari kaedah ini, ia tidak memerlukan kanak-kanak itu pandai bercakap, tetapi yang penting asalkan dia tahu menangis apabila dimarah, maka teknik pembelajaran Cahayaku boleh diaplikasi.

"Berdasarkan pengalaman saya, anak-anak kecil seawal usia 2 tahun sudah boleh diajar untuk menguasai kemahiran membaca. Di samping itu, kaedah ini juga mampu memulihkan masalah anak-anak yang menghidap penyakit disleksia, autisme, sindrom down, lambat bertutur dan sebagainya," jelas Chahaya yang berhasrat untuk menjadikan Malaysia sebuah negara yang sifar buta huruf menjelang tahun 2020.

Bagi Siti Nur Dini Mohd. Khairul Adli, 4, dia gembira kerana berjaya menamatkan bacaan buku Cahayaku 2 minggu lepas.

"Rasa seronok kerana dapat membaca akhbar setiap hari. Banyak perkara baharu yang boleh dipelajari jika kita pandai membaca. Cikgu juga mengajar dengan baik," tuturnya sambil tersenyum.

Rakannya pula, Kausalya Kumar, 6, berkongsi bahawa setiap tulisan yang dilihat di mana-mana, pasti akan dibacanya. Ini termasuklah papan tanda dan nama sekolah yang tertera di bangunan.

Seorang lagi pelajar, Mohd. Edrian Shah Fauzi, 5, memberitahu, sebaik pulang dari sekolah, dia pasti akan membaca buku cerita terlebih dahulu.

"Kemudian, saya akan membaca akhbar yang dibeli oleh ibu di rumah. Ayah dan ibu juga selalu memuji saya kerana rajin membaca," kata Mohd. Edrian yang bercita-cita untuk menjadi guru apabila dewasa kelak.

Mempertahankan haji mabrur

Posted:

Mempertahankan haji mabrur

Mempertahankan haji mabrur


KEPULANGAN ke tanah air perlu diiringi tekad untuk memperbanyakkan ibadah seperti solat malam, membaca al-Quran dan membersihkan hati.


MADINAH secara relatifnya sunyi sepi. Hampir kesemua jemaah haji yang melakukan ibadat ziarah sudah meninggalkan bandar raya Baginda SAW. Dalam beberapa hari ini, saya difahamkan kumpulan terakhir jemaah kendalian Lembaga Tabung Haji akan kembali ke tanah air.

Meninggalkan Madinah tentu bersekali diiringi rasa sebak dan pilu yang sungguh mendalam. Ia dinyatakan oleh ramai orang. Malah ada yang merindui suasana ini sejurus sahaja tiba di Malaysia dan setelah selesai pertemuan dengan keluarga yang terdekat.

Perasaan ini kami rasai tujuh tahun yang lampau. Ia masih segar dalam ingatan seolah-olah baru semalam berlalu. Pada ketika itu terasa perjalanan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Putera Muhammad di Madinah cukup memilukan.

Jika mahu saya gambarkan secara mudah, ia umpama meninggalkan cinta pertama yang pergi tanpa janji akan kembali. Kami hanya berdiam diri. Senyap melayani perasaan sendiri.

Saya tidak mempedulikan orang lain. Air mata mengalir di pipi. Tangisan tanpa kawalan lebih kuat di dalam hati. Kami benar-benar merasai kenikmatan beramal ibadat di Masjidilharam dan di Masjid Nabi. Tiada yang setanding dengannya.

Diam-diam hati hanya menyebut Subhanallah.. Subhanallah.. Subhanallah.

Sesekali saya berbisik-bisik dengan isteri, melahirkan rasa sedih, nikmat, puas dan takjub atas pengalaman 44 hari menunaikan fardu haji.

Anugerah lumayan

Bagaimanapun, kami lebih banyak berdiam diri dengan hati berzikir manakala mata menyaksikan pemandangan Kota Madinah dan laluan ke lapangan terbang.

Begitulah rasa hati yang saya fikir dialami oleh hampir keseluruhan jemaah haji. Itulah rasa damai di hati yang telah dianugerahkan oleh Allah SWT.

Memang benar Madinah atau Mekah merupakan Tanah Suci yang dirindui oleh setiap umat Islam yang mahu hampir kepada-Nya. Ia bukan satu kepelikan.

Malah ada sesuatu yang pasti. Setiap daripada jemaah mengimpikan haji mabrur yang secara hakikatnya tiada balasan kecuali syurga. Ia anugerah hebat dan lumayan kepada setiap jemaah.

Tentu sekali Allah SWT telah mengetahui siapa dalam kalangan 22,320 jemaah Malaysia yang dianugerahkan dengan haji mabrur. Lalu kepulangan jemaah ini sebenarnya membawa ciri-ciri ahli syurga.

Sukarnya jemaah itu sendiri tidak tahu status mereka sehinggalah mereka menemui kematian. Ahli syurga, saya fikir akan diperluaskan kuburnya.

Barangkali juga secara relatif, tempoh masa dalam kubur lebih pendek berbanding dengan mereka yang lain. InsyaAllah, mereka ini akan masuk syurga tanpa dihisab dan menggunakan tiket haji mabrur.

Agak saya begitu. Lalu mereka yang mengetahui proses ini, pastinya mengerti apa yang perlu dipertahankan dalam aspek ciri-ciri haji mabrur sehingga mereka dijemput pulang.

Bermakna, ibadat haji tidak selesai di Mekah atau Madinah. Ia hanyalah kesempurnaan rukun dan wajib haji. Tempoh yang lebih panjang dan sangat signifikan di tanah air ialah mempertahankan haji mabrur.

PARA jemaah haji perlu istiqamah dalam menunaikan solat berjemaah di masjid.


Perubahan diri

Hampir setiap kali saya menyampaikan tazkirah atau ceramah di Madinah, saya akan bertanya ringkas: "Haji, sebutlah lima perkara yang mahu kita lakukan setelah selesai menunaikan ibadat haji dan apabila tiba di Malaysia."

Allah ya Allah, ia ibarat perancangan jangka panjang yang berteraskan konsep mempertahankan diri sebagai ahli syurga.

Ia soalan mudah yang sukar dijawab. Kebanyakan jemaah kelu membisu. Penyebabnya mudah. Selama ini mereka hanya bersedia untuk hadir ke Mekah dan Madinah tetapi meminggirkan keperluan apabila kembali ke Malaysia.

Rukun dan wajib haji perlu disempurnakan dalam tempoh tujuh atau lapan hari sahaja. Selebihnya, 30 hingga 40 hari adalah tempoh untuk beramal ibadat di kedua-dua Tanah Suci.

Amal ibadat ini yang akan membentuk jemaah menjadi manusia yang berbeza apabila pulang, insya-Allah.

Mungkin kita boleh berfikir sejenak. Jika boleh saya cadangkan, mari kita bertekad untuk solat berjemaah di masjid, bangun malam untuk bertahajud, berpuasa sunat, membaca al-Quran dan terjemahan serta membersihkan hati.

Jihad

Haji mabrur merupakan jihad bagi seorang wanita. Alangkah mulianya menjadi wanita solehah yang menjaga auratnya dengan sempurna. Juga, solat di awal waktu dengan berikhtiar secara bersungguh-sungguh untuk menjaga mulut daripada berkata-kata perkara yang tidak berfaedah.

Bila pulang ke tanah air kita sering mencipta pelbagai alasan untuk tidak berusaha menjaga sifat-sifat ahli syurga. Hayatilah hadis Qudsi, riwayat Imam Ahmad yang bermaksud, 'Wahai anak Adam! Lapangkanlah masa untuk beribadat kepada-Ku, nanti Aku akan penuhkan dadamu kekayaan dan Aku akan menutup kemiskinanmu. Jika engkau tidak melakukan yang demikian, nanti Aku penuhkan tanganmu dengan urusan dan kerja dan Aku tidak menutup kemiskinanmu.'

Fikirkan juga betapa Allah SWT masih meminjamkan sedikit masa sebelum kita dipanggil pulang. Allah ya Allah, jangan persiakan ibadat haji yang baru kita sempurnakan.

'Dan (hendaklah diingat bahawa) sesiapa yang Kami panjangkan umurnya, Kami balikkan kembali kejadiannya (kepada keadaan serba lemah; hakikat ini memang jelas) maka mengapa mereka tidak mahu memikirkannya?' (Surah Yasin, ayat 68)

Selamat pulang. Pulanglah dengan hati yang damai. Jagalah kedamaian itu sehingga ke akhir hayat. Jumpa lagi minggu hadapan. Kami mohon keampunan-Mu ya Allah.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved