Kosmo Online - Pemotoran |
- KLIMS 2013 martabatkan industri automotif Malaysia
- ES 250 lebih berkuasa, padat teknologi
- Lagenda 115ZR lebih baik
KLIMS 2013 martabatkan industri automotif Malaysia Posted: KLIMS 2013 martabatkan industri automotif MalaysiaOleh SHAWKATH AZDE dan AFIFI HAFIZ MOHD. NOR SELEPAS tiga tahun, pameran pemotoran terbesar Malaysia, Kuala Lumpur International Motor Show (KLIMS 2013) akhirnya kembali menemui peminat kereta tempatan. Pameran edisi kelapan itu selama 10 hari di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur itu berakhir pada 24 November ini. Tapak pameran seluas 30,000 meter persegi itu menempatkan pelbagai model sedia ada, jentera konsep, kenderaan futuristik dan barisan kereta yang bakal memenuhi bilik pameran tidak lama lagi. KLIMS 2013 mendokong tema Kecekapan Mobiliti ternyata selari dengan trend semasa kebanyakan pameran bertaraf global dengan memberi penekanan terhadap kecekapan penggunaan minyak dan teknologi mesra alam. Maka sudah pasti akan ada penampilan model-model kenderaan hibrid dan elektrik mendiami kebanyakan ruang pameran pemain-pemain utama dalam industri. Jika ketiadaan model kenderaan hijau, sekurang-kurangnya ada barisan produk cekap penggunaan bahan bakar. KLIMS 2013 merupakan acara anjuran Persatuan Automotif Malaysia (MAA). Majlis pembukaannya telah disempurnakan oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Hasan Malek pada Khamis lalu. Presiden MAA, Datuk Aishah Ahmad berkata, acara kali ini bakal menyaksikan pengeluar-pengeluar jenama global menyusun strategi agresif untuk menampilkan kelebihan produk masing-masing. Pameran kali ini berjaya menambat hati 78 syarikat yang merangkumi pengeluar, pemasang, pengedar kenderaan serta beberapa pemain dalam industri aksesori. Antara jenama yang tampil mengetengahkan produk ialah Citroen, Daihatsu, Ford, Honda, Hyundai, Infiniti, Isuzu, Lexus, Nissan, Perodua, Peugeot, Toyota, Subaru dan Volkswagen.
Bagaimanapun, KLIMS 2013 terasa hambar tanpa kehadiran Perusahaan Otomobil Nasional Bhd. (Proton). Selain itu, tiada juga penyertaan daripada Chevrolet, Mercedes-Benz, BMW, Audi, Porsche, Renault, Suzuki, Mitsubishi dan Kia. Berhubung ketiadaan Proton, Aishah menjelaskan, syarikat pengeluar kenderaan nasional itu tidak menyertai pameran pada tahun ini berikutan gagal mendapat ruang pameran sesuai dan bukan disebabkan oleh faktor kos penyertaan yang didakwa mencecah jutaan ringgit. Tarikan utama KLIMS 2013 pastinya terarah kepada sudut pameran Perodua. Di situ, pengunjung berpeluang melihat enjin aluminium baharu, ruang kabin sebuah model global segmen A dan jentera konsep sedan kompak. Sedan kompak yang dinamakan sebagai Buddyz itu membuktikan keupayaan Perodua untuk berdiri sama tinggi dengan kebanyakan syarikat automotif antarabangsa. Keperluan semasa Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Aminar Rashid Salleh berkata, Buddyz dibangun berlandaskan idea anak tempatan yang mengambil kira keperluan semasa golongan generasi Y dan Z. Buddyz sebenarnya ialah model kereta yang berasal daripada prototaip konsep Perodua Bezza yang pernah dipamerkan kepada khalayak ramai sewaktu KLIMS 2010. Ketua Perekanya, Muhamad Zamuren Musa berkata, dia bersama pasukannya membawa Bezza ke beberapa destinasi di seluruh negara untuk mendapat maklum balas umum. "Berdasarkan maklum balas yang kami di terima, rata-rata responden mengutarakan cadangan untuk menjadikan Bezza kepada sebuah kereta sedan," katanya ketika ditemui pada satu sesi pratonton. Jelasnya lagi, generasi baharu mahukan sebuah kereta yang selesa untuk kegunaan harian tanpa mengorbankan ruang simpanan kargo. Sementara itu, di tapak pameran Volkswagen Malaysia, pengeluar kenderaan jenama Jerman itu membuat kejutan apabila memperkenalkan Polo 1.6 Hatchback yang merupakan model pemasangan tempatan. Toyota yang menjadi jiran Volkswagen pula melancarkan model pelbagai guna Previa 2.4GL kepada orang ramai pada harga permulaan RM270,000 seunit. HONDA Malaysia menempatkan rangkaian produk baharu, sedia ada, jentera perlumbaan dan beberapa model mesra alam untuk tatapan umum. Pesaing senegaranya, Honda pula tampil dengan pelancaran dua varian Honda Odyssey generasi kelima iaitu 2.4L EX dan 2.4L EXV masing-masing dengan harga jualan atas jalan termasuk insurans sebanyak RM228,000 dan RM248,000 sebuah. Turut ditampilkan di gerai Honda ialah model Accord Plug-in Hybrid, jentera berprestasi tinggi Honda CR-Z Mugen RR dan kereta lumba Honda Jazz HMRT. Subaru pula tampil dengan edisi terhad XV Crosstrek yang memiliki solekan komponen yang menyerlahkan sifat maskulin pada tag harga asas RM138,800 seunit. Selain itu, pengunjung juga boleh menyaksikan secara dekat beberapa model Subaru iaitu BRZ, XV, Forester 2.0XT, WRX STI dan Legacy sedan. Isuzu pula melancarkan trak pikap edisi terhad D-Max X-Series yang tampil garang hasil kelengkapan beberapa aksesori unik termasuk kit badan dan pelekat badan sporty. Didatangkan dengan dua warna pilihan putih dan hitam, Isuzu menjual produk yang dijana oleh enjin diesel 2.5L pada harga RM108,690 seunit. Harga jualan itu juga termasuk insurans. Itu hanya sebahagian produk sahaja yang diperkenalkan di KLIMS 2013 baru-baru ini. Ada banyak lagi menanti para pengunjung di sana selain beberapa acara menarik disediakan. Jangan lepaskan peluang untuk menyaksikan kehebatan KLIMS kali ini. | |
ES 250 lebih berkuasa, padat teknologi Posted: ES 250 lebih berkuasa, padat teknologiOleh AFIFI HAFIZ MOHD. NOR SIGNATURlampu hadapan dengan DRL LED menjadi daya tarikan utama. AWAL Oktober lalu Lexus Malaysia melancarkan generasi keenam model ES yang merupakan model pertengahan antara IS (Sporty) dan GS (sedan eksekutif). Model ES yang pertama kali diperkenalkan di negara ini secara rasminya tampil dengan pilihan ES 250, ES 250 Luxury dan ES 300h. Rekaan Lexus kali ini cukup menarik untuk sebuah model sedan sederhana mewah terutamanya signatur DRL LED yang terletak di dalam lampu utama. Menggunakan enjin empat silinder sebaris sesaran 2.494cc, kereta itu cukup bertenaga untuk membawa badannya yang dikategorikan sebagai besar itu. Baru-baru ini, Lexus Malaysia menjemput sekumpulan penulis automotif untuk memandu uji kereta itu bermula dari Kuala Lumpur ke Genting Highlands. Penulis yang diberi peluang mendera kemampuan model ES 250 Luxury dapat merasakan model ini benar-benar berkuasa walaupun ia bersaiz besar. Kuasa pecutan pada kereta ini juga amat mengujakan. ES 250 Luxury tidak berhadapan masalah ketika menelusuri jalan berliku di Jalan Hulu Yam sementelah ia dikawal dengan teknologi keselamatan terkini seperti kawalan cengkaman dan sistem kawalan kestabilan kenderaan. WARNA kuning gading menjadikan ruang dalaman kereta ini kelihatan lebih luas. Ruang dalaman Lexus ES 250 Luxury turut menerima sentuhan terbaik daripada juruteranya yang berjaya menghidupkan elemen mewah. 10 beg udara Kerusinya dibalut dengan material kulit semianiline berkualiti tinggi dan amat selesa untuk perjalanan jauh. Instrumen meter juga akan bertukar warna mengikut mod pemanduan yang dipilih. Remote touch controller ibarat tetikus yang terletak di sebelah kotak gear amat membantu untuk pemandu atau penumpang di hadapan bagi menetapkan sistem navigasi berbanding skrin sesentuh. Anda juga tidak perlu risau untuk sentiasa memeriksa tekanan angin tayar kerana semuanya sedia terpapar di skrin maklumat bersaiz lapan inci. Tahap keselamatan pemandu di dalam kereta itu lebih baik berbanding pesaing terdekatnya dengan 10 beg udara keselamatan turut dibina sebagai ciri-ciri standard model ES. Bukan itu sahaja, penumpang di belakang tetap menikmati kemewahan terutama reka letak lubang penyaman udara boleh laras untuk keselesaan perjalanan di siang hari. Penumpang di belakang juga dibekalkan dengan butang kawalan jauh untuk audio, penyaman udara dan tirai dicermin belakang secara elektronik. Sesuai dengan konsep mewah, warna ruang kabin dalaman untuk model ES ini boleh dipilih mengikut cita rasa pelanggan. Antara rona yang ditawarkan ialah kuning gading, hitam dan kelabu cair. PAPAN muka dan stereng dengan kemasan kayu merupakan ciri-ciri mewah untuk model ES 250 Luxury. Pemilihan warna dalaman mengikut cita rasa pembeli mungkin ciri tambah nilai yang ditawarkan oleh Lexus kepada pelanggan-pelanggannya. Tingkap sisi ES 250 Luxury ini juga mempunyai tirai untuk keselesaan penumpang di belakang daripada rimas terik matahari. Ruang kaki model ES ini dipertingkatkan berbanding model IS dan GS untuk lebih keselesaan kepada penumpang belakang. Model dengan lima pilihan warna luaran seperti putih, hitam, kelabu, perak dan perang itu dijual pada harga bermula RM279,800 seunit. | |
Posted: Lagenda 115ZR lebih baikOleh SHAWKATH AZDE JIKA masih mencari sebuah kapcai untuk kegunaan harian, mungkin model terbaru Yamaha ini pilihan sesuai untuk anda. INDUSTRI motosikal Malaysia masih terkebelakang jika dibandingkan dengan paras kemajuan yang dikecapi negara jiran seperti Thailand, Indonesia dan Vietnam. Perhatikan sahaja motosikal naik taraf dan model baharu yang diperkenalkan dalam segmen underbone tempatan. Pemain industri lebih cenderung menekankan transformasi kosmetik berbanding tawaran teknologi baharu dan nilai tambah kepada para pembeli. Hanya bermodalkan pelekat grafik dan cat baharu, harga jualan motosikal pun boleh naik. Tidak dinafikan, ada beberapa pengeluar dan pengedar motosikal tempatan sudah membuktikan komitmen untuk menyuntik kemajuan teknologi dalam satu atau dua model skuter dan kapcai. Terima kasih kerana berusaha membawa pembaharuan. Antara pemain pasaran yang dimaksudkan ialah Hong Leong Yamaha Motor Sdn. Bhd. (HLYM). Pengeluar dan pemasang produk jenama Jepun itu melakukan pembaharuan signifikan pada Yamaha Lagenda 115Z. Model generasi kelima itu ialah underbone kedua bawah portfolio HLYM yang didatangkan bersama sistem pancitan bahan api selepas pengenalan model pengganti Yamaha TZM iaitu FZ150i. Secara ringkas, Lagenda 115Z menggunakan komponen sistem pancitan sama seperti FZ150i tetapi diberi penambahan komponen sensor oksigen untuk meningkatkan kelancaran pembakaran dalam kebuk silinder. Baru-baru ini, HLYM bermurah hati menyediakan seunit Yamaha Lagenda 115ZR untuk sesi tunggang uji Garaj! Varian 115ZR menggunakan enjin sama seperti Lagenda 115Z tetapi dengan beberapa komponen berbeza. SISTEM suspensi belakang menggalas tugas menyerap hentakan dengan cemerlang. Lagenda 115ZR dilengkapi latar belakang pencahayaan meter biru putih, suspensi belakang dengan tabung udara, perehat kaki jenis boleh lipat dan ruang simpanan berlampu di bawah pelana. Enjin boleh dihidupkan menerusi dua kaedah iaitu menekan butang pemula atau gunakan khidmat penendang kaki. Posisi kedudukan badan dan lengan didapati lebih selesa dan berjaya mengurangkan rasa lenguh di bahagian pinggang. Model generasi kelima ini menangani masalah agihan berat antara bahagian hadapan dan belakang jentera yang kini lebih seimbang. Tidak seperti model generasi ketiga yang mana hendalnya terlalu ringan sehingga timbul rasa kurang yakin sewaktu menunggang. Yamaha Lagenda 115ZR lincah menukar arah mengikut pengemudian penunggang di laluan berselekoh dan tawaran kuasa enjin boleh dikatakan agak baik bagi jentera dalam kelas 115cc. Berbekalkan minyak petrol tiga liter, jarak tunggangan yang berjaya ditempuhi adalah sejauh 155 kilometer (km). Untuk mendapatkan angka itu, sila kekalkan kelajuan di bawah paras 80km/j. Kelajuan maksimum dicapai sekadar 110km/j. Jika ditanya mengenai getaran enjin, harus diakui ia jelas terasa pada tapak tangan dan perehat kaki apabila melepasi paras 100km/j. Paparan pencahayaan lampu utama sewaktu tunggangan malam harus diberi pujian. Terang dan mencapah. Tindakan mengasingkan lampu isyarat membelok bahagian belakang membolehkan pengguna jalan raya lain lebih peka apabila ingin memasuki simpang. Secara keseluruhannya, prestasi model baharu HLYM ini cukup baik dan setimpal dengan harga. Ia mudah, praktikal, reka bentuk menarik dan menjimatkan bahan bakar. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Pemotoran To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan