Selasa, 1 Oktober 2013

Kosmo Online - Hiburan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Hiburan


Komunikasi Qi, nilai budaya Razif

Posted:

Komunikasi Qi, nilai budaya Razif

Komunikasi Qi, nilai budaya Razif

SEBELUM ini program, Destinasi Bajet menampilkan Qi Razali sebagai pengacara tunggal. Namun sebaliknya untuk musim ketiga, apabila program siaran ntv7 itu menampilkan dua lagi pengacara baharu iaitu Razif Hashim dan Diana Rusdi.

Kehadiran dua pengacara baharu dalam program yang disiarkan setiap hari Khamis, pada pukul 8.30 malam itu dilihat mampu menyuntik kelainan dan pendedahan lebih luas mengenai tarikan yang terdapat di setiap negara yang dilawati.

Lebih menarik, musim ketiga Destinasi Bajet akan menerokai lokasi lebih jauh di luar Malaysia termasuk Saigon, Bangkok, Yogyakarta, Bandung, Hanoi, Banda Aceh dan Bali.

Pada musim ini, tiga hos tersebut masing-masing dibekalkan dengan bajet sebanyak RM300 untuk destinasi dalam negara. Sebaliknya untuk destinasi di Asia Tenggara, mereka dibekalkan bajet sebanyak RM700.

Penonton yang terlepas episod mingguan di kaca tv boleh melayari laman web www.tonton.com.my

Bertemu dengan Qi dan Razif ketika sesi fotografi di studio Utusan, Kuala Lumpur baru-baru ini mereka bercerita mengenai pengalaman yang diraih sepanjang penggambaran program tersebut.

Razif tonjol budaya

Sambil merendah diri, Razif yang memulakan bicaranya pada hari itu mengakui, Qi masih kekal sebagai pengembara bajet unggul untuk program tersebut.

Bagaimanapun, sebagai pengacara baharu program tersebut, Razif cuba menonjol untuk mencari kelainan dalam penggambaraannya sendiri.

"Sebelum ini Qi seorang sahaja hos untuk program ini. Tetapi, pihak penerbit mahukan kelainan untuk jadikan program ini seperti Globe Trekker dan Lonely Planet yang menampilkan banyak hos untuk setiap episod.

"Idea ini menarik kerana cara penggembaraan Qi lebih bersifat artistik. Dia akan pergi ke tempat-tempat yang mempunyai nilai-nilai seni.

"Sebaliknya saya akan ke sesuatu tempat untuk lebih memahami budaya sesuatu kaum.

QI mengulas tentang lagu, Lelaki dendangan bekas kekasihnya, Yuna.


"Bagaimanapun, saya tidak berniat menyainginya untuk menonjol sebagai hos tetapi lebih kepada menonjolkan sesuatu tempat dan budaya yang dilawati," jelasnya yang tampil santai dengan baju tajaan Camel Active.

Berkongsi pengalamannya, tutur pemilik penuh nama Mohamad Razif Hashim Natt, 30, itu, antara tempat-tempat yang sudah dijelajahinya menerusi program tersebut ialah Pulau Pinang, Endau Rompin, Bandung, Hanoi dan Vietnam.

Paling menarik perhatiannya adalah negara Vietnam yang mana adat dan budaya orangnya sangat berlainan dengan masyarakat di Malaysia.

"Kalau di Malaysia, kita akan mengadakan perbincangan di meja bulat. Tetapi, di Vietnam mereka lebih suka berbincang di meja panjang dalam keadaan berderet.

"Orang Vietnam juga memiliki rumah yang kecil tetapi keadaannya adalah meninggi dan mendalam. Tidak seperti di Malaysia, kita lebih suka duduk dalam rumah yang luas dan besar," ungkapnya.

Mengulas lanjut, kata Razif, dia juga tertarik dengan masyarakat orang Asli di Endau-Rompin, Johor yang begitu kuat dengan adat dan budayanya.

Ceritanya, setiap kali menerima kunjungan tetamu, Orang Asli di Endau Rompin akan menjamu rokok resdung dan sirih buat tetamu mereka.

"Rasa sirih yang dijamu mereka adalah berlainan dengan rasa sirih orang Melayu. Orang Asli juga mempunyai pengetahuan meluas tentang nama-nama pokok di dalam hutan," ujarnya yang selepas ini akan ke Surabaya dan India pula.

RAZIF amat tertarik dengan adat dan budaya masyarakat Orang Asli di Endau-Rompin, Johor.


Qi komen tentang Yuna

Bercerita mengenai pengalaman penggembaraannya pula, kata Qi Razali, 36, atau lebih mesra disapa Qi, dia juga mempunyai pengalaman menarik ketika menonjolkan makanan yang terdapat di Vietnam.

Di sana, ujar Qi, orang Vietnam menganggap serangga-serangga seperti cengkerik adalah kacang putih.

"Mereka akan goreng semua serangga-serangga tersebut dan letak serbuk perisa.

"Kemudiannya mereka akan makan seperti kacang putih. Saya pernah cuba makan satu tetapi bila cuba gigit saya terus muntahkan balik.

"Perasaan saya macam makan buah melaka. Itu sebabnya saya tak jadi makan dan terus termuntah," luahnya yang turut ke beberapa destinasi lain seperti Taiping, Bali, Ho Chi Minh, Saigon dan Banda Aceh.

Mengulas mengenai kehadiran dua lagi pengacara baharu program berkenaan, kata Qi, sebelum ini destinasi yang dituju lebih mengikut kepalanya sahaja.

Kini, Destinasi Bajet ada tiga persepsi berbeza dan masing-masing mempunyai cara tersendiri mengendalikan destinasi yang dituju.

Dia yang bakal ke Phuket dan Krabi selepas ini juga mengakui, kehadiran dua lagi pengacara dapat memberi lebih pendedahan kepada penonton Destinasi Bajet yang bakal dilawati.

Usai mengenai program dikongsikan, kekasih kepada pelakon cantik Nelydia Senrose itu turut berkongsi pengalamannya selama dua bulan ke Argentina pada bulan Julai hingga September lalu.

Kunjungannya ke negara Latin itu adalah untuk rakaman program Art Attack untuk siaran saluran Disney.

"Saya pergi Argentina sebelum raya. Duduk sendiri selama dua bulan di sana. Siang dari pukul 8 pagi hingga 3 petang kerja dalam studio.

"Kerja hari isnin sampai jumaat. Jadi, hari minggu saya akan berjalan-jalan ke pasar malam di sana. Saya suka tengok barang-barang kraftangan yang unik di sana," ulasnya yang turut membeli barang buat kekasih, keluarga kekasih dan untuk keluarganya sendiri.

RAZIF turut menyertai Qi menerusi program DestinasiBajet musim ketiga.


Mengakui berdepan dengan kesukaran berbahasa ketika di sana kerana masyarakatnya lebih pandai bercakap dalam bahasa Sepanyol, ujar Qi lagi, tempat paling menarik yang disukainya ketika di Argentina adalah di bandar Tigre.

Kata Qi, terdapat tasik yang sangat besar di Tigre. Dekat situ, kalau bersantai sambil melihat kapal-kapal besar sangat menyeronokkan.

"Dekat sana juga terdapat banyak lukisan mural pada dinding. Semuanya menarik dan pengalaman ketika di sana memang tidak boleh dilupakan. Di sana daging halal juga banyak dijual," ujar Qi lagi.

Disoal bagaimana keadaannya selama dua bulan berjauhan dengan kekasih hati, ungkap Qi, setiap hari sebelum tidur dia akan berhubung dengan Nelydia sama ada melalui aplikasi WassApp, telefon video atau tango.

Bagi Qi, dalam perhubungan mereka perlu berkomunikasi setiap hari.

"Biar duduk jauh tetapi komunikasi jangan jauh," jelasnya yang secara tidak langsung menimbulkan sedikit persoalan mengenai jawapannya itu.

Terlanjur mendengar jawapannya itu, Qi turut ditanya tentang bekas kekasihnya Yuna. Bukan mahu mengimbau kenangan lama, tetapi sekadar untuk mendengar pandangan Qi sendiri mengenai lagu terbaharu Yuna iaitu Lelaki.

Kata Qi, dia ada mendengar lagu tersebut tetapi tidak pernah terasa lagu tersebut ditujukan buat dirinya. Bagaimanapun, Qi mengakui lagu tersebut sedap didengar seperti lagu-lagu ciptaan Yuna yang lain.

Ramona sanggup bersumpah

Posted:

Ramona sanggup bersumpah

Ramona sanggup bersumpah

Oleh KHAIRUL AMRI HASSAN

RAMONA kini memulakan siri lawatannya menjelajah Eropah selama sebulan.


POPULARITI segera yang dikecapi Ramona Zamzam usai tayangan terakhir drama bersiri Cinta Jannah yang telah mencapai rating penonton 4.2 dua minggu lalu tidak bermakna pelakon muda itu harus menghela nafas lega. Terbaharu, Ramona atau nama sebenarnya Ros Ramona Qadira, 23, dilayangkan gosip liar menyatakan dia sering keluar masuk rumah seorang usahawan bergelar Datuk di pinggir ibu kota.

Lebih menjelikkan Ramona dituduh menjadi perempuan simpanan usahawan tersebut serta sering berkunjung ke banglo mewah itu bukan atas dasar perniagaan semata-mata.

Ikuti luahan hati pelakon cantik kelahiran Bukit Mertajam, Pulau Pinang itu ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.

Kosmo!: Sebelum ini pernah keluar cerita yang kurang enak mengenai Ramona yang dikatakan bercuti ke Pulau Pinang bersama seorang lelaki bergelar Datuk menaiki pesawat peribadi, kali ini keluar lagi cerita mengaitkan anda dengan lelaki kaya yang lain pula. Apakah komen Ramona?

RAMONA: Ya, memang benar sebelum ini saya pernah dikaitkan dengan spekulasi tersebut tapi saya menegaskan bahawa saya bercuti bersama isteri seorang usahawan berpangkat Datuk dan ditemani adik serta ibu saya. Gosip kali ini sangat mengganggu emosi saya, seharian saya menangis apabila diberitahu mengenai cerita yang mengaibkan ini. Sesungguhnya, saya bersumpah cerita yang dikeluarkan itu tidak benar sama sekali!

Atas dasar apakah sampai Ramona sanggup bersumpah menafikan cerita itu?

Demi Allah saya tidak pernah mengunjungi mana-mana rumah Datuk dan saya mengaku saya seorang kaki lepak kalau saya tiada penggambaran. Ramai yang mengetahui perangai saya dan saya pun tak pandai propa (kelentong). Saya tidak kacau orang, kalau orang tidak suka saya itu bukan masalah saya tapi jangan sampai mengaibkan saya sebegini. Saya tidak tahu daripada mana cerita ini boleh timbul dan sepanjang karier saya ini tuduhan paling melampau pernah saya terima. Saya tahu saya tidak popular tapi kenapa perlu nak jatuhkan saya?

Saya tidak mengharapkan perhatian orang, kalau orang tidak perasan kehadiran saya dalam industri ini lebih bagus. Saya pun lagi selesa. Tak perlu untuk saya gila populariti.

Ramona juga dikatakan akan menjalankan bisnes dengan Datuk terbabit. Komen anda?

Memang betul saya merancang untuk memulakan perniagaan bersama kawan baik saya, Naomi Yap memandangkan saya juga lulusan Pengurusan Perniagaan. Tapi tiada seorang pun Datuk yang akan terbabit dengan urusan perniagaan saya melainkan kawan saya itu.

FIGURA seksi ini mengakui emosinya agak terganggu impak gosip terbaharu dirinya ditohmah sering keluar masuk rumah seorang lelaki bergelar Datuk.


Mungkin ada tindakan Ramona berkunjung ke rumah individu lain berpangkat Datuk sehingga mengundang fitnah?

Saya akui saya selalu berkunjung ke rumah Naomi untuk mengambil atau menghantarnya pulang tapi baik keluarga saya atau keluarga dia masing-masing tiada berpangkat Datuk.

Selain Naomi, saya mempunyai seorang bapa saudara bergelar Datuk yang kediamannya terletak di Batu Caves, Selangor. Mungkin dia individu yang dimaksudkan cuma setiap kali saya berkunjung ke rumahnya saya akan datang bersama-sama keluarga saya. Kali terakhir ke rumahnya pun beberapa minggu lalu sempena rumah terbuka Aidilfitri.

Jadi, siapakah yang sepatutnya dipersalahkan dalam hal ini?

Saya tidak salahkan wartawan yang menulis kerana sudah pasti penulis juga mendapat informasi daripada individu di luar sana yang cemburu dan mahu melihat saya jatuh. Saya mahukan penjelasan dan bukti bahawa saya melakukan perbuatan itu bersama Datuk yang dimaksudkan.

Apakah tindakan Ramona selepas ini untuk membersihkan reputasi diri anda?

Saya seorang wanita yang akan berjuang untuk mempertahankan hak saya dan perbetulkan tohmahan negatif yang dilemparkan. Saya akan mencari siapa individu yang menyebarkan berita fitnah itu dan saya cabar untuk kemukakan bukti di depan mata saya. Jangan sampai saya bawa kes ini menjadi kes saman-menyaman. Saya tahu saya benar dan tiada seorang pun Datuk dalam hidup saya. Jangan cabar saya kerana saya boleh berdendam dengan orang.

Adakah Ramona akan lebih berhati-hati selepas ini?

Saya sangat takut sekarang kerana mungkin akan timbul spekulasi lanjutan apabila orang mendapat tahu saya akan bercuti di Eropah selama sebulan. Ingin saya tegaskan bahawa percutian ini bersama keluarga saya yang ramai menetap di sekitar Eropah dan atas titik peluh saya sendiri, tidak ditaja oleh mana-mana pihak. Saya akan melawat Switzerland, United Kingdom, Perancis dan Itali sepanjang tempoh itu.

Pelakon popular sertai Liga Lawak Superstar

Posted:

Pelakon popular sertai Liga Lawak Superstar

Pelakon popular sertai Liga Lawak Superstar

Oleh RONI HIDAYAT RIDWAN

AZIZ (kanan) turut memeriahkan lagi program cetusan idea Afdlin, Liga Lawak Superstar.


SETELAH menerbitkan beberapa program realiti TV kegemaran ramai seperti Mentor, Vokal Bukan Sekadar Rupa dan Bintang Mencari Bintang, kini TV3 bakal tampil dengan sebuah lagi program terbaharu iaitu Liga Lawak Superstar.

Menariknya, program cetusan idea pengarah, pelakon dan pelawak Afdlin Shauki itu memperlihatkan kewibawaan pelakon popular tanah air dalam mempamerkan kreativiti masing-masing dalam sketsa komedi.

Afdlin berkata, program berkenaan dihasilkan kerana mahu memberi peluang kepada para pelakon untuk tampil dalam sebuah program hiburan yang berbentuk komedi.

"Program ini membabitkan pelakon-pelakon yang membintangi drama-drama terbaharu terbitan TV3. Seramai 24 orang peserta telah dipilih membabitkan 16 pelakon yang membintangi drama terbaharu TV3 serta lapan pelawak.

"Kesemua peserta akan dibahagikan kepada lapan pasukan. Ia bermakna, setiap pasukan diwakili tiga peserta. Kemudian mereka dipecahkan pula kepada dua iaitu Kumpulan A dan Kumpulan B," ujarnya.

Pelakon popular yang bersaing dalam Liga Lawak Superstar termasuklah Riezman Khuzaimi, Zalif Sidek, Qazeem Nor, Fizz Fairuz, Idzham Ismail, Sheera Iskandar, Nad Zainal, Anas Ridzuan, Hairi (Anak Wayang), Aman Nassim, Mikael Andre, Kamal Adli, Akim Ahmad, Iqram Dinzly, Syafiq Kyle dan Aidil Aziz.

Selain pengarah dan pelakon Aziz M. Osman, program itu turut dimeriahkan dengan barisan pelawak iaitu Azlee Senario, Aziz M. Osman, Ilya, Hamdan, Sathiya, Bell Ngasri, Ropie dan Farouk Hussein.


BERSAING di gelanggang yang sama. (Dari kiri) Akim, Syafiq, Hairi, Zalif dan Aman antara pelakon yang turut menyertai program Liga Lawak Superstar.


Mengenai cabaran yang harus dilalui oleh peserta, Afdlin menjelaskan, setiap pasukan akan bersaing dalam lima buah permainan, termasuk yang membabitkan fizikal.

Ujarnya, mereka yang menonton program tersebut berpeluang untuk melihat bakat-bakat terpendam yang dimiliki oleh peserta seperti menyanyi dan aksi komedi.

"Buat masa ini setiap cabaran yang perlu dilakukan peserta tidak boleh diumumkan lagi kerana mereka akan mengetahuinya semasa saingan berlangsung nanti," ujarnya.

Menurutnya, kesemua pasukan akan memulakan saingan sebenar bermula pada episod kedua hingga kelima. Kemudian juara dan naib juara setiap kumpulan layak bersaing untuk peringkat separuh akhir.

Boot camp

Sebelum berhadapan dengan persaingan yang sebenar, kesemua pasukan dikehendaki untuk menempuh cabaran awal dalam sesi boot camp.

Jelas Afdlin, tujuan utama sesi berkenaan dibuat adalah untuk memberi peluang kepada setiap pasukan mengumpul markah tertinggi dalam setiap permainan yang harus ditempuhi.

"Kepada mana-mana pasukan yang berjaya mengumpul markah paling tinggi, mereka akan diberi keutamaan untuk memilih mana-mana pelawak yang akan menyertai pasukan.

"Kami merasakan cara sebegini dilihat lebih adil kerana bukan kami yang menentukannya. Langkah ini akan menunjukkan kesungguhan masing-masing untuk bersaing, sekali gus memilih pelawak yang digemari dan mampu membantu pasukan," ujarnya.

Episod pertama Liga Lawak Superstar akan mula bersiaran pada 6 Oktober ini pukul 9 malam. Untuk episod pertama akan ditayangkan sesi para peserta bersaing di boot camp, manakala episod seterusnya merupakan cabaran sebenar yang berlangsung dalam studio.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Komen

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved