Ahad, 15 September 2013

Kosmo Online - Hiburan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Hiburan


Kalau jadi apa-apa, saya gila - Nabila Huda

Posted:

Kalau jadi apa-apa, saya gila - Nabila Huda

Kalau jadi apa-apa, saya gila - Nabila Huda

TATKALA mengenang insiden kemalangan jalan raya pada Ahad lalu, kelopak mata Nabila Huda Suhaimi pantas digenangi air mata. Ingatannya segera menerpa pada pukul 3.30 petang bertarikh 8 September lalu. Ditahan-tahan suaranya. Namun, dia tidak lokek berkongsi keadaan sebenar.

Seingatnya, dia terlelap dalam perjalanan pulang tatkala kenderaannya melintasi Kilometer 71 Lebuh Raya Pantai Timur arah Kuantan menghala ke Kuala Lumpur. Sewaktu matanya terbuka, dia nampak buah hatinya, Keisha Laila sedang lelap di belakang. Dia menoleh ke depan semula, selepas melihat aktor Syazwan Zulkifly memandu tenang di sebelahnya dalam keadaan hujan lebat sehingga pandangan menjadi kabur.

Tidak sampai beberapa saat, kenderaan jenis Mitsubishi Triton milik Syazwan melelong lantaran jalan licin sebelum terbalik beberapa kali dan berhenti. Dalam keadaan pening, Nabila menoleh ke belakang, mencari Keisha yang hilang daripada pandangan. Dia menjerit-jerit nama puterinya itu seraya menyuruh Syazwan keluar dari tingkap kereta yang sudah mengiring. Kaca bertaburan di sana sini.

Syazwan menyelinap dari tingkap dan gagal mengesan Keisha, Nabila bergegas naik tanpa selipar. Kakinya seakan-akan tidak terasa bahawa dia sebenarnya sudah memijak kaca yang bertaburan. Matanya terpandang ke arah tubuh Keisha di atas jalan, beberapa meter di belakangnya. Keisha sedang cuba bangun daripada pembaringan dalam hujan yang masih lebat.

Berlarilah ibu ke arah anaknya. Memeluk Keisha yang basah kuyup lantas bertanya "Keisha OK?" Anak kecil yang ternyata masih bingung itu merengek menyatakan dia OK namun anak kecil itu masih terasa sakit.

Itu momen yang jelas di mata Nabila ketika dia merangkul Keisha dalam kebasahan dan anaknya masih tabah untuk cuba bangun ketika dia terbaring selepas tercampak keluar dari kereta.

Dia kemudian dibawa ke Hospital Bentong, Pahang atas jasa baik sebuah famili yang kebetulan melalui lebuh raya yang sama.

"Semasa di hospital, saya tenangkan Keisha. Dia seperti dalam kebingungan. Saya pujuk dia supaya tidak menangis kerana dia anak yang tabah. Dia menurut kata saya. Namun ketika dia mendengar jeritan saya semasa luka di kaki saya sedang dicuci, dia berteriak. Dia tahu saya berada dalam kesakitan. Dia seperti turut merasainya. Itulah Keisha, permata hati saya," air mata Nabila Huda bergenang mengingatkan anak yang ketika ini berada dalam jagaan bekas suaminya.

ANAK- BERANAK stylo ini sering mengucapkan ayat-ayat cinta antara satu sama lain.


Dihukum masyarakat

"Sebagai ibu, saya bersyukur kami selamat. Kalau terjadi apa-apa pada Keisha, saya sanggup mati. Saya tidak boleh bayangkan dan pasti saya gila. Syukur, umur kami panjang. Dia adalah kekuatan saya dan dia juga dapat kekuatan daripada saya," ujarnya tidak putus-putus bersyukur.

Kisah kemalangan Nabila dan anaknya itu mendapat sorotan ramai. Ramai yang sentiasa mahu tahu keadaan terkininya. Tak kurang juga yang meninjau akaun-akaun Twitter orang yang ada dan yang pernah hadir dalam hidup Nabila Huda.

Ada yang mempersoalkan kenapa Nabila membawa anaknya ke tempat kerja. Jawapan Nabila atau mesra dipanggil Abil mudah dan tepat. Dia mahu menghabiskan masa bersama anaknya dan kebetulan semasa Keisha di bawah jagaannya, dia perlu ke Kuatan, Pahang atas tugasan.

"Pertanyaan itu timbul kerana berlakunya kemalangan itu. Selama ini, memang Abil bawa Keisha ke mana-mana, itu masa berkualiti Abil dengannya. Bagi Abil, bawa anak ke tempat kerja tidak salah," luahnya yang menghadapi sedikit komplikasi di bahagian belakang tubuhnya.

Bukan sekali Abil membawa Keisha ke daerah tugasannya. Semua peristiwa itu dapat disaksikan melalui akaun Instagram Abil yang penuh dengan gambar permata hatinya. Bagi Abil, Keisha memahami kerjayanya sebagai pelakon dan tidak pernah membuat kerenah sewaktu di set penggambaran. Lagipun 99 peratus masa Abil habis di lokasi.

"Keisha gemar melihat saya berlakon. Kalau dia melihat saya melakonkan watak sedih, dibuatnya muka sedih. Kalau cemas, dia turut cemas. Dia sentiasa bertanyakan keadaan saya selepas setiap adegan. Dia mahu pastikan mummy OK," senyum Abil mengingatkan keletah Keisha yang persis dirinya.

"Buat Keisha, saya inilah idola dirinya. Mahu bersolek, berpakaian, gaya rambut semuanya persis saya. Saya adalah segalanya-galanya buat dia. Keisha juga pemerhati kerja-kerja saya sebagai pelakon," tambah Abil.

BERSYUKUR kerana dikurniakan umur panjang, Abil berharap khalayak dan keluarga juga merasakan perkara yang sama.


Mahu difikirkan sedih akan cakap-cakap umum terhadap dirinya sebagai anak seni, dia seperti sudah kebas. Kata Abil, dia tahu ada manusia yang hanya sudi melihat keburukan orang. Itu sudah menjadi lumrah. Kredibiliti dirinya sebagai ibu juga jadi tanda tanya umum.

"Saya membawa diri saya sebagai seorang ibu sewaktu bersama Keisha. Saya tidak perlu menunjuk-nunjuk depan orang. Pada waktu lapang, kami memang menghabiskan masa bersama-sama. Saya dan Keisha sangat loving. Kami selalu berpelukan dan memberikan ayat-ayat cinta. Makan, minum, tidur dan mandi bersama. Perlukah saya tunjuk semua itu kerana itu memang normal sebagai ibu?" tanyanya yang berasa kehairanan.

"Orang biasa (di luar industri) mungkin tidak faham. Mereka pertikai pelbagai perkara. Sebaliknya, mereka tidak nampak susah senang saya. Banyak yang saya simpan sendiri. Malah, saya melayari hidup saya secara sendirian," keluhnya berbau kesal.

Mahu bahagia

Abil mengaku, dia seorang yang degil dan banyak mendengar kata hatinya sendiri. Namun, dia juga mengaku bukanlah semua perkara yang dilakukannya terlihat jahat.

"Umur saya 29 tahun dan saya bukannya tidak berjaya. Saya berusaha sendiri atas keringat dan bakat saya. Tanggungjawab saya terhadap diri dan anak, saya laksanakan dengan baik. Umum juga boleh lihat perjalanan saya sebagai pelakon. Semuanya saya lakukan dengan bakat dan kudrat sendiri. Saya berjaya dengan lakonan saya. Justeru, bila ada pertikaian tentang diri saya, apa lagi yang mereka lihat dan mahukan?" tanya Abil lagi tanpa saya jawab.

Jauh di benak hatinya dia mahukan kebahagiaan. Katanya dia mahu menjalani kehidupan bersama-sama anak dengan aura gembira dan sederhana. Hidupnya seperti ibu lain, normal dan penuh tanggungjawab.

Ketika ditanya topik umum tentang Abil masih tidak berubah, dia menjawab dengan tenang. Dia tahu perubahan yang dipersoalkan itu berdasarkan pandangan terhadap gaya hidupnya yang tidak pernah disorokkan melalui gambar-gambarnya di Instagram. Dia mungkin dilihat bebas atau liar pada pandangan mata sesetengah orang.

"Perubahan saya tidak perlu saya uar-uar atau tunjukkan. Saya lakukannya dengan hati saya sendiri. Saya mengaku saya sudah agak perlahan dengan gaya hidup di luar kerana saya banyak bekerja," senyumnya manis tetapi nipis.

Buat Abil, hidup sendiri tidaklah sesuatu yang sukar kerana dia terbiasa dengan situasi itu.

Termenung jauh dia seketika sebelum temu ramah yang ditemani Niesa Khalil, sang pengurusnya berakhir. Menarik nafas, dia kemudian mengangguk dan bercakap dalam nada separuh berbisik: "Ada hikmah di sebalik semua kejadian."

Sebelum dia pulang, penulis bertanyakan traumanya. Dia mengangguk, air matanya mengalir: "Bila saya bersendirian, ingatkan balik momen di mana Keisha tiada di tempat duduk kereta selepas kemalangan, saya jadi trauma. Momen itu menakutkan saya."

Fouziah penuhi permintaan keluarga

Posted:

Fouziah penuhi permintaan keluarga

Fouziah penuhi permintaan keluarga

ZHAFRAN bersetuju memilih tema perkahwinan bercirikan budaya Pakistan.


MENJELANG hari bahagia yang bakal tiba tidak lama lagi, dramatis jelita, Fouziah Gous mengikut tradisi yang pernah dirintis selebriti popular sebelum ini. Tidak sah jika majlis yang bakal membawanya ke fasa kehidupan serba baharu itu tidak dikongsi bersama khalayak. Apatah lagi, majlis pertunangannya yang berlangsung tiga bulan lalu sudah pun diberi liputan besar-besaran.

Fouziah, 31, dan tunangannya, Zhafran Yusof, 30, memilih Sabtu ini untuk disatukan sebagai suami isteri.

"Kami memang merancang hendak berkahwin pada tahun ini, selewat-lewatnya pada hujung tahun. Namun, selama ini belum ada tarikh yang pasti memandangkan adik Zhafran yang menuntut di luar negara ada kesulitan untuk pulang begitu juga abang saya yang ada urusan di luar negara. Setelah berbincang, tarikh 21 September menjadi tarikh rasmi. Pada tarikh itu kami dapat mengumpulkan adik-beradik untuk majlis ini," ujar Fouziah pada satu sidang media khas berhubung pernikahannya yang berlangsung di Seri Kembangan, Selangor baru-baru ini.

Sebelum ini, majlis pertunangannya persis seperti majlis persandingan mewah. Fouziah mengumumkan bahawa majlis pernikahannya itu nanti akan disempurnakan dalam tiga acara yang mengandungi tema yang berbeza.

Acara itu ialah majlis pernikahan yang dijadualkan berlangsung di Dewan Tengku Ampuan Jemaah, Masjid Bukit Jelutong, Shah Alam, Selangor pada 21 September depan manakala akad nikah pada sebelah malam itu diserikan dengan tema Pakistan.


FOUZIAH dan Zhafran bertunang pada 1 Jun lalu.


Majlis resepsi sebelah perempuan pula akan diadakan pada malam Ahad, 29 September bertempat di Hotel Marriot, Putrajaya dengan tema musim bunga manakala resepsi bagi pihak lelaki akan diadakan di kediaman Zhafran di Bukit Jelutong pada 5 Oktober yang memilih tema tradisional.

"Sengaja tema Pakistan itu dipilih memandangkan saya sendiri mewarisi darah Pakistan daripada kedua-dua ibu bapa saya. Saudara-mara saya juga ramai yang masih mengamalkan budaya Pakistan dalam kehidupan bahkan mereka menjadikan bahasa Urdu sebagai pertuturan harian.

"Soal berkahwin secara besar-besaran pula, saya bukannya sengaja mahu berlebih-lebih untuk majlis perkahwinan. Tapi, inilah rezeki yang harus saya terima. Sebagai anak bongsu dan satu-satunya anak perempuan dalam keluarga, ibu saya memang mahu melakukan yang terbaik untuk anak perempuan.

"Sebelum ini pun, macam-macam respons orang berhubung majlis pertunangan saya yang dianggap cukup meriah. Itu juga kehendak keluarga. Kalau boleh, mereka mahukan majlis yang lebih meriah," ujar Fouziah sambil menafikan perkahwinannya itu ditaja pihak lain.

Tambah Fouziah: "Memang ada pihak yang menawarkan tajaan, tapi saya dan Zhafran harus buat membuat pilihan. Kami juga mahu merasa sebuah majlis hasil duit sendiri."

Fouziah dan Zhafran bertunang pada 1 Jun lalu dalam satu majlis pertunangan yang diadakan di Bora Asmara, Kuala Lumpur. Mereka mula berkenalan pada Mac lalu.

Album sulung The Carbolics

Posted:

Album sulung The Carbolics

Album sulung The Carbolics


GRUP The Carbolics memasuki dunia hiburan komersial sejak tahun 2008 selepas memperoleh pengalaman dalam dunia muzik sejak tahun 1998.


ISTILAH carbolic kedengaran asing buat kebanyakan orang. Namun bagi mereka yang mengingati satu kes perbicaraan, nama itu pasti akan berlegar dalam pemikiran.

Ia merupakan nama ubat selesema yang mengandungi asid karbolik di dalamnya. Kes tentang ubat tersebut pernah dibicarakan di sebuah mahkamah pada tahun 1893.

Justeru, lima orang pemuzik menggelarkan diri mereka sebagai ahli grup The Carbolics dengan menggunakan nama yang pernah disebut dalam kes perbicaraan itu.

Band yang ditubuhkan sejak tahun 1998 itu dianggotai oleh Ayep sebagai vokalis, Alex Subrynl Luis (vokalis dan pemain gitar), Jai (gitar bes), Ikhwan (pemain dram) dan Lawrance (gitar dan keybod).

"Kami sebulat suara memilih nama itu kerana keunikannya. Bagi pengamal undang-undang, kes berkaitan sejenis ubat yang melegakan batuk dikenali sebagai carbolic mempunyai kaitan dengan mereka.

"Ia juga berkaitan dengan janji The Carbolics yang akan melegakan diri anda apabila mendengar lagu-lagu kami," ujar Jai mewakili rakan-rakannya.

Setelah sekian lama dikenali sebagai sebuah band indie, akhirnya The Carbolics telah keluar daripada kepompong underground dengan menyertai rancangan realiti televisyen di TV1, Rentak Juara pada tahun 2008.


LAGU-LAGU bahasa Melayu dan Inggeris terdapat dalam album pertama The Carbolics.


Keyakinan mereka dalam arus perdana dunia hiburan berada di kemuncak pada tahun ini apabila grup tersebut tampil dengan sebuah album berjudul The Carbolics: Episode I & II.

Mengaku bakal berdepan dengan pelbagai onak duri setelah beralih lapangan, The Carbolics tetap berani untuk menampilkan diri dengan album yang mengandungi 11 buah lagu.

"Dalam album itu, terdapat enam buah lagu berbahasa Melayu manakala lima lagi dalam bahasa Inggeris. Semua lagu enak didengar, namun lagu Ceritera Cinta dan Di Langit Cinta lebih mendapat sambutan.

"Dalam album itu, kami bertuah apabila ratu rock tersohor, Ella berbesar hati untuk berkolaborasi dalam lagu Inggeris berjudul Voices dan Simon OIAM dalam lagu Adakah Ini Cinta serta lagu Balan Kashmir," ujar Ayep.

Antara lagu lain yang merupakan ciptaan mereka sendiri dalam album itu ialah Gigil, Tiada Lagi Benci, Kau Pergi, Baseman, Dreams dan In the Line of B.

Dianggotai oleh wajah daripada pelbagai kaum bukan menjadi masalah buat mereka, bahkan ia menjadi tonggak kekuatan The Carbolics.

Jelas anggota-anggota grup itu, semua percanggahan pandangan merupakan perkara yang pasti berlaku jika bekerja dalam sebuah kumpulan, Namun, hal itu diatasi apatah lagi masing-masing sudah berada pada fasa usia yang lebih matang.


ANGGOTA The Carbolics terdiri daripada (dari kiri) Alex, Ikhwan, Ayep, Jai dan Lawrance.


"Benar, kami sering bertelagah pendapat ketika berbincang. Tetapi, ia tidak berlarutan kerana kami menganggap masing-masing seperti sebuah keluarga.

"Jika ada perbezaan pendapat, kami akan cari kesamarataan. Kita semakin berusia, jadi tiada guna untuk bertelagah pendapat. Lebih baik menyelesaikannya dengan cara yang bijak," ujar Ayep sambil disokong rakan-rakannya.

Biarpun usia The Carbolics masih setahun jagung, namun pengalaman berada dalam kelompok penyanyi indie sejak 15 tahun tahun lalu turut dibawa bersama apabila mereka terjun ke dunia komersial.

"Kami pernah merasai pengalaman mengadakan persembahan dengan disaksikan oleh beberapa orang penonton sahaja. Namun, ia banyak mengajar kami agar terus berusaha untuk meletakkan nama The Carbolics pada kedudukan yang lebih jauh lagi," ujar Jai.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved