Ahad, 15 September 2013

Kosmo Online - Rencana Utama


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Rencana Utama


Perjalanan negara selama lima dekad

Posted:

Perjalanan negara selama lima dekad

Perjalanan negara selama lima dekad

"MERDEKA MALAYSIA! Alhamdulillah, setelah lama kita menunggu, maka akhirnya tibalah saat yang bersejarah ini - hari lahirnya Malaysia.

"Hari ini, sepuluh juta manusia daripada pelbagai kaum dan keturunan di seluruh Tanah Melayu, Singapura, Sarawak dan Sabah dengan perasaan penuh kegembiraan dan harapan mengikat tali persaudaraan untuk bersatu padu mengecap kemerdekaan."

Itu antara dua petikan awal di sebalik amanat Hari Malaysia yang disampaikan Perdana Menteri pertama yang juga Bapa Kemerdekaan Negara, Tunku Abdul Rahman lima dekad lalu.

Amanat itu disampaikan ketika seluruh rakyat bergembira selepas Sabah, Sarawak, Persekutuan Tanah Melayu dan Singapura bersetuju membentuk sebuah negara berdaulat bernama Malaysia. Hari ini, pada 16 September 2013, rakyat sekali lagi mengecapi kegembiraan itu. Melalui tempoh panjang selama lima dekad, ia meletakkan Malaysia pada usia yang matang. Menjadi sebuah negara harmoni dan berjaya dari segala aspek.

Menyusuri sejarah lampau, 31 Ogos 1957 menjadi saksi kepada kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu yang ketika itu bermulanya era pentadbiran dan sosioekonomi di bawah pentadbiran Tunku Abdul Rahman.

Beberapa tahun kemudian, rancangan disusun oleh pemimpin pada masa itu dalam mewujudkan sebuah persekutuan.

Bermula dengan perundingan diikuti penubuhan jawatankuasa dan proses turun padang bertemu rakyat, maka lahirlah sebuah negara bernama Malaysia.

Detik bersejarah itu dirakamkan pada 16 September 1963 yang menyaksikan penggabungan antara Persekutuan Tanah Melayu, Singapura, Sabah dan Sarawak. Singapura bagaimanapun keluar dari Malaysia pada tahun 1965.

Berkongsi pandangan mengenai sejarah itu, Pensyarah Kanan, Program Hubungan Antarabangsa Sekolah Sains Sosial, Universiti Malaysia Sabah, Dr. Zaini Othman menyifatkan pembentukan sebuah negara bernama Malaysia ini merupakan nikmat besar bagi seluruh rakyat.


MENTERI Pertanian dan Koperasi yang mewakili kerajaan Persekutuan, Tan Sri Mohd. Khir Johari membacakan pemasyhuran Malaysia di Padang Central, Kuching, Sarawak pada 16 September 1963.


Katanya, selepas lima dekad pembentukan Persekutuan Malaysia, bukan sahaja Sabah, malah kesemua entiti politik yang wujud dalam Persekutuan Malaysia telah menikmati semangat kerjasama seperti yang termaktub dalam Perlembangaan Malaysia.

"Keselamatan, pendidikan dan sumber manusia, umpamanya merupakan tanggungjawab bersama dalam kalangan entiti politik Persekutuan Malaysia.

"Jaminan itu adalah manfaat berharga yang dinikmati oleh setiap entiti politik dalam Persekutuan Malaysia, termasuk Sabah," katanya.

Bersyukur

Menurut beliau, tahun ini merupakan tahun ke-50 Sabah, Sarawak dan Persekutuan Tanah Melayu (Malaya) membentuk negara Persekutuan Malaysia.

"Hakikat sejarah yang tidak boleh kita nafikan Sabah tidak menyertai Malaysia, tetapi lebih tepat, Sabah, Sarawak, Persekutuan Tanah Melayu dan Singapura (kemudiannya keluar dari Persekutuan Malaysia pada tahun 1965) telah membentuk Persekutuan Malaysia," jelasnya.

Bagi mantan Pengarah Arkib Negeri Sabah, Datuk Datu Tigabelas Datu Zainal Abidin, penubuhan sebuah gagasan bernama Malaysia yang menggabungkan Tanah Melayu, Sabah, Sarawak dan Singapura sehingga 1965 merupakan satu nikmat besar yang perlu disyukuri.

Selepas Tanah Melayu bebas daripada penjajahan pada tahun 1957, Perdana Menteri ketika itu, Tunku Abdul Rahman telah mengumumkan mengenai penubuhan sebuah gagasan baharu menerusi gabungan bersama Singapura, Brunei, Borneo Utara (Sabah) dan Sarawak pada 27 Mei 1961 di Singapura.

"Apa yang dilakukan oleh Tunku ketika itu adalah untuk mewujudkan satu kerjasama politik dan ekonomi yang lebih erat dalam kalangan wilayah-wilayah serumpun.

"Malah, penggabungan ini turut mengambil kira pandangan semua pihak termasuklah kalangan pemimpin dan rakyat setiap wilayah.

"Ketika itu, sikap tolak ansur dalam kalangan pemimpin begitu terserlah semata-mata untuk melihat rakyat bersatu di bawah satu payung negara," katanya.


PEMANDANGAN dari udara bandar Kota Kinabalu, Sabah yang pesat membangun.


Beliau menjelaskan, di sebalik kepelbagaian kaum dan etnik di negara ini, rakyat seharusnya bersyukur kerana dapat menjalin perpaduan erat selama lima dekad.

"Tidak banyak negara di luar yang mampu berdiri dan duduk bersama di bawah satu pemerintahan seperti yang dirasai oleh rakyat negara ini.

"Sekalipun banyak rintangan pada awal penubuhan gagasan ini termasuk campur tangan negara jiran dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), namun berbekalkan semangat persahabatan serantau, jalan penyelesaian berjaya dicapai," ujarnya ketika ditemui.

Dalam pada itu, Penyelaras Unit Pengajian Kerajaan Tempatan, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Kota Kinabalu, Prof. Datuk Dr. Chua Kim Hing menyifatkan penyertaan Sabah khususnya dalam pembentukan Malaysia telah memberi manfaat pembangunan yang ketara.

"Jika melihat kepada perubahan pembangunan, memang tidak dinafikan Sabah lebih baik berbanding sebelum ini. Pembangunan asas fizikal boleh dilihat di mana-mana dengan adanya hospital, sekolah-sekolah dan jalan raya.

"Semua ini adalah hasil perkongsian kemerdekaan yang Sabah kecapi sejak 50 tahun lalu. Begitu juga dengan aspek insaniah diberi penekanan," jelasnya.

Bagaimanapun, beliau mengakui agihan pembangunan di sesetengah tempat terutamanya di kawasan pendalaman dan luar bandar masih belum berada pada tahap yang dibanggakan.

"Kita boleh lihat pembangunan pesat di kawasan luar bandar di sesetengah negeri, tetapi Sabah masih terkebelakang. Mungkin disebabkan beberapa faktor termasuk bentuk muka bumi.

"Namun, usaha berterusan perlu dilakukan oleh pihak pentadbir bagi memastikan erti kemerdekaan yang dilaungkan selama ini dapat dirasai oleh segenap lapisan rakyat di negara ini," ujarnya.

Di sebalik semua itu, Kim Hing merasakan satu perkara yang perlu dibanggakan oleh rakyat negara ini khususnya di Sabah ialah perpaduan sesama kaum.

Tegasnya, Sabah meskipun dikongsi oleh lebih 20 kaum dan etnik berbeza, namun masalah hubungan kaum tidak pernah berlaku.

"Krisis perkauman akan tercetus jika wujudnya pihak yang tidak bertanggungjawab. Maka dengan itu, semangat toleransi dan saling hormat menghormati sangat penting.

"Kita perlu hidup dengan acuan kita sendiri tanpa mencampuradukkan mekanisma luar yang boleh mengganggu keharmonian. Itu lebih penting jika kita mahu terus hidup sebagai sebuah bangsa merdeka," katanya lagi.


GENERASI muda seharusnya meneruskan keamanan dan keharmonian yang berlangsung sepanjang lima dekad.


Hidup bebas

Sementara itu, pesara kerajaan, Juin Sawayan, 60, melahirkan rasa syukur kerana dapat hidup dalam sebuah negara yang dilimpahi keamanan dan pembangunan.

"Saya lahir sebelum negara Malaysia terbentuk dan saya telah lihat pelbagai peristiwa yang membawa perubahan kepada negara. Sehingga hari ini, saya dapat hidup bebas dengan melihat perubahan besar pada generasi muda," katanya.

Seorang peniaga, Julinah@Amyati Ku Yu Pang, 52, pula berkongsi pandangan mengenai nikmat pembangunan yang dirasai oleh setiap inci masyarakat di negara ini.

Katanya, hidup dalam suasana aman dan harmoni membuka banyak ruang kepada masyarakat untuk mencari rezeki dalam pelbagai bidang.

"Orang yang berniaga dapat berniaga dengan senang dan sesiapa sahaja boleh mencari rezeki dengan cara tersendiri," ujarnya.

Bagi seorang pelajar, Noraidah Rizan, 24, dia mengakui pengorbanan generasi terdahulu yang telah berkorban demi kedaulatan negara perlu sentiasa dikenang.

Ujarnya, keamanan yang dikecapi hari ini selepas 50 tahun pembentukan Malaysia bukanlah perkara yang mudah dicapai dan seharusnya dipertahankan oleh generasi muda.

Contohi semangat patriotisme generasi dulu

Posted:

Contohi semangat patriotisme generasi dulu

Contohi semangat patriotisme generasi dulu


SAMBUTAN Hari Malaysia boleh melahirkan generasi muda yang sayangkan negara dan mempunyai jati diri yang tinggi.


TATKALA Sarawak meraikan ulang tahun kemerdekaan yang ke-50 di bawah nama Malaysia, penerima anugerah Tokoh Kemerdekaan 2010, Datuk Seri Dominic Dago menaruh harapan agar rakyat Malaysia tetap bersatu padu di bawah semangat 1Malaysia.

Bekas Ahli Parlimen Serian itu mahu generasi muda mencontohi semangat patriotik nenek moyang mereka dalam mencapai kemerdekaan.

Beliau menegaskan supaya anak-anak muda tidak ambil mudah berhubung keharmonian, keamanan, kestabilan dan kesejahteraan negara yang dinikmati selama ini.

"Hari Malaysia yang jatuh setiap 16 September adalah bagi meraikan pembentukan Malaysia lima dekad lalu. Ia asas kepada masa hadapan kita," kata Dago yang kini berusia 80 tahun.

Beliau merupakan satu-satunya anggota Jawatankuasa Antara Kerajaan, yang merundingkan penyertaan Sarawak dan Sabah ketika itu dikenali sebagai North Borneo ke dalam Persekutuan Malaysia. Persekutuan Malaysia pada masa itu ditunjangi Malaya dan Singapura.

Namun, apa yang menyedihkan Dago ialah apabila tidak ramai anak muda hari ini yang mengetahui Sarawak telah merdeka daripada jajahan British pada 22 Julai 1963.

Pada 16 September 1963, majlis pengisytiharan Persekutuan Malaysia yang diadakan di Padang Merdeka (dulu dikenali sebagai Padang Central) telah dirasmikan oleh Yang Dipertua Negeri yang pertama iaitu Datu Abang Openg Abang Sapiee iaitu arwah bapa kepada Menteri Perumahan dan Pelancongan Sarawak sekarang, Datuk Amar Abang Johari.

Ketua Menteri Sarawak yang pertama, mendiang Tan Sri Stephen Kalong Ningkan dan Menteri Persekutuan, Tan Sri Mohd. Khir Johari yang mewakili kerajaan Malaya turut berucap pada hari bersejarah itu.

Beliau berkata, ketika itu ramai orang Sarawak menyokong pembentukan Malaysia dengan Parti Negara Sarawak (Panas) yang diketuai oleh arwah Datuk Bandar Mustapha, sekali gus menjadikannya parti politik pertama menyokong langkah tersebut.

Bagaimanapun, ada sekumpulan kecil masyarakat Sarawak yang mahukan British terus memerintah kerana menganggap mereka pihak neutral manakala sebahagian lagi memilih untuk lari ke Indonesia dan menyertai perjuangan bersenjata yang memulakan bibit pemberontakan komunis di negeri ini.

Sejarah dinodai

Dalam tempoh beberapa tahun pertama sejarah Malaysia dinodai dengan Konfrontasi Indonesia-Malaysia, serangan komunis, tuntutan Filipina ke atas Sabah dan pemisahan Singapura daripada Persekutuan pada 19 Ogos 1965.

"Orang kita menghadapi pelbagai masalah dan kesusahan, terutama mereka yang tinggal berhampiran sempadan Indonesia-Malaysia kerana terpaksa menggali lubang di bawah rumah untuk menyelamatkan diri," cerita Dago.

Pihak berkuasa ketika itu juga terpaksa melaksanakan perintah berkurung, terutama di kawasan pedalaman yang berdepan dengan ancaman komunis.

Kerajaan akhirnya memutuskan untuk menempatkan semula penduduk yang disasar komunis ke kawasan terkawal seperti Siburan, Beratok dan Tapah sepanjang Jalan Kuching-Serian. Di Sibu ditubuhkan pula Pemerintahan Keselamatan Kawasan Rajang (Rascom).

KELIHATAN dua petugas melakukan kerja-kerja akhir pemasangan replika logo sambutan 50 tahun Sarawak Merdeka dalam Malaysia di Kuching, Sarawak baru-baru ini.


"Sebelum itu, kawasan berkenaan tiada jalan, bekalan air atau elektrik, sekolah mahupun klinik. Tetapi kini, saya gembira melihat masyarakat hidup di penempatan baharu dengan jalan bertar, bekalan air dirawat, elektrik, sekolah, klinik dan sebagainya," luah beliau.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Penulis Blog Sarawak, Cyril Dason, 30, memuji keputusan kerajaan Persekutuan mengiktiraf kepentingan Sabah dan Sarawak dalam pembentukan Malaysia dengan mewartakan 16 September sebagai cuti umum, beberapa tahun lalu.

"Ia juga bagus kerana mengajar generasi muda sejarah sebenar Malaysia. Sebelum ini tiada siapa pun kisah tentang Hari Malaysia. Malah, ketika saya belajar dahulu, buku-buku sejarah pun tidak banyak memaparkan mengenainya," katanya lagi.

Mungkin ramai anak muda hari ini yang dikenali sebagai Generasi Y ingin meraikan Hari Malaysia dengan melepak di pusat beli-belah bersama rakan-rakan, ke kelab malam atau bersantai di tepi pantai.

Namun, sebagai seorang penulis blog, Cyril bercadang menggunakan media sosial untuk menghebahkan sambutan hari bersejarah itu di samping berkongsi pelbagai artikel menarik menerusi blognya.

Bagi Ketua Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) cawangan Marudi, Sahrein Maloh, 33, Hari Malaysia bagaikan satu peringatan kepada setiap rakyat Malaysia pentingnya perpaduan, tidak kisahlah sama ada mereka dari Sabah, Sarawak atau Semenanjung.

Sahrein akan menyertai pelbagai aktiviti anjuran kerajaan bagi meraikan Hari Malaysia termasuklah perarakan yang melibatkan 92 kontinjen dan 4,000 peserta di Padang Merdeka di Kuching.

Scott Kuek, 34, seorang eksekutif di sebuah agensi kerajaan turut berminat untuk turun padang dan melihat perarakan berkenaan.

"Ramai yang dalam lingkungan umur saya ini lebih suka melihat siaran langsung di kaca televisyen untuk mengelakkan terperangkap dalam kesesakan lalu lintas. Namun saya teringin untuk merasakan sendiri kemeriahan sambutan di lokasi," ujarnya.

Meskipun sibuk dengan tuntutan pekerjaan, Scott mengakui tetap mencari peluang melawat pameran Sarawak 50 Glorious Years di Kompleks Pelancongan Sarawak. Pameran itu padat dengan maklumat berguna yang menceritakan tentang keperitan perjuangan di Sarawak dalam mengecapi kemerdekaan.

Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah berkenan berangkat menghadiri perarakan Hari Malaysia di Padang Merdeka semalam.

Turut menghadiri sambutan ialah pasukan veteran Komanwel dari Britain, Australia dan New Zealand, keluarga Brooke dan pegawai kerajaan yang telah berkhidmat di Sarawak ketika ia mencapai kemerdekaan.

Sambutan itu turut dihadiri Yang Dipertua Negeri Sarawak, Tun Abang Muhammad Salahuddin Abang Barieng, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Ketua Menteri, Tan Sri Abdul Taib Mahmud. - Bernama

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved