Isnin, 30 September 2013

Kosmo Online - Rencana Utama


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Rencana Utama


Nekad perangi jenayah rasuah

Posted:

Nekad perangi jenayah rasuah

Nekad perangi jenayah rasuah

PERDANA Menteri Malaysia kedua, Tun Abdul Razak Hussien pernah mengungkapkan: "Salah satu sifat seorang rakyat yang baik ialah jujur dengan diri sendiri dan individu lain kerana berlawanan sifat jujur ialah rasuah."

Di Malaysia, kewujudan badan pencegahan rasuah bermula dengan sebuah unit kecil di bawah Jabatan Perdana Menteri. Ketika itu, siasatan kes rasuah dijalankan oleh Jabatan Siasatan Jenayah, Polis Diraja Malaysia (PDRM), manakala pendakwaan dikendalikan oleh Jabatan Peguam Negara.

Kemudian, kerajaan telah menggabungkan usaha pencegahan rasuah oleh ketiga-tiga agensi itu dengan mewujudkan Badan Pencegah Rasuah (BPR) pada 1 Oktober 1967.

Pada 29 Ogos 1973, entiti pencegahan rasuah negara diwujudkan secara undang-undang apabila Akta Biro Siasatan Negara diperkenan sekali gus mengubah BPR kepada Biro Siasatan Negara (BSN).

Perubahan itu telah meluaskan kuasa perundangan BSN dengan mandat untuk menyiasat kes berkaitan kepentingan negara di samping kes rasuah.

Bagaimanapun, perubahan sekali lagi berlaku apabila Akta BPR 1982 diluluskan oleh Parlimen pada 13 Mei 1982. Akta ini meletakkan semula tugas pencegahan rasuah kepada BPR sekali gus memartabatkan peranan badan tersebut sebagai entiti tunggal yang dipertanggungjawabkan khusus untuk mencegah jenayah rasuah.

Pada tahun 2008, Parlimen telah meluluskan penubuhan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) bagi menggantikan BPR. Ia selaras dengan hasrat masyarakat yang mahukan entiti pencegahan rasuah yang lebih bebas, telus dan profesional.

Maka, pada 1 Januari 2009, SPRM ditubuhkan secara rasminya. Ironinya, transformasi BPR kepada SPRM bukan sekadar pada nama semata-mata. Perubahan ini bertujuan untuk meningkatkan kecekapan, keberkesanan, kebebasan dan ketelusan tindakan pencegahan rasuah di Malaysia.

Ia sekali gus menangkis persepsi negatif pencegahan rasuah yang sebelum ini dianggap tidak bebas dan tidak telus.


PROGRAM Pegawai Integriti Bertauliah yang diperkenalkan SPRM telah disertai hampir 200 pegawai dari kedua-dua sektor kerajaan dan swasta.


Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Abu Kassim Mohamed, 52, berkata, proses transformasi yang dilakukan sejak tahun 2009 hingga 2013 menyaksikan pengukuhan dalam tiga bidang utama iaitu operasi, modal insan dan pencegahan.

Ini termasuklah memperkenalkan sistem pengurusan siasatan yang berkesan, sistem pengurusan pencegahan dan pendidikan berkesan serta pembangunan modal insan SPRM secara menyeluruh.

Jelas beliau, proses transformasi ini akan memantapkan lagi SPRM dalam aspek memperbaiki struktur organisasi, memperkenalkan sistem pengurusan modal insan berdasarkan kompentensi, memperkenalkan sistem pengurusan bakat yang fleksibel dan membawa masuk tenaga pakar bagi meningkatkan operasi.

Sabitan rasuah

"Hasilnya kadar sabitan rasuah dan perbicaraan di mahkmah telah meningkat daripada 54 peratus pada tahun 2009 kepada 89 peratus pada Jun 2013. Selain itu, kita turut memberi tumpuan siasatan pada sektor swasta dengan menjalin kerjasama dengan pelbagai agensi.

"SPRM juga telah menubuhkan Bahagian Forensik meliputi Forensik Perakaunan, Komputer dan Kejuruteraan serta menyediakan bilik temu bual bervideo (VIR) di semua pejabat agensi ini," ujarnya mengenai impak daripada program transformasi yang dijalankan.

SPRM telah memperkenalkan Program Pegawai Integriti Bertauliah (CeIO) bermula Januari lalu iaitu satu kursus kendalian Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia yang boleh disertai oleh mana-mana syarikat yang berminat. Setakat ini, hampir 200 pegawai telah memperoleh CeIO daripada kedua-dua sektor awam dan swasta.

Mengulas lanjut, Abu Kassim mengakui, cabaran yang dihadapi agensi berkenaan dalam menjalankan tugas membanteras rasuah berubah mengikut peredaran zaman.

"Sewaktu memulakan kerjaya dengan BPR pada tahun 1984, cabaran yang dihadapi ialah bagaimana untuk menggalakkan orang ramai tampil membuat laporan dan memberi bukti berhubung sebarang isu rasuah.


BANGUNAN Ibu Pejabat SPRM terletak di Kompleks Kerajaan Persekutuan Putrajaya.


"Saya fikir dahulu, kes-kes rasuah agak mudah. Pembayaran dilakukan secara terus. Ia tidak serumit kes rasuah masa kini yang jelas berbeza melibatkan aspek lapisan pembayaran, jumlah wang yang besar dan transaksi menggunakan institusi kewangan.

"Apa yang pasti, ia bukan sahaja cara tetapi kaedah peletakan wang, di mana wang itu disorok dan bagaimana kita hendak masuk mencari atau dipanggil money trail dalam bahasa undang-undang. Penyimpanan wang rasuah juga sukar dikesan. Malah ada yang berbentuk aset, kad kredit dan sebagainya. Terlalu banyak cara dan tiada had," ungkapnya.

Tambahnya, dahulu pengesanan terhadap kes-kes rasuah diperoleh daripada pemberi maklumat. Tetapi kini, kita perlu pergi lebih jauh ke dalam. Dalam erti kata lain, masuk ke dalam aktiviti itu, menyelami dan menjadi sebahagian daripada mereka.

"Cara taktikal menggunakan kaedah perisikan yang tinggi ini merupakan antara strategi yang dibuat bagi memperkasakan SPRM.

"Bagi perkhidmatan Forensik Perakaunan pula, ia berfungsi untuk mengenal pasti perlakuan pembayaran rasuah melalui perakaunan dalam sesebuah syarikat. Contohnya, satu pembayaran telah dibuat tetapi tidak dinyatakan sebagai rasuah. Ia mungkin dimaklumkan sebagai satu pembayaran perkhidmatan.

Transformasi

"Jadi, di sinilah kemahiran pegawai Forensik Perakaunan digunakan dalam mengesan ia sejenis bayaran meragukan atau dipanggil fishy payment," kata beliau.

Dalam pada itu, proses transformasi secara besar-besaran yang dilakukan oleh SPRM berjaya meningkatkan keyakinan masyarakat terhadap mereka. Justeru, tidak hairanlah jika kadar maklumat yang dilaporkan kepada SPRM semakin tinggi.


BANGUNAN Ibu Pejabat BPR kedua yang terletak di Jalan Sulaiman, Kuala Lumpur.


Pada tahun 2009 menyaksikan sebanyak 12,307 maklumat diterima SPRM. Daripada jumlah itu, sebanyak 5,936 merupakan maklumat berunsur rasuah. Ia meningkat kepada 12,614 pada tahun berikutnya dan 5,646 adalah maklumat berunsur rasuah.

Pada tahun 2011, jumlah maklumat yang diterima adalah sebanyak 13,325 (6,745 berunsur rasuah) manakala sejumlah 11,765 maklumat diperoleh pada 2013 (5,496 berunsur rasuah). Sehingga Jun 2013 pula, keseluruhan maklumat yang diterima adalah sebanyak 4,268 (2,231 berunsur rasuah).

"Statistik ini jelas menunjukkan bahawa SPRM terus menerima kepercayaan masyarakat untuk menyiasat walaupun hakikatnya hampir sebahagian maklumat tersebut bukan berunsur rasuah," terang Abu Kassim.

SPRM mahu jadi agensi bertaraf dunia

Posted:

SPRM mahu jadi agensi bertaraf dunia

SPRM mahu jadi agensi bertaraf dunia


UNODC merupakan sebuah badan yang bertindak sebagai penilai dalam usaha pelaksanaan pencegahan rasuah antarabangsa.


SEJAK ditubuhkan 46 tahun lalu, Badan Pencegah Rasuah (BPR) yang kini dikenali sebagai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sentiasa komited dalam usaha membasmi jenayah rasuah di negara ini.

Selain visi mewujudkan masyarakat Malaysia yang bebas daripada rasuah, SPRM juga mempunyai wawasan untuk menjadi sebuah agensi pencegah rasuah bertaraf dunia.

Perkara ini diakui oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Abu Kassim Mohamed dalam satu temu bual eksklusif bersama Kosmo! di Kuala Lumpur baru-baru ini.

"SPRM telah meletakkan satu matlamat untuk menjadi antara entiti pencegah rasuah terunggul di rantau ini menjelang tahun 2020. Saya percaya dengan momentum yang dilakukan, diikuti sokongan kerajaan dan rakyat, dalam tempoh tujuh tahun kita mampu mencapainya," ungkap Abu Kassim yang memiliki kelulusan Ijazah Sarjana Keadilan Jenayah dari Universiti Negeri Michigan, Amerika Syarikat (AS).

Keyakinan beliau ada asasnya kerana berdasarkan penilaian Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Dadah dan Jenayah (UNODC) Mei lalu, SPRM sudah hampir ke arah tersebut.

Pengiktirafan UNODC ini meliputi 23 perkara dan amalan-amalan baik. Antaranya, kewujudan Panel Penilaian Operasi (PPO) iaitu salah satu daripada lima badan bebas yang memantau perjalanan SPRM.

Mereka juga mengiktiraf kewujudan Mahkamah Khas Anti Rasuah yang telah pun beroperasi pada 2011. Setakat ini terdapat 14 mahkamah berkenaan di seluruh negara.

"Kejayaan ini merupakan hasil kerjasama daripada semua pihak. Bagi saya, SPRM sudah melakukan yang terbaik dalam usaha memerangi rasuah.

"Apa yang lebih penting ialah keprihatinan masyarakat untuk menilai adakah rasuah itu sudah menjadi satu budaya dan sebati dalam kehidupan atau sebaliknya," tegas beliau yang merupakan anggota Interpol Group of Experts on Corruption dan Naib Pengerusi Lembaga Pengelola Akademi Anti Rasuah Antarabangsa (IACA).


PENYIASATAN oleh SPRM turut melibatkan kerjasama dengan agensi penguat kuasa yang lain.


Catat sejarah

Selain pengiktirafan daripada UNODC, SPRM turut menjalin kerjasama dengan Biro Mencegah Rasuah Brunei dalam mewujudkan kerjasama dua hala bagi membasmi gejala rasuah.

"Perkara ini telah dimulakan sejak tahun 2003. Kita melatih mereka dalam menyiasat kes-kes rasuah dengan lebih berkesan. Boleh dikatakan, kerjasama tersebut amat rapat.

"Hakikatnya, SPRM berjaya memecah tembok birokrasi pertukaran maklumat, perkongsian pengalaman atas bantuan yang diberikan pada negara jiran," ujar Abu Kassim yang menerima anugerah Darjah Seri Paduka Mahkota Brunei Yang Amat Mulia Darjah Kedua pada 16 September lalu.

Pada Februari 2012 pula, Abu Kassim turut menerima pengiktirafan Kumpulan Pakar Antarabangsa Interpol Mengenai Rasuah (IGEC) atas usaha beliau memerangi rasuah.

Tambah beliau, selain Brunei, Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA) turut menyediakan kursus latihan asas untuk banyak negara termasuk Bhutan, Vietnam dan Indonesia serta negara anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).

"Tidak ketinggalan, Europol turut membawa pegawai khas antirasuah dari Afghanistan untuk menjalani latihan di MACA. Malah, jangan terperanjat kerana seorang pegawai SPRM kini bertugas di Interpol dalam unit antirasuah yang diwakili hanya lima orang dari seluruh negara dunia," katanya.

Selain itu, pengiktirafan yang paling besar, kata beliau, ialah modul keenam Ijazah Sarjana Penguatkuasaan Undang-Undang kendalian Akademi Antarabangsa Pencegahan Rasuah akan dijalankan di Malaysia. Abu Kassim merupakan anggota Lembaga Pentadbir akademi itu.

Ternyata kredibiliti Abu Kassim dalam mengetuai SPRM sukar dinafikan. Apatah lagi, anak jati Kuala Lumpur itu juga pernah menduduki tempat keempat daripada senarai 100 tokoh paling berpengaruh dalam etika perniagaan pada tahun 2010 oleh Ethisphere Institute yang berpangkalan di New York, Amerika Syarikat. - KHADIJAH MOHAMAD NOR

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved