Sabtu, 5 Oktober 2013

Kosmo Online - Hiburan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Hiburan


Transformasi gila Miley Cyrus

Posted:

Transformasi gila Miley Cyrus

Transformasi gila Miley Cyrus

MILEY melabelkan dirinya sebagai Rapunzel dengan potongan rambut mohawk.


MILEY CYRUS sedar bahawa banyak orang sedang memperkatakan tentang dirinya yang dilabelkan semakin nakal dan liar.

Saban hari dia menjadi bahan tatapan umum dengan pelbagai tajuk yang berapi-api kontroversinya.

Namun, satu pun tak meninggalkan kudis baginya. Dia langsung tidak peduli tentang tanggapan yang sedang menjalar liar kepada dirinya.

Lebih daripada itu, bintang muda berusia 20 tahun tersebut gembira dengan perhatian yang mula memusat kepada dirinya.

Sebagai seorang bintang, perhatian amat penting buat dia melonjak naik dalam lambakan anak seni yang ada. Miley sendiri mengaku, sejak tahun lalu, dia berusaha untuk menggegar dunia, dan nampaknya gadis muda itu hampir merealisasikan misinya.

Masakan tidak orang melempar persepsi negatif terhadap dirinya. Gadis dengan nama sebenar Destiny Hope Cyrus itu, pada saat menceburkan diri dalam bidang seni pada tahun 2001 dilihat begitu naif.

Sifat keanak-anakkannya dan aura manis yang dibawa menerusi drama bersiri yang cukup hangat di saluran Disney Channel, Hannah Montana, selalu membuatkan para ibu bapa tidak peduli jika anak-anak mereka menjadikan Miley sebagai bintang pujaan mereka.

Pada waktu itu, sikapnya masih boleh diterima akal. Karier seninya juga berjalan mulus dan membanggakan, malah pada kelahiran album debutnya sekitar tahun 2006, album tersebut telah terjual sebanyak tiga juta unit di Amerika Syarikat, sekali gus membuktikan pengaruh dirinya.

Namun, seiring masa berputar dan menginjak dewasa dengan pengaruh yang datang dari pelbagai sudut, ia telah memperlihatkan sisi baharu Miley.

Miley tiba-tiba seperti baru keluar daripada kepompong, umpama seekor beluncas yang mengepakkan sayap rama-ramanya dengan warna-warni yang nakal.

Kenakalan tersebut mula terserlah pada tahun lalu apabila dia membuat keputusan memotong rambut panjangnya kepada stail punk rock, memasang imej gadis nakal kepada penampilannya serta mengubah paksi muziknya.

Paling ketara, pada usia hanya 19 tahun, dia menjadi tunangan kepada Liam Hemsworth, yang akhirnya hubungan tersebut putus selepas setahun mereka bersama.

Kenakalan mula memecah tembok 'kewarasan' apabila dia muncul menyanyi di pentas Video Music Awards pada bulan lalu dengan hanya bercoli dan seluar dalam mempersembahkan sebuah tarian yang cukup erotik!

Menaikkan radar kontroversi, single terkininya, Wrecking Ball menyaksikan dia beraksi separuh bogel dan klip video tersebut umpama cermin tentang kecamuk hatinya pada waktu ini.

Bercakap mengenai transformasi dirinya, Miley menyifatkan dirinya bukan terlalu naif seperti banyak yang dilabel khalayak.

"Saya kira, selama ini banyak orang salah anggap tentang diri saya. Mereka melihat saya sebagai gadis naif, yang sebenarnya itu bukan saya," begitu Miley menyelar terjahan pendapat tentang transformasi dirinya yang dilihat berubah dengan drastik.

Miley juga menambah, dia mahu bergembira dengan transformasi dirinya pada usia muda. Dia tidak mahu ketinggalan melakukan hal-hal yang gila pada saat dia sedar ia tidak patut dilepaskan.

Ujarnya: "Sebab itu saya fikir banyak orang yang menyesal pada usia tua kerana mereka terlepas melakukan hal-hal yang gila pada usia muda."

Katanya lagi, sebagai seorang yang tidak mempedulikan pandangan orang terhadap dirinya, dia memilih untuk menjadi 'gila' pada usia 20 tahun yang dianggap amat ideal.

"Saya kira usia 20 tahun amat sesuai untuk saya mencuba sesuatu yang gila dan menimbulkan banyak 'kerosakan' sebab sebelum ini saya tidak pernah melakukannya dan pada 10 tahun akan datang, saya telah pernah melalui semua perkara (yang baik dan buruk) dalam hidup," jelasnya.

Dia kemudian menyimpulkan dirinya tidak ubah seperti watak animasi Rapunzel.

"Tapi saya versi Rapunzel dengan potongan rambut mohawk yang berdiri di tepi tingkap dan melihat paparazi rakus memerhatikan gerak geri saya," katanya penuh sinikal.

Bangerz

Berbicara mengenai transformasi, Miley turut mengubah haluan muziknya. Pada saat francais Hannah Montana ingin berpenghujung sekitar dua tahun lalu, dia sendiri memilih untuk menonjolkan kemampuan yang ada dalam diri.

Dia memecat pengurus lamanya, keluar meninggalkan syarikat rakaman Hollywood Records untuk terbang lebih liar bersama RCA Records dan membuat semua perkara serba baharu.

Lantas Bangerz yang mendapat sentuhan magis seperti Pharell Williams dan Will.iam yang digarap pada tahun lalu, sudah menjengah pasaran awal bulan ini.

Menariknya, sebelum Bangerz dipasarkan, dua single yang diperkenalkan iaitu We Can't Stop dan Wrecking Ball terlebih dahulu menggoncang dunia seni hiburan dunia.

Lagu yang dihasilkan bersama klip video dengan sisi berbeza Miley cukup menarik perhatian.

"Syarikat rakaman saya sendiri terkejut dengan apa yang saya mahukan dalam single tersebut (We Can't Stop). Saya kata kepada mereka, mereka perlu percayakan saya kerana ini pertama kali saya benar-benar merasakan diri sebagai artis.

"Jika percaturan ini salah, maka jangan percayakan saya lagi. Saya akan menjadi patung mereka dan mengikut semua kehendak mereka. Tapi jika saya betul, anda akan rasakan impaknya," ujar Miley yang memang benar telah meninggalkan impak terhadap klip video tersebut apabila ia ditonton sebanyak 11 juta khalayak pada hari pertama ia disiarkan menerusi Vevo.com.

Mengulas tentang kontroversi dalam klip video Wrecking Ball pula, terutama pada bahagian dia menangis bersungguh-sungguh, Miley menjawab: "Saya memang benar-benar menangis kerana mengenangkan kematian anjing saya."

Terkenal

Melihat kepada kelakuannya yang membuat namanya kembali mendadak menjadi sebutan, akui Miley, sejujurnya dia tidak pernah terlintas mahu terjangkit penyakit obses menjadi terkenal.

Katanya, sebagai seorang yang dilahirkan dalam kalangan keluarga mewah dan telah lama berada dalam industri, dia tidak terdesak untuk menjadi terkenal.

"Sewaktu usia belasan tahun, saya tak sedar saya sedang membuat dunia memerhatikan saya dan saya akan menjadi sangat terkenal kerana saya sudah terbiasa dengan kehidupan yang baik. Jadi sekarang, saya hanya meneruskan apa yang ada tanpa perlu menjadi orang yang obses untuk terkenal," jelasnya.

Kini, ditanya tentang arah tuju kariernya, sama ada akan kembali berlakon, Miley lebih senang memilih untuk memberi fokus terhadap bidang nyanyian. Bakat lakonannya pula akan diasah menerusi klip video - klip video yang bakal dihasilkan.

Ujarnya: "Saya tidak memikirkan untuk kembali berlakon, tetapi cukup dengan melahirkan banyak klip video dengan lakonan saya yang epik."

Pakaian pesertaAF 2013 dikritik

Posted:

Pakaian pesertaAF 2013 dikritik

Pakaian pesertaAF 2013 dikritik

Oleh RONI HIDAYAT RIDWAN

PAKAIAN para pelajar AF 2013 menjadi pertikaian kerana dianggap seperti tidak bersedia untuk sebuah pertandingan.


SUDAH memasuki minggu yang ketiga, program realiti Akademi Fantasia 2013 (AF 2013) berlangsung semakin sengit dengan menampilkan 10 peserta yang masih meneruskan saingan.

Dalam konsert yang bertemakan Inspirasi 15 Ikon Malaysia, secara keseluruhannya terdapat sedikit peningkatan yang ditunjukkan oleh para peserta.

Paling ketara, pastinya persembahan oleh peserta duet Azhael yang menampilkan Hal Husaini Razmi dan Azhar Osman dengan aksi yang begitu mantap menerusi lagu Khayalan yang dipopularkan oleh kumpulan Ruffedge.

Bagaimanapun konsert tersebut sedikit mengecewakan apabila dinilai dari segi penampilan beberapa peserta yang langsung tidak menunjukkan ciri-ciri seorang bintang yang bakal menyinar.

Rata-rata penampilan kesemua peserta kurang memuaskan, tetapi antara peserta yang mendapat kritikan hebat daripada juri ialah Faizul, Indah dan Nabila.

Salah seorang juri yang paling lantang mengkritik tentang penampilan peserta ialah Roslan Aziz yang menganggap ia merupakan kriteria paling utama untuk menjadi seorang penghibur.

Pengurus Saluran Astro Ria, Raqim Ahmad Ramli ketika sidang akhbar berkata, pihaknya turut menerima beberapa maklum balas daripada penonton berkenaan penampilan peserta.

"Perkara ini memang diambil perhatian serius oleh Astro dan perbincangan lanjut akan dilakukan dengan pihak penata busana. Kami akan memastikan para peserta akan tampil dengan lebih menarik lagi," jelasnya.

Sementara itu, berkenaan dengan penukaran waktu konsert ke hari Ahad pula, Raqim memberitahu, ia disebabkan mahu memberi laluan kepada saingan bola sepak Piala Malaysia yang sedang rancak sekarang.

Menurutnya, memandangkan ketika ini perlawanan Piala Malaysia selalu berlangsung pada hari Sabtu, maka keputusan dibuat supaya konsert AF 2013 diubah kepada hari Ahad.

"Bermula pada saingan minggu ketiga AF 2013 akan berlangsung pada setiap hari Ahad, tetapi ia buat sementara waktu sahaja iaitu sehingga minggu ketujuh setelah saingan Piala Malaysia berakhir.

"Pada minggu kelapan sehinggalah konsert akhir, ia akan disiarkan semula pada hari Sabtu. Keputusan ini terpaksa dilakukan kerana Astro merupakan rakan penyiar kepada aksi Piala Malaysia," ujarnya yang menafikan perubahan dibuat kerana rating yang menurun.

Sementara itu, Faizal Tahir yang menjalankan tugas terakhirnya selaku Inspirer menyatakan tempoh selama tiga minggu memang tidak mencukupi buat dirinya untuk mencurahkan segala ilmu kepada para peserta.

Ujar Faizal, ia bukanlah satu tugas yang mudah untuk membimbing peserta yang baru berjinak-jinak sebagai penghibur, namun dia berpuas hati kerana mereka semakin menunjukkan peningkatan setiap minggu.

"Tugas saya sudah berakhir dan selepas ini akan diambil alih oleh Melly Goeslow pula. Saya percaya peserta akan mendapat lebih banyak ilmu kerana Melly merupakan seorang individu yang lebih berpengalaman luas," ujarnya.

Sudah jangka

Saingan pada minggu ketiga menyaksikan peserta dari Kedah iaitu Muhammad Ikhtiman Che Ismail atau Iman menjadi mangsa seterusnya apabila mendapat undian terendah sebanyak 6.6 peratus, sekali gus tersingkir daripada persaingan.

Iman berkata, beberapa hari sebelum konsert berlangsung, dia sudah dapat menjangka bakal tersingkir disebabkan kesilapan yang telah dilakukannya pada minggu sebelumnya.

"Apabila selesai menunaikan solat saya selalu berdoa. Sekiranya tiada lagi rezeki untuk meneruskan saingan dalam AF 2013, saya rela dan menerima dengan hati terbuka.

"Lagipun sepanjang berada di akademi perasaan rindu terhadap keluarga semakin menebal. Mungkin ia menjadi punca saya gagal menampilkan persembahan yang baik dan konsisten," ungkapnya yang menyanyikan lagi Nokhtah Cinta.

Menurutnya, biarpun tidak lagi meneruskan saingan dalam AF 2013, perjuangannya dalam bidang nyanyian tidak akan berakhir dan akan berusaha untuk menggapai impiannya sebagai penyanyi.

Tam tolak watak budak sekolah

Posted:

Tam tolak watak budak sekolah

Tam tolak watak budak sekolah

Oleh RONI HIDAYAT RIDWAN

TAM menegaskan, dia tidak pernah terfikir untuk menamatkan karier lakonannya.


SINONIM dengan filem Pak Tam Duda serta drama bersiri Cili Padi yang pernah dibintanginya sewaktu kecil dahulu, pelakon Tam Suhaimi yang memulakan karier sejak zaman kanak-kanak masih mampu bertahan sebagai pelakon sehingga sekarang.

Sudah berkecimpung dalam dunia lakonan selama 27 tahun, pemilik nama sebenar Nor Azemi Suhaimi itu masih lagi berlakon, meskipun memiliki kelulusan dalam bidang Seni Reka dari Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Bagaimanapun, pelakon berusia 34 tahun itu mengakui kini dia agak jarang tampil di kaca televisyen, sebaliknya lebih menumpukan kepada kerja-kerja belakang tabir.

Bukan disebabkan kecenderungannya untuk meneruskan kerjaya sebagai seorang pelakon semakin berkurangan, tetapi ia lebih kepada faktor tentang tawaran yang diterimanya.

Ikuti luahan Tam sewaktu ditemu bual Kosmo! baru-baru ini.

Kosmo!: Sekarang ini Tam kelihatan sudah agak jarang berlakon. Adakah anda sudah memperlahankan karier sebagai pelakon?

TAM SUHAIMI: Saya masih lagi meneruskan kerjaya dalam bidang seni dan kali terakhir saya muncul dalam drama bersiri Rumah Kedai yang ditayangkan pada bulan puasa lalu.

Tawaran berlakon masih lagi banyak yang diperolehi, cuma saya terlalu kerap mendapat watak budak sekolah. Tidak dinafikan fizikal saya bersesuaian dengan watak sebegitu, namun saya sudah tidak mampu lagi pada usia sekarang.

Sebagai seorang pelakon yang sudah lama berkecimpung dalam dunia lakonan, adakah anda bersikap selektif?

Pada peringkat sekarang ini saya perlu selektif kerana adakalanya bosan apabila ditawarkan watak yang hampir sama sahaja. Kalau boleh, saya inginkan kelainan supaya dapat mempelbagaikan lagi setiap karakter yang dilakonkan.

Tidak dinafikan pembabitan saya dalam bidang lakonan sudah cukup lama, tetapi saya merasakan diri ini masih lagi dalam proses pembelajaran untuk menjadi seorang pelakon yang baik.

Kalau tiada sebarang aktiviti lakonan, apakah aktiviti yang anda lakukan?

Sebenarnya saya banyak terbabit dengan kerja-kerja belakang tabir seperti menulis skrip dan menjadi penolong pengarah.

Setakat ini, saya pernah bekerja dengan beberapa pengarah hebat seperti Erma Fatima, Bade Haji Azmi dan Melissa Saila.

Buat peringkat awal ini saya memberi tumpuan kepada drama bersiri dan telemovie. Lagipun saya mempunyai sasaran sendiri iaitu mahu bergelar seorang pengarah.

Sekiranya anda sudah bergelar pengarah nanti, adakah anda mahu meneruskan aktiviti lakonan?

Saya berlakon sejak kanak-kanak lagi dan lakonan itu sudah sebati dalam jiwa saya. Jadi, tidak pernah terlintas dalam fikiran saya untuk berhenti berlakon.

Baru-baru ini anda bersama tiga rakan pelakon lain iaitu Sari Yanti, Intan Ladyana dan Farish Aziz bertindak sebagai penerbit untuk menghasilkan telemovie Pengancam Perkahwinan. Bagaimanakah idea berkenaan boleh timbul?

Hubungan kami berempat sudah mula akrab sejak tiga tahun lalu setelah terbabit dalam sebuah program televisyen. Kemudian masing-masing memasang impian untuk bergelar penerbit dan akhirnya ia direalisasikan menerusi telemovie ini.

Selain itu, kami telah menghantar tujuh kertas cadangan kepada sebuah stesen TV untuk penerbitan drama dan telemovie.

Sudah tentu kami berharap kesemua kertas cadangan tersebut akan mendapat kelulusan.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved