Kosmo Online - Sukan |
- Bintang The Catalan janji saji rentak menghiburkan
- Mimpi indah atau mimpi ngeri?
- 'Peluang sekali seumur hidup'
Bintang The Catalan janji saji rentak menghiburkan Posted: Bintang The Catalan janji saji rentak menghiburkanBARISAN pemain Barcelona menjalani latihan ringan di Stadium Nasional, Bukit Jalil semalam sebagai persiapan menentang Harimau Malaya malam ini. AKSI terbaik dan menghiburkan demi peminat Barcelona di Malaysia! Itu janji barisan bintang The Catalan menjelang aksi persahabatan menentang Harimau Malaya di Stadium Nasional, Bukit Jalil malam ini. 'Arkitek' Barcelona, Cesc Fabregas berkata, peluang beraksi lebih dekat dengan penyokong Barcelona di negara ini sememangnya mengujakan. "Malaysia sebuah negara yang mempersonakan. Tidak mustahil saya akan menamatkan karier saya di sini. "Namun, saya baru berusia 26 tahun dan belum terfikir untuk bersara," kata Fabregas. Pemain terbaik dunia, Lionel Messi pula menganggap aksi berdepan Harimau Malaya sebagai sebahagian daripada persiapan mereka mempertahankan trofi Liga Sepanyol musim ini. "Pencapaian kami musim lalu sudah cukup hebat, jika kami berjaya mengulanginya musim ini, sudah tentu ia sesuatu yang cukup sensasi," katanya. Permata baharu The Catalan, Neymar pula jelas tidak sabar-sabar untuk beraksi di Nou Camp. "Perasaan dikelilingi peminat Barcelona dari seluruh dunia sememangnya indah. "Sejujurnya, saya tidak sabar bergandingan dengan pemain terbaik di dunia seperti Messi, Xavi, Andres Iniesta dan juga Fabregas," kata Neymar. |
Posted: Mimpi indah atau mimpi ngeri?Oleh NAN HIDAYAT NAN AZMIE PERSOALAN sama ada 'mimpi indah' bertemu Barcelona bakal bertukar menjadi 'mimpi ngeri' hanya boleh dijawab sendiri skuad Harimau Malaya malam ini. Apa tidaknya, skuad The Catalan seakan-akan sudah melaungkan amaran betapa mereka tidak akan memberi belas ihsan kepada Harimau Malaya selepas membelasah kelab Brazil, Santos dengan kemenangan bergaya 8-0 baru-baru ini. Kelmarin, skuad kendalian Gerard Martino juga bermaharajalela di Stadium Rajamangala, Bangkok apabila 'mengerjakan' skuad Bawah 23 tahun Thailand 7-1 hasil jaringan hatrik Pedro Rodriguez, Lionel Messi (dua gol) manakala Neymar dan Alexis Sanchez masing-masing menyumbat satu gol. Kemenangan besar Barcelona dalam kedua-dua perlawanan itu jelas memberikan isyarat awal kepada skuad kendalian Datuk K. Rajagobal yang seolah-olah dilihat menunggu masa untuk menjadi mangsa seterusnya. Enggan mengibarkan 'bendera putih' sebelum berjuang, pemain sayap negara, Wan Zack Haikal Wan Noor sebaliknya percaya mereka mampu memberikan cabaran terhadap The Catalan malam ini. "Saya tidak peduli keputusan perlawanan Barcelona dalam dua perlawanan sebelum ini. "Apa yang saya tahu, saya mahu membalas kepercayaan jurulatih (Datuk K. Rajagobal) selepas tidak diturunkan ketika berdepan Chelsea sebelum ini," katanya. Wan Zack berkata, prestasinya juga berada dalam keadaan terbaik selepas dibelenggu kecederaan yang memaksanya berehat selama tiga bulan ketika menjalani latihan bersama FC Ryukyu awal tahun ini. Dalam pada itu, tonggak pertahanan negara, Aidil Zafuan Abdul Razak juga berharap dapat meraih pengalaman berguna ketika berdepan Barcelona malam ini. "Saya akan memberikan yang terbaik biarpun sudah tentu ia perlawanan yang paling sukar dalam karier saya," kata Aidil. Seorang lagi tonggak pertahanan negara, Muhamad Fadhli Shas tidak mahu terlampau memikirkan sama ada berkemampuan merobek gawang Barcelona ataupun tidak seperti mana yang dilakukannya ketika berdepan Chelsea tempoh hari. "Jika berjaya menjaringkan gol ia dianggap bonus, namun saya tidak akan melupakan tanggungjawab saya merantai pergerakan penyerang lawan habis-habisan," katanya. |
Posted: 'Peluang sekali seumur hidup'Oleh NAN HIDAYAT NAN AZMIE SERIUS... Rajagobal (tengah) memberi arahan kepada anak-anak buahnya pada sesi latihan di Stadium Nasional, Bukit Jalil petang semalam. APA agaknya yang bermain di benak fikiran pengendali Harimau Malaya, Datuk K. Rajagobal menjelang aksi persahabatan berdepan gergasi Sepanyol, Barcelona di Stadium Nasional, Bukit Jalil malam ini. Menyedari perbezaan ketara kedua-dua pasukan ibarat langit dan bumi, tiada apa yang dituntut Rajagobal selain mahu anak-anak buahnya memberikan persembahan terbaik dan kembali bangkit melupakan episod duka ketika diaibkan di bumi Jepun tempoh hari. "Kita belum tentu berjumpa Barcelona selepas ini, jadi saya harap para pemain dapat memberikan yang terbaik esok (malam ini). "Kalau boleh, biarlah pemain dapat sesuatu... ada tak peningkatan sekembalinya dari Jepun. "Jadi saya harap pemain-pemain dapat mempamerkan aksi yang lebih baik berbanding semasa bertemu Chelsea (tewas 1-4) sebelum ini," kata Rajagobal kepada pemberita selepas sesi latihan di Stadium Nasional, Bukit Jalil petang semalam. Pada masa sama, Rajagobal juga seakan-akan masih belum serik daripada melakukan eksperimen apabila tidak menolak kemungkinan merombak skuad Harimau Malaya terutamanya pada babak kedua. "Ini aksi ujian, berdepan Bahrain (kelayakan Piala Asia) jauh lebih penting daripada mana-mana aksi persahabatan. "Saya akan turunkan dahulu skuad terbaik (pada babak pertama), jika ada keperluan saya akan membuat pertukaran," jelasnya. Rajagobal memberitahu, beliau belum membuat keputusan muktamad mengenai kesebelasan utamanya malam ini memandangkan penjaga gol, Khairul Fahmi Che Mat mengadu mengalami sakit pangkal paha sementara Nik Shahrul Azim Ab. Halim pula baru pulih daripada kecederaan. "Saya akan meneliti laporan penuh daripada doktor terlebih dahulu sebelum membuat keputusan lanjut mahu menurunkan Khairul Fahmi dan Nik Shahrul atau tidak," katanya. Rajagobal juga menafikan dakwaan sesetengah pihak bahawa Harimau Malaya akan tampil dengan corak permainan bertahan bagi mengelak dibelasah Barcelona seperti mana yang dialami kelab Brazil, Santos (8-0) dan juga skuad Bawah 23 tahun Thailand (7-1) kelmarin. "Barcelona sebuah pasukan yang berada pada tahap berbeza, menggunakan seorang penyerang supaya memiliki lebih ramai pemain di bahagian pertahanan belum tentu mampu mengekang penguasaan mereka. "Bagi saya, tiada pemain di dunia mampu mengekang (Lionel) Messi," katanya. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Sukan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan